28.5.07

Respon kepada tulisan terbaru Dr. Asri

2 comments:
Boleh baca tulisan beliau di bawah ini.
( Sila baca di sini )

Huh, setiap yang diperkatakan oleh SS Mufti Perlis semuanya benar? Semuanya muktamad? Semuanya boleh membatalkan semua hujah yang lain? Anda telah kaji hujah bagi pihak yang sebaliknya?

Asri menyebut maki hamun secara terbuka, jika nasihat kepada pemimpin tanpa maki hamun, tetapi secara terbuka dan umum, bagaimana?Asri menyebut amalan ulama silam dan ulama temporari di Arab Saudi. Realiti antara tempat tersebut dengan negara kita sangat berbeza. Arab Saudi adalah negara beraja. Tiada pilihan raya menentukan kerajaan. Pilihan raya hanya untuk kerajaan tempatan. Rakyat tiada kuasa.

Di Malaysia, rakyat yang mampu meruntuhkan kilang carlsberg, bukan UMNO BN. Jika anda hanya bisikkan perkara ini ditelinga YB-YB BN, mereka akan angguk2 geleng2, insya Allah....janji dapat undi anda. Itu sekadar contoh saya untuk semua kemungkaran dan kezaliman di Malaysia.Di Arab Saudi, hampir tiada kemungkaran umum yang ditaja oleh kerajaan, tetapi di Malaysia hampir semua kemungkaran umum dbiarkan/tidak diambil berat/ditaja oleh kerajaan. Tak percaya? Sebab anda tidak minat politik, maka tidak tahu atau malas nak ambil tahu.

Kesilapan Asri ialah, pulang ke Malaysia dan tidak mengambil segala pengalaman ulama sedia ada di Malaysia untuk memulakan dakwah, sebaliknya membawa rentak sendiri. Itu sebabnya hampir semua terkena peluru beliau, dan akhirnya beliau mulakan dengan pengalaman sendiri. Maka, beliau memang tiada pengalaman ketika memulakan dakwah. Tiada petunjuk awal.

Jika menyertai ulama sedia ada, maka beliau hanya menyambung, bukan memulakan, maka segala pengalaman silam sejak ulama wujud ketika selepas merdeka dikira pengalaman beliau juga. Maka beliau sudah tahu berapa puluh kali "teguran lembut beliau" ( berdasarkan pengalaman ulama sedia ada) terhadap kerajaan dan pemerintah ditertawakan sahaja oleh mereka.Asri pulang ke Malaysia, tetapi tidak merujuk kepada ulama Malaysia yang sentiasa mendampingi beliau ketika di Jordan dahulu. Maka beliau selalu memberi pandangan sendiri. Berdasarkan kepada bacaan-bacaan sendiri-sendiri. Atau beliau tidak merasakan ada ulama yang boleh diajak berbincang drp kalangan orang2 lama ini?

Maka saya fikir, apa yang ditulis oleh beliau itu betul, tetapi tidak lengkap dan mengelirukan. Bagi pencinta kebenaran, jangan cepat menerima, seperti para sahabat menerima kenyataan demi kenyataan Rasulullah, sebaliknya tunggu dan kajilah sendiri.

Masalah di Malaysia adalah masalah "dasar" dan "political will" bukan masalah semudah membisikkan tazkirah ditelinga Pak lah setelah tangannya ditarik, kemudian tugas Asri selesai....

Kisah Anwar sebagai contoh,beliau bukan setakat dibisikkan ditelinganya malah Anwar sendiri yang membisikkan kepada Tun, tetapi akhirnya parti beliau sendiri menghumbannya keluar.Apakah tugas ummah selesai dengan bisikan demi bisikan ini, dan lihat sahaja pemerintah melakukan kemungkaran. Mmmm Asri tahu tak sejauh mana kemungkaran di Malaysia dan cara mengatasinya?

Asri membawa hadis berikut:
Sabda Nabi: Sesiapa yang ingin menasihati orang yang memiliki kuasa, janganlah dia menampakkannya secara terang-terangan. Sebaliknya hendaklah dia mengambil tangannya (orang yang memiliki kuasa) dan bersendirian dengannya (menasihatinya dengan tidak didedahkan aib secara terbuka). Jika dia terima maka dia berjaya, jika tidak dia (orang yang menasihati) telah menunaikan kewajipannya. (Riwayat Ibn Abi ‘Asim dalam al-Sunah 507. Sanadnya sahih seperti yang dinyatakan oleh al-Albani ketika mentahqiq al- Sunah ini (hlm 507).

Hadis di atas memang benar, tetapi jangan dilupa hujah2 yang lain.Mungkinkah kita tidak beramal dengan hadis tersebut, sebaliknya rujuk kepada hadis-hadis lain yang membawa kaedah yang berbeza? Seperti " Kalimatu haqqin inda sultanin jair ".

Saya beri contoh, ulama tidak beramal dengan hadis sahih bertakbir awal ketika duduk pada rakaat kedua selepas tasyhhud awwal, walaupun ianya sahih.Bagaimana pula sikap ulama silam yang tidak mahu bekerja dengan pemerintah zalim ( walaupun laksanakan jenayah dan undang2 Islam, malah alquran merupakan rujukan tertinggi ) tetapi Asri bekerja dengan kerajaan yang tidak meletakkan alquran sebagai rujukan tertinggi, tetapi sekadar mewawarkan negeri sunnah ?

Bagaimana pula Allah menggambarkan rahib2 yahudi yang menukar hukum2 di dalam kitab mereka? Bukankah disifatkan seperti tuhan-tuhan selain Allah? Bagaimana dengan YB2 BN dan Menteri Besar di Perlis darus sunnah yang menukar2 hukum jenayaah Islam, kepada hukum akal seperti zina di hukum dengan hukuman "356"?

Apakah ini tidak bercanggah dengan sunnah Al-Quran?

Wallahu a'lam.

24.5.07

Bertukar Catatan Peribadi Yang Dikongsi Bersama

No comments:
Pada peringkat awal penubuhan blog ini, saya merancang untuk memuatkannya dengan tulisan-tulisan ilmiah yang menyentuh isu-isu semasa agama, dakwah dan masyarakat. Tetapi, setelah lama berlalu, rupanya saya belum ada kemampuan untuk mencuri masa bagi memenuhi hasrat tersebut.

Maka saya beralih kepada satu bentuk catatan yang lebih bersifat santai. Saya perlu membiasakan diri untuk menulis dan menulis terlebih dahulu, sebelum mampu mengajak pembaca mengikuti setiap kupasan isu secara ilmiah, suatu hari nanti.

Maka saya akan menulis apa sahaja yang terlintas nanti. Dengan pelbagai ragam tulisan. Ia akan jadi lebih peribadi, tetapi boleh dikongsi bersama. Namun, saya cuba selitkan satu dua tulisan ilmiah, setakat termampu.

Saya beralih demi tidak menghampakan pembaca yang mungkin inginkan satu tulisan yang "canggih". Itu belum boleh dilakukan buat masa kini.

Terima kasih yang sudi membaca celoteh peribadi nanti. Wassalam...

17.5.07

Tarbiah satu proses berterusan

No comments:
Air yang mengalir akan sentiasa memberi kebaikan. Jika dari gunung, ia akan menjadi air terjun. Jika di dataran, ia bertukar menjadi sungai. Di kaki gunung, dipanggil anak sungai atau hulu sungai. Sampai ke laut, ia bergerak dengan cara yang berbeza. Tetapi tetap ada pergerakan, iaitu ditepian pantai. Walaupun ia masin, tetapi ombak kecilnya tetap membawa erti tersendiri.

Setiap yang berada berdekatan dengan air yang bergerak ini akan memperoleh manfaat. Paling dirasai kebaikannya ialah ketika air ini turun dari awan sebagai hujan dan membasahi pula kawasan yang telah lama kering. Boleh digunakan untuk minuman, pertanian, penghasilan tenaga dan seumpamanya. Air di kawasan sebegini perlu ditakung, jika tidak kembali kering setelah memasuki musim kemarau.

Berbeza dengan air yang tidak bergerak. Senyap sunyi. Tidak di kocak oleh sang pengacau. Biasanya air ini berbau, kotor, berlumut dan seumpamnya. Lihat sahaja pada baldi yang berisi air tanpa bergerak, selepas beberapa hari pasti air berbau dan baldi berdaki.

Itulah yang boleh dibandingkan antara diri kita dengan proses pentarbiahan. Jika kita tidak digerakkan dengan program-program tarbiah, maka diri akan menjadi kaku, layu dan tiada kekuatannya lagi.

Tarbiah adalah satu proses. Satu pergerakan. Satu ibadah yang memerlukan pergerakan secara berterusan. Menggerakkan minda, akal, hati, mata, tangan, kaki dan badan keseluruhannya dalam melaksanakan ibadah. Melaksanakan ketauhidan kepada Allah. Melakukan apa yang dipelajari dan diketahui, supaya menjadi satu amalan berterusan, sehingga berbekas kepada iman dan amal, selepas ilmu.

Maka tarbiah itu, tiada baginya noktah penghujung, selagi wujudnya manusia. Selagi matahari masih bersinar dan selagi jiwa belum diputuskan dengan jannah, maka proses pendidikan dan penghayatan ini perlu berterusan. Ia adalah satu proses memperbaiki kelemahan yang wujud, di samping meningkatkan bermacam-macam potensi diri untuk dimajukan mengikut acuan Islam.

Jika ada yang mendakwa telah sempurna pentarbiahan yang dilaluinya, maka ia ibarat sedang berada di tengah-tengah lombong atau tasik yang jelas berbau busuk dan berlumut. Tiada yang boleh dibanggakan. Lebih teruk, jika ia diandaikan seperti berada di dalam baldi yang sangat kecil dan berbau busuk. Puncanya ialah air yang bertakung.

Kesimpulannya, di dalam PAS, tiada istilah tamat proses pentarbiahan. Sebaliknya, ia berterusan selagi wujudnya manusia, dan selagi anda sendiri masih tunduk kepada program-programnya. Ia ibarat air yang sentiasa mengalir.

Oleh itu, apa sahaja program dan aktiviti yang merupakan mekanisme terbaik untuk mentarbiah ahli dan pemimpin, mesti terus ditingkatkan. Jangan berselindung di sebalik kesibukan parti.

Saya percaya, ia boleh dilaksanakan. Mungkin kesilapan berlaku dalam proses pengagihan peranan, tetapi akhirnya bertaut semula. Kemudian jadikan matlamat tarbiah anda semua adalah syurga. Yang tidak pernah dikunjungi mana-mana pengembara.

16.5.07

Sanggup dan Mampu

No comments:

Masih lagi ingin menulis berkaitan kepimpinan. Kerana ketika ini saya begitu terganggu dengan bebanan tanggung jawab yang teramat berat dan meletihkan. Siapa tidak tahu, meminta-minta jawatan atau pangkat, adalah satu tegahan agama. Ia tidak berlaku kepada saya, alhamdulillah. Juga sahabat-sahabat yang bersama. Tetapi, apa yang menimpa kami adalah sebaliknya.

Bencana jawatan
Bencana yang besar bagi diri kami ialah apabila dihentak dengan pelbagai jawatan yang berat-berat belaka. Saya sebagai contoh, memimpin cawangan, kemudian memantau Pasti, diikuti dengan membantu ketua pemuda, seterusnya urusan ulama. Tidak cukup itu, dihempap pula dengan jawatan di peringkat kawasan dengan menjalankan kerja yang tidak pernah terfikir untuk saya lakukan. Menguruskan hal ehwal teknologi maklumat. Tidak lupa juga, menggerakkan hal ehwal pentarbiahan di peringkat pemuda.

Siapa saya untuk melakukan semua ini? Manusia luar biasa? Sudah pasti tidak. Apa yang saya ada untuk melakukan semua tugas dengan baik dan sempurna? Hanya kerana pandai menulis, diberi tugas teknologi maklumat. Hanya kerana dipanggil ‘ ustaz ’, terus layak menjadi ketua? Ohh.. kenapa kita masih berfikiran sedemikian? Nilailah seseorang itu berdasarkan apa yang telah dan mampu disumbangkan. Jika belum pasti, jangan melulu untuk memberi tugasan.

Pengalaman pertama
Ketika pertama kali cuba mendekatkan diri dengan amal politik, saya terus dilantik memegang satu jawatan yang cukup penting dan berat. Tiada ruang yang diberikan kepada saya untuk belajar dari A. Mereka terus meletakkan saya untuk memimpin. Bukanlah tujuan saya menulis untuk mengadu hal kepada para pembaca. Sekadar mengajak kita semua berfikir. Fikir tentang kemampuan orang lain.

Saya tidak kisah jika terus diberi tugas, sekiranya saya mampu. Jika sahabat ada yang mampu, tidak timbul isu untuk dilantik awal, walaupun baru menamatkan pengajian. Tetapi tidak bagi saya. Saya tiada pengalaman memimpin pertubuhan politik atau sosial ketika itu. Hanya pernah menguruskan persatuan pelajar yang sangat kecil.

Saya juga tidak pandai memberi ucapan kepada audien. Gugup, gementar, kurang keyakinan dan tiada pengalaman adalah gambaran bagi diri saya. Tetapi itu tidak dilihat oleh rakan-rakan yang melantik. Bagi mereka, seorang ustaz mampu melakukan segalanya, begitulah agaknya mereka berfikir.

Seorang ustaz boleh memimpin, boleh berceramah, boleh mendidik, boleh membuat kerja dan boleh dipercayai. Aduh, sukar menjadi seorang ustaz. Hanya kerana pertubuhan saya adalah pertubuhan Islam, maka sepatutnya ustazlah yang memimpin. Itu tanggapan biasa yang berlaku.

Ustaz yang mampu
Saya boleh terima bahawa orang-orang yang belajar agama ini perlu memimpin pertubuhan yang memperjuangkan agama. Sama seperti yang pernah saya tulis sebelum ini. Tetapi bukanlah dengan ‘ tangkap muat ‘ sahaja. Biarlah mereka yang benar-benar layak.

Jangan lagi, atas nama ustaz, sudah dikira layak menjadi ketua, menjadi murabbi, menjadi penceramah dan menjadi serba-serbi. Kasihanilah ustaz kecil yang baru nak mendekati Gerakan Islam. Jangan dibebankan dengan amanah yang berat. Jika tersalah cara, ustaz ini akan terus mengelak dan akhirnya melarikan diri. Kaji, perhati dan lihatlah sebelum diamanahkan.

Saya sedar, senario ini berlaku kerana kekurangan petugas. Tetapi penyelesaiannya bukan dengan membebankan seseorang dengan dua tiga jawatan. Ia menyebabkan semuanya tidak akan berjalan.

Jika tiada petugas, usahalah wujudkan petugas. Jika tiada ahli, tambahkanlah ahli. Jika tidak melakukan keduanya, jangan zalimi petugas yang sedikit ini.

Kecualilah jika ada yang mampu dan sanggup memikul pelbagai amanah sekaligus…

14.5.07

Ke arah menghayati perjuangan Rasulullah

No comments:
Alhamdulillah, syukur kepada Allah swt kerana masalah streamyx yang dihadapi lebih seminggu pulih siang tadi. Barulah bersemangat untuk menulis semula.

Ketika ini saya sentiasa memikirkan beberapa perkara yang agak penting dalam hidup saya buat masa ini. Pertama persiapan menyambut tetamu yang tidak pernah hadir ke rumah saya sebelum ini. Kedua mengenangkan masa depan pucuk pimpinan parti saya. Ketiga memilih cabang ilmu untuk pengajian lanjutan. Terakhir menulis sebuah buku yang bermanfaat.

Antara keempat-empat perkara ini, yang kedua itu sentiasa menjadi pilihan yang mendominasi ruang fikir saya. Sejak daripada kecil, saya suka membaca berita tentang pemimpin PAS. Dua bentuk bahan bacaan yang menjadi pilihan utama saya ialah biodata pemimpin dan wawancara dengan pemimpin. Malah, wawancara dengan pemimpin kumpulan lain juga sekali-sekala menarik minat saya membaca. Apatah lagi bahan tentang ulama yang mewaqafkan hidup mereka untuk sebuah perjuangan yang sering menyusahkan diri.

Namun, itulah antara cara paling cepat dan ringkas untuk mempelajari pengalaman orang lain, seterusnya merasainya.

Daripada situlah saya banyak mempelajari kaedah-kaedah untuk menjadi seorang guru, pendakwah, politikus, pembawa risalah islah dan pembimbing yang cemerlang. Pastinya, saya bukan lagi sesiapa pun. Saya masih jauh daripada mereka yang sentiasa menjadi 'mangsa' bacaan saya, tetapi saya sudah menyimpan resepinya. Diharapkan resepi itu akan digunakan juga sepenuhnya, suatu hari nanti. Bukan sedikit-sedikit sahaja.

Berbalik kepada perkara kedua tadi.

Saya sentiasa mencorakkan sendiri barisan pimpinan pilihan. Tetapi semua itu tidak pernah dicorakkan oleh seorang individu, atau dua tiga orang. Ianya terletak di bawah kuasa perwakilan. Begitulah sepatutnya. Maka pilihan saya hanya berada di benak hati. Tidak di atas pentas sebenar.

Inilah realiti bagi sebuah parti seperti PAS. Jika majoriti mahu tokoh ini, maka naiklah dia, jika tidak maka 'hilang' lah dia daripada persada. Maka semuanya akan mengikut. Fikiran, pemikiran, sikap, pengaruh, dan hala tuju.

Maksud saya, jika seorang tokoh gugur, maka gugurlah juga apa yang ada pada dirinya. Jika seseorang itu mampu kekal, maka selama itulah pemikirannya diterjahkan ke dalam fikiran ahli. Sikapnya disaksikan. Pengaruhnya semakin menebal dan hala tujunya menjadi ikutan.

Lantaran, siapakah yang seharusnya dipilih oleh ahli-ahli PAS untuk memimpin mereka? Jika saya ditanya oleh sesiapa sahaja, maka jawapan saya ialah, sesiapa yang mampu membawa saya kepada mengenal perjuangan Islam dan penghayatannya. Jika bercakap tentang kemenangan pilihanraya dan kekuatan parti, semua pemimpin tiada bezanya.

Tetapi bila mahu memimpin kepada Islam, bukan semua mampu. Jika saya tidak mampu memimpin ke arah itu, maka saya mahu saya dipimpin ke arah itu. Itu sahaja jawapan saya.

Jika semuanya ke arah itu, maka saya akan lihat siapa yang benar-benar faham menuju ke arah itu dan mampu beristiqamah. Ke arah menghayati perjuangan Rasulullah.

9.5.07

Patah tumbuh hilang berganti, tiada lagi.

2 comments:
Huh, beberapa hari tidak dapat menulis kerana masalah yang mengganggu khidmat internet di rumah saya. Tidak pasti apakah puncanya. Sudah cuba diatasi, tetapi masih belum berjaya.

Sejak beberapa hari yang lalu, saya cuba untuk menulis satu artikel berkaitan kepimpinan, tetapi masih belum berjaya. Sejak beberapa minggu yang lalu, saya dan rakan-rakan sibuk dengan proses pemilihan kepimpinan parti. Banyak istilah dikeluarkan oleh teman-teman bagi mengaitkan situasi yang melanda pertubuhan kami. Krisis pemimpin - antaranya.

Teringat satu ungkapan masyhur bangsa Melayu, "patah tumbuh hilang berganti". Ia bermakna, setiap yang hilang dan pergi akan ada penggantinya. Begitulah juga kepimpinan sesebuah pertubuhan. Akan ada pemimpin yang menggalas tugas yang ditinggalkan, jika pertubuhan itu masih lagi hidup dan ahlinya masih lagi bernafas. Tetapi, apakah peribahasa itu membawa sekali bersamanya maksud 'pemimpin berkualiti'?


Pemimpin yang dilahirkan

Saya fikir tidak. Pemimpin yang berkualiti perlu dilahirkan, bukan dinantikan tumbuh-gantinya begitu sahaja. Kemahiran kepemimpinan Hang Tuah dibentuk ketika bertamrin di Gunung Ledang, mengikut ceritanya. Akhirnya mampu menjadi pemimpin dunia kepahlawanan dan persilatan Melayu silam.

Samalah juga halnya dengan kemahiran memimpin seorang ketua sebuah pertubuhan. Kemahiran yang mungkin ada sedikit pada dirinya sebagai asas, perlu digilap dan disuburkan.

Bagi mereka yang termasuk dalam kategori ini, jika tiada siapa yang membimbing dan membentuk, seharusnya mendidik diri sendiri dengan pelbagai kemahiran dan menyogok pula dengan segala macam pengalaman sendiri dan orang lain. Ia bukan bertujuan untuk mengejar jawatan, sebaliknya menyiapkan diri ketika saat diperlukan untuk memimpin dan mentadbir.

Pemimpin yang sedang bertugas pula, jangan sama sekali melupakan tanggungjawab menyediakan barisan pelapis yang dibentuk dan diasuh sebagai penggalas di kemudian hari. Segala seni kepemimpinan hendaklah didedahkan kepada mereka, sehingga boleh meneruskan sunnah yang telah dilalui orang pembimbing mereka.


Mahir dan jujur

Berdasarkan kepada apa yang diajar oleh Allah swt, bakal pemimpin masa depan mesti memiliki dua ciri utama ini. Mahir dalam kerja-kerja memimpin dan mentadbir serta bersikap jujur dalam serba serbi.

Bayangkan ketika situasi keputusan yang akan anda ambil menentukan masa depan kepada beribu manusia. Jika salah membuat pilihan, sudah pasti penderitaan akan dirasai oleh semua yang terbabit. Begitulah sebaliknya, keputusan paling tepat, paling cepat dan paling berisiko rendah adalah kehendak daripada beribu orang, yang memerlukan kata putus anda. Semua ini ada kaitan dengan mahir dan jujur.

Tidak cukup sekadar berserah kepada Ilahi, maka selesai semua masalah kepemimpinan. Jika masalah bebanan pada bahu yang menggalas, ya, mungkin terasa lebih ringan dengan berserah dan pasrah, tetapi tanggunjawab tidak tertunai hanya dengan berserah. Keputusan mesti diambil. Tindakan mesti dilakukan. Perancangan mesti tepat dengan objektif. Garis panduan mesti jelas dan difahami.

Ringkasnya, mana-mana pertubuhan pasti akan bermasalah jika hal-hal berkaitan persiapan pemimpin masa depan dan penyediaan pelapis diabaikan hanya beralasan; " patah tumbuh hilang berganti."

Ia telah berlaku dalam parti yang saya sertai diperingkat negeri Selangor ini.

2.5.07

Herbalisma

No comments:
HERBALISMA

Herbalisma ialah satu kefahaman mengenai herba yang menyatakan "Biarkan makanan menjadi ubatmu dan biarkan ubat menjadi makananmu".Ini bermakna makanan berfungsi untuk memelihara kesihatan, mengelakkan penyakit kerana makanan membekalkan tenaga dan zat-zat yang diperlukan oleh badan untuk mengekalkan kesihatan dan hidup, untuk membesar dan membangun, untuk bergerak, bermain, bekerja, memikir dan belajar.

Herba adalah sebaik-baik makanan untuk badan kita kerana zat-zat yang dibekalkan oleh alam semulajadi adalah sangat berpatutan untuk mendapatkan badan yang sihat secara alamiah.

Makanan alamiah yang berasal dari alam semulajadi merupakan resepi-resepi yang telah diformulasikan dan telah lulus ujian selama evolusi berabad-abad lamanya, sejak sejarah manusia bermula. Kita mempunyai keyakinan bahawa herba-herba alam yang tidak beracun melengkapi tubuh dengan bahan yang sesuai keperluannya sama seperti makanan. Hal inilah yang menghasilkan pencegahan mahupun penyembuhan terhadap sesuatu penyakit.


SISTEM PERTAHANAN BADAN.

Dewasa ini kesedaran masyarakat terhadap pentingnya pengubatan herba (herbal medical) semakin menunjukkan angka peningkatan cukup menggembirakan. Fenomena ini terlihat dengan semakin banyaknya anggota masyarakat dari berbagai kalangan yang memasuki kumpulan HPA (Herba Penawar Al-Wahida) dan menjadi pangamal-pangamal herba. Tidak sahaja di Malaysia, malah di beberapa negara lain seperti Indonesia, Thailand, Singapura dan beberapa negara di Timur Tengah.

Meskipun demikian, kebanyakan masyarakat tetap lebih mempercayai keutamaan pengubatan moden, sekalipun banyak penelitian yang membuktikan besarnya impak negatif (negative effects) yang ditimbulkan oleh pengubatan barat.

Masyarakat kita pada ketika ini mengkonsumi ubat bukan kerana ubat itu mahal tetapi mereka mengkonsumi ubat tersebut kerana besarnya keyakinan yang dimiliki oleh seseorang itu. Mereka yakin bahawa ubat-ubatan kimia lebih mampu menyembuhkan panyakit yang dideritanya berbanding ubat-ubatan herba. Kerana itu, tugas sebagai seorang herbalis adalah harus mampu meyakinkan masyarakat tentang keunggulan herba.

Oleh yang demikian, pihak HPA ingin meyakinkan masyarakat tentang keberkesanan ubat-ubatan herba berbanding ubat-ubatan barat. Kami yakinkan masyarakat dengan fakta-fakta perubatan sains dan fakta-fakta perubatan herba HPA sebagai langkah pendekatan masyarakat terhadap pengubatan herba, kerana kami yakin bahawasanya ubat-ubatan herba lebih baik malah lebih suci pembuatannya.

Oleh itu, mari kita sama-sama mengenali herba dengan lebih dekat melalui perhubungan perubatan herba HPA dengan sistem pertahanan tubuh manusia. Kami hubungkan perubatan HPA kepada beberapa sistem iaitu:-

1. Sistem Pencernaan
2. Sistem Pembuangan
3. Sistem Pernafasan
4. Sistem Kardiovaskular
5. Sistem Endokrin


SISTEM PENCERNAAN

A. PERUT

Dinding perut mengeluarkan asid HCL 3 Liter sehari untuk meransang pengeluaran enzim pepsin untuk pencernaan protein. Di dalam keadaan kecemasan atau tekanan mental akan meningkatkan asid dalam perut dan terjadinya luka dalam usus. HCL dinuetralkan oleh cairan hempedu dan cecair pankreas.

B. USUS

Usus adalah bahagian terpenting untuk pencernaan dan penyerapan. Peneutralan asid HCL penting untuk menghindari ulser peptik . Usus besar perlu diperkuatkan dengan serat untuk menghindari sembelit, kanser, dan penyakit lain.

C. FUNGSI HERBA

1) Menguatkan sistem imuniti.
2) Merangsangkan enzim pencernaan.
3) Bertindak sebagai a nti-mikrobial.
4) Menjaga keseimbangan pH.


D. RAWATAN HPA

1. Halitolis/ Nafas Berbau.
{ MADU + TEH HERBA + SPIRULINA }

2.Tonsillitis.
{ TEH HERBA + ROSELLE + MALAC + COSCINIUM PLUS, SPIRULINA }

3.Ulser Mulut.
{ MINYAK BUT-BUT }

4. Ulser Perut.
{ TUJU ANGIN + RADIX + TEH HERBA }

5. Muntah Darah.
{ SHARK CARTILAGE + TEH HERBA + LOHARD }

6. Bayi Kembung.
{ SUSU KAMBING + MADU }

7. Sembelit.
{ PELAWAS + SPIRULINA }

8. Cirit-Birit/Mencret.
{ TEH HERBA + MADU }

9. Appendisitis.
{ SEMARU + MENGKUDU }

10. Batu Hempedu.
{ MALAC + ALAC + MADU ASLI }

11. Hepatitis/ Penyakit Kuning.
{ TEH HERBA + HEALTH B + OMEGA 3 }


Sumber : http://www.hpa.com.my/

Link ke sistem pencernaan.

Bersambung…

1.5.07

Kenali HPA, cintai herba ciptaan Ilahi!

No comments:
Pekerja sedang membotolkan kordial roselle yang penuh dengan khasiat vitamin c. Saya menghilangkan demam dan selesema dengan meminum air roselle sahaja, serta kopi radix.

Biskut Radix HPA sedang diproses. Alhamdulillah, terdapat alternatif biskut yang dijamin suci dan halal. Ditambah pula dengan khasiat tongkat ali serta herba2 yang lain.

Kompleks HPA di Jejawi, Perlis. Di hadapan bangunan ini terdapat dataran yang digunakan untuk solat tahajjud beramai-ramai pada setiap kali kursus herba diadakan setiap sebulan sekali di Perlis. Di pintu masuk Kompleks inilah terletak bilik cerap bintang.

Tuan Haji Ismail, Pengarah Urusan HPA. Seorang yang mahir dalam perubatan herba.

Seorang Prof. Madya dari USM, dan berpengalaman dalam organisasi kesihatan di peringkat antarabangsa telah menjadi ahli HPA dan memuji pengetahuan Tuan Haji Ismail. Menurut beliau, kelebihan Pengarah Urusan HPA ini ialah pengetahuan yang mendalam tentang herba dan sistem rawatan tubuh badan dengan disertakan amalannya sekali. Beliau memang kagum dengan HPA.

Juga yang menarik ada pada HPA ialah, pekerja kilangnya diarahkan solat dhuha setiap kali sebelum masuk bekerja, dan membaca al-mathurat. Jelaslah, ke mana arah tuju HPA bersama barangannya...

Kuliah Herba HPA

No comments:



Pada hari Rabu, esok, bersamaan 2 Mei, akan diadakan KULIAH HERBA SIRI 1: DARAH TINGGI DAN PERUBATAN HERBA. Bertempat di KLIH, jam 8 mlm.

Kuliah disampaikan oleh Pengarah Urusan 1 HPA Industries Sdn Bhd, Tuan Haji Ismail Haji Ahmad.

Beliau adalah pemilik kepada HPA, dan pakar dalam ilmu perubatan herba. Untuk mengetahui dan mengenali beliau dengan lebih dekat, serta HPA itu sendiri, sila hadir ke kuliah tersebut.

Jika sekali menghadiri kuliah beliau, saya beri jaminan sebahagian besar daripada anda semua akan jatuh hati kepada perubatan herba dan tidak kepada perubatan lain. Maaf kepada para doktor semua. Namun, perubatan herba bukan menentang rawatan moden. Ada situasi yang memerlukan rawatan moden.

Alhamdulillah, telah beberapa bulan saya tidak mengambil ubatan moden jika memerlukan rawatan, sebaliknya ubatan herba HPA. Saya telah membuktikannya untuk diri saya dan keluarga. Anda...cubalah!

Semua dijemput hadir, walaupun belum menjadi ahli HPA. Untuk menjadi ahli, boleh hubungi saya di elbaritii@yahoo.com

Sila ke link ini untuk iklan kuliah tersebut. Terima kasih.