30.3.08

Cerita Rindu 2

No comments:

Wahai Rasulullah, aku menangisi kelalaian diriku untuk terus mendampingimu, tika kita ‘bersama’…


Setiap kali solat, aku rasa akulah yang paling banyak merayu dan berdoa kepada Allah Ta’ala, khususnya ketika aku paling hampir denganNya. Aku lakukan setelah selesai urusan memohon, dalam tempoh penantian itu.


Semua itu kerana cita-cita aku. Juga atas keazaman aku ingin menggapai semua yang dipanggil mutiara ilmu dan akhlak di bumi Rasulullah. Aku ingin menjadi penyumbang kepada umat. Ingin memberi sesuatu yang boleh dijadikan bekalan. Aku mahu menjejaki tapak-tapak perjuangan al-‘Izz ‘Abdul al-Salam, Imam al-Nawawi, ‘Abdullah al-Mubarak, Imam al-Syafi’i dan ramai lagi.


Aku sudah pasti ingin mendekati perjuangan para sahabat yang sentiasa mengerti erti taat dan patuh, bukan hanya pada pemahaman, sebaliknya pengamalan. Itulah aku ketika itu, wahai rasulku.


Sebaik keluar dari perut pesawat itu, aku terpinga-pinga. Ke mana ingin kutujui. Semua serba muram. Saling tak tumpah seperti memasuki satu kawasan larangan yang di dalamnya ada bahan bahaya yang boleh mengancam keselamatan dunia. Huh, memang menggerunkan ketika mula memasuki kawasan lapangan terbang di Jeddah.


Kemudian, lagi ‘mengsuspenkan’ apabila melihat kelibat hitam di sana-sini, di samping kelibat putih pak-pak Arab memakai jubah.


Aku tidak tahu sebenarnya ke mana haluan aku. Tiada siapa untuk dihubungi. Tiada teman untuk berbincang dan mengagak-agak. Aku terpinga-pinga dan terus saja melangkah ke arah hadapan. Hati mula seram-sejuk rasanya. Suspen, seriau, terpinga-pinga dan entah apa lagi perasaan aku.


Huh, ya Allah, di manakah aku. Bagaimana aku meneruskan perjalanan ke Madinah? Aku tidak sabar lagi untuk mendekati rasulMu dan menjauhkan diri daripada kawasan larangan ini!


Sambil debaran ini semakin kencang, pusing ke kiri dan kanan, mulut terkedu, akhirnya aku ternampak kelibat seorang pak Syeikh yang duduk di atas satu kerusi, bermeja dan tertulis berdekatan meja itu, kalimah ‘al-jami’ah al-Islamiah’. Apa lagi, aku terus meluru dan menunjukkan semua dokumen yang ada bersama aku.


Fuhhh lega. Memang betul. Aku ditunjukkan untuk mengambil tiket domestik percuma dari Jeddah ke Madinah. Ketika itu jam sekitar 12 tgh malam. Perjalanan aku bermula kira-kira 2 pagi nanti. Ada masa untuk aku bersiar-siar di sekitar lapangan terbang ini. Tapi aku memilih untuk duduk diam-diam, jangan pandai nak buat hal pula.


Dalam hati, ya Allah, hanya Allah sahaja yang tahu. Aku seperti menjerit, wahai orang kampung semua, wahai rakyat Malaysia sekalian, aku akan menjadi 'tetamu' Rasulullah saw. Ya Allah aku sangat bersyukur kepadaMu. Doa aku, tangisan aku, rayuan aku sepanjang tempoh penantian itu telah Kau kabulkan, Nabi Muahmmad seperti 'melambai-lambai aku'...

29.3.08

Meeting Kerap, Lama, Tiada Resolusi, Tiada Kerja.

No comments:

" Meeting, meeting, meeting, tak habis dengan meeting, mengalahkan menteri lagi, tapi kerja tak ada." Rungutan seorang sahabat yang saya sangat hormati, sambil beliau memetik -metik jarinya, tanpa bunyi.

" Abang, kalau dah banyak tugas dan amanah, tentulah banyak meetingnya," saya cuba menenangkan, walaupun saya tahu abang yang seorang ini bukan mudah ditenteramkan. Dia menambah cerita lagi, " isteri saya bertanya banyak ke elaun yang diperolehi, saya jawab tak ada langsung."


Seingat saya ini adalah kali ketiga atau keempat sahabat saya ini mengadu hal tentang banyaknya meeting yang diadakan di dalam PAS. Saya yakin situasi yang sama juga berlaku kepada sahabat2 yang lain.


Saya menulis di sini bagi mengajak kita semua berfikir dan mula mengambil peranan, bagi menyelesaikan masalah sebegini, khususnya dalam era kemenangan ini.


Bagi kes sahabat saya tadi, memang saya sering mengiyakan kata-katanya. Saya setuju, orang PAS boleh berjihad dengan meeting, tetapi kurang mampu mencipta kerja dan memulakannya, kecuali sedikit sahaja.


Dalam situasi lain pula, meeting diadakan sehingga 12 tgh malam, tetapi tidak banyak resolusi kerja yang diputuskan. Banyaknya sekadar memenuhi agenda rutin seperti "bahas" semula minit mesyuarat yang lalu, perkara berbangkit dan hal-hal lain. Biasanya ketiga agenda inilah yang menyebabkan meeting PAS di peringkat bawahan selalu berakhir lewat, sehingga agenda utama laporan lajnah2 seringkali terbatal atau terpaksa ditiadakan.
Jika selalu tiada, maka ahli mesyuarat akan sentiasa tidak mahu menyediakan laporan dan kerja.


Saya melihat terdapat dua isu yang perlu diselesaikan segera oleh kita, ahli PAS di peringkat bawahan, khususnya cawangan dan kawasan.

  1. Meeting yang kerap, tetapi tiada resolusi, tiada kerja
  2. Meeting terlalu lama


MEETING KERAP TANPA RESOLUSI


Apabila meeting diadakan terlalu kerap, ia membawa makna banyak kerja yang perlu dibuat. Bagi individu yang memegang lebih daripada satu jawatan, tentulah kekerapan meetingnya tak sama dengan individu yang hanya ada satu jawatan. Kekerapan meeting sukar dielakkan, kerana ianya perlu begitu dan biasanya akan berlangsung sebagaimana sepatutnya.


Dalam sebuah organisasi tersusun, meeting adalah nadi penting untuk merangka kerja dan tindakan. Islam sangat menekankan amalan syura, yang menemukan ahli fikir dan kerja Islam untuk bertukar pandangan dan merangka keputusan dan tindakan. Satu pandangan yang dilahirkan drp sepuluh kepala adalah lebih baik daripada tiga pandangan yang tercetus drp satu kepala sahaja.


Jadi dalam hal ini, meeting tidak bersalah dan tidak boleh dibenci jika kerap. Yang bersalah adalah ahli mesyuarat yang gagal menghasilkan resolusi. Juga yang bersalah ialah, apabila ahli mesyuarat berpada dengan pahala jihad menghadiri mesyuarat sahaja, tetapi enggan memerah ide dan menyimpul resolusi


" Terima kasih atas kesanggupan dan pengorbanan sahabat2 meluangkan masa untuk menghadiri mesyuarat ini. Allah akan membalasnya insya Allah," ayat biasa yang diucapkan pengerusi mesyuarat.


Malang sekali, jika ahli mesyuarat hanya berpuas hati dengan ucapan tahniah ini, lantaran itu, merasakan itulah peranan utama mereka, hadir mesyuarat dan full stop!


Bagi menyelesaikan masalah ini, pengerusi perlu memainkan peranan paling utama. Perlu pastikan setiap meeting yang dicadangkan adalah berbaloi dengan masa yang dikorbankan.
Pastikan ada natijahnya. Sebelum diakhirkan meeting, telah nampak apa yang akan dilakukan oleh ahli mesyuarat tertentu, mengikut tugasan dan projek.


Lebih cantik jika sudah ada pelan tindakan sebelum tasbih kaffarah dialunkan. Ini bermakna, sudah diedar kepada anggota mesyuarat kertas atau borang pelan tindakan pada setiap kali meeting dimulakan.


Penyelesaian kedua ialah mewujudkan budaya memantau selepas meeting berakhir. Biasanya kita jarang benar melakukan pemantauan setiap kali selepas meeting, sehingga ahli mesyuarat yang tidak bekerja atau bertindak selepas mesyuarat, tidak ditegur atau diperingatkan.


Maka kita yang menjadi pengerusi mesyuarat tadi perlu memantau dan memastikan semua yang dirancang berjalan. Jangan tunggu meeting berikutnya, baharu nak memantau dan bertanya. Jika begitu, sebulan masa berlalu sia-sia, dan betullah sahabat tadi mengomel, meeting tanpa kerja.



MEETING TERLALU LAMA DAN MELERET


Perkara pertama yang menjadi punca masalah ini berlaku ialah agenda yang terlalu banyak. Kadang-kadang isu yang boleh dijadikan agenda atau ceraian kecil telah kita jadikan agenda utama. Agenda janganlah sampai sepuluh, itu bukan meeting lagi namanya. Ia menyebabkan setiap agenda yang tertulis memakan masa yang lama yang akhirnya menyebabkan meeting itu sukar ditamatkan awal, atau dengan limit masa yang bersesuaian.


Jika ada banyak sekalipun perkara yang ingin dibincangkan, kebijaksanaan pengerusi dan S/U dituntut untuk memilih agenda paling utama, dan yang lainnya diselitkan atau dimasukkan ke dalam agenda utama tadi.


Seterusnya kelemahan yang sering ditunjukkan oleh pengerusi, baik saya sendiri atau sahabat-sahabat saya yang lain, ialah gagal mengawal mesyuarat mengikut agenda yang berpunca daripada gagalnya menghentikan leretan-leretan ahli mesyuarat yang selalu terbabas daripada agenda utama.


Pengerusi perlu selalu tegaskan, mesyuarat adalah tempat untuk mengeluarkan resolusi dan mulakan tindakan, bukan mendengar cerita dan aduan ahli, seperti apa yang dilakukan oleh SUHAKAM dalam isu Batu Burok comthnya. Boleh dengar cerita dan aduan jika sangat perlu, tetapi biarlah berpada.


Seorang pengerusi bertanya, "macam mana kita nak selesaikan masalah ketiadaan pekerja untuk program ini?" Respon sepatutnya ialah " saya cadangkan kita hubungi adik2 di universiti.
Selain itu kita minta Nisa' hubungi muslimat2 yang berada di sekian sekian sekian." Jika terus begini, alhamdulillah.


Respon yang gagal ialah, " Itulah ustaz, kita memang kurang pekerja.
Semasa program yang lalu, saya tengok memang tak ada orang langsung. Kesian saya tengok si anu buat kerja. Kita perlu tingkatkan tarbiah." Entah apa-apa lagi yang dileretkannya.


Bagi contoh di atas, mesyuarat perlu putuskan macam mana nak cari pekerja, bukannya dengar cerita, rintihan dan rungutan. Oleh itu ahli mesyuarat perlu tahu, apakah yang mesyuarat mahu melalui agenda yang ditentukan.


Pengalaman saya bermesyuarat sejak sekolah menengah sampai sekarang, meeting lewat berakhir bukan kerana banyak isu atau besarnya masalah, tetapi banyak konar lipat, konar lelong, konar baring dan konar maut yang dibuat oleh ahli mesyuarat.


Pengerusi yang tegas akan putuskan leretan itu, tetapi jika pengerusi yang suka meraikan ahli seperti apa yang kadang-kadang saya lakukan, akan mendengar cerita-cerita yang diluahkan. Kesannya, ahli mesyuarat lain akan bosan menghadiri meeting selepas itu. Itulah dilema orang seperti saya dalam hal ini.


Oleh itu, marilah kita kuatkan tekad diri untuk menjadi lebih tegas dalam setiap meeting yang kita pengerusikan, selain sediakan perancangan dan pelan tindakan yang baik dan sempurna. Pengerusi adalah penentu utama sama ada sesebuah mesyuarat itu disukai dan diminati atau dilabelkan sebagai menjemukan.


28.3.08

Himpunan Rakyat Dan Munajat Perdana

No comments:

HIMPUNAN RAKYAT DAN MUNAJAT PERDANA
Sempena Kemenangan PAS Di Selangor
------------ --------- --------- --------- --------- --------- --------- -----#

Assalamu'alaikum & Salam Sejahtera,

Seluruh RAKYAT dijemput untuk menghadiri Himpunan Rakyat Dan Munajat Perdana mensyukuri kemenangan PAS & Barisan Alternatif di Selangor.
Program julung kali ini disusun untuk memberi peluang rakyat Selangor khususnya untuk mengamati amanat serta harapan dari pemimpin negara demi mengisi dan mengekalkan kemenangan PAS dan Barisan Alternatif di Selangor, khasnya;


Majlis akan diadakan seperti berikut;

Tarikh : Isnin, 31-Mac-2008
Masa : 8.00malam
Tempat : Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor (bersebelahan Stadium Utama Shah Alam)
(tempat letak kereta perkarangan Stadium Utama atau tapak Pasar Hari hadapan Stadium Melawati)


Antara pemimpin negara yang akan bersama adalah;

- YB Dato Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS, Ahli Parlimen Marang

- YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa,
Timbalan Presiden PAS, Ahli Parlimen Bachok

- YB Dato Dr Hasan Ali,
Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Exco Kerajaan Negeri Selangor

- Seluruh barisan Exco & Wakil Rakyat PAS Negeri Selangor yang memenangi PRU-12 baru- baru ini.


Tetamu khas pada majlis ini adalah;

- YAB Tan Sri Khalid Ibrahim,
Menteri Besar Selangor Darul Ehsan.


Perhatian;

# Hadirin yang hadir diminta datang dalam keadaan berwudhuk serta membawa sejadah (lapik untuk solah). Solah Isyak akan disusuli dengan munajat perdana.
# Gerai jualan makanan & minuman disediakan di tapak gerai Stadium Melawati, untuk tempahan gerai sila berhubung terus dengan Saudara Kamarul 013-3600080.

Sebarang pertanyaan, sila hubungi :

assayuti@gmail. com / 019-2140240


24.3.08

Menilai Semula Atau Mengukuhkan Pakatan?

5 comments:

SENARIO SELEPAS PRU-12

Tulisan ini sebagai respon kepada pandangan sahabat baik saya yang menyuarakan rasa kurang selesa terhadap senario politik yang berlaku kini di Selangor dan Perak, apabila secara pandangan kasarnya, PAS seperti terasing dan Melayu tergugat dalam arus politik kepemimpinan dua negeri ini.


Saya percaya, ramai yang berada pada kedudukan ini, khususnya bagi orang awam yang tidak melihat senario ini dengan pandangan kaca mata pemimpin tertinggi parti Barisan Rakyat, terutama PAS dan PKR.


Biasanya pemimpin mampu melihat dengan lebih dekat dan tepat terhadap senario politik yang berlaku, kerana merekalah yang merancang, membuat unjuran dan menerima pelbagai lapisan maklumat. Bagi rakyat, pandangan yang dilontarkan biasanya berdasarkan kepada apa yang dilihat dan didengar, selain apa yang 'dirasa'.


Saya tidak melekehkan atau menolak terus rasa yang dikemukakan oleh sahabat saya ini. Ada juga wajarnya kebimbangan sebegini. Kita sebagai orang biasa, sudah tentu tidak sama seperti pemimpin yang mengetahui segala bentuk maklumat dan strategi. Malah saya memberi kredit kepada mereka yang bimbang ini, kerana terbukti itu lahir daripada rasa cintakan perjuangan dan sayangkan prinsip parti dan 'survival' umat.



KELEBIHAN DAN PELUANG


Cuma saya mempunyai beberapa pandangan yang berbeza. Mari kita bincangkan bersama. Pertama, saya ingin membawa para pembaca melihat jauh kepada kesan positif dengan kemenangan ini. Daripada tidak memiliki kuasa, kini sudah ada kuasa untuk membuat polisi dan keputusan besar sebagai sebuah kerajaan negeri. Daripada dizalimi dan didiskriminasi, kini BR telah mampu menunjukkan corak sebenar kepemimpinan yang bermaruah dan telus - suatu tuntutan agama yang besar.



Oleh itu, perlukah lagi kita terus bimbang dengan komposisi barisan ahli mesyuarat negeri, sedangkan kita sudah ada kuasa untuk menentukan perjalanan aktiviti agama contohnya, di Selangor dan Perak? Dahulu, Melayu ramai menjadi exco, tetapi berapa ramai yang beramanah untuk menghidupkan agama? Kini, komposisinya jauh berbeza, tetapi sudah ada peluang yang cukup besar untuk menghidupkan Selangor dan Perak dengan pelbagai pengisian jiwa dan rohani.


Saya fikir, ruang ini sahaja sudah cukup besar untuk dipenuhi oleh aktivis PAS seluruh negeri. Tidak semestinya kita perlu dilantik ke jawatan tertentu baharu program agama digerakkan. Tanpa apa-apa jawatan yang kita pegang sekalipun, tidak akan ada pihak yang mampu menghalang kita menggunakan masjid, dewan, padang, pasaraya, sekolah milik negeri dan segala kemudahan kerajaan untuk menyampaikan mesej Islam.


Tidak cukupkah peluang ini direbut untuk Islam berkembang?
Sama-samalah kita merenung dalam-dalam. Apalah indahnya Melayu Umno mentadbir, jika Islam seakan-akan terhumban selama ini. Dengan pakatan yang wujud inilah, maka rakyat pelbagai kaum dan agama berhak mendapatkan milik masing-masing dalam sebuah negara majmuk dan berbilang agama ini, termasuk Islam.


KOMBINASI TIDAK SEIMBANG


Kedua, jika kita melihat kepada kombinasi exco yang wujud di Perak, bukanlah berpunca daripada pengkhianatan, tamak atau sombong rakan pakatan kita. Bukan begitu. Bukan bermakna PAS tersisih dan mereka membuang kita. Itu semua berlaku hanya kerana PAS sendiri gagal meraih sokongan majoriti Melayu di Perak. DAP berjaya mendapatkan sokongan Cina-India dan PKR pula, beruntung kerana kebanyakan kawasan yang ditandingi melibatkan populasi bukan Melayu yang melebihi kaum Bumiputera.


Salah siapakah jika kita hanya memiliki satu kerusi exco dan satu kerusi MB, jika ingin mencari pesalah? Tiada siapa yang bersalah, Cuma kita gagal meyakinkan Melayu Muslim Perak supaya mengundi PAS. Itu sahaja, pada perkiraan saya. Jadi tidak manis jika keadaan ini menyebabkan kita mencemburui komposisi yang ditetapkan, lantas cuba menilai-nilai semula pakatan yang telah diputuskan.



Gambar Hiasan. Malaysia bermasyarakat majmuk.


PAKATAN MEMBAWA KEMENANGAN


Ketiga, jika kita melihat jauh ke utara pula, mungkin kita terlupa bahawa kemenangan besar PAS dan PKR di Kedah juga adalah kesan daripada pakatan yang diwujudkan dalam BA, serta kerjasama longgar dengan DAP untuk tidak mahu berlaku pertembungan dalam pertandingan. Fakta menunjukkan majoriti bukan Melayu menyokong BR, maka sudah tentu ada sokongan mereka kepada kemenangan besar PAS di Kedah.


Cuba pula lihat kekuatan PAS jika bersendirian. Mampukah PAS melawan keegoan Melayu Umno bersendirian jika PAS tiada dalam pakatan? Sudah tentu tidak.
Bertambah buruk lagi, jikalau PAS bertembung dengan mana-mana parti pembangkang ketika ingin menentang BN.


Oleh itu, apabila kita sama tinggi dan sama rendah dalam pakatan BA dan kemudiannya kerjasama longgar dengan PKR-DAP, maka sudah tentu semua anggota pakatan terpaksa memberi dan menerima untuk mewujudkan situasi menang-menang.



MENILAI ATAU MENGUKUHKAN?


Sahabat saya tadi mahu kita menilai semula dan memperbaiki pakatan demi menjamin kebaikan lebih besar yang diperolehi oleh PAS, dan tidak bermaksud mahu keluar terus daripada pakatan. Apa yang berlaku sekarang seolah-olah kita hanya menang sorak tetapi hakikatnya ada pihak yang lebih gembira dan berjaya.


Saya tidak menolak bahawa ada masa dan ketikanya penilaian semula terhadap pakatan adalah perlu, dan mana-mana 'klausa' yang merugikan agama dan ummah perlu dipinda. Tetapi benarkah situasi sekarang ini kerana kelemahan pada pakatan BA yang seperti merugikan PAS atau kelemahan pada strategi PAS untuk menang.


Ambil contoh Selangor. Jika PAS menang di semua tempat yang ditandingi, saya fikir tiada sebarang isu ditimbulkan. Pakatan ini dilihat sangat cantik.


Setelah lama kita mentadbir Kelantan, kini menguasai penuh Kedah, rasanya tidak menjadi kekilanan untuk kita di posisi paling bawah di Selangor. Pakatan yang samalah meletakkan kita dengan posisi itu dan meletakkan kita terbesar di Kedah serta tertinggi di Perak.


Saya suka untuk kita bersama-sama mengukuhkan pakatan yang semakin terjalin ini daripada menilainya semula. Jangan pula kita terperangkap dengan kebimbangan perkauman yang diwujudkan oleh Umno atau ketakutan tidak wajar terhadap masa depan agama Islam dan umatnya, kerana banyak lagi benteng-benteng yang wujud di negara ini untuk kedua-duanya dipertahankan.




BN TERBUKTI GAGAL


Sudah cukup lama BN mempermainkan lagu keistimewaan Melayu tetapi Melayu belum pernah bangkit hebat seperti yang diuar-uarkan, malah mereka mendiskriminasi Melayu pembangkang. Sudah banyak kali BN memainkan alunan seakan-akan menghina agama, tetapi belum pernah agama ini menjadi lemah dan musnah.


Insya Allah dengan rasa hormat rakan kita terhadap parti kita, dan mengamalkan sifat adil yang sama-sama kita janjikan, ditambah pula kebijaksanaan pemimpin PAS bekerjasama, saya percaya Islam dan rakyat Malaysia keseluruhannya akan lebih selesa dengan situasi ini berbanding 50 tahun kelamnya negara ini di bawah dacing BN serta retorik-retorik indah mereka.


Berilah peluang untuk rakan kita membuktikan keadilan mereka dan berilah ruang untuk diri kita mencipta kejutan terbaik buat umat. Wallahu a'lam.


23.3.08

Simpang Bota Kiri

3 comments:

Terus ke hadapan menuju ke Layang-Layang Kiri. Ke kanan mengarah ke Bota Kanan, terus ke Ipoh. Ke kiri mencari Titi Gantong dan Sitiawan. Jika berpatah balik akan sampai ke Teluk Sena.


Itulah arah yang ada bagi pemandu yang berada pada kedudukan gambar di atas diambil. Jika hanya itu pilihan yang mesti dipilih oleh penduduk Bota Kiri, tidaklah memeningkan kepala.
Tiada masalah untuk ke mana sahaja, mengikut tujuan dan kehendak diri.


Mahu Pekan Rabu, bermakna ke kanan.
Mahu klinik terus sahaja ke hadapan. Kalau mencari sate murah dan sedap, belok ke kiri. Jika ingin ke masjid terdekat, patah ke belakang. Memang mudah. Pilih mana yang sesuai mengikut cadangan hati.


Namun tidaklah semudah itu untuk warga Bota kini, juga warga negeri Perak yang lain, yang masih lagi belum membuat keputusan pasti dalam mengambil sikap terhadap iklim politik terbaru. Masih mahu terus sahaja ke hadapan dengan apa yang biasa dibuat. Atau cuba untuk belok ke kanan mencari yang terbaik daripada pentadbiran kerajaan baru. Atau menolak terus sebarang pengharapan, lantas bersikap kiri. Pilihan terakhir, diam di persimpangan untuk melihat pergerakan orang lain. Payah sangat, patah ke belakang dan duduk diam di rumah!


Saya yakin, ketidak-tentuan sikap dan percaturan ini berlaku di kalangan ahli BN, pengundi atas pagar dan warga yang tidak berpolitik.


Nasihat saya, berilah peluang kepada pemerintah baru membuktikan sesuatu. Belajarlah memberi ruang untuk kebaikan dilakukan oleh pihak lain. Jika tidak mahu menyokong, janganlah menentang membuta-tuli.


Tidak salah langsung, jika tidak mengkhianati kemenangan pihak lain. Jangan bangkitkan isu luar kotak di dalam kotak politik Perak. Sama-samalah kita mendoakan Perak yang terbaik, insya Allah.

22.3.08

Nazrin: Iktibar Kejatuhan Pemimpin ( Malaysiakini )

No comments:

Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah meminta pemimpin negara ini supaya mengambil pengajaran dan iktibar daripada punca kejatuhan empayar, kerajaan malahan raja dan pemimpin, antaranya kerana kehilangan pedoman apabila berada dalam kegembiraan dan keasyikan memiliki kuasa.

Baginda bertitah, melalui sejarah, umum mengetahui ramai telah diberi peluang untuk menjadi pemimpin, namun hanya segelintir sahaja individu yang muncul sebagai pemimpin yang berjaya mencipta sejarah dan membina tamadun bangsa.

"Keadaan ini berlaku kerana ramai yang ketika diberi peluang untuk memimpin kehilangan pedoman apabila berada dalam kegembiraan dan keasyikan memiliki kuasa.

"Ada antaranya yang terleka, ada yang tersalah haluan, ada yang tersalah diberi nasihat, ada yang tersalah langkah dan ada yang tersalah perkiraan.

"Demikian terdapat himpunan sejarah berkaitan kepimpinan dan pemimpin yang sewajibnya dijadikan asas rujukan untuk ummah hari ini mempelajari dari kesalahan dan menjauhi dari mengulangi kesilapan yang sama," titah baginda di majlis sambutan Maulidur Rasul dan penyampaian hadiah hafazan peringkat negeri Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Darul Ridzuan di Ipoh hari ini.

Menurut Bernama, Raja Dr Nazrin bertitah seorang pemimpin bertanggungjawab dalam menentukan arah haluan pengikutnya dan bertanggungjawab kepada mereka yang berada di bawah pimpinannya.

"Memimpin adalah satu tanggungjawab yang perlu disempurnakan secara amanah," titahnya.

Baginda bertitah sebagai pemimpin yang beragama Islam, pemimpin itu perlu menjadikan al-Quran dan Hadis sebagai sumber rujukan utama dalam mendapatkan panduan dan bimbingan untuk memerintah.


BUKAN SEKADAR RITUAL

"Sebagai pemimpin, Nabi Muhammad S.A W memiliki kelebihan, memiliki keistimewaan, mendapat panduan dan bimbingan secara langsung dari Ilahi.

"Panduan dan bimbingan Ilahi itu terkandung di dalam kitab suci al-Quran. Perilaku dan sabda Baginda pula terkandung dalam himpunan Hadis yang telah berjaya dikumpulkan," titahnya.

Raja Dr Nazrin bertitah Islam menetapkan sebagai pemimpin seseorang itu perlulah memiliki sifat-sifat amanah, merendah diri, jujur, ikhlas, berdisiplin, berkorban dan komited, selain gerun kepada Allah serta menyedari sentiasa dinilai oleh para pengikutnya.

"Kepimpinan yang mengutamakan ummah yang diamalkan oleh Nabi Muhammad S.A.W telah menarik sokongan ummah kepada Baginda, begitu juga terhadap ajaran yang dirisalahkan oleh Baginda.

"Hasilnya ajaran Islam berkembang pesat dalam tempoh yang begitu singkat menembusi sempadan budaya, menembusi sempadan geografi dan menembusi sempadan politik.

"Islam diterima secara universal dan tidak hanya terbatas menjadi agama kepada bangsa Arab, di bumi Arab sahaja.

"Kepimpinan Baginda juga diterima di alam sejagat dan terus diiktiraf setelah Baginda wafat sekian lamanya," titahnya.

Raja Dr Nazrin turut memperingatkan agar acara-acara sambutan Maulidul Rasul yang dijalankan saban tahun tidak sekadar bercorak 'ritual' atau secara rutin sahaja, tetapi sebaliknya perlu memberikan impak kepada masyarakat.

"Setiap acara sambutan yang dianjurkan, melibatkan masa, melibatkan usaha, melibatkan tenaga dan melibatkan perbelanjaan.

"Oleh itu acara sambutan yang dianjurkan hendaklah memperlihatkan hasil serta bersifat produktif hendaknya," titahnya.

Sempena sambutan Maulidur Rasul, baginda turut menyeru umat Islam supaya sentiasa bermuhasabah untuk menjadi umat yang terbaik.

"Mulakanlah bermuhasabah ke atas diri sendiri dan keluarga kerana disitulah bermulanya asas-asas kecemerlangan.

"Hayatilah kehidupan Rasulullah SAW sebagai panduan untuk mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat," titahnya.

Cerita Rindu

No comments:

12 Rabi’ al-Awwal adalah tarikh bersejarah bagi seluruh umat Islam. Tarikh kelahiran Baginda Rasulullah SAW dan juga tarikh perginya Baginda menemui Tuhannya Rabbul ‘izzati.

Pada tarikh itu, seluruh umat menangisi tiadanya Rasulullah SAW. Menangisi tiada orang nombor satu bagi ummah di muka bumi ini untuk kita dampingi secara fizikal.

Bagi saya pula, bukan setakat itu sahaja. Malah ada yang lebih saya tangisi.
Ada yang lebih saya sesalkan. Ada yang lebih saya rindukan. Ianya adalah saat-saat manis “bersama” Rasulullah SAW di bumi Tobah Taiyyibah al-Nabawiyyah.


PERJALANAN MENDEBARKAN

Perjalanan itu sangat menerujakan saya. Penuh dengan debaran di hati. 8 jam perjalanan tidak saya deritai. Jika ada kesusahan sepanjang berpergian itu, saya tidak ambil kisah sangat.

Setelah semua anggota keluarga disalami, disapai, dipeluki, dimesrai, saya akhiri dengan mak dan abah saya. Tangisan mak sudah dijangka. Abah tetap tabah. Memberi nasihat supaya belajar betul2 dan jaga diri baik2. Mak juga mendoakan yang sama, tapi dalam esakan.

Saya melambai mereka semua, senyum dan berpusing longlai, kemudian gagah melangkah ke dalam.
Masuk ke pesawat Saudi Airline dan terus mengambil tempat duduk. Kebetulan bersama-sama saya ialah satu rombongan jemaah umrah ke Tanah Suci, maka saya tidak keseorangan dengan ketidak-tentuan tanpa pengalaman menaiki pesawat. Allahu akbar, menakutkan ketika pesawat mula menjarakkan rodanya dari landasan.

Sepanjang perjalanan itulah saya teruja. Saya debar dan bermacam lagi perasaan. Perjalanan seorang yang tidak pernah menaiki pesawat, berseorangan menuju ke Universiti Islam Madinah dan tidak tahu apa-apa tentang pesawat, penerbangan, lapangan terbang dan tentunyna Arab Saudi.

Kini, semua itu saya rindui. Rindu kepada keazaman besar saya ketika itu. Rindu keterujaan saya mendekati bumi Rasulullah. Rindu sebuah perjalanan mendekati perjuangan Rasulullah. Malah mendekati jasad baginda SAW.

Ya, wahai Rasulullah, aku merindui saat itu, saat aku mula mendekatimu dengan makna yang sebenarnya…( bersambung )



20.3.08

Perak: Peranan Parti Dan MB Perlu Dekati Semua Kakitangan Kerajaan Negeri Dan Persekutuan.

3 comments:

Belumpun saya menulis artikel di bawah, rupanya YAB MB Perak telah lebih dahulu melakukan lawatan menemui rakyat berketurunan Cina di Perak. Satu langkah yang sangat pro aktif dan dipuji. Syabas!




TERKILAN


Saya sebenarnya sangat terkilan apabila pada malam penuh bersejarah, 8 Mac lalu, saya tidak dapat menyambut kemenangan Barisan Rakyat di Perak secara bersungguh-sungguh. Orang Perak lain, mungkin bertempik dan bertakbir sekuat hati di markas-markas PAS, rumah, kedai kopi atau di kawasan lapang yang biasanya diadakan ceramah pembangkang, tetapi saya sekadar beralhamdulillah di dalam sebuah bas menuju ke Kuala Terengganu yang dikelilingi dengan penumpang lain.


Hasrat untuk terus balik ke KT pada malam itu juga adalah kerana yakin BA akan berjaya merampas semula Terengganu. Ya, jika dilihat kepada sambutan penduduk Terengganu terhadap penampilan PAS-PKR di Terengganu kali ini, harapan itu sangat cerah. Ramai penduduk yang makan hati terhadap keimpinan Idris Jusoh-Pak Lah di negeri yang indah ini. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.


'Ghopenye' saya dalam perjalanan dari sebuah negeri Barisan Rakyat ( BR ) kepada Barisan Nasional, pada malam itu. Melalui pula sebuah lagi negeri BR, Selangor sebelum masuk ke negeri BN yang berjiran dengan Terengganu. Sungguh tak disangka BN Perak jatuh terduduk. Alhamdulillah.


Sehingga kini saya belum lagi walaupun sekali bertempik dengan laungan Allahu akbar sekuat hati untuk kemenangan di Perak.
Insya Allah, jika pulang ke kampung nanti, akan saya tunaikan rasa itu. Orang Perak janganlah terkejut kalau saya melakukannya!



BIJAK MENCATUR PERANAN


Berbalik kepada melihat percaturan politik, pembangunan dan kebajikan MB Perak yang baru.
Langkah di atas yang telah dilakukan oleh YAB Ir. Nizar cukup cantik. Terus menemui sasaran utama, rakyat.

Semua percaya, kerajaan BR di Perak tiada langsung masa rehat walaupun 15 minit seperti dalam perlawanan getir Liverpool melawan MU. Walaupun perlawanan ini panas dengan kelibat Tores, Stevie G, Ronaldo dan Taves, namun para pemain sempat berehat dan 'melagut' di bilik persalinan selama 15 minit jika mahu.


Tidak di Perak sekarang ini.
Masa rehat yang ada hanyalah masa rehat seorang manusia yang memerlukan ibadah dalam kerehatan dan rehat melelapkan mata. Bagi masa politik dan pentadbiran, tiada istilah rehat. Sekurang-kurangnya, dalam tempoh beberapa bulan terawal ini.

Fokus perlu terus kepada kebajikan, politik dan pembangunan. Tidak perlu sebut pasal agama, kerana bagi PAS sudah tentu 3 aspek di atas mesti didasari ruh agama yang sempurna. Caranya saja yang mungkin pelbagai corak.


Saya banyak menekankan peranan PAS dan YAB kerana kedua-duanyalah tonggak kestabilan negeri Perak kini. Biarpun DAP lebih majoritinya, mahu tidak mahu DAP mesti menerima hakikat negeri ini diketuai oleh orang PAS dan persepsi itu lebih baik ditonjolkan untuk kestabilan masa kini dan kekuatan akan datang.
Saya berharap, DAP Perak harus bijak melayani 'emosi' majoriti rakyat Perak yang tertekan kini. Jangan gelojoh menolak dan rimas terhadap PAS dan penonjolan Islam PAS, kerana jika tersilap percaturan Perak kembali ke tangan BN.




PERANAN IKUT PARTI


Kerajaan yang memerintah adalah kerajaan gabungan parti pembangkang di Parlimen atau lebih dikenali Barisan Rakyat. Ia bukan kerajaan PAS atau DAP mahupun PKR. Namun daripada sudut pemfokusan atau pengagihan peranan, tidak salah untuk sesetengah kes ia dirujuk kepada peranan parti, selain jawatan dan kuasa rasmi di bawah pentadbiran negeri.


Oleh itu, DAP perlu memainkan peranan penting untuk terus mendekati dan mengikat penduduk bukan Melayu Perak. Mungkin kita boleh mulakan di Ibu Negeri Perak sendiri.


Sediakanlah program-program menarik di bawah kerajaan negeri dan ambillah peruntukan yang wajar untuk membangunkan terus ekonomi dan kemajuan Bandaraya Ipoh yang seperti segan untuk memajukan diri.


Jika dahulu, mungkin ada pertembungan ketara antara idealisma dan keinginan kuasa negeri dan penduduk Bandaraya Ipoh yang berketurunan Cina dan India.
Sekarang tidak lagi. Ia sudah menjadi sekata. Peranan DAP adalah melihat semasak-masaknya permasalahan penduduk Cina-India di sekitar bandar Ipoh. Di mana-mana bahagian Ipoh, sangat mudah untuk melihat kehidupan mereka yang tersepit. Ipoh bukanlah bandaraya yang banyak dipenuhi taman perumahan mewah yang diisi hanya banglo mewah dan kondo 20 tingkat. Saya percaya ramai yang masih di bawah tahap sangat miskin.


Lihat semula sosio-ekonomi di kampung-kampung baru yang terdapat di sekitar Ipoh.
Lihat bagaimana kesusahan mereka yang sekian lama terabai dapat dibantu. Juga kemudahan untuk mereka mudah berniaga dan mencari 'survival' hidup.



MASALAH MELAYU IPOH


Bagi PAS dan PKR pula, boleh memfokuskan peranan mereka terhadap warga Melayu yang sangat terhimpit kehidupan mereka dipinggir Bandaraya Ipoh. Banyak masalah yang wujud dikawasan ini.


Ipoh sekitar awal 90-an masih lagi dipenuhi dengan kawasan setinggan Melayu. Paling terkenal ialah setinggan di sekitar gugusan kampung Manjoi. Kini ramai yang sudah menerima geran tanah masing-masing. Bagi yang tidak bernasib baik, mereka telah berpindah ke taman-taman perumahan lain dipinggir bandar. Mereka yang seperti inilah yang harus didekati dahulu oleh pentadbiran negeri jika ingin melihat permasalahan penduduk Melayu Ipoh.


Kenal pasti segera masalah yang dialami oleh mereka. Apakah cukai yang mereka terpaksa bayar sebagai warga Majlis Bandaraya Ipoh ( MBI ) sama padan dengan kemudahan yang mereka terima.


Seterusnya, bagaimana pula untuk menambahkan peluang pekerjaan untuk mereka, khususnya warga muda yang mudah terdedah kepada masalah sosial seperti penagihan dadah. Dulu, kini dan mungkin esok, sebut sahaja setinggan atau kampung tersusun, masalah dadah adalah masalah nombor satu di kalangan remaja.


Inilah antara cabaran terbesar pentadbiran baru ini di Ipoh. Mampukah kita? Ibarat kata Nabil Raja Lawak, 'lu fikir lah sendiri...' maka itulah jawapannya, 'kita' fikirlah jalan penyelesaiannya.



DEKATI KAKITANGAN KERAJAAN


Seterusnya, fokus utama lain yang saya cadangkan untuk kepentingan warga sekitar Bandaraya Ipoh ini ialah sikap pemerintah negeri mesti dibentuk ke arah 'down to earth' terhadap pegawai kerajaan di kalangan mereka. Dekatilah semua kakitangan kerajaan. Jangan hanya terhadap mereka yang bekerja di bawah pentadbiran negeri, tetapi dekatilah juga kakitangan di bawah Jabatan Persekutuan.


Saya pernah berbicara hal ini dengan bekas Penyelia Sekolah Menengah, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu. Beliau menegaskan antara kesilapan atau salah pertimbangan yang dilakukan oleh barisan exco kerajaan negeri Terengganu penggal 1999-2004 ialah enggan untuk mendekati kakitangan kerajaan Persekutuan. Saya tidak pasti ia berlaku terhadap semua jabatan atau tidak, tetapi di jabatannya berlaku.


Beliau sedar ada halangan diwujudkan, sama ada menggunakan prosedur lawatan atau protokol. Tetapi bagi beliau ia bukanlah halangan sebenar bagi seorang ahli politik. Jika Exco atau MB sekalipun sukar untuk melakukan lawatan secara rasmi kerana ianya 'premis' milik Kuala Lumpur, lakukan lawatan tidak rasmi.


Beliau sendiri menceritakan rungutan pegawapegawai kerajaan persekutuan di jabatannya yang merasakan mereka seperti tidak diambil berat oleh pentadbiran negeri. Peranan mereka seperti tidak dihargai dan kewujudan mereka tidak diendah.


Katanya lagi' " jika exco pendidikan mahu juga turun melawat Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri dan pegawainya, apakah akan berlaku sekatan fizikal? Tidak ada sesiapa yang hendak menghalang. Paling tidak, Pengarah itu melarikan diri ke tempat lain jika tidak mahu meraikan MB".


Ya, saya sokong pandangan beliau. MB Perak perlu dekati semua kakitangan kerajaan negeri dan persekutuan kerana mereka adalah warga Perak, penduduk Perak, para pengundi dan majoriti mereka adalah warga muslimin negeri Perak. Di sinilah YAB MB perlu memainkan percaturan politiknya demi kebajikan kakitangan kerajaan di Perak. Hubungan rasmi atau separa-rasmi yang berlaku nanti, mampu menstabilkan Perak ke arah Kebajikan, Politik dan Pembangunan lebih seimbang dan cemerlang.


"Perak nombor satu"

18.3.08

Cabaran Baru Kerajaan Negeri Perak. Sokongan Padu Pihak Istana Perlu Diraih.

2 comments:
Bismillah. 17 Mac, bermulalah satu cabaran baru bagi PAS Perak apabila YAB Tuan Haji Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, S/U Badan Perhubungan PAS Perak telah mengangkat sumpah sebagai MB Perak yang ke-10.


Ianya satu sejarah paling manis dan juga mencabar bagi PAS Perak sepanjang perjuangannya di negeri ini. Sudah tentu pelbagai strategi dan pelan dirangka oleh Badan Perhubungan bagi membantu YAB untuk melicinkan pentadbiran kerajaan negeri.


Paling mencabar bagi MB baru ini adalah untuk memimpin sebuah kerajaan negeri yang mana majoriti pada jentera utamanya adalah terdiri daripada enjin-enjin parti yang berbeza. Kerajaan negeri Perak dimaklumkan akan terdiri daripada seorang sahaja exco atau ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang merupakan ahli PAS. 3 orang exco daripada PKR dan selebihnya, iaitu 6 orang adalah ahli DAP. Bayangkan perjalanan mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh YAB Ir. Mohammad Nizar!



Namun saya cukup optimis beliau mampu memimpin dengan baik dan penuh yakin, berdasarkan kepada pengalaman kerjanya selama ini. Tinggal lagi, sudah pasti ia tetap satu cabaran besar, tambahan pula tiga parti ini masih lagi berada dalam pakatan yang sangat longgar. Sebelum pilihan raya, PAS hanya berurusan secara rasmi dengan PKR, manakala PKR pula ibarat jambatan tidak rasmi antara PAS dan DAP. Apabila pembangkang menang sahaja di Selangor dan Perak, secara tiba-tiba pimpinan ketiga-tiga parti boleh duduk semeja atas satu maksud, mentadbir negeri secara bersama, dan menjadikan BN sebagai pembangkang di DUN.


Pakatan ini tidak memiliki falsafah yang jelas. Mungkin juga tiada falsafah tertentu selain berpakat menjatuhkan BN dan bersama mentadbir negeri, itu sahaja. Jika ditanya kenapa perlu menjatuhkan BN, disitu sekali lagi ada titik pertemuan, iaitu atas keyakinan BN telah dipaliti dan dibaluti penyelewengan, korupsi, zalim serta berat sebelah terhadap rakyat.


Ya, disinilah mereka perlu bermula dan mengukuhkan diri sebagai sebuah kerajaan yang dihormati dan diyakini. Pentadbiran kerajaan Negeri Perak yang baru ini perlu dilihat telus, adil, berkebajikan, tiada penyelewengan dan tiada kepentingan peribadi anggota kerajaan ataupun exconya. Jika semua ini berjalan dengan baik, saya sangat yakin tiada sebab kerajaan ini boleh lumpuh atau caca marba. Oleh itu, parti masing-masing perlu memainkan peranan bagi mengukuhkan jati diri ahli masing-masing, khususnya yang terlibat dalam DUN juga Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.


Setelah pihak kerajaan selesai menguruskan dirinya, ia berhadapan pula dengan cabaran mendapatkan sokongan padu dan keyakinan rakyat Perak keseluruhannya yang berjumlah 2.2 juta orang pada tahun 2005. Berbanding Kelantan dan Kedah, di Perak terdapat lebih ramai warga bukan Melayu. Malah wakil rakyat daripada pihak kerajaan juga bermajoriti bukan Melayu.


Melihat komposisi peduduk negeri Perak dan komposisi anggota kerajaan negeri, tidak pelik jika warga Melayu Perak resah dan gelisah. Tambahan pula, majoriti Melayu Perak masih lagi setia bersama pembangkang UMNO. Majoriti kerusi ADUN Melayu juga adalah milik pembangkang Perak. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan rakyat apakah negeri baru ini sebenarnya dikuasai oleh orang Melayu atau pun orang bukan Melayu?


Bagi ahli dan penyokong PKR, saya yakin isu penguasaan ini tidak timbul. Bagi ahli dan penyokong PAS pula, majoriti mereka boleh menerimanya dengan baik. Mungkin sebahagian kecil sahaja yang gelisah kerana mereka masih melihat pertembungan Melayu vs Cina pada posisi PAS vs DAP.


Bagi saya untuk DAP meyakinkan pengundi bukan Melayu mereka dan warga Cina dan India keseluruhannya supaya setia bersama parti itu dan menerima MB Melayu Muslim adalah tidak sesukar PAS untuk meyakinkan warga Melayu keseluruhannya supaya terus memberi kepercayaan kepada kerajaan negeri yang baru ini.


Maka langkah awal yang perlu difikirkan oleh YAB MB adalah bagaimana dapat menyatukan keyakinan warga Melayu Perak terlebih dahulu. Jika sehari dua selepas pilihan raya lalu, sudah tersebar sms berbunyi tahniah kerana telah menjual/menyerah negeri kepada Cina, dan sebagainya.



Pada perkiraan saya, pertama yang mesti dilakukan ialah, jalinkan hubungan serapat mungkin dengan pihak Istana. Saya sangat percaya DYMM Sultan Perak dan DYTM Raja Muda Perak adalah dua tokoh penyatu warga Perak pelbagai kaum dan etnik dan sangat memahami keperluan integrasi kaum dan keadilan semua pihak. Lihat sahaja ucapan yang disampaikan oleh Raja Dr. Nazrin Shah sejak setahun dua yang lalu, terutamanya ketika memberi titah ucapan di Universiti Malaya pada tahun lepas. Oleh itu Istana Kinta sangat memahami kedudukan demokrasi dan betapa pentingnya menghormati keputusan pilihan raya yang lalu. Patik taat dan percaya kepada Tuanku berdua!!






Dalam masa yang sama, Baginda berdua juga arif akan kepentingan Melayu di negeri Baginda. Maka Istana Kinta sangat memahami situasi sukar dan cabaran yang dihadapi oleh Kerajaan Negeri Perak ini. Keterbukaan dan keperihatinan Baginda berdua cukup untuk menjadi ramuan jalinan kerjasama yang erat antara Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Istana. Lebih cantik jika hubungan peribadi antara YAB MB Perak dengan Istana dieratkan, seperti yang berlaku pada bekas YAB Menteri Besar Perak yang lalu, Dato' Seri Tajol Rosli Ghazali, ghafarallahu lahu wa hadahu.


Keduanya, YAB Menteri Besar Perak perlu segera mengadakan siri Lawatan Rasmi ke seluruh daerah di Perak. Program rasmi sebegini akan cepat mendekatkan rakyat dengan pemimpin. Ketika suasana agak gelisah seperti ini, saya fikir hubungan dengan rakyat lebih perlu diutamakan berbanding mencari kesalahan pentadbiran yang lalu atau melakukan transformasi terhadap pentadbiran politik dan pengurusan ekonomi negeri secara besaran.


Ketiganya, YAB MB Perak perlu mengadakan program khusus untuk kumpulan tertentu dengan segera. Bagi mendekati kaum Tiong Hua dan India, perlu diadakan majlis dialog bersama Dewan Perniagaan Cina dan India misalnya. Bagi merapati kaum Melayu, perlu diadakan program keagamaan sebanyak mungkin. Terdekat ialah Sambutan Maulidur Rasul pada hari Khamis ini. Dalam kesibukan sebagai pemerintah, apa salahnya jika YAB MB dapat turun ke setiap daerah untuk majlis maulid ini!


Saya yakin dan percaya Perak akan terus gemilang dengan wujudnya kesepakatan parti-parti pemerintah dan kesungguhan pemimpin mendekati rakyat, ditambah sokongan padu oleh pihak Istana. Biarkan dahulu idea-idea untuk mengubah itu dan ini, pada peringkat awal ini, kecuali apa yang terdesak demi kelicinan pentadbiran negeri sahaja. Wallahu a'lam.


Lagu Negeri Perak
( Nyanyikan dengan alunan lagu Negaraku. Lagu ini sebenarnya ditiru oleh lagu Mamula Moon. )

Dilanjutkan
Allah usianya Sultan
Adil dan murah
Memerintah watan

Ditaati rakyat
Kiri dan kanan
Iman yang soleh
Allah kurniakan

Allah berkati
Perak Ridzuan
Allah selamatkan
Negeri dan Sultan.


DAULAT TUANKU! DAULAT TUANKU! HIDUP BARISAN RAKYAT!

17.3.08

Kedah

No comments:
Harapan rakyat Kedah untuk melihat kepimpinan Ustaz Azizan Abd Razak bersama-sama barisan exco yang lain mampu memberikan keadilan dan kebajikan yang lebih baik berbanding sebelumnya.

Cabaran besar bagi PAS apabila negeri Kedah yang bermajoriti Melayu ini turut didiami warga kaum Cina yang jumlahnya lebih besar berbanding Kelantan dan Terengganu.

Kedah juga terkenal sebagai sebuah negeri pelancongan. Bagaimana Islam mengurus semua ini, supaya Kedah terus maju dengan pembangunan pelancongannya, dan dalam masa yang sama, rakyat terbela agama dipertahankan. Itulah antara cabaran awal PAS Kedah.






Bendera negeri memaparkan bulan sabit berwarna hijau di bawah perisai kuning dan dilingkungi oleh jambangan padi berwarna kuning di atas latar belakang merah. Merah adalah warna tradisional negeri dan juga melambangkan kemewahan, sementara bulan sabit adalah simbol agama Islam. Perisai melambangkan Sultan negeri sebagai pelindung dan penjaga rakyatnya


Barisan Rakyat

No comments:

8 Mac yang lalu merupakan hari paling manis sepanjang lebih 50 tahun sejarah pembangkang di Malaysia. Ia melibatkan satu transformasi besar-besaran terhadap pentadbiran 4 buah negeri di Semenanjung Malaysia.

Melihat 2 hingga 3 minggu ke belakang, juga satu senario sangat berbeza telah disajikan oleh kuasa rakyat di Malaysia. Kaum Tiong Hua dan India telah mula mununjukkan sokongan terbuka terhadap PAS, PKR dan DAP. Sesuatu yang lebih mengkagunkan apabila sebuah parti berteras agama seperti PAS mendapat sokongan luar biasa daripada kaum Tiong Hua dan India yang tidak beragama Islam.

Saya sendiri mengalami pengalaman luar biasa ini. Ketika kami berkempen di Puchong, jelas sekali sokongan yang ditunjukkan oleh rakan-rakan dan jiran daripada kaum India. Pagar rumah mereka tergantung bendera bulan putih berlatar warna hijau. Ada kereta yang memasang bendera kecil bulan. Sokongan melalui suara dan hon kereta juga kedengaran. Ketika kami berselisih dengan kempulan kaum India yang mengiringi calon Parlimen Puchong P103, Gobind Singh Deo berkempen, kemesraan sesama kami yang masing-masing paparkan seolah-olah sudah lama berkenal rapat. Sedangkn inilah baharu kali pertama berjumpa.

Jelas, semuanya kerana ketidak adilan yang berlaku di Malaysia selama ini. Orang Cina rasa disisihkan, kaum India didiskriminasi, dan orang-orang Melayu menjadi mangsa politik jika tidak mengikut ideologi kerajaan yang memerintah.

Bagi kaum Cina, mereka melihat parti MCA hanya mengikut telunjuk pemimpin UMNO. Bagi orang India, MIC yang diketuai oleh Samy Vellu gagal mengukuhkan ekonomi rakyat warga India. Malah terdapat kes melibatkan saham Maika Holding yang menyebabkan hati mereka terguris dan hilang percaya terhadap kepimpinan MIC. Paling tragis ialah sikap keras kerajaan melalui pasukan Polis ketika menguraikan perhimpunan anjuran Hindraf di Ibu Kota beberapa bulan sebelum pilihan raya berlangsung. Semua ini mengundang marah rakyat berbangsa India.

Sejak itulah mereka mula mendekati pimpinan pembangkang. Mengharapkan suatu pembelaan yang tiada harapan akan diperolehi daripada BN. Samy Vellu gagal membela mereka. Kesempatan ini diambil sebaik mungkin oleh pemimpin pembangkang.

Bagi PAS, ia konsisten terhadap keadilan. Presiden PAS pernah menegaskan, PAS berasaskan Islam. Agama Islam menolak sama sekali tindakan kejam dan keras terhadap rakyat seperti yang berlaku. Pembelaan terhadap kaum minoriti India yang dianiaya mesti dilakukan. Namun, tidak semua tuntutan Hindraf dipersetujui oleh PAS.

Kenyataan berlapik ini, walau bagaimanapun tidak disenangi oleh beberapa NGO Islam. Mereka sedikit bimbang dengan beberapa tuntutan Hindraf yang dilihat agak melampau. PAS jelaskan lagi, Islam adalah agama yang adil dan membela semua pihak dengan adil. Namun PAS tidak akan tunduk jika terdapat usaha untuk menafikan Malaysia sebuah negara beragama rasmi Islam. Kepentingan Islam bukan sewenang-wenangnya boleh diperdagangkan.

Benarlah sikap itu. Keadilan yang cuba ditunjukkan oleh Islam melalui PAS telah menarik sokongan kaum itu terhadap parti ini dalam pilihan raya yang lalu. Lantas bergemalah dipelusuk negara laungan bahasa Tamil " makkal sethi " yang bermaksud 'kuasa rakyat'.

Kuasa rakyat inilah yang menyatukan Melayu sedar, Cina terpinggir dan India teraniaya untuk bersatu dan membentuk Barisan Rakyat lalu menerobos jaringan kukuh BN di beberapa negeri di Semenanjung.

Rakyat sudah lama teraniaya, dinafikan hak mereka dan dijadikan bahan permainan politik pembangunan BN. Namun mereka lupa rakyat semakin sedar. Rakyat sudah bangkit. Rakyat telah menunjukkan kuasa mereka.

PAS khususnya, selepas kemenangan ini, harus terus bersama rakyat dan buktikan rakyat tidak akan kecewa bersama PAS dan PKR serta DAP.

14.3.08

Jangan Meminta-minta Jawatan

No comments:

Berikut adalah tulisan yang saya ambil drp blog Roslan SMS. Peringatan untuk yang bergelar YB.

Jangan meminta-minta jawatan

Sahlah terbentuk kerajaan negeri Selangor melalui majlis angkat sumpah "sahabat" saya Tan Sri Khalid Ibrahim sebentar tadi sebagai MB Selangor yang ke 14.
Malangnya kita mengharapkan begitu juga bagi rakan-rakan di Perak, tetapi rupanya majlis yang sama melibatkan Ir Nizar terpaksa ditangguhkan atas sebab-sebab teknikal melibatkan pimpinan PKR.

Sebelum itu Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang semuanya telah selesai membentuk kerajaan masing-masing. Dengan kemenangan bermulalah tanggungjawab.

Kalau dahulu kita asyik sibuk melaksanakan tugas-tugas politik, memberi tumpuan bekerja sebagai wakil pembangkang, kini rupa-rupanya kerajaan sudah menjadi milik kita. Sudah pastilah berbeza sama sekali senarionya di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor apabila kita kini menjadi kerajaan.

Kepada yang menang dan bergelar YB dalam negeri-negeri yang membentuk kerajaan, tahniah, tetapi ingat, Tuan/Puan menang bukan atas nama peribadi, tetapi Tuan/Puan menang adalah atas nama perjuangan. YB-YB PAS masing-masing menang kerana panji-panji PAS yang dikibarkan, bukan personaliti semata-mata. Oleh itu pandai-pandailah membawa diri, jangan sampai merasakan yang kemenangan itu hak diri peribadi masing-masing. Tokoh sebesar Tok Guru Nik Abd Aziz dan Hj Abd Hadi Awang pun pernah tewas.

Dengan kejayaan membentuk kerajaan juga bermakna akan ada jawatan-jawatan baru. Dari MB ke Timbalan MB ke Speaker ke EXCO. Sudah pastilah jawatan-jawatan ini membawa imbuhan dan status yang tinggi.
Jangan pula kita yang memegang panji-panji Islam ini terjerumus dalam aktiviti meminta-minta jawatan. Pada 4 Mei 1964 kira-kira 44 tahun yang lampau, Almarhum Prof Zulkiflee Muhammad (ketika itu Timbalan Yang Dipertua Agung PAS (atau Timbalan Presiden kini) yang baru sahaja menang kerusi parlimen Bachok) telah memberikan amanat penting kepada wakil-wakli rakyat Kelantan:

(Jawatan-jawatan yang disebutkan) adalah tempat yang subur dengan kuman-kuman yang membawa sengketa kepada kita. Apa yang akan kita buat saudara-saudara diwaktu kita menghadapi ini semua? Yang akan kita buat adalah berpegang kepada keikhlasan iaitu menyucikan tujuan kita kepada perlaksanaan dasar parti dan mengenepikan sebarang kepentingan yang lain dari itu.

Ringkasnya jangan kita terlibat dalam meminta-minta jawatan. Menghubungi Presiden atau Pesuruhjaya meminta jawatan itu dan ini diberikan kepada kita. Seolah kita sahaja yang layak, yang lain tidak!

Daripada Abu Musa r.a. (Allah telah meredhainya) katanya: Aku dan dua orang lelaki dari kaumku telah masuk kepada Nabi s.a.w.. Salah seorang daripada dua lelaki berkenaan berkata: Lantiklah kami menjadi ketua wahai Rasulullah!. Yang seorang lagi juga berkata demikian. Lalu baginda bersabda: "Sesungguhnya kami tidak melantik dalam urusan ini sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya"

Justeru itu, Islam menghalang jawatan daripada jatuh ke tangan mereka yang tamakkannya dengan membuat kaedah sesiapa yang meminta maka dia tidak dilantik. Saya yakin sahabat-sahabat kita yang menang di negeri-negeri yang kita membentuk kerajaan tidak akan terlibat dalam aktiviti seumpama ini, walaupun ada juga maklumat diterima bahawa sudah ada yang meminta-minta. Kalau meminta-minta juga, maka cantas mereka itu sebelum mereka membawa mudarat yang lebih besar kepada perjuangan.

13.3.08

Tahniah Kepada Semua Petugas Pilihan Raya

No comments:

Alhamdulillah - Segala Pujian Bagi Mu Ya Allah

No comments:
Alhamdulillah- Cepat saya ungkapkan setelah berita-berita kemenangan pilihan raya saya terima melalui sms. Ketika malam yang mendebarkan itu, saya sedang dalam perjalanan dari Parit ke Kuala Terengganu.

Sebaik selesai mengundi dan bertugas di Parit, saya bergegas untuk meraikan "kemenangan" di Terengganu cadangnya, tetapi ianya tidak berlaku.

Sebaliknya Allah mengurniakan kejayaan cukup manis di Kedah, Selangor, Perak dan Pulau Pinang. Paling manis bagi saya ialah Kedah, seterusnya di Perak dan akhirnya di Selangor.

Tahniah buat Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang terus memimpin bahtera Kelantan dalam mencari kehidupan damai abadi sebenar. Langkahmu akan sentiasa dituruti jutaan pejuang lain.



Tangisan inilah saya ibaratkan sebagai ikon gelombang rakyat pada 8 Mac lalu. Bagi saya ianya berpunca daripada gelombang air mata Tuan Guru.




Perjuangan ini perlu diteruskan dengan menginsafi kebenaran wahyu dan kepentingan rakyat- Allahu akbar.