29.4.08

Ibu-Anugerah Paling Bernilai

2 comments:
Alhamdulillah, keadaan cemas yang saya dan abang,akak dan adik alami selama 3 hari ini semakin kurang, khususnya pada petang ini, apabila mak telah dibenarkan keluar dari ICU kepada wad perubatan biasa di tingkat 4, Hospital Putrajaya.

Inilah kali pertama berhadapan situasi sangat mencemaskan seperti ini. Pada fikiran kami, tentulah pelbagai kebimbangan dan andaian...ahhh jangan difikirkan lagi. Apa yang saya harapkan, ketenangan ini berterusan untuk jangka masa yang lama lagi. Allahu akbar, wa huwassyafi, la syifa'a illa syifa'uhu, syifa'an la yughadiru saqaman.

Selain masalah pada fizikal badan, mak perlu juga atasi masalah semangat dan perasaan yang turut menyumbang kelemahan pada kesihatan. Itu yang selalu saya bisikkan tatkala menziarahi beliau.

"Mak perlu bersabar, kuat semangat,redha dan berdoa selalu. Ingatlah ini ujian Allah. Istighfar dan jangan putus asa..." Kalaulah saya yang mengalaminya, saya juga memerlukan bisikan yang sama, malah mungkin lebih daripada apa yang beliau perlukan. Seorang ibu sememangnya sangat kuat untuk terus menyayangi dan mendekati anak-anaknya.

Ibu tidak pernah menipu untuk menyatakan rindu dan dendamnya pada anak-anaknya. Inilah antara bekalan dalam memperjuangkan kesihatan dan hidup lebih baik.

Saya dan kami masih lagi terus berdoa untuk kesihatan beliau yang lebih sempurna. Tiada daya dan juang jika dia diambil segera. Ya Allah, kami belum bersedia untuk itu.

Saya menanam azam dan tekad, untuk melakukan yang terbaik sekembalinya beliau nanti ke rumah. Insaf rasanya, mengenangkan kekurangan dalam layanan dan penjagaan sebelum ini. Dalam kesempatan yang diberikan ini, saya ingin memperbaiki segala yang kurang dan lemah. Mohon dibantu oleh Allah yang Maha Penyayang, untuk lebih menyayangi dan menghargai masa bersama nanti.

Itulah adat manusia, peluang kedua atau ketiga, baharulah mendatangkan rasa insaf sepenuhnya.

Ibu, itulah mutiara hati dan anugerah hidup paling bernilai dan istimewa. Jagalah ibu ini dengan sepenuh raga.

Emak...sayang selalu.

28.4.08

TV Station Pulls Carnival Out Of Perak ( thestar.com.my )

No comments:

IPOH: TV3 will not be hosting its crowd-drawing Jom Heboh Carnival in Perak this year.

Revealing this, Mentri Besar Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin said the top management of the broadcasting station had relayed its decision to the state government during a meeting on Wednesday.

“They have pulled out on their own free will.

“The state government did not at any time instruct them not to hold the event here,” Nizar said at the opening of the 14th annual general meeting of the Malaysian Chinese Muslim Association (Macma) yesterday.

The Jom Heboh Carnival, which features TV3 personalities, consumer products exhibition booths, health activities and forums on issues of public interest, was held for the first time here last May.

In his speech, Macma president Datuk Mustapha Ma voiced the need for a Chinese Muslim mosque to spread the religion among the Chinese community.

“A Muslim is a Muslim. A mosque is a mosque. Whatever the style of a place of worship does not matter but there is need for a Chinese Muslim mosque, not to differentiate but to spread Islam to other Chinese,” he said.

He said the former Perak government had pledged to look for a piece of land for the construction of a Chinese Muslim mosque in the state and RM100,000 seed money.

Speaking to reporters later, Mustapha said Macma would not hold the new state government to promises made by its predecessor.

“We will write in to request. We will not push but will seek its approval,” he added.

Tajol Rosli Dicadangkan Berhenti Dahulu, Kemudian Tidak Aktif Umno.

2 comments:
Malaysiakini telah melaporkan pada 27 April lalu, Umno bahagian Kampar telah menghantar petisyen kepada pengerusi badan perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali meminta beliau meletakkan jawatan kerana gagal menjalankan tugas sebagai ketua. Ianya dilakukan bagi membolehkan Umno Perak dipimpin oleh ketua yang lebih bersemangat.

Petisyen itu turut menyatakan Umno Kampar kesal kerana bekas menteri besar Perak itu tidak mengambil inisiatif selaku pemimpin untuk merangsang semangat ahli parti selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) di Perak dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.


Begitulah antara yang sempat saya petik daripada Malaysiakini.com. Usaha dilakukan oleh Umno Kampar apabila merasakan sudah sampai masanya bekas MB Perak ini melepaskan amanah berat sebagai seorang ketua, selepas kekalahan teruk ini, kepada individu lain yang lebih agresif, agaknya.

Sebagai anggota keluarga Umno, Bahagian Kampar tentu lebih arif apa yang telah berlaku dalam Umno Perak dan apa yang lebih baik untuk hala tuju mereka, bukan hanya malu apabila MB Perak ke-10 daripada PAS adalah berasal dan aktif di Kampar.

Saya secara peribadi, bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan itu. Datuk Seri perlu berkira-kira untuk mengambil pendekatan ini. Iaitu memberikan suntikan baru kepada Umno Perak yang seperti hidup segan, mati tidak mahu lagi.

Bagi saya lagi, bukan setakat itu sahaja, saya mencadangkan juga Datuk Seri berehat seketika daripada aktif di peringkat perhubungan negeri. Lepaskan jawatan sebagai Pengerusi Umno negeri dan jangan terlibat lagi dengan negeri. Secara otomatiknya, kedudukan ketua pembangkang juga diserahkan kepada orang lain, seperti Raja Ahmad atau individu yang lebih muda. Raja Ahmad tidak digemari oleh orang-orang muda yang kaki bola.

Saya suka jika Datuk Seri hanya menumpukan kepada DUNnya sendiri selain menumpukan lebih masa untuk keluarga, maklumlah sudah bercucu dan bermenantu. Mungkin inilah masanya untuk mencari 'wakaf' untuk memperlahankan perjuangan politik Datuk Seri. Saya fikir sudah cukup banyak jasa yang dilakukan oleh beliau. Sejak mudanya aktif dengan program belia dan sehingga kemuncaknya menjadi seorang Menteri Besar, selepas agak lama juga bekerja untuk rakyat di peringkat persekutuan.

Saya tidak fikir Datuk Seri berpolitik kerana diri sendiri semata-mata. Beliau mahu memberi sumbangan kepada rakyat. Setelah majoriti rakyat menolak beliau, termasuk anak buah daripada Umno sendiri, saya fikir beliau tidak payahlah bersusah payah untuk bertegas menyumbang kepada rakyat dengan jawatan paling tinggi dalam Umno dan BN Perak. Jika orang sudah tidak sudi menerima, wajarkah kita beriya-iya mahu memberi, kecualilah kita ada matlamat peribadi atas nama ingin menjasai rakyat. Tapi saya fikir Datuk Seri tidak begitu, atau sekurang-kurangnya tidak lagi begitu, sudah cukup!


AKTIF NGO ISLAM

Lanjutnya, saya mencadangkan Datuk Seri mula berjinak-jinak dengan mana-mana NGO agama. Tiada masalah, pilih mana satu, dan saya yakin Datuk/Datuk Seri Zahid Hamidi akan memberi laluan mudah untuk beliau berjasa kepada rakyat dan Islam melalui NGO Islam ini.

Saya tahu, Datuk Seri Tajol Rosli bukan asing dengan aktiviti agama, tidak seperti sesetengah pemimpin Umno yang lain. Datuk Seri tumpukan kepada usaha ini di akhir hayat beliau, adalah husnul khatimah yang cukup menjamin kebahagiaan hidup selepas mati. Saya tidaklah mengatakan Datuk Seri akan mati cepat, tapi pasti mati, seperti saya juga. Bagi saya, Allah telah memberi isyarat yang cukup baik dan jelas supaya sisa-sisa akhir hidup beliau ditumpukan kepada aktiviti menghidupkan agama, bukan lagi Umno yang penuh dengan kezaliman dan kebejatan.

Datuk Seri tahulah apa yang ada pada Umno dan pemimpinnya. Datuk Seri bukan daripada golongan itu. Datuk Seri orang sembahyang, membaca al-Quran, belajar bahasa Arab, mendekati ulama seperti SS Dato' Mufti negeri dan ustaz-ustaz muda lain, sama ada ahli Umno atau pendakwah bebas rakyat Perak. Saya yakin, ramai yang Datuk Seri kenal.

Datuk Seri pula bukan jenis kaki bar, kaki minum, kaki rasuah dan kaki rampas harta orang. Datuk Seri adalah kaki membaca buku-buku agama, kaki fikir maslahah rakyat dan kaki memuliakan ulama bebas. Silap sikitnya Datuk Seri juga kaki Umno yang besar.

Biarkanlah kesilapan lalu itu berlalu. Mulakan diari baru dengan mendekati NGO-NGO Islam yang jauh lebih mulia dan berfaedah daripada terus kekal sebagai Pengerusi Umno Perak yang sudah semakin ketinggalan keretapi itu. Percayalah Datuk Seri.


Kehadiran Datuk Seri dalam dunia baru itu nanti, amat-amat dialukan oleh kerajaan baru negeri Perak, dan saya akan mencadangkan supaya Datuk Seri diberi kemudahan yang lengkap di pejabat Datuk Seri yang baru nanti.

Percayalah, hijrah daripada aktif Umno kepada aktif NGO Islam di Perak, Malaysia atau dunia sekalipun, adalah hijrah dari lembah gelap kepada wadi hidayah yang menerangi seluruh kehidupan gelap Datuk Seri. Insya Allah, saya optimis. Tinggal lagi Datuk Seri kena berani, tahan malu, dan tekad untuk agama dan kerana agama Datuk Seri. Allah Maha Agung, Datuk Seri, Dan Datuk Seri pun tahu...!


My Resume

2 comments:

Maaf, telah dikeluarkan.

27.4.08

Mak Di ICU, Bermula Pada 6pm 26 April.

No comments:
Sabtu, kira-kira 8.30am, saya menunggu isteri pulang untuk menggunakan Wira kami bagi menghantar emak ke Hospital Putrajaya. Keadaan mak kelihatan semakin teruk. Nafasnya telah berbunyi. Kahak belum ada tanda-tanda untuk berhenti. Badannya semakin lemah. Sejak seminggu lebih dia mengalami masalah demam dan batuk.


Dua kali kami hantarnya ke kelinik. Sekali saya bawa. Kali kedua Aida, isteri saya, iaitu pada 23 April lepas. Keesokannya, oleh kerana keadaan tidak memberangsangkan, abang Zul menghantar mak ke Hospital Serdang. Diberikan bantuan pernafasan. Alhamdulillah, keadaan ok. Doktor benarkan pulang, walaupun sebenarnya abang saya dan saya sendiri mahukan dia ditahan di wad untuk lebih menjaminkan pemulihannya.


Pada hari Jumaat, keadaannya seperti semakin baik. Namun malam Jumaat itu, beliau sukar untuk tidur. Malam Sabtu juga sama, tidak boleh tidur. Pagi Sabtu, dia kembali tenat, malah nafasnya berbunyi pula.


Apabia sampai di bahagian kecemasan, saya terus memberitahu petugas dari dalam kereta, masalah semput yang dialami mak. Setelah dia dibawa masuk ke dalam, saya letak kereta di parkir. Bergegas ke bahagian kecemasan. Tidak dibenarkan masuk. Mak keseorangan di dalam bersama-sama doktor dan jururawat. Kira-kira setengah jam kemudian, saya dipanggil masuk. Diminta berjumpa doktor, menceritakan apa yang berlaku. Barang kemasnya saya ambil. Mak di x-ray, sambil saya memegang bahunya. Saya memakai baju kalis sinaran x. Darah mak juga diambil banyak. Apa yang mengejutkan saya, darahnya naik sehingga 179 bacaannya (BP).


Tidak berapa lama kemudian doktor mengambil keputusan menghantar mak ke wad. Saya lega. Memang saya mahu mak berehat di wad. Bukan mahukan dia disahkan teruk, tetapi mahukan rawatan rapi oleh doktor dan jururawat.


Namun petang itu kami sekeluarga dikejutkan dengan analisa doktor bahawa mak tenat dan tiada perubahan positif selepas beberapa jam diberi bantuan pernafasan/oksigen ketika berada di wad 4B.


Doktor meminta persetujuan kami suntuk menghantar mak ke ICU. Kami izinkan. Mak kami maklumkan bahawa ia bukan bermakna mak tak ok. Mak ok, cuma doktor nak jaga elok-elok. Itu yang saya bisikkan pada mak.


Kira-kira jam 6 pm mak dibawa ke ICU. Hampir sejam setengah pasukan jururawat mengambil masa untuk menyiapkan mak di katilnya, di 'Room 8 ICU Hospital Putrajaya'. Mak kami dekati selepas semuanya siap.


Saya bisik pada mak yang tidak dapat bercakap, kerana dipasangkan 'mask' kecil di mulut untuk pernafasan;


"Mak akan sembuh cepat, mak tak ada apa-apa, doktor letak di sini cuma untuk jaga mak elok-elok, mak kena banyak berdoa dalam hati, istighfar dan redha. Insya Allah mak akan sembuh cepat. Ihsan tunggu mak di rumah. Kami berada di luar menanti mak. Mak ampunkan salah silap Omar dan anak-anak mak semua. Mak akan sembuh cepat, ...."


Kini kami semua di rumah masing2. ICU bukan tempat untuk kami menunggu mak. Waktu melawat juga sama dengan waktu melawat ke wad biasa. Sepatutnya untuk pesakit di ICU, dibenarkan melawat pada awal pagi lagi.


Tadi saya sempat melakukan apa yang patut, walaupun sedikit, untuk dijadikan wasilah berdoa untuk mak. Sambil menangis untuk mak. Saya memang tidak bersedia untuk yang negatif, walaupun saya difahamkan oleh doktor, apa maknanya berada di ICU. Statusnya kritikal pertengahan.


Ya Allah sembuhkanlah mak untuk kami terus bermanja...
Saya juga sempat menghantar sms kepada beberapa orang sahabat. Tidak sempat untuk hantar semua. Saya mohon sahabat2 doakan kesejahteraan seorang emak yang memang seorang emak...

Allahummasyfiha...

Pagi Ahad, 27 April.

25.4.08

Siapa PM PR ?

No comments:

Malaysiakini melaporkan :


Dr Wan Azizah Ismail berkata beliau bersedia menjadi perdana menteri Malaysia jika Pakatan Rakyat berjaya mendapat majoriti dua pertiga susulan peralihan sokongan wakil-wakil Barisan Nasional.


"Saya bersedia, insya Allah. Ini kejutan baru kepada saya.


"Saya menyertai gelanggang politik (pun) secara mengejut, saya menjadi ketua pembangkang (pun) secara mengejut," kata presiden PKR kepada wartawan di Petaling Jaya, hari ini.


Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah beliau bersedia menjadi perdana menteri apabila Pakatan berjaya mempengaruhi lebih 30 wakil BN untuk beralih kepada gabungan pembangkang.


Dr Wan Azizah, kini ketua pembangkang di Dewan Rakyat berkata, kerajaan Malaysia boleh "bertukar pada bila-bila masa".......


Jika melihat kepada kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang, sememangnya beliau paling hampir dengan jawatan Perdana Menteri bagi Pakatan Rakyat.


PAS pula diakui jauh daripada kerusi itu kerana memiliki jumlah kerusi parlimen yang paling sedikit berbanding dua lagi parti PR. Maka, PAS tidak pernah mengejar kerusi PM dan tidak pernah merancang untuk mengambilnya dalam tempoh terdekat ini.


Walau bagaimanapun, dalam hal besar sebegini, PKR seharusnya mengutamakan semangat bersama dan bekerjasama antara anggota Pakatan Rakyat. Apakah PR sememangnya telah bersetuju dengan pencalonan Wan Azizah sebagai PM. Atau sekadar andaian sahaja?


PAS yang tidak layak mendudukinya, tidak bermakna juga tidak layak dalam memberi pandangan dan cadangan. Sehingga tulisan saya ini ditaip, belum lagi saya membaca persetujuan pimpinan PAS terhadap kemungkinan Wan Azizah sebagai PM untuk PR.


Apa yang sering kita dengar, PR menang maka yang akan naik ialah Anwar Ibrahim. Tetapi kini bukan dia lagi dalam jarak masa terdekat ini. Sudah tentu situasi ini memerlukan kepada persetujuan bersama oleh semua parti dalam PR.


Jika dilihat daripada sudut keterbatasan dan fizikal, bukankah beliau lebih lemah dan lembut berbanding Pak Lah? Mampukah beliau menyaingi mana-mana kelebihan Pak Lah?


Bagi saya, pelantikan wanita sebagai orang nombor satu dalam kerajaan akan mengheret PAS kepada satu isu yang berpanjangan perbahasannya nanti. Malah, hampir pasti akan ada yang membantah pelantikan/pemilihan itu nanti. Maka, di sinilah peranan semua parti perlu diambil kira dan proses pemilihan itu nanti jangan sampai memandang sebelah mata kepercayaan dan prinsip pimpinan PAS!


Kedua, wajarkah Anwar terus "bising" mencari ahli parlimen BN untuk dipujuk menyertai PR? Setakat ini, saya tidak pasti apakah ianya langkah terbaik atau sebaliknya. Sesetengah pihak melihatnya bukan sebagai satu proses yang bertunjangkan ketulusan dan menghormati keputusan demokrasi pada PRU lalu, lebih-lebih lagi jika tindakan yang dilakukan bersalahan dengan etika dan moral.


Akhirnya, saya suka ingin membangkitkan isu kroni suami isteri sebagai cabaran awal kerajaan PR nanti. Kita tidak meragui kemampuan Wan Azizah. Namun dalam tempoh pentadbiran beliau sebagai PM, sebelum Anwar menjadi PM, sudah tentu banyak pengaruh yang ditanam oleh si suami terhadap isterinya. Apatah lagi Anwar adalah perancang utama dalam episod menguasai kerajaan Persekutuan ketika ini.


Bukankah kondusinya tidak jauh berbeza dengan Pak Lah – Khairy? Cuma, Khairy di tingkat 4, tetapi mereka serumah.


Oleh itu, berhati-hatilah kepimpinan PR membuat keputusan dan perancangan. Jangan bertindak melulu dan bersendirian, sehingga menimbulkan keresahan anggota pakatan!!!




24.4.08

Saya Dirempitkan

No comments:

Hari ini, atau lebih tepat malam ini saya agak lega sedikit kerana tiada program parti atau masyarakat. Oh ya, sepatutnya saya mengajar kitab 'Taudih al-ahkam' Maghrib tadi, namun saya batalkan kerana ingin menemani emak yang sakit. Sudah lebih seminggu beliau demam. Jika esok masih belum sembuh, saya terpaksa mengambil 'emergency leave' lagi untuk urusan emak.


Sudah beberapa hari saya pulang ke rumah dengan berhujan. Dua hari lepas, nyaris-nyaris saya terjatuh daripada motor, gara-gara jalan licin ketika membelok untuk memasuki Jalan Klang Lama. Ketika itu muncul tiba-tiba sebuah kereta dari sebelah kiri, dan saya terus melakukan berek mengejut. Silap langkah, saya hanya menarik tali berek tayar hadapan, maka motor saya menggelungsur dalam beberapa kaki jaraknya secara luar kawal.


Kejadian hampir terjatuh atau hampir kemalangan telah saya alami lebih daripada 5 kali, sejak menunggangi motorsikal ke pejabat di pusat bandar Kuala Lumpur. Ia memang menggerunkan. Tapi tiada pilihan lain. Memandu kereta adalah suatu yang bukan lagi pilihan saya kerana masalah harga minyak, kesesakan pergi balik dan tol. Lagipun, kereta saya sekarang ini berada dalam kondusi tidak menguntungkan untuk dipandu ke tempat kerja. Oh ya, satu lagi kerana sukar mendapatkan parkir dengan bayaran murah di pusat bandar. Jika mengambil LRT, bermakna saya terpaksa berdiri lama untuk sampai ke Bukit Jalil.



Sejak menggunakan motorsikal di pusat bandar Kuala Lumpur, saya selalu mengingati kematian. Rekod menunjukkan penunggang motorsikal antara yang banyak terlibat dalam kemalangan maut. Ia berlaku sama ada berpunca daripada kelalaian mereka atau kecuaian pemandu kereta. Salah jadi mangsa, betul pun boleh jadi mangsa. Itulah risiko penunggang motorsikal.


Oleh itu, seringlah juga saya mengambil langkah perlindungan setiap kali menunggang, iaitu berdoa untuk selamat sepanjang perjalanan, sebagai syarat minimum. Doa inilah yang menyebabkan kita sentiasa memikirkan risiko dan bergantung sepenuhnya kepada Tuhan yang Maha Penyelamat.


Selain masalah kecuaian dua pihak, struktur dan kondusi jalan raya juga menjadi penyebab kepada kemalangan. Banyak jalan yang rosak dan berlubang di sekitar pusat bandar, selain struktur pembinaannya yang jauh daripada ciri-ciri keselamatan.


Antara laluan yang kerap saya ambil ialah lebuh raya LDP, Seremban- Sungai Besi, KESAS dan NPE. Struktur jalan di keempat-empat lebuhraya ini secara keseluruhannya baik, namun ada satu dua tempat yang sangat merbahaya. Ia sama ada laluan kecil sehingga menyusahkan penunggang mencelah antara kereta yang memecut laju, selekoh bahaya sebelum plaza tol, cat pada jalan raya yang tebal atau simpang berdekatan exit lebuh raya yang bersimpang-siur.


Siapa yang tahu semua ini kecuali kami yang menunggang? Saya percaya pemandu kereta yang tidak pernah menunggang motorsikal langsung tidak sedar betapa bahayanya nyawa penunggang yang mereka tidak hormati ketika memecut. Mereka tidak terfikir pun kesusahan yang dialami oleh kami. Oleh itu, kami selalunya tidak 'menang' dalam merebut laluan di lebuh raya. Paling menyampah ialah apabila pemandu kenderaan menukar laluan secara mengejut ke kiri atau kanan, tanpa memberi isyarat lampu. Mereka ini manusia yang tidak menghargai nyawa orang lain.


Saya sendiri telah mengalami keadaan itu banyak kali. Petang tadi juga turut saya alami. Jika sangat membahayakan, saya memang tak kisah langsung untuk menunjukkan kaki kepada mereka menandakan bantahan. Apalah ruginya mereka dengan tanda kaki itu berbanding ruginya kami apabila nyawa melayang, nauzu billah.


Setelah agak lama melalui semua ini, anda boleh berubah. Saya juga sudah mula berubah. Daripada penunggang yang berhati-hati, saya kini menjadi penunggang yang suka memecut. Ini semua kerana terpaksa, apabila anda tidak akan selamat jika memperlahankan motor di sesetengah jalan raya.


Contohnya, jika tiba-tiba di tengah-tengah lebuh raya Sungai Besi, kereta di hadapan anda tiada, dan di belakang kenderaan berderet, maka adalah langkah yang silap jika masih lagi menunggang secara sopan dan perlahan. Risikonya ialah berkemungkinan ada kereta yang akan memotong dari sebelah kiri dengan memecut laju dan ketika itu jika anda turut membelok rapat ke kiri dengan sopan santun, maka nahas mungkin berlaku. Sebelum ada kenderaan memintas, anda sepatutnya segera mengasingkan diri dari mereka. Langkah yang wajar ialah, memecut ke kiri segera.


Banyak lagi keadaan yang saya boleh ceritakan, bagi menggambarkan situasi-situasi yang mendidik anda menjadi seorang rempit. Saya tambah satu lagi. Selepas lampu hijau menyala, anda tiada pilihan selain memecut ke hadapan supaya mengelak daripada dilanggar jika terdapat sebuah kereta yang ingin memecut laju di belakang anda.


Ringkasnya, struktur jalan dan sikap pemandu kenderaan akan membentuk anda secara tidak langsung menjadi abang rempit ke pejabat dan pulang ke rumah. Saya juga terasa telah dirempitkan sedikit demi sedikit.


Siapakah yang dapat menyelesaikan masalah ini? Atau masyarakat tidak kisah jika rempitan terpaksa ini berleluasa?





20.4.08

Ziarah, Perbankan Islam, Penasihat Shariah Untuk Negeri PR

1 comment:
Pada pagi ini kami sekeluarga merancang untuk menziarahi anak saudara yang telah pun dianugerahi 3 orang cahaya mata. Sejak beliau berpindah ke rumah baru, belum pernah lagi kami menjenguknya. Sebagai sanak saudara, seharusnya amalan ziarah ini dikerapkan. Bagi kita yang biasa dengan usrah, amalan ziarah adalah biasa. Namun, kadang2 kesibukan yang mencengkam menyebabkan jarang benar ziarah saudara-mara dapat dilakukan, atau terlupa kerana asyik berfikir untuk melawat anak-anak usrah atau sahabat segerakan Islam.


Paling utama ialah menziarahi orang tua kita. Saya, alhamdulillah, sejak dikurniakan anak 5 bulan yang lalu, emak adalah penghuni tetap rumah saya. Tiada masalah untuk melawatnya. Mungkin ini dianggap nikmat sampingan apabila memperolehi anak sulong kami, dan cucu kepada tuan Haji Sulong.


Banyak nikmat sampingan lain yang saya perolehi berkat kesabaran 5 tahun menanti cahaya mata. Itulah kepercayaan saya.


Pada 13 Ogos 2008, saya mula memasuki dunia karier baru yang tidak pernah saya fikir ianya akan menjadi kenyataan. Saya mula bekerja di Kuwait Finance House sebagai 'Customer Service Executive'. Kerja ini membawa saya mengenali ramai pelanggan bank daripada pelbagai golongan dan karenah. Itulah juga kali pertama saya terpaksa berjinak-jinak dengan bahasa Inggeris dalam pekerjaan, selain bahasa Arab yang turut dituntut, malah syarat utama ketika pekerjaan ini memerlukan pekerjanya.


Kira-kira 7 bulan kemudian saya berpindah angin ke bank Islam tempatan. Daripada sebuah bank antarabangsa saya bertukar ke bank tempatan, tetapi daripada karier sebagai pegawai khidmat pelanggan beralih sebagai pegawai shariah bank baru ini. Bagi saya ia adalah peralihan yang berbaloi dan banyak menepati citarasa dan minat, alhamdulillah. Semalam, genap sebulan saya bekerja sebagai pegawai shariah di EONCAP Islamic Bank Berhad, beribu pejabat di Jalan Raja Laut.


Semua ini, datang bersama anugerah seorang anak, bernama Ihsan Izziddeen Omar. Segala syukur bagi Allah ta'ala.



PERBANKAN ISLAM

Sebagai pekerja di sebuah bank Islam, antara tanggung jawab sosial dan agama yang perlu dilaksanakan ialah memberi penerangan secara langsung atau tidak langsung kepada masyarakat tentang kewajipan berurusan dengan perbankan Islam dalam setiap aspek kehidupan yang berkaitan dan perniagaan. kadang-kadang kedengaran tanggapan negatif terhadap sistem perbankan islam di negara ini, namun usaha berterusan perlu dilakukan oleh mereka yang berada di dalam industri. Dalam masa yang sama, sokongan masyarakat sangat diperlukan.


Apabila memasuki dunia ini, lebih terserlah kepada saya usaha bersungguh yang dilakukan oleh para ulama dan ilmuwan Malaysia untuk mengurus sistem ini. Keikhlasan mereka tidak dipertikaikan lagi. Kesungguhan mereka bukan kepalang. Hasilnya, alhamdulillah banyak kemajuan dicapai. Namun masih memerlukan usaha yang bukan sedikit. masih ada isu di sana-sini yang perlu diselesaikan. Kesimpulannya, ia berada dalam proses berterusan dan di atas landasan yang betul.


Harapan saya sebagai ahli PAS dan pekerja di dalam industri ini, kerajaan Pakatan Rakyat khususnya Kedah, Perak dan Selangor mengorak langkah agresif melibatkan diri dalam sistem ini sama ada sebagai pengamal mahupun penggerak.


Saya lihat banyak ruang yang boleh diisi. Pertama menjadi pengamal kepada sistem ini dengan meletakkan semua dana dan harta milik kerajaan negeri di dalam bank bersistem Islam. Keduanya, menggerakkan masyarakat muslim untuk meninggalkan perbankan riba dan beralih kepada perbankan Islam. Ketiga, memperbanyakkan seminar dan forum ke arah memahami dan memahamkan perbankan Islam untuk kakitangan kerajaan dan rakyat. Ramai ulama dan ilmuwan yang hebat dalam industri ini di Malaysia, namun mereka tidak popular di dalam akhbar, media elektronik atau di mata rakyat. Keempat, melaksanakan konsep-konsep produk perniagaan dan perbankan Islam dalam perjalanan korporat kerajaan negeri seperti konsep musyarakah, mudharabah, wadi'ah, rahn, wakalah dan lain-lain.


Saya percaya, untuk menjayakan semua yang saya coretkan di atas, lebih baik jika kerajaan negeri melantik penasihat Shariah kepada sama ada MB, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau setiap exco, supaya setiap urusan kerajaan negeri dan anak syarikat kerajaan negeri dijamin bertepatan dengan peraturan Shariah. Anak-anak syarikat kerajaan negeri seharusnya memiliki panel penasihat Shariah supaya setiap perniagaan dan kontrak yang diikat, tidak bersalahan dengan Shariah.



Insya Allah, ramai yang dapat membantu. Saya harapkan negeri saya Perak, segera memikirkannya, supaya benar-benar menjadi negeri berkebajikan dan mendapat keampunan.




18.4.08

Khir Terus Desak, PR Jangan Leka

No comments:

Apa yang dipaparkan di dalam Malaysiakini bahawa Dr Khir Toyo mahukan Pak Lah segera turun adalah sesuatu yang telus daripada bakal calon ketua anak-anak muda Umno ini. Saya menyifatkannya telus kerana beliau tidak berselindung untuk mengakui kekuatan yang dimiliki oleh Pakatan Rakyat dan bekas TPM, Dato' Seri Anwar Ibrahim.


Selanjutnya beliau juga telah meramalkan beberapa perkara seperti perancangan Anwar untuk memasuki gelanggang parlimen sebagai PM, undi tidak percaya tidak akan dilakukan segera dan kemungkinan ramai yang akan berpindah ke PR daripada kalangan MP BN.
Malah, saya juga ada mendengar, seorang menteri bakal melompat. Siapakah dia?


Kenapakah ketika Pak Lah mengumumkan langkah pro-aktif kerajaan untuk mensucikan sistem kehakiman negara, Khir masih lagi mendesak Pak Lah berundur? Apakah tindakan Pak Lah itu hanya akan menguatkan Pak Lah, sebaliknya tidak bagi BN? Atau Khir sebenarnya bimbang tentang kukuhnya legasi Mat Taib di bawah 'era baru' Pak Lah selepas terlingkup pada 8 Mac lalu? Era baru itu ialah era Pak Lah berusaha mendapatkan simpati rakyat melalui penonjolan 'keikhlasan dalam lemah' beliau!


Jika senario ini diteliti, saya percaya ia ada kaitan langsung dengan kain-kain rentang yang mendesak supaya Pak Lah segera menyerahkan baton kepada Najib.


Walau apapun yang berlaku, pemimpin PR di Selangor jangan leka dengan dua perkara yang ingin saya nyatakan ini. Sekurang-kurangnya, ini pandangan orang kecil di bawah




Pertama, jangan leka dengan ucapan-ucapan Anwar untuk menguasai kerajaan Persekutuan, sebelum ianya berlaku. Saya tegaskan sedemikian kerana saya percaya hanya beliau dan beberapa orang di sekelilingnya sahaja yang memahami dan tahu duduk sebenar gerakan itu. Saya yakin, ramai pemimpin PKR sendiri yang tiada maklumat jelas dan lengkap. Paling tidak, mereka tidak tahu jumlah sebenar dan bilakah peralihan itu akan menjadi kenyataan.


Jika anda semua leka, bermakna anda hanya akan menanti saat penting itu sebelum bertungkus-lumus untuk turun ke padang bagi membantu rakyat. Kami tahu, anda di Selangor ini sedang kepeningan memahami kerja sebagai pemimpin negeri dan juga pening memikirkan bebanan tugas dan tekanan daripada bawah, oleh rakyat.
Benar kata Anwar, jika takut dengan risiko, jangan sebut pasal perjuangan. Jika sudah masuk ke gelanggang, nah turunlah melihat rakyat. Apa kes, apabila ada wakil rakyat PR yang susah dihubungi?


Kedua, jangan leka dengan tugasan kerajaan dan kepopularan mengejut sebagai MB/Exco/ADUN sehingga lupa menjenguk petugas-petugas dan program parti masing-masing. Saya diceritakan, semasa PAS memerintah Terengganu, ada pimpinan yang terlupa seketika kepada parti. Saya dengar cerita, tidak melihatnya. Namun, faktor itu memang boleh memberi kesan negatif kepada kelangsungan perjuangan kita.



Bagi ahli PAS, jangan kita lupa perjuangan kita bermula dari mana. Bagi pemimpin pula, jangan ada yang sudah berat untuk menjenguk surau usang, masjid kelam dan markas tersorok, ketika diri anda sudah mudah menjengah ke masjid negeri, hotel mewah dan dewan serbaguna.


Ingatlah, kemenangan yang kita perolehi ini hanya seketika. Allah hanya memberi kita paling sekejap 3 tahun, paling lama 5 tahun. Selepas itu kita akan kembali berperang undi dan belum tentu kemenangan ini akan berulang. Terserah kepada Allah ta'ala setelah melihat kesungguhan dan keikhlasan kita kini.


Ayuh, marilah kita sempurnakan yang ada di hadapan mata sekarang ini. Jangan leka, rakyat Selangor semakin tertanya-tanya.

17.4.08

Ahli Umno Selangor Masih Belum Berubah

No comments:


Entri sebelum ini bukanlah bertujuan untuk mendapatkan tarikan daripada pembaca Malaysiakini. Saya pun tidak terfikir untuk menerima penghormatan ini daripada pihak Malaysiakini - yang menyiarkan nama saya di ruangan 'Mkini in blogs' - yang sememangnya menjadi rujukan harian saya dalam mengikuti perkembangan Malaysia, selepas Harakahdaily. Walau apapun, terima kasih kepada Malaysiakini. Kadang-kadang berita berkaitan PAS juga mendapat liputan lebih awal daripada Malaysiakini berbanding Harakahdaily.


Saya memasukkan entri tersebut kerana, itu kali pertama saya membacanya. Keduanya, bukanlah suatu budaya pimpinan Umno memuji ahli PAS. Paling tidakpun mereka memuji Tuan Guru Nik Abdul Aziz, yang bagi kita semua selayaknya dipuji. Tetapi untuk ahli PAS, daripada pihak DAP pun jarang sangat.


Kecualilah semasa pilihan raya yang lalu. Saya pernah berceramah sepentas dengan Gobin Singh Deo, wakil rakyat parlimen Puchong kini, dan ketika itu beliau sememangnya memuji kerja bersama yang ahli PAS dan Barisan Rakyat Puchong lakukan. Sehingga saya boleh memberi gambaran, Gobin tetap terhutang budi dengan kerjasama PAS Puchong yang banyak menyediakan pentas untuk beliau, termasuk seawal hari penamaan calon lagi.


Jadi apabila Mat Taib memuji, itu suatu penghormatan bermakna daripada seorang lama yang penting balik, dalam Umno. Tetapi bagi ahli Umno, seperti belum menunjukkan apa-apa kesedaran dalam hal ini. Saya merujuk apa yang berlaku di cawangan saya. Tidak ketara langsung perubahan pada susuk tubuh dan tindakan mereka. Masih seperti membenci kami, sedangkan kerajaan sudahpun bertukar. Cuma dalam ramai-ramai mereka, ada seorang yang telah mengucapkan tahniah kepada saya, sambil melekehkan hasrat bekas MB Selangor untuk bertanding sebagai KP Umno. Beliau memang kami tahu merupakan antara orang kuat Mat Taib di Puchong dan pernah dahulu mengaku terlibat dalam menghantar pengundi hantu Selangor ke Terengganu, untuk PRU pada tahun 2004.


Bagi saya, kekalahan yang dialami oleh Umno Selangor ini seharusnya menjadi peluang kepada orang-orang Melayu Selangor untuk berani mendekati kami, penggerak Pakatan Rakyat.


Jika mereka kaki surau, mereka ada penceramah PAS untuk didengari dan didekati. Jika mereka berminat dengan khidmat masyarakat, mereka ada bekas calon PAS di DUN Seri Serdang untuk dibantu. Jika mereka memerlukan bantuan, mereka boleh merujuk kepada Pusat Khidmat Masyarakat PAS, ahli majlis MPSJ yang akan dilantik nanti dan juga JKP yang dikuasai oleh parti gabungan PR. Jika mereka malu dengan PAS, mereka boleh mendekati PKR. Jika mereka tidak suka orang-orang PKR, mereka boleh berjinak-jinak dengan PAS. Jika mereka mahu kelainan, boleh berkenalan dengan orang-orang DAP. Semua boleh asalkan meninggalkan 'kati purba' BN yang semakin senget dan usang.


Kecualilah jika mereka sama sahaja dengan kebanyakan pemimpin Umno yang tidak fikir langsung soal bangsa dan agama, selain poket dan perut. Ketika itu, mereka akan terus bersama kepurbaan mereka demi ada sedikit peluang dan ruang untuk membolot mana yang sempat.


Mat Taib, kini menjadi buruan mereka untuk meneruskan agenda projek dan projek di Selangor. Oleh itu Khir Toyo akan dilupakan terus, melainkan berjaya menjadi ketua-ketua orang muda Umno. Agaknya, mereka juga percaya PR tidak lama memerintah, maka terus setia dengan Umno.


Tetapi siapa pula mereka yang mahu menjatuhkan Pak Lah yang melantik Mat Taib menjadi orang besar Umno Selangor? Saya percaya Umno Selangor kelam kabut kini.




Umno Perlu Lihat Disiplin Ahli PAS- Mat Taib ( Malaysiakini )

No comments:


Mat Taib: Umno, lihat disiplin PAS.
Muda Mohd Noor | Apr 14, 08 7:37pm


Ahli dan pemimpin Umno disaran meniru disiplin ahli-ahli PAS sewaktu parti itu menerima kekalahan teruk di Terengganu dalam pilihanraya umum 2004.
Ketua penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata ahli-ahli parti pembangkang itu tidak pernah mendesak presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang - yang juga menteri besar Terengganu waktu itu - berundur.


Beliau juga meminta Umno melihat parti-parti komponen BN yang tidak membuat desakan sedemikian walaupun mereka mengalami kekalahan yang lebih teruk daripada Umno.

"Kita lihat MIC, MCA dan Gerakan senyap sahaja dalam isu keputusan pilihanraya umum.

"Kita tengok PAS semasa parti itu menang hanya empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, tiada ahli (PAS) yang menyuruh presiden PAS meletakkan jawatan.

"Orang Umno tidak melihat disiplin orang PAS dalam perkara ini," katanya selepas pertemuan perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan wakil-wakil rakyat dan senator BN di ibu negara hari ini.


PAS kehilangan negeri itu, yang dimenanginya pada 1999, apabila berjaya menguasai hanya empat daripada 32 kerusi DUN. Dalam pilihanraya umum sebelum itu, PAS memperolehi rekod di luar jangkaan apabila menang di 28 kerusi.


Muhammad juga mendakwa Umno tidak mengamalkan budaya mendesak presiden parti meletakkan jawatan - mengulas suara-suara yang ingin Abdullah berundur segera susulan kekalahan BN yang tidak pernah berlaku dalam sejarah pilihanraya umum 8 Mac.


Lima negeri, termasuk Kelantan, jatuh ke tangan pembangkang dan BN juga gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

"Mendesak perdana menteri berundur segera bukan budaya Umno dan bukan budaya orang Melayu. Kita tidak tahu budaya dari mana," katanya.

"Kita perlu melihat kembali sejarah peralihan kuasa dalam Umno.
Jika perkara ini (desak presiden berundur) berterusan, saya fikir ia akan menghancurkan parti."


Beliau menambah, Umno menunjukkan prestasi baik dalam pilihanraya ke-12 tetapi parti-parti komponen lain - khususnya Gerakan, MCA dan MIC - yang kalah teruk.

"Prestasi Umno dalam pilihanraya baik. Cuma komponen BN yang gagal berprestasi.
Kita lihat di Perak, Umno menang 28 kerusi DUN, MCA satu (kerusi) sahaja," katanya.

Di Pulau Pinang, BN menang di 11 kerusi, semuanya calon Umno.

Di Kedah, 14 kerusi BN dimenangi masing-masing satu MCA dan Gerakan, manakala selebihnya Umno.

Di Selangor, Umno menguasai 18 daripada 20 kerusi yang dimenangi BN.

Empat negeri ini sekarang ditadbir Pakatan Rakyat.

Streamyx Bermasalah dan Peralihan Kuasa

No comments:

Selamat bertemu kembali.

Saya tidak dapat mengemaskini blog ini sejak beberapa hari lalu kerana masalah streamyx yang dialami. Baharu semalam sahaja ianya berjaya diatasi oleh pihak TM. Terima kasih walaupun agak lewat sedikit.


Sekarang sudah kedengaran dua riuh rendah gelombang kebangkitan rakyat. Pertama rakyat berbincang-bincang menyambut desiran ucapan Penasihat Umum PKR pada 14 April lalu yang yakin perubahan di peringkat kerajaan Persekutuan semakin dekat dan keduanya peralihan segera tampuk kuasa BN didesak oleh golongan akar umbi beberapa buah negeri, terbaru Selangor.


Rakyat yang memilih untuk bersama Pakatan Rakyat mahukan kuasa di persekutuan beralih daripada BN kepada PR. Mereka sudah jemu dengan penyelewengan yang berlaku. Sudah bosan dengan muka-muka lembik mewakili kerajaan Malaysia di arena dunia, gagal memahami kelembapan pemimpin BN mempertahankan rakyat selain kerana habuan poket dan nafsu sendiri dan rindukan keadilan yang benar-benar adil, yang berhak daripada semua pihak mesti mendapatkan haknya.


Bagi rakyat yang ingin melihat peralihan kuasa antara Pak Lah kepada Mohamad Najib dengan kadar segera pula, mengharapkan ia mampu menarik semula sokongan rakyat kepada BN. Mahukan kekuatan dan kestabilan BN dan kerajaan terus semakin pulih dan utuh. Mahukan perkongsian kuasa harmoni antara berbilang kaum di Malaysia. Mahukan juga Melayu terus terbela dan membela.


Persoalan kita ialah, yang manakah lebih memberi kebaikan dan faedah kepada kita sebagai rakyat yang memerhati dan mengharapkan kebaikan untuk diri, keluarga, penduduk setempat dan negara? Kemudian, yang mana pula bakal mengotakan janjinya dan yang mana sekadar meluahkan retorik kata-kata?


BN sudah ada rekod baik sebagai pemerintah negara dan juga rekod-rekod yang dibenci rakyat. PR belum membuktikan apa-apa selain bunga-bunga wangi di 4 buah negeri, jika tidak termasuk gemilangnya PAS di Kelantan. Kelantan sudah menjadi 'benchmark' yang baik buat PAS. Tetapi belum membuktikannya, masih di peringkat awal perjalanan di era baru PR ini.


Sahabat-sahabat dan para pembaca, marilah kita letakkan azam dan tekad untuk menjadi penggerak kepada kebaikan rakyat melalui pelbagai cara yang terbentang di hadapan kita. Semua kebaikan itu nanti adalah diharapkan berbetulan dengan apa yang dimahukan oleh Allah swt dan Rasulullah saw.


Siapa sebenarnya yang ditolak oleh Gabungan Ahli Umno Selangor? Pak Lah atau Khairy? Apakah dengan Najib, BN berjaya menambat hati rakyat?

10.4.08

Coretan Letih, Sedih Dan Kagum

3 comments:

Hari ini badan saya sangat letih. Semalam doktor memberi cuti sakit setelah mengesahkan saya demam. Bukan sekadar demam, saya juga dihinggapi selesema, batuk dan gatal kerongkong.


Sedang mendengar nasihat doktor, saya bisikkan kepadanya benjolan yang ada pada badan saya. Beliau terus mengarah saya menunjukkan benjolan itu, dan...."saya beri surat refer awak ke hospital pakar", kata doktor. Huh, terkejut saya apabila saya perlu menjalani pembedahan kecil untuk membuang benjolan itu.


Hari ini badan masih lagi letih. Ini kerana saya memaksa diri untuk ke tempat kerja, walau badan masih lagi lemah. Pergi pula dengan menunggang motosikal. Pergi balik kerja, hampir dua jam masa digunakan di atas lebuh raya dan jalan raya.


Sebaik pulang hari ini, saya terus bersiap untuk ke sebuah surau di Bandar Kinrara. Kitab Taudih al-ahkam saya jadikan teks pengajian. Kami masih di peringkat awal. Tajuk yang saya bicarakan malam ini ialah muqaddimah bagi kitab ini, yang menyentuh secara ringkas tentang ilmu Usul Fiqh.


Surau ini lain daripada yang lain. Amalan rutin di sini ialah bersolat tanpa jaharkan Bismillah, tiada doa beramai-ramai selepas solat dan cuba memahami sunnah sebaik mungkin. Saya sudah biasa dengan keadaan ini, maka ia tidak asing bagi saya. Apa yang penting, solat kita semua mesti sah dan khusyu'.


Sebaik sahaja pulang saya dikejutkan dengan berita paling sedih bagi saya sejak pilihan raya lalu, Presiden PAS dimasukkan ke hospital kerana serangan awal angin ahmar yang menyebabkan strok ringan. Allahu akbar. Allahumasyfiihi.


Saya terus bergegas ke Harakahdaily dan Malaysiakini serta Tranungkite. 3 rujukan berita terkini saya. Sah Tuan Guru Presiden dihospitalkan. Ya Allah... sembuhkanlah segera beliau. Itu yang berzikir di hati saya.


Jika dulu, beliau pernah dimasukkan ke hospital di Bandar Tun Razak. Tidak silap saya selepas pilihan raya juga, kerana terlalu letih. Kini keadaan yang sama berulang. Saya percaya beliau gagal menjaga diri lantaran terlalu sibuk dan tidak sempat untuk memanjakan diri dengan kerehatan.


Kadang-kadang makanan yang dijamu oleh penganjur sesuatu program juga tidak menepati spesifikasi yang dinasihatkan doktor. Saya berdoa, moga Allah memberikannya kerehatan secukupnya serta sembuh segera untuk terus memimpin perubahan melalui PR.


Insya Allah, esok saya akan arahkan ahli-ahli cawangan bersama-sama menunaikan solat hajat dan doa munajat untuk kesihatan beliau. Kita bertemu di Pasti.


Malam tadi, saya telah menghadiri satu program peringkat UPU di DUN Seri Serdang. Taklimat oleh bekas calon PAS. Kini beliau sedang sibuk dengan usaha menyempurnakan penubuhan Pusat Khidmat Masyarakat. Namun, sejak selepas pilihan raya, beliau sudah terlalu sibuk dengan masyarakat.


Walaupun cikgu kalah, penonjolannya sebagai wakil rakyat sangat jelas sekali. Sejauh Klang beliau dipanggil masyarakat untuk mereka mengadu nasib. Paling teruja apabila mendengar beliau dan rakannya berjaya menyelamatkan seorang ibu tunggal yang diugut dan diancam oleh 3 ah long jika gagal membayar hutang masing2.


Insya Allah saya akan ceritakan kisah kesungguhan cikgu ini, nanti. Saya kagum apabila beliau menegaskan, "saya rasa bertanggung jawab terhadap 18 ribu orang yang mengundi saya dan saya akan berkhidmat untuk mereka selama tiga tahun ini", walaupun hanya kalah 45 undi. Bayangkan ada lebih 8 ratus undi rosak. Boleh anda percaya?


Hari ini saya mengharapkan esok yang lebih baik. Baik bagi kesihatan Tuan Guru Presiden, baik bagi cawangan saya danbaik bagi seluruh kawasan Puchong. Tidak lupa juga, baik buat kesihatan cikgu yang telah menginfaqkan 24 jam sehari untuk membantu rakyat di DUN Seri Serdang yang dimenangi oleh Satim Diman ini.


Ya Allah, Kau sahaja yang mampu memberi kekuatan kepada kami dan mereka. Moga semua diberkati.




8.4.08

Jangan Dua Cara, Dua Pendekatan

No comments:
Zaid bin Thabit meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah 'alaihissolah wa salam telah keluar menuju ke Bukit Uhud, tiba-tiba sekumpulan manusia yang bersamanya berpatah balik ke Madinah. Situasi ini menyebabkan para sahabat Nabi berpecah kepada dua kumpulan.


Sebahagian mereka berkata wajar kelompok ini diperangi, dan sekumpulan lagi mengatakan tidak. Maka Allah Ta'ala menurunkan ayat ke 88 daripada surah al-Nisa'.

" Maka mengapa kamu terpecah menjadi dua golongan dalam menghadapi orang-orang munafiq, padahal Allah telah membalikkan mereka kepada kekafiran, disebabkan usaha mereka sendiri..."


Ayat di atas membawa pengajaran dan panduan yang besar dan banyak kepada kita semua, khususnya selepas mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya yang lalu.


Untuk menjadikan keseluruhan ayat itu sebagai panduan kepada apa yang ingin saya perkatakan adalah kurang tepat, kerana ayat ini menyentuh tentang golongan munafiq yang berada di luar garis aqidah Islamiah.


Saya cuma ingin mengambil panduan pertama daripada ayat tersebut, iaitu tegahan Allah Ta'ala terhadap orang mukmin ( sahabat Nabi ) daripada berbeza pandangan terhadap musuh mereka yang telah jelas memusuhi perjuangan, setelah mereka diberikan segala penjelasan dan kesedaran.


Sahabat Nabi saw belum lagi berbalah, atau tuduh menuduh serta bercakaran dalam mengambil tindakan, namun tetap juga ditegur oleh Allah Ta'ala lantaran menunjukkan dua sikap yang berbeza.


Teguran ini kerana sikap berbeza pandangan tidak seharusnya berlaku dalam menghadapi musuh ketat dan musuh dalam selimut yang boleh memusnahkan perjuangan Islam pada bila-bila masa sahaja.


Teguran ini juga diberikan lantaran mereka berada bersama-sama Rasulullah dan sudah pasti langkah yang terbaik ialah merujuk kepada baginda saw.


Teguran ini turut menggambarkan betapa perbezaan pendapat itu, walaupun di sesetengah keadaan dibenarkan oleh syara', tetapi dalam situasi sebegini boleh melemahkan kekuatan kesatuan para sahabat.


Bersempena dengan 30 puluh hari kemenangan PR dalam pilihan raya yang lalu, janganlah kita berbeza-beza perancangan dan pendekatan dalam menghadapi BN yang jelas musuh politik PR dan sentiasa mencari peluang untuk menghancurkan pakatan.


Peringatan telah dikemukakan oleh Presiden PAS dalam hal ini, ditambah pula contoh yang ditunjukkan melalui usaha mencari kesepakatan dan kaedah lebih baik dan harmoni apabila melakukan kunjungan hormat terhadap KM Pulau Pinang, hari ini.


Tentu menarik apabila melakukan lawatan pada tarikh genap sebulan kemenangan dicapai. Antara lain, Presiden PAS berkata: "Kunjungan hormat saya pada hari ini juga inginkan satu pendekatan bersama bagi menyelamatkan rakyat sekaligus membawa rakyat ke satu tahap yang membanggakan, " tegasnya yang juga Ahli Parlimen Marang, Terengganu.


Malah beliau turut memberi nasihat umum supaya semua pihak mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku selepas pilihan raya kesepuluh yang lalu.


Kata beliau dalam sebuah ceramah sebelum kunjungan, PAS khususnya akan lebih berhati-hati dalam Pakatan Rakyat kerana tidak mahu pengalaman lalu berulang yang akhirnya BN ketawa besar kerana dapat memerintah dengan majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum ke-11.


Kesimpulannya, ketika kita masih lagi dalam situasi berjuang bagi memperjuangkan keadilan dan kebajikan rakyat, satu cara dan satu pendekatan yang dipersetujui bersama mesti diwujudkan. Wallahu a'lam.




5 Menteri Besar PR Bakal Gegarkan Stadium Perak.

No comments:
Oleh: Johari Jaafar

IPOH, 8 April (Hrkh) - Stadium Perak yang selama ini digegarkan sorakan 'Kejo Yop Kejo' pada setiap kali pertandingan bolasepak Liga Super, buat pertama kalinya stadium ini akan digegarkan oleh puluhan ribu rakyat negeri Perak dengan laungan takbir, reformasi dan 'makkal sakti' apabila lima Menteri Besar Kerajaan Pakatan Rakyat berpidato pada 14 April ini bermula jam 8.30 malam.


Lima Menteri Besar Kerajaan Pakatan Rakyat, iaitu Menteri Besar Kelantan,Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor akan berpidato di hadapan puluhan ribu sempena Himpunan Rakyat Negeri Perak anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Perak.


Demikian dinyatakan oleh Ketua Penerangan PAS Perak yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Misbahul Munir Masduki, dalam satu pertemuan dengan wartawan Harakah di pejabatnya sebentar tadi.


"Seluruh rakyat diminta hadir untuk mendengar amanat daripada lima orang Menteri Besar, inilah buat pertama kalinya dalam sejarah Stadium Perak akan bakal menyaksikan himpunan puluhan ribu atas nama pakatan rakyat," katanya lagi.


Acara dimulakan dengan solat Isyak, diikuti dengan solat hajat, selepas itu pidato lima Menteri Besar akan bermula dan orang ramai yang hendak hadir dinasihatkan membawa sejadah.


"Kalau di Stadium Melawati,Shah Alam, Selangor himpunan seumpama itu dihadiri lebih kurang 30,000 orang, insya-Allah puluhan ribu juga akan hadir di Stadium Perak bagi mendengar pidato lima Menteri Besar," katanya. - mks