30.12.08

PALESTIN MENANGIS, KITA MENJERIT

No comments:









Saya terlalu letih mengutuk dan menghaprak pemimpin Arab. Selama lima tahun lebih bekerja sebagai penterjemah stesen berita Al-Jazeera, tiada lagi bahasa yang tidak saya gunakan untuk menyatakan rasa entah apa-apa saya terhadap kelemahan dan kebaculan pemimpin politik Arab, apabila sampai kepada tugasan berkenaan kezaliman Zionis Israel laknatullah terhadap muslimin Palestin. Paling saya kutuk ialah pemimpin PLO sendiri. Haprakssssssss


Tiada juga kata-kata yang mampu lagi saya ucapkan bagi menzahirkan rasa sedih dan simpati saya terhadap penduduk Palestin. Turun demo adalah kemuncak kata-kata saya.


Malaysia, beranikah Malaysia menggangyang Israel yang dibelai manja oleh negara yang menjadi negara paling besar didagangi oleh Malaysia?


Kita turun di hadapan Kedutaan AS adalah kerana kita tahu AS segala-galanya bagi Israel. Arab biarkan Israel kerana AS. Israel lanyak Arab kerana AS. AS mendiamkan diri kerana dia AS. Maka, memarahi AS bukanlah kerja gila atau kerja tidak berfaedah. Sebaliknya AS lah punca kebejatan dan kebiadaban Israel. Jika tidak percaya, kajilah sendiri.


Sahabat-sahabat, jika pintu intifadhah telah dibuka luas untuk ke Palestin, masuklah. Jika pintu itu belum terbuka kini, turunlah ke Kedutaan AS pagi ini, 11 pagi, 30 Disember 2008. Mereka menangis dengan kematian, kita sekadar menjerit dalam hidup...Ya Allah!


Serangan ini dilakukan berturut-turut selama tiga hari dan mungkin lebih lagi. Paling ramai terkorban sejak serangan dan perang pada tahun 1967. Lebih 310 orang telah terkorban. Majoritinya diyakini syahid.



23.12.08

HUDUD DAN HUSAM

4 comments:

1. Saya cuba berada di luar kotak.


2. Isu Hudud yang dimainkan kini oleh media perdana memang memberi tekanan berat kepada imej dan penampilan Naib Presiden PAS, Datuk Paduka Haji Husam Musa setelah Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia berjaya memerangkapnya dalam Wacana Perdana, 20 Disember yang lalu. Kejayaan itu pada isu di media kini, bukan sorakan di dewan.


3. Sampingan, realiti ini menggambarkan manipulasi negatif oleh media perdana boleh berlaku terhadap kenyataan mana-mana pimpinan PAS, baik tokoh ulama dalam parti mahupun tokoh pembaharuan atau pengurusan organisasi.


4. Sefaham saya, Husam dikenali seorang tokoh yang melihat fokus kepada kandungan konsep daulah Islam, berbanding slogan, moden dan pencetus idea baru, tetapi kenapakah beliau memilih jawapan sedemikian, malah mencabar Umno pula, yang hanya sia-sia. Jika cuba untuk memerangkap Khairy atau Umno, maka hasilnya belum kelihatan.


5. Jangan bicara tentang pendirian Umno terhadap Hudud, kerana ianya sedia maklum, kekal dan tiada tanda positif dalam tempoh terdekat. Kecuali jika kenyataan terbaru Najib ingin digunapakai bagi Kelantan bertemu beliau dalam usaha mengaktifkan Hudud di Kelantan.


6. Apakah Husam sengaja menjawab sedemikian agar meraih sokongan pengundi Melayu di Terengganu dan memberi isyarat kepada rakan Pakatan Rakyat tentang cita-cita perjuangan PAS? Saya percaya, pusingan faham politik Pakatan akan kembali ke tahap lama, asal.


7. DAP masih belum berubah dalam laras pemikirannya malah masih terlalu fobia dengan kalimah Hudud. Dalam realiti Pakatan kini, boleh sahaja mereka memahaminya dan memberi respon yang lebih baik terhadap konsep itu daripada hanya menutup pintu dengar dan faham. Salahlah Husam apabila mendakwa DAP lebih memahami Islam sebagai hujah PAS berkawan dengan DAP dan menolak Umno. Soalan Khairy itu perlu difahami dengan jelas jawapannya oleh semua pemimpin PAS.


8. Mereka salah tanggap jika merasakan Hudud telah hilang daripada kamus perjuangan PAS. Mungkin PAS silap percaturan dalam meniadakan kalimah Hudud dalam dua pilihanraya lalu. Mungkin PAS terus diam demi manjaga Pakatan. Jika slogan Negara Kebajikan menjadi 'firm' baru bagi PAS, kenapakah Husam tidak pantas ke arah slogan itu ketika ditanya Khairy?


9. Hubungan dalam Pakatan Rakyat memang penuh dengan 'bom jangka' pelbagai saiz. Menarik untuk kita bertanya kepada pimpinan tertinggi PAS, slogan negara berkebajikan yang digunakan lewat dua pilihanraya lalu, adakah hanya helah atau strategi meraih undi dalam melaksanakan tuntutan siasah syar'iyyah atau merupakan pemahaman baru PAS terhadap konsep daulah Islamiah yang telah ber'evolusi' kepada menghayati dan mengamali kandungan konsep?


10. Bagi saya, jika ia suatu strategi sementara, ia mempunyai ciri-ciri bom jangka hadapan.


21.12.08

CALON PILIHAN PARTI UTK PRK036

No comments:


Ramai yang berminat memberikan pandangan dalam isu pemilihan calon pilihanraya kecil di Kuala Terengganu pada 17 Januari akan datang. Antaranya ialah para blogger yang banyak memberi sumbangan kepada kejayaan Pakatan Rakyat.

Ketika menulis artikel pendek ini, pimpinan PAS Pusat sedang bermesyuarat di Kuala Terengganu. Antara lain, agendanya ialah memilih calon PAS.

Saya menulis bagi menyeru semua ahli PAS agar akur terhadap siapa sahaja yang ditentukan oleh pemimpin kita. Janganlah kerana calon pilihan kita tidak ditaqdirkan Allah Ta'ala, kita mahu merungkai kasih sayang dalam menjalankan kerja jihad pilihanraya nanti. Sehebat manapun calon kita, menang kalahnya banyak bergantung kepada kita, para petugas parti.

Dalam pada itu, untuk meyakinkan diri, jika calon bukan pilihan kita nanti yang terpilih, agar semuanya berjalan lancar, perlulah kita sendiri mendalami kelemahan calon kita, kekurangan calon kesukaan dan kelebihan calon yang ditetapkan oleh jamaah.

Calon baru tempatan banyak kelemahannya. Muka baru yang sukar menarik petugas seluruh negara, tidak berpengalaman dalam mengikuti jadual kempen pilihanraya, tidak dikenali oleh majoriti ahli parti dan hampir semua pengundi atas pagar, tidak diyakini mampu membawa suara parti ke dalam parlimen dan sukar menarik ghairah rakan-rakan Pakatan Rakyat untuk turun berkempen.

Bagi Naib Presiden, Tuan Haji Mohd Sabu, kekurangan beliau pada isu calon luar, penolakan secara baik namanya oleh Pemuda Terengganu, tidak disukai oleh ahli Umno totok dan rekod kalah yang jelas di dalam pilihanraya umum lalu, sedangkan PAS menang di peringkat undian DUN.

Maka, sebagai ahli, jika calon pilihan kita tidak dipilih, maka keputusan itu tidak perlu menjadi penghalang kepada kita untuk terus bersemangat membantu kebenaran perjuangan kita. Ya, segala kesusahan itu, jika di atas kebenaran, maka usaha melaksanakannya adalah satu perjuangan. Bekerja keras memenangkan sesiapa sahaja, termasuk yang jauh dari hati merupakan satu kerja juang.

Yakinlah, sudah tentu calon pilihan parti mempunyai banyak kelebihan dan ia menepati sebahagian besar hukum alam dalam mencapai kemenangan pilihanraya nanti.

"Beristiqamahlah sebagaimana yang anda DIARAHKAN"

19.12.08

PERHATIAN VS CINTA

No comments:
Memang lama saya fikirkan kenapakah remaja kini mudah bercintan-cintun, berkasih sayang atau mencari 'monyet' untuk dicintai.

Baru-baru ini, dan dua hari lepas, saya yakin kepada ulasan seorang sahabat. Itulah kebenarannya, bahawa mereka bukan bercinta sebenarnya, tetapi cuba mendapatkan perhatian yang tiada di rumah.


Cinta, mempunyai kuasa ajaib katanya. Kuasa yang menjadikan 'Po' boleh melompat ke atas para untuk mendapatkan apa sahaja yang boleh dimakan, termasuk paunya. Cinta, lautan api sanggup direnangi oleh seorang vokalis Melayu Rock Kapak 'cintan'. Cinta, membawa kepada pengorbanan seorang ayah membesarkan anak dan menggembirakan si ibu. Itu cinta.

Namun, bercintakah dua jiwa mentah yang sanggup berpisah hanya kerana ingin menyambung pengajian berbayarkan duit ah long 'pi ti pi ti en'? Cintakah itu, jika pemisah mereka hanya satu kalimah lima huruf 'bosan'?

Ya, saya percaya kepada hasil sahabat saya. Itu bukan cinta. Itu tanda ketandusan perhatian.


Remaja kini perlukan perhatian. Perhatian itu mudah hilang. Ia boleh hilang daripada seorang ayah, biarpun dia seorang guru penyayang di sekolah atau aktivis politik berkebajikan. Ia hilang, jika si ayah tadi tidak mahu memberi perhatian kepada anaknya, atas alasan, "biarkan Tuhan menjaganya".

Aduh, mudahnya mendidik anak, serahkan sahaja pada Yang Maha Penyayang. Hambakah Tuhan kita?


Ia boleh hilang daripada seorang ibu yang amat menyayanginya suatu tika dulu. Ia hilang kerana si ibu merasakan perhatian yang diberi sejak kecilnya anak tadi, telah memadai setelah anaknya kini sudah pandai mendekati teman sekolah.

Buat ayah dan ibu semua, jangan perkecilkan ketandusan anak remaja kalian terhadap perhatian kalian. Lantaran hilangnya perhatian ini, maka mulalah mereka mendapatkan perhatian di luar rumah. Maka dengan siapa mereka mencari? Di mana perhatian diperolehi dan bagaimana ia ditemui?

Oleh itu, pulanglah memberi perhatian kepada anak-anak!

9.12.08

NURSYAIRAH, KAU PERGI JUA

No comments:
Nursyairah duduk hadapan sebelah kanan. Ketika bergambar,
anak istimewa berusia 19 tahun


Rasanya, kadang-kadang sukar memahaminya. Memang sukar, mungkin bukan kekadang, tapi selalunya begitu. Sentiasa. Dia mungkin memahami kita, hati budi kita dan lagak marah sayang kita. Dia pula, bukan semua kita dapat memahaminya dengan mudah. Itulah istimewanya dia.


Dia selalunya ceria, gembira dan senang. Jika kami di meja makan, di situlah dia berlabuh. Jika nasi yang kami jamah, itulah jua makanannya. Pantang ditegur, cepat juga merajuk, lebih-lebih lagi jika dua adiknya mengusik. Mulut yang muncung diketapkan bibirnya. Kadang pula, dia cepat mengalirkan air jernihnya. Itulah dia.


Dia memang berani. Anak gadis yang tidak kenal malu. Ya, itulah dia. Tanpa segan tanpa silu, dengan usianya itu, aku dipeluki, disayangi. Memang dia menyayangi aku, walau aku hanya seorang lelaki asing yang baru bertamu di rumahnya. Itulah bukti sayang dan kasihnya seorang manusia, walau dia masih istimewa.


Masanya pula, selalunya bersama papa dan mamanya. Sentiasa di kaki, di riba, di pinggang, di dada dakapan sayang dan didukung tinggi memikul amanah Ilahi. 20 tahun dia ditatangi, dimanja, dibelai, dididiki, diadabi, dibesari, diasuhi dan disayangi. 20 tahun itulah dia istimewa buat keluarga. Buat Papa, buat Mama, buat semua.


Sukanya, suka semua. Tangisannya, sebak semua.


20 tahun itulah ujian dipikul semua. Membesarkan dia yang sentiasa 'kecil', mendewasakan dia yang berjiwa 'adik'. Tiada langsung di hati rasa kecewa. Tidak pernah terlintas membantah takdir. Jauh sekali mahu dia pergi segera. Tapi, dia telah pergi. Dia pergi jua sebelum kita meninggalkannya sendirian.


Itulah kehendak Ilahi. Itulah kerja Tuhan. KerjaNya kerja berhikmah. KerjaNya kerja bijaksana. Kami hanya pasrah, rela, redha dan serah.


Jam 9.45 malam, Sabtu malam Ahad, nyawanya diambil Ilahi di katil 6, Wad ICU, Hospital Serdang, Selangor Darul Ehsan. Ihsannya Allah meringankan bebanan denggi yang meragut fungsi organnya. Ihsannya Allah memudahkan dia pergi. Ihsannya Allah memudahkan sakaratnya.


Alhamdulillah, dia disemadikan pada tanggal mulia 9 Zulhijjah 1429. 4 jam sebelum jutaan manusia berwukuf, dia sudah bersatu dengan asalnya, di Batu 14 Puchong.


Nursyairah, bermacam usaha kami lakukan, namun Allah mahu, kau pergi jua. Al-Fatihah


++++++

Kau Sahabat Kau Teman

Album : Pelita Hidup II
Munsyid : Hijjaz
http://liriknasyid.com

Telah tiba saat waktu kau tinggalkan kami
Kerana takdir yang Maha Esa telah menetapkan
Sedih rasanya hati ini bila mngenangkan
Kau sahabatku kau teman sejati

Tulus ikhlasmu luhur budimu bagai tiada pengganti
Senyum tawamu juga katamu menghiburkan kami
Memori indah kita bersama terus bersemadi
Kau sahabatku kau teman sejati

Sudah ditakdirkan kau pergi dulu
Di saat kau masih diperlukan
Tuhan lebih menyayangi dirimu
Ku pasrah diatas kehendak yang Esa

( korus )
Ya Allah,tempatkannya di tempat yang mulia
Tempat yang kau janjikan nikmat untuk hamba Mu
Sahabatku akan ku teruskan perjuangan ini
Walau ku tahu kau tiada di sisi

Perjuangan kita masih jauh beribu batu
Selagi roh masih di jasad hidup diteruskan
Sedih rasa hati ini mengenangkan dikau
Bagai semalam kau bersama kami

( korus ) Moga amanlah dan bahagia dikau di sana
Setangkai doa juga Fatehah terus kukirimkan
Moga di sana kau bersama para solehin
Ku sahabatku kau teman sejati

8.12.08

TALKIN SATU TAZKIRAH

No comments:

Bismillah al-Rahman al-Rahim. Mahasuci Tuhan yang Engkau bersifat dengan Baqa' dan Qidam, Tuhan yang berkuasa mematikan sekalian yang bernyawa.


Mahasuci Tuhan yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan siapa yang kecewa.


Mahasuci Tuhan yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai, dan sebesar-besar amaran kepada orang yang masih hidup.


Ingatlah! Bahawa sekalian mahluk Allah akan menemui ajal dan binasa, melainkan zat Allah Taala, Tuhan yang Maha Besar kuasa menghukum, manakala kita sekalian akan kembali menghadap Allah Taala.


Wahai Nursyairah binti Rohani, Nursyairah binti Sulong, wahai seluruh yang hadir pada hari ini, hendaklah kamu semua ingat akan janji-janji Allah dan apa yang kamu akan bawa bersama-sama dari dunia ini.


Kamu telah mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah, dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah.


Ingatlah kalian semua, apabila datang kepada kamu 2 orang malaikat iaitu Mungkar dan Nakir, maka janganlah berasa gentar dan takut, janganlah kamu berdukacita dan risau serta janganlah kamu susah-hati dan terkejut. Ketahuilah kita semua, bahawasanya Mungkar dan Nakir itu hamba Allah Taala, sebagaimana kita juga hamba Allah Taala.


Mereka akan bertanya kepada kita yang akan mati nanti, bertanya kepada si mati ini:

Siapakah Tuhan kamu? Siapakah Nabi kamu? Apakah agama kamu? Apakah kiblat kamu? Siapakah saudara kamu? Apakah pegangan iktikad kamu? Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?


Di masa itu hendaklah kita menjawab soalan-soalan mereka dengan cermat dan
sehabis-habis terang, tepat dan betul. Janganlah kita berasa gementar dan jawablah dengan tenang:


Allah Taala Tuhanku, Muhammad nabiku, Islam agamaku, kitab suci Al-Quran ikutanku, Baitullah itu qiblatku, malahan solah lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas aku. Semua orang Islam dan orang yang beriman adalah saudara aku, bahkan dari masa hidup hingga aku mati aku mengucap: "La ila ha illallah Muhammaddur rasulullah".


Wahai kaum muslimin, janganlah sekali-kali meninggalkan solat, kerana itulah amalan pertama yang akan dihitung oleh Allah Taala. Tidak berguna kejayaan di dunia jika Allah dilupakan, solat ditinggalkan dan nafsu mengusai diri. Jangan sekali-kali menderhakai kedua ibu bapa yang masih hidup. Jangan sekali-kali melupakan agama dan menganggap hidup di dunia ini selama-lama.


Wahai kaum muslimin, inilah dia suatu dugaan yang paling besar. Ingatlah bahawa kita akan tinggal didalam alam Barzakh, sehingga sampai satu masa, kita akan dibangunkan semula untuk berkumpul di Padang Mahsyar.


Insaflah wahai kaum muslimin yang hadir, bahawa senya mati ini adalah benar, soalan malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur ini adalah benar, bangun dari kubur kemudian kita dihidupkan semula adalah benar,berkumpul dan berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar, dihisab dan dikira segala amalan kita adalah benar, minum di kolam air nabi adalah benar, dan akhirnya syurga dan neraka adalah benar.


Bahawa senya hari Kiamat tetap akan tiba, begitu juga Tuhan yang Maha Berkuasa akan membangkitkan semula orang-orang yang di dalam kubur.


Semoga Tuhan akan memberi sejahtera kepada Nursyairah.Tuhan jua yang menetapkan hati beliau. Kita sekalian berdoa mudah mudahan Allah Taala menjinakkan hati Nursyairah dan kita semua, dan Allah menaruh belas kasihan kepada dia dan kita yang berdagang seorang diri di dalam kubur nanti. Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan dan memaafkan kesalahan dia dan kita semua serta menerima segala amal kebajikan beliau dan kita.


Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepada Mu supaya tidak disiksa mayat ini, juga kami di alam kubur nanti, dengan sifatMu yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.


Subhana rabbika rabbil 'izzati 'amma yasifun wassallamu 'ala al-mursalin walhamdulillahi rabbil 'alamin.


++++++


Talkin ini dibaca sebagai satu tazkirah kepada penyampainya, para hadirin dan jenazah yang telah selamat disemadikan. Saya mengambil bacaan talkin ini di alam siber, disuntik ruh tazkirah dan ditujukan terutamanya kepada yang hidup, dengan menukar sedikit penggunaan bahasanya.


Dibaca secara berdiri bersama para hadirin lain, kemudiannya membaca fatihah dan tiga Qul untuk disedekahkan kepada simati, seterusnya berdoa untuk kebaikan yang hadir dan jenazah. Moga ianya menjadi amalan yang diredhai Allah.


4.12.08

PENGISIAN MINDA KEM HIIJRAH REMAJA 1430

No comments:

SKOP PENGISIAN MINDA KEM HIJRAH REMAJA ISLAM 1430

“Kamu adalah apa yang kamu percaya” merupakan kaedah yang menjelaskan tentang peri pentingnya PARADIGMA atau cara melihat sesuatu. Inilah fungsi penting Aqidah iaitu mengubah cara manusia memandang; melihat kehidupan dari perspektif Pencipta kehidupan. Justeru Kem Hijrah Remaja Islam (HIJRI) kali ini menekankan kepada usaha untuk melakukan anjakan paradigma yang holistik membabitkan topik-topik berikut:

1. PUZZLE AGAMA

Huraian Hadith Jibril a.s. tentang Iman, Islam dan Ihsan dalam konteks Input, Proses dan Output. Merawat kesilapan 7 buta meraba gajah agar al-Deen tidak difahami secara serpihan. Cabaran keluarga dan pembangunan ekstrim juga terbit dari hadith yang sama.

2. IMAN ITU INPUT

Kenal diri kenallah Ilahi… segmen yang membawa peserta meneroka potensi dan batasan diri untuk sampai kepada soalan “mengapa hidup perlu berTuhan”. Peserta mencari sebab beribadah sebelum mendalami kaifiyat ibadah. Kuasa percaya sebagai kunci untuk berjaya adalah sari pati segmen ini.

3. IBADAH ITU PROSES

Ibadah ialah mekanisma yang memproses Iman dengan cara-cara yang diajar petunjuk Nabawi, supaya terbit kualiti Ihsan. Adalah salah menganggap bahawa seseorang itu baik kerana bersolat, sebaliknya bersolatlah untuk menjadi baik. Solat itu proses, baik itu adalah hasil.

4. IHSAN ITU OUTPUT

Ihsan itu cemerlang. Motonya adalah “Buat Habis Baik”. Iman yang diproses Ibadah, menghasilkan baik kepada Tuhan, baik kepada insan dan alam kehidupan, baik kepada pelajaran dan pekerjaan. Kemuncak agama adalah Akhlaq. “Aku diutus untuk menyempurnakan kemuliaan Akhlaq,” mesej Nabawi yang menjadi kata kunci.

5. SINERGI KELUARGA DAN TAULAN

Manusia makhluq sinergi. Berdikari bukan pada hidup sendiri. Ibu bapa paling utama, pergaulan teman harus ada panduan. Pengurusan emosi satu kemestian, cinta dan cita-cita perlukan penyelarasan.

6. CITA-CITA DAN KERJAYA

Misi dan visi Khalifah Allah, hidup berperanan menyumbang faedah. Setiap manusia dilahirkan bukan bodoh vs pandai, tetapi berbeza-beza keistimewaan. Peserta diajak mencari minat dan bakat, disuntik disiplin, perkongsian pengalaman dan nasihat. Forum kerjaya oleh tokoh berjaya, agar jalan ke depan cerah kelihatan.



1.12.08

KEM HIJRI : ANJURAN SAIFULISLAM TRAINING & CONSULTANCY

4 comments:

Saya bersama tiga orang sahabat akan mengadakan satu kem khusus untuk remaja berusia antara 13 sehingga 19 tahun, lelaki dan wanita. Semua pembaca remaja dijemput menyertai kem ini, atau yang dewasa mencadangkan anak atau adik atau saudara masing-masing. Terima kasih juga jika para pembaca sudi menghebahkan kem ini.


Kekuatan kem ini adalah pada pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki oleh ABU SAIF @ USTAZ HASRIZAL, pemilik Saifulislam.com dan dua sahabat saya yang lain, USTAZ HAJI IZHAM HASNI M. ISA DAN USTAZ MOHAMAD RIDZUAN KHALIN. Saya menjadi pelengkap, demi menjayakan kem tersebut. Sila baca seterusnya.


Untuk maklumat lanjut, mengenali fasilitator yang terbabit dan mendaftar sila hubungi Haji Izham di talian 013-3495555 atau secara online, sila klik di sini.




KEM HIJRI


Kem Hijrah Remaja Islam 1430H ini, adalah sebuah program bersifat residential, yang kami tawarkan khusus untuk anak-anak remaja berusia di antara 13 ke 19 tahun. Program ini menggabungkan segala unsur pembelajaran membabitkan kuliah, latihan dalam kumpulan, permainan interaktif, aktiviti outdoor, serta slot-slot bicara hati ke hati, bukan sekadar untuk menyampaikan mesej kepada peserta, malah untuk kami menyelami isi hati, berusaha memahami dan seterusnya berkongsi pandangan secara yang lebih eksklusif kepada peserta KEM HIJRI ini.


Idea Tasawwur (gambaran) Islam yang segar, dinamik, kontemporari dan praktikal, akan disampaikan kepada remaja dengan bahasa remaja, bersama harapan agar proses untuk menjiwai dan mengamalkan hasil KEM HIJRI ini akan lebih mudah dan sesuai dengan panca roba kehidupan mereka yang serba mencabar hari ini.


Kami juga menawarkan ruang untuk peserta-peserta berdialog dengan fasilitator yang berlatarkan pelbagai bidang pengajian yang syariatik juga saintifik untuk sumbangsaran perancangan pelajaran dan kerjaya mereka nanti.


Untuk maklumat lanjut, mengenali fasilitator yang terbabit dan mendaftar sila hubungi Haji Izham di talian 013-3495555 atau secara online, sila klik di sini.






Program bakal diadakan Insya Allah di Nur Bukit Unggul di Sepang. Cawangan terkini Nur Lembah Pangsun ini menawarkan persekitaran yang segar, selamat, bersama fasiliti perkhemahan yang sempurna. Layari halaman web Nur Bukit Unggul untuk keterangan lanjut mengenai lokasi pilihan kami ini.



3 hari 2 malam adalah umur anda atau anak remaja anda yang menjadi amanah kepada kami untuk berkongsi pengetahuan serta pengalaman, demi menyambut kedatangan 1 Muharram 1430H sebagai detik perubahan dengan penuh makna dan semangat untuk berjuang juga cemerlang.



KEM HIJRI INI akan mencakupi 6 Topik Dasar iaitu:


1. Meneroka rupa bentuk Islam (IPO Input Proses dan Output pada Iman, Islam dan Ihsan)

2. Muslim pada Aqidah, Ibadah dan Akhlaq, yang banyak menekankan aspek MENGAPA disusuli BAGAIMANA

3. Meneroka aplikasi konsep Syariatullah dan Sunnatullah untuk kecemerlangan holistik peserta

4. Pengurusan Emosi dan Cinta Remaja

5. Memulihkan Nilai Kekeluargaan dan Interaksi Sosial

6. Merancang Pembelajaran dan Kerjaya


Ketemu kami di Nur Bukit Unggul, Sepang….


Untuk mendaftar sila hubungi Haji Izham di talian 013-3495555 atau secara online, sila klik di sini.