2.2.09

NAJIB DAN PAK LAH SAMA-SAMA MALU, TAJOL BOLEH JADI HERO

Kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa beliau tidak tahu berapa ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pakatan Rakyat di Perak yang akan menyertai Barisan Nasional (BN) memang memalukan.

Beliau sepatutnya malu kerana Perdana Menteri lebih mengetahui hal tersebut apabila sebelum itu menegaskan lebih dua orang akan menyertai BN. Atau Pak Lah sendiri yang rasa malu kerana pandai-pandai membuat kenyataan sedangkan Pengerusi BN Perak pun tak tahu apa-apa. Tapi, eloklah kalau dua-dua malu apabila dua bekas exco PKR itu menegaskan kononnya mereka masih lagi wakil rakyat PKR, tidak BN dan bukan juga bebas, dan tiba-tiba dua-dua tadi yang serentaknya sakit, sihat mengejut. Pandai pula berurusan dengan BERNAMA?

Habis, bukankah berita semalam telah maklumkan yang mereka telah menjadi wakil rakyat bebas? Sila rujuk semula berita TV3.

Najib berkata, "saya tidak tahu, kita akan lihat," ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini bahawa beberapa ADUN daripada pakatan itu akan menyertai BN.

Sebelum itu, tentu sahaja Najib bengang kepada Pak Lah kerana cepat sangat membuat dakwaan kemasukan wakli rakyat PKR itu, sedangkan ketika itu Najib mungkin sedang mengatur strategi tertentu di rumahnya di Pekan. Bukankah itu membuktikan dua yang hilang itu memang 'diculik' oleh sesiapa? Pak Lah tahu dari mana sedangkan kerajaan Perak pun tak dapat menghubungi mereka?

Jangan-jangan Pak Lah ada 'game' untuk Najib kut, bagai dakwaan sesetengah peminat politik, Khairy bengang peranan Najib melalui SPRM yang kelihatan menyusahkan orang-orang Khairy di Pahang.

Beberapa hari lepas, saya ambil MC kerana demam, selesema dan bersin. Namun sempat juga saya maklumkan melalui sms kepada sahabat-sahabat di pejabat. Sudah tentu MC ada pada saya kerana saya pergi ke kelinik dari rumah, dan tidak pula ke pejabat selepas itu untuk tinggalkan MC itu di pejabat. Kalau orang kata kenapa tak hantar sendiri MC pada hari saya sakit, saya balas balik, baik pergi kerja kalau larat bawa motor ke pejabat untuk hantar MC.

Bagi dua bekas exco tadi, MC mereka ada di pejabat. Memang hebat.

Sekarang surat peletakan jawatan mereka telah diserah kepada Pengerusi SPR Perak. Pengerusi SPR Malaysia melalui berita tengahari ini berkata esok akan diadakan mesyuarat khas membincangkan kedudukan surat tersebut. Ia akan dikaji oleh pihak perundangan SPR sendiri sama ada ianya sah atau sebaliknya. Jika boleh diterima, bermakna akan ada pilihan raya kecil di Behrang dan Cangkat Jering.

Hal berkaitan persiapan dan kesan pilihan raya itu, kita boleh bincangkan kemudian di bawah tajuk lain, yang mana ianya sangat menarik selepas PR menang di dua pilihan raya kecil perlimen sebelum ini.

Apakah strategi Najib sebenarnya?

Najib tentu ingin merampas semula Perak selepas Tajol menyerah kalah. Najib tidak mahu menunggu lama sehingga PRU akan datang, kerana beliau terdesak untuk menunjukkan ke'beradaannya' dan kehebatannya dalam sebulan dua ini, selepas dua kali tewas di Pulau Pinang dan Terengganu.

Jika Pak Lah terpaksa menunggu pilihan raya umum untuk merampas semula Terengganu, Najib ingin dilihat lebih 'canggih' agaknya. Tajol hilang kelayakan bermain. Zahid dijadikan pembantunya. Maka bermulalah pelan merampas.

Dua bekas exco dijadikan sasaran. Namun semuanya serba tak menjadi. Surat peletakan jawatan wakil rakyat tanpa tarikh mereka menjadi penghalang utama. Ianya boleh juga disebut sebagai penyelamat kepada kerajaan PR Perak. Apakah dua orang itu tidak tahu atau ingat tentang surat itu? Mustahil tidak ingat.

Buat-buat tak tahu agar mereka beroleh sesuatu daripada BN? Apabila PR Perak mula bertindak, baharulah semuanya tersentak?

Saya tidak mahu mencela atau menghina mereka berdua, kerana saya faham ujian ke atas mereka berat. Kita maafkan apa-apa kesilapan mereka yang lalu, jika benar melakukannya. Ujian kini ialah, ke kiri ke penjara, ke kanan ke peti simpanan jutaan ringgit. Itulah andaian ramai orang. Benar atau tidak, itulah lojiknya kalau orang yang telah didakwa di mahkamah hilang secara tiba-tiba dan timbul pula desas-desus akan meninggalkan partinya sendiri.

Bagi saya, kalau ditawarkan selamat daripada penjara oleh pembesar zalim, walaupun tanpa imbuhan, itu sesuatu yang sukar ditolak. Benteng akhir saya untuk tidak meninggalkan perjuangan cuma kekuatan iman melalui latihan usrah dan tarbiah yang diadakan.

Katakan surat tersebut tidak laku. Apa permainan seterusnya? Drama ini mesti bermula dengan pengekalan jawatan exco dua orang tersebut. Mereka sihat. Mereka masih PKR.

Sebaliknya, Najib mesti tarik mereka, jika gagal Najib memang sangat lemah. Bolehkah mereka meninggalkan PKR dengan baik dan aman selepas beriya-iya menafikan peletakan jawatan itu? Mahukah BN orang semacam itu menyertai mereka?

Pilihan Najib yang bermoral ialah, sama ada menunggu wakil rakyat PR yang lain menyertai BN atau biarkan sahaja pilihan raya kecil berlangsung. Janganlah teruskan mengekori buntut Jamaluddin dan Mohd Othman kerana itu memalukan semua orang, termasuk Pak Lah.

Ingin menunggu wakil rakyat PR lain masuk BN, sampai bila? Terlibat dalam pilihan raya ketika sibuk pemilihan Umno adalah malapetaka bagi orang-orang Umno. Lebih ringan jika Najib malu sahaja, dan kerajaan Perak terus kekal diperintah oleh PR.

Bagi PR, jika pilihan raya tidak berlangsung, mereka tetap berhadapan risiko tinggi kerana kes rasuah dua bekas exco ini memang menyusahkan. Tiada pilihan selain meneruskan perbincangan dengan wakil rakyat BN yang lain.

Jika saya menjadi pengarah drama ini, saya suka ingin menghidupkan semula watak Tajol Rosli. Saya akan jadikan beliau pelakon pembantu yang berjaya menyatukan dua kumpulan bertelagah apabila dia bersama tiga empat orang pengikut setianya menyertai kerajaan memerintah.

Bayangkan perasaan orang kampung, orang Gerik, orang hulu, orang Parit, orang Melayu, waris orang Perak dan bermacam orang lagi apabila Tajol menjadikan PAS majoriti di Perak untuk mentadbir urusan dunia dengan agama Islam yang sama dianuti. Bayangkan pula betapa sukacitanya tuanku-tuanku di Darul Ridzuan dengan penyatuan itu oleh Tajol. Bayangkan sengehnya Tuan Mufti yang mulia dengan mesranya Tajol dan Nizar mengapit mesra Raja Nazrin Shah.

Itulah, kalau saya menjadi pengarah. Saya suka watak Tajol sebab dia orang baik-baik yang boleh jadi lebih baik.

Apa-apapun, setakat ini, paling malu Najib dan Pak Lah.

No comments: