29.5.09

AGENDA-AGENDA DALAM PARTI?

No comments:

1. Seronok juga melihat kebijaksanaan Harakah beragenda dalam pemilihan parti kali ini. Rupa-rupanya ia juga berjaya dikesan oleh kolumnis Malaysiakini, Fathi Aris Omar.

2. Jika minggu lepas Seminar Kepimpinan Ulama PAS tidak mendapat tempat menarik dari Harakahdaily, bagaimana pula Konvensyen Kelab Penyokong PAS pada hujung minggu ini?

3. Saya percaya, sesiapapun yang menguasai Harakah/Daily pasti akan mengambil kesempatan yang ada, untuk menyebarkan fahaman dan pendirian masing-masing kerana sukar bagi seorang wartawan itu untuk tidak berpihak.

4. Terdiam apabila Mursyidul Am tersilap merujuk nama seminar ketika ucapan perasmian beliau minggu lepas. Harap2 bukanlah Tuan Guru yang tersilap faham. Biarlah apa yang berlaku itu kerana salah "membrifing" beliau oleh pembantu. Malang juga, wartawan Harakah juga boleh tersilap!

5. Sudah lebih daripada dua kali saya mendengar nasihat tegas Presiden agar jangan dibiarkan wujudnya sebuah lagi parti Islam di Malaysia sepertimana banyaknya parti Islam di Turkey, Indonesia, Jordan, Kuwait, Algeria dan negara-negara Islam lain. Apakah mesej ini bagi menasihati pihak tertentu yang sedang beragenda? Sama ada agenda untuk menubuhkan parti lain atau agenda yang boleh menyebabkan terwujudnya parti Islam lain, saya tidak tahu.

27.5.09

NIZAR, KEMPEN, MI CELUP, PANDANGAN PERIBADI

2 comments:
Nizar

Pelbagai usaha telah dilakukan oleh Ir Nizar bagi mendapatkan haknya semula. Juga pimpinan PR yang lain. Seluruh anggota Pakatan Rakyat di belakangnya. Begitu juga penyokong beliau sama ada yang berparti atau tidak. Malangnya, beliau berjuang di kawasan yang tidak subur demokrasi dan keadilannya. Selalunya ketidakadilan itulah yang akan dilihat adil oleh mata kasar rakyat melalui kaca mata orang-orang TV kerajaan. Oleh itu, saya percaya, pilihanraya umum akan datang adalah jalan terbaik bagi PR untuk merampas semula kerajaan.

Jika kita mampu bersabar dengan 50 tahun kezaliman BN, rasanya tidak lama sangat untuk bersabar selama tiga tahun lagi. Sabar bagi saya, bukan hanya melihat penipuan dan rampasan dengan berdiam diri. Tidak begitu. Bersabar bagi saya, lakukan sesuatu yang benar-benar matang, teratur, tidak hanya gimik, atau meraih sokongan yang mungkin dilihat murahan oleh sebahagian rakyat Perak yang mereka itu pengundi semuanya dan tenangkan diri atas segala keputusan berat sebelah yang diputuskan. Penipuan BN bukan baru, tetapi penerusan kepada rangkaian tipu-tipunya.


Kempen

Harakah tidak dibenarkan digunakan untuk berkempen. Itu keputusan Gikgu Pa dan mungkin dipersetujui semua anggota jawatankuasa beliau. Tetapi sudah pasti tidak melibatkan akhbar syarikat lain yang tidak dimiliki PAS. Calon bagi pemilihan parti PAS pada awal Jun nanti, boleh sahaja berkempen di akhbar lain jika mahu. Boleh panggil untuk kenyataan media atau lakukan pelbagai program yang tidak berterus-terang ke arah berkempen, kemudian memanggil wartawan atau timbulkan kenyataan kontroversi atau apa sahaja.

Walaupun begitu, janganlah sekali-kali lupa kepada pesanan Rasulullah saw kepada sahabat baginda yang meminta jawatan. Bagi peminta ini, janji Allah sangat jelas, kalian akan ditinggalkan jika memperolehi apa yang diminta dan dikejar itu. Merebut peluang melakukan kebaikan perlu ikhlas dan kebaikan itu adalah untuk kepentingan agama. Adapun jika merebut untuk buat baik dengan didasari kepentingan peribadi dalam politik dan parti, maka tunggulah masanya calon ini akan dihina oleh jawatannya itu.

Memanggil wartawan juga sudah bermula di dalam parti termasuk mengkritik calon lain yang dilihat telah melanggari prinsip diri pengkritik. Mungkin ini contoh menegur pemimpin secara terbuka dan dengan penuh keikhlasan.

Berbalik kepada kempen di dalam Harakah, saya fikir tidak salah jika Harakah sendiri yang berkempen untuk calon tertentu kerana bukan kehendak calon itu sendiri. Oleh itu, saya sedang menunggu siapa pula yang akan dikempen oleh Harakah sendiri.


Mi Celup

Semalam saya terbaca satu kenyataan yang saya sendiri belum pasti dan malas untuk memastikan sama ada pemimpin yang mengeluarkan kenyataan ini sesuai dilabelkan mi celup ikut tafsiran Ustaz Nik Abduh atau tidak. Katanya tidak salah untuk mengadakan mogok lapar asalkan tidak membawa kepada kematian. Saya tidak cuba kaitkan beliau dengan mi celup kerana ijtihadnya itu bersanggahan dengan pandangan saya sebelum ini, sebaliknya kerana ianya bercanggah dengan ramai ulama dalam PAS, sedangkan dia bukan ulama. Malah, wajarkah pula dia berijtihad?

Menegaskan hal ini, bagi saya dua perkara yang kedudukannya memang jelas dan berbeza mesti dipisahkan jika ingin memperkatakan isu mogok ini. Pertama, usaha memberi keterangan daripada sudut hukum, agar umat Islam faham dan tidak terlibat dalam melaparkan diri, merestui majlis mogok lapar atau menggalakkan orang lain melakukan mogok lapar ini, walaupun mereka bukan Islam, keran ia berkaitan hukum dan prinsip asas agama. Kedua tentang isu yang dimainkan oleh BN untuk memburukkan PAS. Untuk menangkis dan menjawab mainan itu, pemimpin politik mahir melakukannya.


Pandangan Peribadi

Ramai yang kagum dengan kertas yang dibentangkan oleh Timbalan Mursyidul Am baru-baru ini. Ramai juga yang tidak senang kerana seperti menjadi sasaran. itu terpulang kepada pandangan masing-masing.

Saya menuntut, kertas itu dibaca dan difahami secara berasingan daripada isu pertandingan jawatan dalam parti, baharulah anda dapat menilai tingginya manfaat kertas tersebut. Jika tidak, maka cepatlah anda mengatakan ia kertas peribadi Dato'. Setahu saya, banyak kenyataan dan idea pimpinan di dalam akhbar dan Harakah sendiri adalah semuanya berstatuskan peribadi.

Nampaknya, belum boleh lagi untuk pemimpin tertentu taat dan patuh kepada pandangan peribadi anggota Majlis Syura jika berlawanan dengan kehendak diri. Tidak seperti taksubnya orang-orang syiah terhadap pemimpin mereka yang diyakini maksum itu. Jika begitu halnya, susahlah jika mereka ini bukan ulama dan terpaksa pula mengikut telunjuk ulama yang menganggotai syura, sedangkan ianya tidak dapat dipatuhi.

Jelas, situasi ini bermakna PAS belum boleh meletakkan Majlis Syura itu benar-benar berkuasa dan berautoriti seperti berkuasanya Majlis Penasihat Syariah kepada sesebuah Bank Islam yang memang mahu melaksanakan sistem Islam sepenuhnya. Saya sangat bimbang jika suatu hari nanti semua pandangan peribadi Mursyidul Am menjadi bahan halwa telinga sahaja.

23.5.09

MOGOK LAPAR TIDAK SELARI ISLAM - PANDANGAN SAYA

No comments:
1. Ulama menolak amalan mogok lapar. Itu fahaman saya. Mogok lapar bermakna menahan makan kerana memperjuangkan sesuatu hak atau mendesak sesuatu tindakan diambil oleh pihak lain. Ia termasuk di dalam kategori memudaratkan diri sendiri. Ia pernah dipopularkan oleh Martin Luther King Jr. dan Mahatma Ghandi. Nabi berpesan mafhumnya "jangan dimudaratkan dan jangan memudaratkan diri". Mogok lapar termasuk dalam kategori hadis ini. Selanjutnya, mungkin hukumnya berbeza jika ianya satu-satunya cara untuk mendapatkan hak dan tiada cara lain serta ia termasuk dalam isu dharurah, seperti apa yang pernah dilakukan oleh tahanan Guantanamo beragama Islam.

2. Saya merujuk kepada usaha Pakatan Rakyat di perak yang ingin melakukan mogok lapar demi pembubaran DUN. Ini mungkin budaya baru PR, tetapi bukan budaya lama dan baru PAS, kerana PAS berlandaskan Islam. Mohon hal ini dirujuk kepada ulama muktabar.

3. Apa yang pernah berlaku kepada Nabi dan sahabat dan dibincangkan oleh para ulama ialah berpuasa sehingga dua hari atau lebih tanpa berbuka. Juga membawa makna sama, jika berpuasa sehingga lewat malam. Sahabat pernah bertanya Nabi dalam hal ini kerana ianya dilakukan oleh baginda. Jawapannya ringkas "Tuhanku memberi makan dan minum kepada aku di waktu malam aku". Nasihat Nabi, sahabat semua jangan melakukannya. Ini termasuk dalam khususiyyah baginda saw.

4. Tegas Ibnu Qudamah, majoriti ulama mengatakan "Puasa Wisal" ini adalah makruh. Imam Nawawi menyebut di dalam kitabnya Majmu' : "Manakala hukum wisal di sisi kami, ianya makruh tanpa khilaf. Apakah ia karahah tahrim atau tanzih? Ada dua pandangan...Paling sahih di kalangan ulama ( mazhab )kami adalah karahah tahrim ( maknanya haram ) dan inilah zahir nas Imam Syafie."

5. Jika Puasa Wisal yang merupakan suatu amalan berasaskan sunnah, iaitu puasa, dan dibuat untuk keredhaan Allah, cuma caranya sedikit berlawanan dengan sunnah telah diharamkan oleh agama, apakah mogok lapar ini boleh diterima agama? Bagi saya, ia tidak selari dengan Islam kerana kita masih lagi ada cara lebih baik, harmoni dan mengikut landasan agama untuk perjuangkan pembubaran DUN Perak. Sama ada diterima sultan atau tidak, itu soal lain.

6. Saya mohon dijelaskan jika ada pandangan lain yang kuat menegaskan mogok lapar ini boleh diterima Islam. Terima kasih

21.5.09

RENUNGAN BUAT YANG BAKAL MEMIMPIN

No comments:

1. Islam telah menggariskan beberapa tugas penting yang mesti dilaksanakan oleh pemerintah Islam sekiranya diberikan kuasa oleh Allah swt. Bagi yang belum berkuasa, kewajipan itu perlu disandang pula oleh pemimpin-peminpin utama gerakan Islam yang sedang berusaha menguasai muka bumi Allah ini dengan sebaik yang mungkin. Pelaksanaannya hendaklah bermula daripada institusi yang ditadbirnya. Kewajipan itu adalah sangat banyak dan saya perturunkan antara yang utama di sini bagi renungan bersama.

2. Kewajipan paling utama adalah menegakkan agama Islam. Maksudnya ialah memelihara Islam, menyebarkannya, mempertahankannya daripada sebarang kekeliruan yang ditimbulkan, melaksanakan hukum-hukum Islam dan hududnya mengikut kemampuan dan kuasa, dan terakhirnya berjihad di landasan Allah swt. Itulah erti menegakkan agama di muka bumi ini. Surah al-Nisa' ayat 58 boleh dijadikan rujukan.

3. Memilih dan melantik pemimpin bawahan dan pegawai terdekat yang layak dan mampu menjalankan tugas dengan baik. Allah swt berfirman di dalam Surah al-Qasas ayat ke 26 bermaksud "Sesungguhnya yang paling baik untuk kamu ambil bekerja ialah yang kuat dan beramanah" Dalam situasi kepimpinan, saya huraikan begini, kuat bermakna mempunyai kemahiran dalam kepimpinan dan dalam bidang tugasnya, manakala amanah pula ialah mereka yang mempunyai ikatan kuat dengan Allah swt. Lantas menjalankan tugas dengan ikhlas, betul dan tidak mempunyai agenda peribadi yang tersembunyi.

4. Pemimpin perlu selalu melakukan pemeriksaan, koreksi atau pengujian terhadap pemimpin bawahan. Itu adalah sangat penting supaya semua petugas di bawah pemimpin utama itu sentiasa berada di landasan yang betul. Suatu ketika seorang sahabat berkata kepada Rasulullah saw bahawa dia diberikan hadiah kerana tugasan yang dilakukannya. Tetapi ditolak oleh Nabi saw seraya bertanya apakah sahabat itu akan mendapat hadiah jika dia tiada jawatan dan hanya berada di rumah ayah atau ibunya sahaja? Sudah tentu tidak. Maka itu adalah rasuah. Hadis ini menceritakan bagaimana telitinya Nabi saw terhadap semua tindakan dan laporan petugasnya. Sila rujuk Sahih Bukhari dan Muslim untuk keterangan lanjut bagi hadis ini.

5. Sentiasa mendekati dan mengesan segala kesusahan yang dialami oleh ahli di bawahannya, atau rakyat di bawah pentadbirannya. Setiap yang berlaku akan ditanya oleh Allah taala. Walaupun tugasan diagihkan, namun pemimpin utama tidak seharusnya berlepas tangan begitu sahaja. Nabi sudah mengingatkan kepada kita bahawa setiap kita akan ditanya perihal ahli tadbiran kita. Saidina Omar sudah menegaskan bahawa seekor anak kambing yang mati di sungai Furat juga akan ditanya oleh Allah taala terhadapnya. Apatah lagi masalah ahli yang semakin mencengkam kini?

6. Sentiasa membimbing dan menasihati ahli dan rakyat di bawah tadbirannya supaya sentiasa mentaati Allah dan Rasul serta melakukan kebaikan dan menjauhi maksiat dan kejahatan. Peringatan melalui hadis Nabi saw bermaksud "Agama itu nasihat" wajar menjadi panduan kita. Selain itu, para pemimpin utama ini sepatutnya menjadi contoh teladan yang terbaik dalam setiap segi. Al-Furqan ayat ke 74 mengajar para mukminin supaya sentiasa menjadi imam kepada para muttaqin. Iaitu menjadi ikutan kepada orang-orang bertakwa. Oleh itu, orang yang diikuti itu seharusnya juga layak dipanggil muttaqi. Bukan sebaliknya. Al-Sajadah ayat ke 24 juga wajar dijadikan panduan.

ERA ULAMA DICELA SI PENCELA MENJADI-JADI

8 comments:

1. Ramai penulis blog mempertikaikan keperluan individu ulama di kerusi teratas parti Islam PAS. Hujah mereka pelbagai. Bermula dengan teladan gerakan Islam luar negara yang mereka sendiri tidak tahu bezanya keadaan mereka dengan kita, hinggalah kepada tidak bijaknya ulama tertentu dalam PAS yang menyebabkan syarat ulama itu bukan syarat penting.

2. Boleh dikatakan semua yang menulis begitu adalah bukan daripada kategori ustaz. Jauhlah ulama. Maknanya, mereka menulis berkaitan individu-individu yang jauh lebih berilmu daripada mereka.

3. Saya tertanya-tanya, apakah sebenarnya yang mendorong mereka ini mendesak sedemikian rupa? Jika tidak mahu si alim itu, maka carilah si alim yang lain. Tetapi masih beriya-iya mahu syarat itu dihapuskan. Maka sudah tentu mereka mahu si bukan alim tertentu untuk menjadi orang atas parti. Mungkinkah kerana si bukan alim ini lebih dekat dengan Tuhan dan lebih bijak berpolitik? Nampak macam tidak berapa bijak juga, apabila meneliti kepada kedudukan dan imej parti pada masa kini. Tang mana bijaknya? Nampaknya, makin berkecamuk.

4. Bagi mereka, alim bukan lagi suatu kelebihan dalam mentadbir politik, walaupun Nabi mengesahkan alim-alim ini ibarat pewaris ILMU beliau saw.

5. Bagi si alim-alim sekalian, ikhlaslah menjadi alim, kerana si alim tidak mengejar kasih sayang mahkluk jika ia membawa murka Khaliq dan kejarlah restu Khaliq walau manusia membuang tuan-tuan, jika itulah yang akan berlaku.

6. Di medan siber politik, sudah sampai masa dan eranya para ulama yang tidak disukai oleh pencela-pencela menebalkan telinga dengan celaan mereka yang menjadi-jadi. Kewajipan dan tanggung jawab para ulama adalah menjawab kepada Yang Maha Alim serta para mukminin. Segala yang lemah perbaikilah segera, dan segala celaan biarkan sahaja. Nasihat diambil, celaan dibiarkan berlalu.

7. Islam menerima kelemahan sebagai suatu kelemahan tetapi Islam tidak pernah menerima celaan si pencela sebagai suatu yang boleh dikompromi.

19.5.09

DEMI IBU DAN GURU YANG ITU - BISIKAN DIRIKU

6 comments:

Bersempena hari ibu dan guru yang lalu, teruklah bagi aku jika tidak langsung mencoretkan sesuatu buat ibu dan guru pertamaku. Biarpun hari dia sepanjang tahun, seusia diri aku dan dia.

Bermula dengan Allah swt mahukan manusia di muka dunia ini. Maka aku sebahagian daripada perancangan itu

Ibu dari Teluk Sena dan Abah dari Pasir Kubu. Bertemu di mana-mana, maka aku sempat menjenguk dunia. Dibesarkan aku di perumahan kerajaan sambil membesar bersama deruan dan tenangan air sungai Perak.

Aku, bukanlah anak hebat. Kerinting rambutku, kurus perutku, cekeding betisku, kuat tangisku, merajuk temanku. Setiap kali aku dahaga, minumanku adalah susu dada ibuku dan susu cap junjung atau teko bercampur milo buatan nestle.

Tiap kali lapar, bukanlah janggal aku makan bilis, ikan rebus, garam bersama nasi kepal dan sambal kelapa yang digaul dengan bermacam temannya. Oh, bukan aku ingin menceritakan kemiskinan diriku. Ramai lagi yang lebih miskin daripadaku. Aku sekadar mencari mood untuk bisikan ini. Aku mencari-cari, sejak bila atau pernahkah ibuku melaparkan aku walau sedetik...pasti tidak.

Itulah seorang ibu. Ibu yang tidak kenal jemu membesarkan aku, sehingga kini. Biar dulunya aku tidak hensem, kini lebih hensem ( :) ) ibu itu tetap itu. Dialah ibu aku dan dialah guru pertama aku.

Aku kaki menangis katanya. Aku juga kuat merajuk labunnya. Aku suka jerit-jerit dan aku bermacam-macam lagi. Tapi tidak pernah walau sedetik dia nak memecat aku daripada menjadi anak didiknya, sehingga kini.

Aduh, aku terfikir, takkan blog ini mampu mengungkapkan jasa dia sebagai ibu dan jasa dia sebagai guruku. Takkan...

Aku bertambah yakin dan yakin, semakin besar semakin yakin, erti kasih seorang ibu. Di hadapan siapa sahaja, bila aku mendekatinya, pasti wajahku diterpa dan dikucupnya. Aku sudah beranak, mmm ber anak tetapi dia tetap mahukan aku anaknya di samping anak aku, cucunya.

Suatu hari, dia menelefon aku "Hari ini hari ape Omar?" "Hehehe, hari ibu mak" jawabku sambil gelak. "Ate, mane kamunya?" Aku terdiam. "Oooo mak jeles tengok anak menantu mak sambut hari ibu yer" Jawabku sambil gelak.

Tapi hatiku sebenarnya terkesima, atau terkedu? Atau terdetik, kesian mak. Menantunya diraikan oleh cucunya, tetapi dia keseorangan jiwanya tanpa aku. Tanpa anak kesayangannya selain abang sulungku, tempat mak menetap kini.

Bergegas aku mendapatkannya dua hari selepas itu. "Mak, tak sempat nak bawa Ihsan. Ni datang dari pejabat" sambil mak cium pipi kanan, kiri dan dahi aku. Kalau lah dia minta haknya pada hari ibu, naya aku? nak kena bagi hadiah balut2 lawa ke?

"Mak, kasih sayang kita sampai ke hujung akhirat, bersambung semula di padang mahsyar, insya Allah...walaupun dunia ini selalu menyaksikan kedegilan anakmu ini".

Demi mak, aku sanggup menyembahnya, mempersembahkan sembah kasih sayang yang tiada ungkapan mampu menggambarkan hakikatnya.

Tidak perlulah aku menceritakan lagi sejarah hidupku. Cukuplah 9 bulan dan tarikh kelahiran itu membuktikan dialah ibu dan dialah guru utama aku. Isteriku turut membuktikan, apa maknanya semua ini.

Bagi isteriku, kaulah ibu perdana anak kita dan kaulah guru ulung Ihsan. Bagi ibuku, kaulah segalanya...

17.5.09

ISU PERAK : HUSAM BERTEMU KULI, MURSYIDUL AM TIDAK SETUJU BERBINCANG DENGAN BN

1 comment:
1. Saya memang tidak tahu apakah kisah latar di sebalik ajakan Presiden PAS supaya diwujudkan kerajaan perpaduan. Jika dilihat kepada ucapan sulong Presiden di Stadium Malawati, selepas menang, memang Tuan Guru ada mengajak parti-parti komponen BN bersama Pakatan Rakyat. Namun, ketika itu, ianya tidak disambut oleh sesiapa pun.

2. Tidak lama selepas itu, muncul cerita berkaitan muqabalah*. Maka isu itu menjadi hangat di muktamar PAS yang lalu. Beberapa tokoh PAS dijadikan bahan herdikan, sindiran dan makian pihak blogger pelampau yang entah apa-apa akhlaknya, dan siapakah penjaga mereka.

3. Selepas menang, sudah tiada engagement agaknya. Haram terus jika ada mana-mana pemimpin PAS ingin berbaik, mendekati dan berbincang dengan pemimpin Umno. Fitnah akan segera merebak. Saya sendiri keliru, bahawa penentangan yang wujud itu terhadap usaha pertemuan semata-mata atau mereka menentang keras kerana yakin ianya akan disusuli dengan gabungan bersama Umno.

4. Pemimpin yang dikaitkan dengan muqabalah telah kerap kali menafikan akan bergabung dengan parti "cinabeng" Umno. Itu tidak berbangkit. Namun di mana-mana, masih kedengaran, walaupun selepas penafian itu, kononnya masih ada usaha untuk bergabung dengan Umno. Maknanya, penafian tidak memberi apa-apa manfaat.

5. Baru-baru ini, muncul pula isu kerajaan perpaduan. Presiden melontar idea, pembantu presiden daripada kalangan naib2 presiden tidak menyambut dan membantu. Ia sejuk seketika. Kemudian media mula perasan ianya mampu menggugat keharmonian PR. Maka ia dijadikan isu. Berbalah pula pihak2 tertentu di blog-blog dan media. Presiden menjadi mangsa kutukan oleh blogger yang tiada ruh hizbi Islami. Yang mengaku ahli PAS, agaknya baru setahun jagung memasuki rumah PAS. Tiada adab, tiada akhlak dan tiada faedah. Presiden dikatakan sudah sampai masa untuk menjaga cucu.

6. Kini, isu Perak sekali lagi mengundang perdebatan berkaitan konsep muqabalah. Saya percaya ianya berlaku, tetapi tidak secara terbuka atau zahir. Sebaliknya secara senyap tetapi agresif. Bukan muqabalah untuk berkongsi kuasa, sebaliknya untuk penyelesaian yang tidak jelas komponennnya.

7. Ketika Najib dan Anwar masih "bermuqabalah" di media-media, di samping campur tangan seorang dua pimpinan PR dan BN, Naib Presiden PAS, Husam Musa telah bermuqabalah dengan Tengku Razaleigh Hamzah. Husam bertemu dengan KuLi untuk memintanya menasihati Najib bagi bersetuju membubarkan DUN. Sebenarnya Ku Li sudahpun menasihati Najib sebelum Husam bertemunya, tetapi Najib tetap tidak memberi reaksi positif. Bagi saya, Husam sewajarnya terus bertemu Najib dan Raja Nazrin untuk mendapatkan persetujuan mereka berdua. Kalau terpaksa merayu, merayulah demi rakyat Perak. Anwar tetap di belakang Husam dalam hal ini.

8. Tiba-tiba Mursyidul Am dalam Sinar Harian hari ini (17 Mei ) menolak usaha berbincang dengan BN untuk isu Perak. Tuan Guru berkata, beliau tidak yakin kaedah perbincangan antara kedua-dua pihak yang bertentangan itu dapat menyelesaikan krisis berkenaan. "Jalan paling baik ialah bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak", katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Persekitaran Bestari Negeri Kelantan di Kota Bharu.

9. Saya melihat Tuan Guru Mursyidul Am tetap dengan pendiriannya. BN tidak boleh dipercayai. Husam pula menolak muqabalah sekiranya bermatlamatkan penggabungan dengan Umno atau BN dan boleh sahaja bermuqabalah untuk berbincang demi kebaikan rakyat. Sama ada ianya berbeza dengan usaha Ustaz Nasharuddin sebelum ini atau sama, terserah kepada penilaian para pembaca. Paling bijak bagi saya yang lemah ini ialah Presiden PAS. Melontar idea kerajaan perpaduan adalah tindakan drastik yang telah memisahkan jarak yang jauh antara dua kelompok dalam PAS, satu yang mahu muqabalah dan satu lagi tidak.

10. Maksud saya, Tuan Guru Presiden yang ditohmah sebagai pemimpin yang mahu bermuqabalah ( kononnya mahu bergabung ) dengan Umno, cuba meletakkan dirinya jauh ke hadapan dalam usaha engagement dengan Umno ( BN ), agar golongan yang enggan bermuqabalah pada awal kemenangan dahulu, sudah bersedia mahu bertemu dengan pemimpin Umno demi kebaikan rakyat. Pertemuan Husam dengan Ku Li tidak boleh dianggap Husam telah menyertai kelompok yang ditohmah sebagai kelompok muqabalah, kerana kelompok ini sudah berganjak ke arah konsep kerajaan perpaduan. Apa yang penting, Presiden mahu lojik muqabalah itu tidak dihapuskan demi dakwah Islamiah PAS.

* Muqabalah boleh juga dibaca dengan muzakarah

16.5.09

SENARAI CALON YANG LAYAK BERTANDING MUKTAMAR AGUNG PAS

1 comment:
Dipetik dari Harakahdaily.net

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Hrkh) - Berikut adalah senarai nama-nama calon yang layak bertanding dalam Muktamar PAS akan datang.

PENGERUSI TETAP
1. Abu Kassin Abdullah
2. Hussain Ismail

TIMBALAN PENGERUSI TETAP
1. Hussain Ismail
2. Ishak Surin
3. Misbahul Munir Masduki
4. Nasuruddin Daud
5. Tengku Puji Tengku Abd Hamid
6. Wan Abdul Rahim Abdullah

PRESIDEN
1. Abdul Hadi Awang

TIMBALAN PRESIDEN
1. Azizan Abdul Razak
2. Haron Din
3. Husam Musa
4. Mohamad Sabu
5. Nasharuddin Mat Isa

NAIB PRESIDEN
01. Ahmad Awang
02. Azizan Abd Razak
03. Mohamad Sabu
04. Harun Taib
05. Hassan Mohd Ali
06. Husam Musa
07. Idris Ahmad
08. Kamaruddin Jaffar
09. Mahfuz Omar
10. Mohd Amar Abdullah
11. Mujahid Yusuf Rawa
12. Nasharuddin Mat Isa
13. Nizar Jamaluddin
14. Salahuddin Ayob
15. Taib Azamuddin Md Taib
16. Tuan Ibrahim Tuan Man

AHLI JAWATANKUASA KERJA
01. Abdul Aziz Yaakob
02. Abdul Ghani Abdul Rahman
03. Abdul Ghani Shamsuddin
04. Abdul Halim Abdul Rahman
05. Abdul Wahab Ismail
06. Abdul Wahid Endut
07. Abdul Rani Osman
08. Abu Bakar Chik
09. Adly Zahari
10. Ahmad Awang
11. Ahmad Rosli Ibrahim
12. Ahmad Yaakob
13. Ahmad Yunus Khairi
14. Aiman Athirah al-Jundi
15. Aminolhuda Hassan
16. Amiruddin Hamzah
17. Anuar Tan Abdullah
18. Asmuni Awi
19. Azizah Khatib Mat
20. Azizan Abdul Razak
21. Azman Shapawi
22. Che Rosli Che Mat
23. Dzulkifli Ahmad
24. Halimah Ali
25. Hamzah Abdullah
26. Hamzah Jaffar
27. Harun Taib
28. Hasan @ Abd Rahman Abd Razak
29. Hassan Mohd Ali
30. Hashim Jasin
31. Hayati Othman
32. Husam Musa
33. Idris ahmad
34. Iskandar Abdul Samad
35. Kamaruddin Jaffar
36. Khairuddin Abdul Malik
37. Khalid Samad
38. Khalil Idham Lim
39. Lo'Lo' Mohd Ghazali
40. Mahfodz Mohamed
41. Mahfuz Omar
42. Mazlan Aliman
43. Mariam Abdul Rashid
44. Misbahul Munir Masduki
45. Mohamad Sabu
46. Mohamad Noor Mohamad
47. Mohamed Hanipa Maidin
48. Mohd Amar Abdullah
49. Mohd Anuar Tahir
50. Mohd Apandi Mohamed
51. Mohd Hatta Ramli
52. Mohd Nasir Mustapha
53. Mohd Taufek Abdul Ghani
54. Mohd Yusof Husin
55. Mujahid Yusuf Rawa
56. Mumtaz Md Nawi
57. Nasharuddin Mat Isa
58. Nasrudin Hassan Thantawi
59. Nasuruddin Daud
60. Nik Abduh Nik Aziz
61. Nik Mazian Nik Mohamad
62. Nik Mohd Zawawi Salleh
63. Nizar Jamaluddin
64. Norazli Musa
65. Nuridah Mohd Salleh
66. Omar Mohamad
67. Othman Sabran
68. Phahrolrazi Mohd Zawawi
69. Rosli Yaakob
70. Sabki Yusof
71. Salahuddin Ayob
72. Sallehen Mukhyi
73. Shaari Sungib
74. Shafie Abu Bakar
75. Siti Mariah Mahmud
76. Siti Zailah Yusuf
77. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi
78. Taib Azamuddin Md Taib
79. Takiyuddin Hassan
80. Tuan Ibrahim Tuan Man
81. Wan Abdul Mutalib Embong
82. Wan Abdul Rahim Wan Abdullah
83. Wan Hasrina Wan Hassan
84. Yusof Embong
85. Zulkefly Mohamad Omar
86. Zulkifli Ahmad

PEMERIKSA KIRA-KIRA
01. Ali Maidin
02. Ishak Surin
03. Khalid Samad
04. Khalil Idham Lim
05. Mohd Rashidi Hassan
06. Mohd Taulan Rasul
07. Musanif Abd Rahman
08. Muzammil Hafizd
09. Syed Mohamed Syed Hassan

14.5.09

PEMILIHAN PEMIMPIN PAS - APA ISUNYA?

No comments:


1. Saya cuba meneliti. Benarkah sudah ada penolakan terhadap ulama sebagai pemimpin utama PAS?

2. Benarkah ulama merasakan mereka lebih layak untuk mengetuai PAS dan golongan "profesional" tidak layak?

3. Atau apakah isu sebenarnya? Ya, isu sebenarnya bukan pada penolakan ulama secara total atau profesional secara total.

4. Isunya, bagi pengamatan saya ialah pada kelemahan sebahagian ulama dalam PAS melengkapkan diri dengan ilmu alat dan ilmu bantu dalam mentadbir sebuah "gerakan politik". Jika PAS hanya gerakan dakwah dan tarbiah semata-mata maka ianya mungkin tidak timbul. Tetapi, sebagai sebuah parti politik yang berada di tengah-tengah ledakan evolusi (?) pemikiran, ilmu, media dan gaya hidup, ulama seharusnya pantas memahami dan menyesuaikan diri.

5. Isunya juga, pada kelalaian golongan yang biasanya dipanggil profesional dalam memahami dan membezakan antara hukum tetap ( "thawabit" ) dan hukum boleh ubah ( "mutaghaiyirat" ) dalam pelaksanaan sains dakwah, politik dan pelaksanaan syariah.

6. Isunya pada sejauh mana para pemimpin tertinggi PAS sensitif terhadap perbezaan-perbezaan dasar fikir dan pelaksanaan hukum di kalangan pemimpin utama parti, yang akhirnya membawa kepada hala tuju yang berkecamuk?

7. Isunya pada sejauh mana pemimpin parti mengambil berat soal penyatuan semua perkara dalam parti dan usaha membersihkan parti daripada unsur-unsur pertentangan yang akan semakin membesar dan membarah dalam parti.

8. Isunya pada luka kecil yang dibiarkan. Mungkin kerana meyakini luka yang kecil tetap selamanya akan kecil.

13.5.09

DR DZULKEFLY AHMAD SETUJU MUQABALAH DENGAN BN UNTUK ISU PERAK

2 comments:
1. Amat menarik apabila semakin ramai bersetuju diadakan pertemuan antara pemimpin Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional bagi menyelesaikan masalah yang berlaku di Perak. Antara yang terbaru ialah kenyataan oleh Dr Dzulkefly Ahmad, Pengarah JPP dan AP Kuala Selangor.

2. Walaupun begitu, kenyataan beliau adalah sebelum keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah memihak kepada Ir. Nizar pada Isnin lalu. Beliau dilaporkan mengulas kenyataan Lim Kit Siang. Nada yang sama juga disuarakan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim.

3. Nampaknya, beliau bersetuju untuk diadakan pertemuan atau muqabalah dengan pemimpin Umno bagi kepentingan rakyat Perak. Sesuatu yang boleh diterima, walaupun tidak seperti usaha muqabalah dengan Umno selepas pilihanraya umum lalu yang bertujuan untuk melihat kemungkinan-kemungkinan yang membawa kepada kepentingan Islam dan rakyat keseluruhan.

4. Mungkinkah Dr Dzulkefly sememangnya bersetuju dengan idea muqabalah pada tahun lepas? Siapa tahu?

5. Nada dan idea Dr Dzulkefly tidak jauh bezanya dengan apa yang disuarakan oleh Presiden PAS ketika mencadangkan kerajaan perpaduan baru-baru ini. Cuma mungkin berbeza pada pendekatan, sebaliknya bersama pada tujuan.

6. Katanya ( seperti dilaporkan Sinar Harian pada 11 Mei, muka surat S4 ) : "Masalah ini timbul daripada kita sendiri, bukannya bencana atau malapetaka diturunkan. Jadi perkara ini perlu diselesaikan oleh kita sendiri dan saya bersetuju jika kedua-dua pihak ingin bertemu ( muqabalah - elbaritii ) dan berbincang ( muzakarah - elbaritii ) dalam mencari jalan untuk menyelesaikan masalah tersebut."

7. Biarpun mungkin ada yang menuduh ini seperti memberi talian hayat kepada BN, tetapi idea baik ini boleh memberikan kebaikan kepada semua dan itulah sifat negarawan sejati.

12.5.09

IR NIZAR AKAN JATUH BANGUN BERSAMA RAKYAT PERAK

2 comments:
Bismillah

1. Tahniah kepada seluruh jentera Pakatan Rakyat, bermula dari pemimpin luar jangka Ir. Nizar, dan seluruh para Exco termasuk Siva D' Seret hinggalah kepada pemimpin PAS semua peringkat dan parti-parti rakan kongsi.

2. Jika pembubaran DUN berlaku, itulah bukti keadilan yang diperjuangkan Nizar, biar menang biar kalah, rakyat akan berpuas hati. Pembubaran ini tidak menjaminkan kelebihan kepada mana-mana pihak, kerana sepanjang 3 bulan derita ini, boleh sahaja pengundi-pengundi Perak beralih angin selepas melihat segala kerosakan nilai yang berlaku.

3. Ir. Nizar, tuan cukup hebat dan disayangi oleh rakyat Perak. Teruslah membina dan membangunkan rakyat walaupun apa keputusannya selepas ini, dengan mengambil kira pembubaran, rayuan BN dan apa sahaja yang berlaku. Kami dan rakyat sentiasa bersama.

4. Bagi saya, boleh sahaja Nizar bertanding untuk jawatan Naib Presiden PAS, tetapi cukupkah masa untuk terus bersama-sama dengan jatuh naik rakyat Perak selepas ini? Jangkaan rakyat terhadap Nizar cukup tinggi. Cabaran juga bukan kecil. Fokus amat dituntut. Jangan tersepit dalam kancah dalaman yang semakin rumit. Kerana, jawatan itu menuntut satu amanah baru pula untuk diberikan fokus.

Wallahu a'lam.

11.5.09

HUSAM AKAN HANTAR SURAT KEPADA RAJA NAZRIN

No comments:

Petikan dari Harakahdaily:

Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa berkata, rakyat perlu diberi hak membuat keputusan memilih kerajaan baru setelah kerajaan Pakatan Rakyat hilang majoriti awal Febuari lalu.

"Saya akan menghantar surat secepat mungkin kepada Pemangku Sultan Perak, Dr Raja Nazrin Shah supaya mengambil keputusan sebaik mungkin dengan membubarkan Dun Perak," katanya selepas satu majlis di Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan di sini hari ini.

Komen saya: Eloklah Naib Presiden mengambil langkah segera, kerana Presiden dan Timbalan serta Ustaz Ahmad Awang mungkin sibuk dengan kerja lain.

CERAMAH NIZAR DAN SIVAKUMAR D' SERET DI MELEWAR MLM INI

No comments:

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Hrkh) – Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin dan Speaker Dun Perak, V Sivakumar akan berucap dalam satu majlis ceramah umum mengulas kemelut politik Perak di Markas Tarbiah PAS, Taman Melewar, dekat sini, malam ini.

Ceramah yang bermula jam 9.30 malam itu dianjurkan Lajnah Penerangan PAS Pusat.

Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar dan Setiausaha Dun Perak, Misbahul Munir Masduki akan turut berucap.

Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Pusat, Mohamed Hanipa Maidin pula akan mengulas krisis politik negeri itu dari perspektif undang-undang.

Jurucakap program, Mohd Zain Hashim menasihati orang ramai supaya datang awal bagi mengelak kesesakan.- tajdid

9.5.09

MENGULAMAKAN PROFESIONAL TELAH BERJAYA?

1 comment:
1. Saya tergelak membaca tulisan ZS yang memberikan contoh kepada usaha PAS mengulamakan profesional dalam artikel pendeknya di siasah. Beliau sifatkan gagasan almarhum Ustaz Fadhil Noor itu telah berjaya dan contohnya adalah Husam, Dr Zulkefli dan beberapa orang lagi. Saya tidak perkecilkan nama yang disebut, dan saya tahu merekapun tak dakwa mereka ulama, tetapi peminat mereka ini berlebih sakan.

2. Kalau nak kempen pun, biarlah berpada-pada. Takkanlah dengan beberapa bulan atau tahun Husam mengambil kursus Bahasa Arab dah dianggap layak dipanggil ulama? Takkanlah semata-mata Dr Zul boleh berhujah terus dilayakkan dengan kedudukan sebagai ulama. Jika ZS menyebut sudah bertambah ilmu agama, maka lojiklah juga.

3. Bagi saya, boleh sahaja mengulamakan pemimpin profesional dalam PAS, tetapi perlukah? Atau lebih tepat mengilmukan pemimpin profesional dengan ilmu agama? Mungkin ini juga maksud almarhum. Bukanlah calang-calang usaha perlu dilakukan untuk layak memanggil seseorang itu sebagai ulama. Ada yang telah berjayapun, tapi bukanlah seperti yang disebut ZS.

4. Dato' Haron Taib, dalam ucapan dan sembangnya sewaktu bergelar Ketua Dewan Ulama selalu sebut "ana bukan ketua ulama, ketua dewan saja." Itulah orang berilmu. Baginya dia adalah ketua dewan kerana dia ahli dan pemimpin dewan. Bukan kerana dia belajar Madinah, dia alim dia sekian-sekian dan seumpamanya. Namun, siapa boleh nafikan keilmuannya dalam agama? Orang tetap memanggilnya salah seorang alim hebat dalam parti.

5. Janganlah sudah boleh berhujah, berbahasa Arab sedikit, boleh rujuk kitab sikit-sikit dan selalu baca al-quran, sudah layak duduk di kerusi Presiden PAS. Buruk lakunya macam tu. Ini, tafsiran sayalah.

6. Cuba para pembaca fikir bersama. Presiden adalah pentadbir parti paling atas. Dia dipilih oleh ahli melalui pemilihan atau menang tanpa bertanding setelah dicalonkan. Dia kemudiannya akan mempengerusikan satu mesyuarat untuk memilih empat orang daripada kalangan AJK Pusat yang menang untuk menjadi ahli Majlis Sura. Jika dia bukan Ulama, jika dia mahu, dia akan masuk ke majlis itu dalam keadaan jahil agama. Jika dia tidak mahu, bermakna orang bawahnyalah yang akan menyertai Majlis Syura dan akan menentukan hala tujunya.

7. Boleh bayangkan jika Presiden PAS bukan ulama dan dia pengerusikan mesyuarat untuk memilih di kalangan orang bawahannya untuk menjadi penentu dasar parti dan penjaga hala tuju dia dan partinya?

8. Selamat berteori tuan ZS dan KS.

8.5.09

JANGAN SIMPAN BAWAH KARPET, NANTI HAPAK

No comments:
1. Trend yang diamalkan oleh pemimpin politik Pakatan adalah mudah, menjawab dengan ayat "ini semua permainan media", apabila berlaku pergolakan dalaman parti. Saya sangat tidak setuju. Ya, benar media akan sensasikan, tetapi tiadalah sensasi jika isu itu tidak wujud pada akarnya. Media pula tidak akan berjaya mencipta isu dalam hal-hal tertentu, termasuk hal ulama dan profesional dalam PAS.

2. Tidak perlulah pemimpin PAS menyorokkan semua isu di bawah karpet, demi menjaga imej "Islam" pada parti kononnya, sedangkan perlakuan sesetengah pemimpin tidakpun diperbetul dan diperbaiki langsung, malah itulah punca masalahnya. Apakah pemimpin PAS malas berfikir untuk selesaikan masalah? Seimbangkan kritikan kita terhadap mad'u dengan kritikan kita terhadap rakan da'i.

3. Jika media bertanya apakah ulama diperlekehkan, kita kata itu mainan media. Cuba lihat kenyataan pemimpin PAS tertentu, di dalam media alternatif dan di blog-blog. Janganlah memperbodohkan pembaca. Tolonglah...

4. Adalah buruk lakunya, jika kelemahan sendiri dilemparkan kepada media perdana. Belajarlah mengakui kelemahan diri sendiri dan tulus menjadi pemimpin rakyat. Setiap kali kita sombong "indirectly" dalam kenyataan kita, walaupun maksud sebenarnya menyembunyikan sesuatu, setiap itulah kita merendahkan darjah mulia kita dan menaikkan darjah ego di sisi Tuhan. Belajarlah menilai "pandangan" Tuhan terlebih dahulu sebelum pandangan media, ahli, dan peminat.

5. Kalau karpet itu terselak, bukan setakat hapak, orang akan buang karpet itu.

7.5.09

TIADA KOMPROMI PADA KELAYAKAN MEMIMPIN SEORANG ALIM

1 comment:
1. Ketika saya meuar-uarkan pegangan saya bahawa dua jawatan tertinggi dalam pentadbiran & pengurusan parti saya mesti ulama, ada sahabat yang menegaskan begini,"pemimpin saya mestilah yang tahu memimpin negara".

2. Kenyataannya, pada zahirnya, seolah-olah bertentangan dengan saya, tetapi tidak begitu sebenarnya. Ini kerana kenyataan beliau tidak menolak secara total individu ulama sebagai pemimpin, malah boleh digabungkan dengan kenyataan saya.

3. Baginya, mesti pandai memimpin, walau siapapun mereka. Saya pula, mesti ulama dan mesti pula pandai memimpin.

4. Adalah jelas, jika anda ingin memimpin maka anda perlu pandai memimpin. Jika mahu mengajar mesti pandai skil mengajar. Jika mahu mengurus sebuah syarikat korporat, sama ada anda belajar kedoktoran atau syariah, mestilah pandai mengurus sebuah pejabat, sekumpulan manusia dan sebagainya.

5. Maka, gerakan menuntut ulama terus kekal di persada kuasa parti, mestilah seiring dengan tuntutan memilih individu ulama yang bijak memimpin, mentadbir dan memajukan parti. Jika ulama memimpin, dan dia gagal dalam kepimpinannya, maka dia sebenarnya sedang merosakkan parti dan ahlinya.

6. Jika pemimpin itu gagal memimpin, maka kegagalan itu SUDAH PASTI tidak mampu memberikan manfaat kepada apa yang dipimpin, hatta jika dadanya penuh dengan ilmu agama yang ditagih rakyat. Bagi ulama sebegini, tempatnya bukan di kerusi presiden dan timbalan presiden. Saya jelas dalam hal ini.

7. Maka blog ini menyokong sepenuhnya individu ulama memimpin PAS dan dia adalah layak untuk digelar dan dipanggil pemimpin.

5.5.09

AYAT-AYAT CINTA ULAMA

1 comment:
1. Saya mahu pemimpin utama parti saya mereka yang lebih pandai agama daripada saya dan lebih kuat amalannya berbanding saya. Mereka juga mesti lebih berhati-hati dalam memimpin berbanding saya.

2. Apabila saya menolak orang alim agama menjadi peneraju utama parti saya, bermakna saya melantik orang jahil agama sebagai pemimpin saya untuk meneruskan perjuangan agama.

3. Apa lebihnya seorang bukan alim agama berbanding orang alim agama? Jika orang alim agama memiliki sifat "qawi" dan "amin", kenapa saya memilih qawi dan amin yang jahil agama?

4. Ulama lawannya adalah juhala', dan bukan profesional. Jika kedua, maka ia suatu andaian bahawa para pelajar aliran agama tidak akan dipanggil profesional. Mehh nak test sikit ...!

5. Orang jahil agama bukanlah hina, tidak juga dibenci Tuhan dan manusia. Manakala orang alim yang lemah dikehendaki kebaikan padanya oleh Tuhan kerana alimnya dia, tetapi mesti ditukar daripada kepimpinan kerana lemahnya dia. Penggantinya mestilah orang alim yang kuat, bukan jahil yang kuat. Ini kerana kekuatan orang jahil boleh sahaja dihina sekalian para malaikat jika bertindak salah atas kejahilan pada agamanya.

6. Apa yang penting, kerjasama, bukan kerjakan sama dia.

2.5.09

PRESIDEN PAS SETUJU PONGGAL PERINGKAT PAKATAN RAKYAT - UTUSAN MELAYUT

1 comment:
Kuala Lumpur- 1 Januari 2012.

Dalam mesyuarat panjang yang diadakan oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat semalam, semua presiden parti-parti terlibat telah sersetuju untuk menganjurkan majlis sambutan ponggal peringkat Pakatan Rakyat bagi menyatakan rasa 'bersama' dengan penganut agama Hindu di negara ini.

Jurucakap bagi majlis itu, Lim Guano Mu berkata: "Kami telahpun berbahas secara mendalam, termasuk dengan hujah agama masing-masing, maka ianya tidak perlu lagi menjadi isu berbangkit, sebagaimana bantahan oleh Dewan Ulama PAS dalam berita hari ini. Pihak PAS telah diketuai oleh Presidennya sendiri dan seharusnya semua sayap parti itu patuh kepada presiden mereka."

Namun agak memeranjatkan kelompok media apabila Presiden PAS ( Parti Islam Sandakan ) menegaskan, " saya bersetuju pada dasar sahaja, tetapi mungkin menarik balik persetujuan saya".

Kenyataan itu menyebabkan iras wajah Lim Guano Mu dan Datuk Sari Anu berkerut. Presiden PAS, Datuk Hj Prolib berkata dengan tegas dan tulus, " Saya belum sempat mengkaji hukumnya, sama ada ianya benar-benar perayaan budaya atau agama dan ketika saya menelefon Mursyidul Am parti dan Ketua Dewan Ulama, mereka sedang bermuzakarah dengan ulama seluruh dunia di pintu kaabah, maka sukar untuk kami berbincang"

"Saya berjanji akan balik ke rumah dan menyelak kitab-kitab kuning ayah saya yang sudah lama tidak sempat saya sentuh" tegas Hj Prolib.

Sebahagian ahli PAS mengulas dengan menggambarkan presiden parti itu seorang yang warak kerana tidak berani membuat kata putus dalam isu agama dengan begitu mudah, kerana dia sedar dia bukan ahlinya.

Nampaknya, isu ini gagal diselesaikan segera oleh Majlis Pakatan Rakyat dan ianya masih lagi tertangguh. - Utusan Melayut

* Sebuah cerpen pendek berkisar Utusan Melayut dan Parti Islam Sandakan

1.5.09

MEMILIH PEMIMPIN PAS (3) - YANG TIDAK LAYAK MENIMBALI PRESIDEN

No comments:
1. Sehari dua ini saya mempunyai banyak masa untuk berblog. Isu paling menarik perhatian saya pula ialah isu pemilihan pimpinan parti. Saya meyambung lagi siri-siri 'Memilih Pemimpin PAS'.

2. Saya jelas. Mahukan seorang yang berpengetahuan tinggi dalam agama sebagai presiden dan timbalan. Ini kerana merekalah yang paling hampir dengan kerusi Perdana Menteri. Hukum aqidah dan fiqh menjadi zikir mereka. Mengenal Allah dan Rasul tidak menjadi satu masalah dan bebanan. Walau apapun tafsiran Kepimpinan Ulama dalam PAS, saya tidak terikat dengan itu ketika melontarkan pandangan ini, kerana saya boleh sahaja menilainya berdasarkan kepada maslahah agama dan petunjuk Rasulullah saw. Full stop di sini dahulu.

3. Di sini, ingin diutarakan satu lagi sifat paling utama perlu dimiliki oleh seorang timbalan, pada penelitian saya. Meminjam kata-kata Muhyiddin Yasin, 'orang nombor dua tetap orang nombor dua', adalah apa yang saya maksudkan. Iaitu, seorang timbalan sewajarnya sedar kedudukannya sebagai orang nombor dua, tidak mendahului, boleh bekerja dengan presiden dan ada "chemistry" atau "serasa" antara keduanya.

4. Adalah suatu yang amat tidak kena apabila presiden dan timbalan sentiasa dilihat tidak serasi, bertentangan idea dan sukar bekerjasama antara satu sama lain. Paling bahaya, jika timbalan dengan slumberjack nya, mendahului presiden dan membelakangi idea presiden.

5. Orang kulit putih ada sebut, boss still boss. Dalam hukum fiqh ada satu perbincangan masalah, apakah keputusan syura wajib dipatuhi ketua? Ini kerana pernah berlaku Rasulullah saw bertanya pandangan para sahabat, tetapi tidak mengambilnya sebagai tindakan. Tujuan saya menyebutnya adalah ingin menggambarkan bahawa ketua mempunyai ruang untuk bertindak sendiri dengan segera pada masa-masa tertentu dan menilai semua pandangan orang bawahannya tanpa keterikatan.

6. Jika begitulah jauhnya perbincangan para ulama fiqh dalam hal ini, maka apakah suatu yang ganjil jika seorang presiden melontarkan ideanya ( masak atau mentah) untuk masyarakat dan negaranya, sehingga ianya sukar disambut oleh pemimpin di sisinya? Menyambut idea presiden berbeza dengan menerimanya bulat-bulat. Sukar diterima, jika suatu hari nanti, Timbalan Presiden PAS secara mentah-mentah tidak menyambut idea Presiden PAS sendiri.

7. Dalam hal ini, pemimpin Umno amat bijak dan amat berhati-hati.

8. Oleh itu, saya mohon para pembaca menjadikan isu "Unity Government" sebagai bahan kajian untuk menilai siapakah yang tidak layak menjadi Timbalan Presiden PAS pada masa ini.

9. Oleh kerana sesetengah pemimpin tegar mempertahankan pandangan sendiri, bersifat prejudis terhadap idea Presiden dan mungkin memiliki agenda tertentu, maka Presiden terkontang-kanting keseorangan. Saya tidak meminta idea beliau disahkan sebagai wahyu atau dianggap sahih atau diakui paling tepat. Saya cuma mohon ideanya disambut dan dikaji. Itulah kerja utama pembantu Presiden. Malangnya, ia 'dipangkah' secara terbuka oleh pihak tertentu.

10. Kesimpulan, timbalan tidak semestinya yang kedua paling mulia dan terbaik selepas presiden, tetapi yang sesuai digandingkan berdua, tanpa menolak faktor layak dan berkemampuan sebagai pengganti.



* Setelah membaca tulisan Haris dan Hafiz dalam Siasah terbaru, saya isytiharkan Blog ini menyokong sepenuhnya idea Presiden dalam isu Unity Government.

MEMILIH PEMIMPIN PAS (2)

No comments:
1. Saya tak fikir sekarang ini rakyat Malaysia ketagihkan pemimpin bertaraf dunia tetapi kontang rohani. Malaysia sudah ada Tun Mahathir dan terbukti tanpa kerohanian yang mantap, negara tidak dijamin selamat.

2. Saya yakin sebahagian besar rakyat Malaysia sudah tidak terkejut dengan penampilan hebat tokoh semasa PAS yang bersifat nasional dan internasional. Itu bukan kelebihan PAS kerana ianya boleh dilihat di mana-mana parti.

3. Saya mahukan tokoh seperti Tok Guru MB Kelantan yang faqih dalam ilmu agama, bersifat sederhana dan mesra semua manusia, diketengahkan dalam kepimpinan PAS. Walau bagaimana hebat sekalipun seseorang tokoh, akhirnya manusia akan tertarik kepada mereka yang ikhlas, berisi ilmu agama dan diterima oleh Allah Ta'ala. Kerja Allahlah yang akan menyatukan hati-hati manusia ini.

4. Kekalkan kelebihan kepemimpinan PAS ini di tengah masyarakat, dengan sekaligus, serentak itu menyusun kepemimpinan negara Malaysia.

5. Gandingan mantap semua jenis pemimpin amat diperlukan dalam parti, dan saya belum terbayang gandingan itu diketuai oleh tokoh yang jahil agama dan jauh daripada kerja-kerja dakwah dan tarbiah.

Wallahu a'lam.