31.8.09

Kasih Ramadhan

2 comments:
1. Ramadhan penuh dengan kasih sayang. Paling best adalah kasih sayang Allah yang membawa ke syurga. Siapa sangka? Hanya dengan kerendahan diri lagi penuh khusyuk dalam puasa dan taraweh, kita mampu mengetuk pintu rahmatNya untuk mencipta denai-denai syurga!

2. Kasih sayang kedua ialah kasih kekasih. Bayangkan jika ada yang mengasihi anda, lantas di bulan Ramadhan ini kasihnya terus mekar bertambah? Ketika anda sedang membaca al-quran, datang mesej membawa pengesahan " I luv u so much ", dan mesej itu dari Nabi kita saw! Ya, siapa lebih hebat dalam menyayangi umat Islam ini (kita?) selain baginda? Andaikan para malaikat menghantar sms kepada setiap pendamba sayang Ilahi, kasih Nabi di bulan ini. Solawatullahi alaihi wasallam.

3. "Yang, jom" bisik teman sejati kita di suatu malam. Bingkas kita sama-sama bangun untuk menghancurkan segala keduniaan pada diri, sujud dan ruku' mencari keampunan Ilahi di sepertiga akhir malam-malam Ramadhan. Kemudian teman tadi bergegas berkemas-kemas untuk diri kita memenuhi tuntutan perut untuk keberkatan bersahur. Aduh, indah, jika kita dikelilingi manusia-manusia kasih yang mengasihi kita atas kasih mereka pada Ilahi.

4. "Mak penat la mak" adalah ungkapan biasa kita kepada seorang ibu di petang puasa. Sama ada memang penat atau "ngengade" nakkan seteguk air cendul yang dibancuh emak. Kalau mengada pada kakak, "kak nak cendul, penatla, esokje la keme abih pose" huh, mungkin jawapannya, "nak lempang?" :)

5. Tapi, bayangkan di petang puasa, malam puasa, pagi puasa, tanpa puasa emak mengadu, "Omar, emak penat ni, jom ke hospital!". Di hospital, emak sebut lagi yang sama. Dalam telefon, emak masih bisikkan "penat ni ya Allah!". Bagaimanakah mampunya seorang anak mengingati semuat kasih sayang ibunya setiap Ramadhan dulu-dulu dan dibalas ketika ibunya pula penat?

6. Cepatkah kita bingkas mengutamakan emak daripada segalanya. Dulu, mak abah sanggup segalanya jika kita sakit menderita. Mereka memang mendahulukan kita. Kini, emak memerlukan kasih sayang yang sama, jika tidak lebih.

7. Nabi berpesan, "sesungguhnya pada keduanyalah kamu teruskan berjihad". Ya, pada emak yang terlantar di tingkat tiga, menderita masalah paru-paru dan usus tidak berfungsi baik, paksi jihad kita semua. Di situlah terhimpun kasih Ilahi, Nabi dan para malaikat yang menyambung rahmat dan selawat, untuk Ramadhan kali ini.

28.8.09

Matlamat Puasa

No comments:
1. Kita semua mengetahui Ramadhan adalah bulan yang mulia. Di dalamnya ada puasa dan taraweh serta amalan lain yang menjadi rutin. Kita juga tahu banyak hukum hakam berkaitannya.

2. Ramai juga yang tahu kenapa Allah mewajibkan kita berpuasa. "Moga-moga kamu takutkan (api neraka)" menurut sebahagian ulama. Juga takutkan Allah dengan taat kepada perintahNya dan menjauhi laranganNya. Terus, sangat menyayangiNya dan bersedia untuk menemuiNya.

3. Prosesnya adalah dengan melebarkan jalan taat dan mengecilkan jalan syaitan dan nafsu. Proses ini berlanjutan dari sebelum puasa dan puasa yang lepas lagi. Ulangan episod ini membuktikan peluang demi peluang Tuhan berikan untuk kita mencapai matlamat Ramadhan dan puasa.

4. Dalam puasa ada banyak pengertian dan konsep yang menjurus ke matlamat tadi. Paling menarik adalah konsep pengorbanan yang sememangnya terserlah. Bersediakah kita untuk berkorban, sedang puasa telah memasuki harinya yang ketujuh?

5. Pasti, kita perlukan bantuan untuk berjaya dalam puasa ini. Talian taqwa cukup banyak. Jom kita gunakan...

23.8.09

Awal Ramadhan

4 comments:
1. Ramadhan kali ini, saya menyambutnya dengan berbagai rasa gembira, terharu, dan bimbang. Gembira kerana peluang seterusnya diberikan Allah 'azza wa jalla untuk menikmati kelebihan bulan ini. Terharu kerana masih berkesempatan menerima kasihan belas dan kasih sayang Tuhan yang Maha Pemurah dan Penyayang, serta insan-insan disayangi. Bimbang pula pada kesihatan emak di tengah-tengah wabak Influenza A H1N1.

2. Emak mengalami masalah sakit pinggang beberapa hari yang lalu. Apabila serentak diserang masalah paru-paru, ia mendesak emak bergegas ke bahagian kecemasan Hospital Putrajaya dan akhirnya ditahan di wad 4B.

3. Kerana tergolong dalam kategori pesakit berisiko tinggi terhadap H1N1, maka emak turut diletakkan sebagai pesakit yang terdedah kepada wabak ini dengan kawalan yang dikatakan agak rapi. Doktor memberikan pil antiviral (tami flu?) yang dikatakan untuk pencegahan selesema babi?

4. Mudah-mudahan, keberkatan di bulan Ramadhan ini menjadikan setiap pesakit kita kuat, tabah dan bertawakkal yang tinggi kepada Allah swt. Kita doakan untuk seluruh umat Islam di Malaysia, termasuk emak saya, amak anda semua, ayah kita, keluarga kita dan setiap pesakit muslim, walau di mana sahaja mereka, walau apapun nama mereka, Hasan, Ahmad, Fatimah, Dayang, Mamat, Nadia, Rosmah, Begum, Khan, Abdul Ghaffar diampunkan dosa mereka dan Allah mengurniakan yang terbaik untuk mereka.

5. Moga Ramadhan kali ini, lebih baik dari yang lepas. Kullu 'aam wa antum bil khair

6.8.09

HATI SELEPAS NISFU SYA'BAN

No comments:
1. Lebih sebulan blog ini tidak berubah. Kekal dengan artikel lama dan wajah serupa. Malam ini saya gagahkan diri untuk meloretkan satu dua rasa.

2. Malam tadi ramai yang gembira menamatkan buku mereka dengan husnul khatimah dan membuka lembaran baru dengan husnul bidayah. Itu bagi yang beriman dengannya. Bagi yang tidak menerimanya, kekallah malam tadi seperti malam ini dan malam seterusnya.

3. Bagi saya, semuanya serupa. Bezanya hanya pada hati.

4. Apakah hati kita pada malam ini lebih baik berbanding semalam? Seterusnya apakah hati malam ini mampu menjadi raja pemerintah untuk mengejar kebaikan-kebaikan yang melimpah ruah? Atau malam ini tidak beza dengan malam-malam sebelumnya, hati tetap diselimuti kapan keimanan?

5. Bagi hati-hati yang kotor, jadikan malam ini masa untuk suatu pengajaran kerana malam esok belum tentu sempat dirasai. Biarlah telah melepasi separuh Sya'ban, belum lagi malam Ramadhan dan jauh lagi malam Syawal, namun hati-hati ini mesti diubati segera.

6. Ilahi ya Rabbi, hati-hati ini sedang lena dibuai mimpi indah. Mimpi sekeping hati yang tertipu dengan fatamorgana jalanan. Bangkitkan kesedaran pada hati-hati ini. Sucikan ia daripada terus dikotori. Ya Ilahi, siapa lagi untuk hati-hati ini berpaut? Pada mimpi? Pada fatamorgana? Pada nafsu-nafsi?

7. Ilahi, malam ini malam Ilahi. Kau menentukan malam ini untuk hati ini akur dan tunduk. Pada kebesaranMu, ya Rabbi...Dan Kau sedarkanlah pada hati-hati itu, bahawa hati ini memerlukan bantuan penunjuk arah!

"Tuhanku, aku tidak layak untuk menghuni FirdausMu, tetapi aku tidak kuat menanggung api nerakaMu, oleh itu kurniakanlah keampunan kepadaku ampunkanlah dosaku, sesungguhnya Kaulah Maha pengampun dosa-dosa besar..."