30.10.09

Seminar Yang Sukar

2 comments:
1. Harapan semua ahli PAS, agar masalah dapat diselesaikan. Antara usahanya ialah dengan mengadakan seminar.

2. Masalah berlaku di kalangan pimpinan. Masalah pada berbeza ijtihad sahaja. Tapi ia menjadi besar. Apabila seminar yang melibatkan ahli semua peringkat ingin dijadikan platfom bagi menyelesaikan masalah atasan, maka seminar ini cukup penting dan sangat sukar untuk dijayakan.

3. Jawatankuasa penganjur seharusnya terdiri daripada kalangan pakar-pakar dalam ilmu keseminaran, keselamatan, kesaksamaan dan pelbagai lagi.

4. Kalau seminar ini sudah digariskan resolusinya oleh penganjur, seminar ini gagal.

5.Kalau seminar ini hanya menyediakan masa bersoal-jawab (debat) selama 15 minit, seminar ini gagal.

6. Kalau seminar ini hanya melibatkan satu mazhab politik dalam PAS sahaja, seminar ini gagal.

7. Kalau seminar ini hanya dihadiri oleh pimpinan atasan pada ketika perasmian pembukaan dan penutup sahaja, seminar ini gagal. Presiden juga seharusnya mendengar semua ucapan, bukan hanya menyampaikan ucapan.

8. Kalau seminar ini ditinggalkan awal oleh pimpinan, seminar ini gagal.

9. Kalau seminar ini tidak fokus kepada isu memperkasakan Pakatan Rakyat, seminar ini gagal.

10. Kalau seminar ini tidak menyentuh 3 nama yang panas itu, saya tidak tahu seminar ini gagal atau tidak.

Bagi saya, seminar sukar mendekatkan pimpinan dan idea masing2. Ia sekadar tempat luahan idea dan pendirian. Penyatuan jarang berlaku dalam sebuah seminar dan akhirnya, dasar bawah kubah ais masih teguh.

Bukan untuk saya memperkecilkan seminar ini, tidak sama sekali. Bukan pula untuk menolak keputusan ini. Tetapi saya merasakan ia amat sukar. Terlalu sukar untuk dijayakan. Moga Allah memberi taufiq dan hidayah, agar ia menjadi mudah.

Wallahu a'lam

Bila Anai-Anai Terus Berparasit...

2 comments:
1. Tiga penyelesaian dirumuskan oleh PAS, dalam mesyuarat yang menyaksikan beberapa pemimpin keluar awal daripada peristiwa syura itu, pada Rabu 28 Oktober 2009, 8.30pm hingga kurang lebih 1.30am.

2. Siasatan di Selangor antara keputusan yang diambil. Ia memang panas tetapi ada nilai nilai humor juga, bagi sesetengah sahabat. Semalam sempat bersembang dengan seorang YDP. "Sekarang ni enta tahu, bila berjumpa saja dengan kawan-kawan, semuanya gelak, hehehe siasat-siasat." kata sahabat saya. Sudah menjadi bahan gelak ketawa agaknya.

3. Apabila saya mengaju soalan kemungkinan semua YDP akan dipanggil, dengan cepat sahabat saya memotong " Huh, panggil, panggil. Senang sikit nak dedah semuanya....memang lah puak ........." Topik kami seperti biasa, ke arah anai-anai jua akhirnya! "Puak-puak ni tak bijak sungguh." Antara buah akhir beliau.

4. Ya, seperti anai-anai menumpang istana yang terputus talinya, eh, silap. Itu layang-layang terputus talinya. Ini, terputus talian politiknya...!

5. Apa erti seribu seminar, jika anai-anai terus berparasit?

28.10.09

Pengasingan Sifat-Sifat Unik PAS

No comments:
Ketika kekalutan EGM semakin reda, saya mula memikirkan semula kewajaran apa yang dipanggil pengasingan dua aliran pemikiran terbesar dalam parti PAS.

Selama ini, di mana sahaja, bila-bila masa, jika tamrin dan tarbiah diikuti dengan baik, kita akan sentiasa mendengar slogan atau kempen memperjelaskan PAS kepada semua pendokongnya bahawa ia adalah sebuah gerakan Islam, jamaah dakwah dan tarbiah serta parti politik massa.

Itu diuar-uarkan sebagai keunikan PAS.

Kini, sifat-sifat unik itu semakin membelit dirinya sendiri lantaran banyak isu yang menggambarkan pertembungan kepentingan terhadap sifat-sifat tadi.

PAS sebagai jamaah tarbiah dan dakwah, mengutamakan proses pentarbiahan ahli dan bukan ahli serta penyebaran agama kepada non-muslim. Tetapi, PAS sebagai parti politik, mahu segera mengambil kesempatan daripada apa yang disebut, gelombang rakyat bersepadu menolak apa sahaja yang berkaitan dengan Barisan Nasional.

Kini, sifat-sifat unik itu semakin mengembang secara berasingan dan tidak berjaya disinergikan. Senario itu berkemungkinan hasil daripada kelemahan pucuk pimpinan sendiri yang gagal menggerakkan semua sisi unik PAS secara betul dan sistematik. Juga berpunca daripada kewujudan kelompok-kelompok kecil dalam parti yang sememangnya bergerak dan bermatlamatkan sisi tertentu sahaja. Kadang-kadang, mengambil sikap secara berasingan dengan melupakan sisi sebaliknya.

Saya melihat, perbezaan ketara di kalangan pimpinan pada isu-isu tertentu dalam PAS dewasa ini, berpunca daripada kepelbagaian hala tuju, taat dan wala' dalam parti, selain kurangnya kesedaran dalam usaha menguatkan lagi bahasa kita.

Oleh itu, selesaikan dahulu punca masalah, kemudian fikirkan penggantian jika mahu...Atau terus kepada pengasingan, jika itu lebih memberi fokus pada mencapai matlamat yang dikongsi bersama.

26.10.09

Kemanisan Yang Semakin Hilang

No comments:
Bekerja untuk agama memang cita-cita setiap pendokong Islam yang memahami deennya dan ada kesedaran pula di hati. Lebih-lebih lagi jika pekerjaan itu adalah suatu jihad yang menjanjikan kemanisan zahir dan batin, bertambahlah semangat menyempurnakannya. Manis dirasai pancaindera dan manis berbentuk koleksi anugerah dari Ilahi.

Ramadhan yang lalu, kita sentiasa mendengar huraian tentang dua kemanisan bagi ahli puasa. Manis ketika berbuka puasa dan manis ketika menemui Tuhan. Satu contoh yang sangat tepat.

Bagi membentuk sebuah dorongan dalam bekerja demi agama, ada dua manis juga yang sentiasa dikecapi pejuangnya. Manis dalam bekerja dan manis menemui Allah, Pemberi kemanisan.

Ketika ini, saat ini, benarkah manis dalam bekerja itu mudah dikecapi setiap kita? Wujudkah lagi manis dalam berjihad?

Persoalan yang selalu juga saya tujukan buat diri sendiri. Maniskah rasanya bekerja ketika ini? Samakah seperti dulu-dulu atau sudah banyak berubahnya?

Kadang-kadang saya merasakan kesusahan dalam bekerja pada masa kini berpunca juga daripada sikap masing-masing yang gagal memahamkan diri sendiri tentang tujuan sebenar kita bersusah payah untuk berjihad!

Tidak masuk akal sama sekali, jika kita berjihad, dan ketika berjihad, kita masih boleh menjatuhkan mujahid, membentak mujahid, bermasam muka sesama mujahid, mencari kelemahan mujahid dan mengkelaskan mujahid ini kem mana dan kita pula kem mana.

Tetapi itulah yang banyak berlaku dan itulah yang kadang-kadangnya, kita lakukan. Jelas, kemanisan jihad itu semakin pudar kerana para mujahidin sudah kabur maqasid agama daripada tuntutan jihad itu sendiri.

Persoalan mudahnya, benarkah cara kerja kita, jika kita hanya berjaya pada mengejar undi, tetapi hati banyak yang tercalar, jantung kerap gegarannya, dan teman-teman, ada yang mula menjauhkan diri daripada paksi jihad kita dan kita pula, secara sengaja mencipta manusia muslim yang lain sebagai musuh perjuangan.

"Mari ke sini, jika tidak kamu musuh perjuangan" kata mujahid yang sakit.

Jika senario sebegini berterusan, suatu hari nanti, saya bimbang jihad kita setiap hari itu sudah tidak lagi kelihatan seperti jihad. Ia sudah menjadi seperti sebuah kerjaya untuk mengejar pahala, yang ganjarannya pahala tanpa duit.

Saya juga bimbang, kalau-kalau kita sendiri yang mencipta tanggapan salah terhadap jihad itu sendiri. Persepsi songsang terhadap kerja agama dan bekerja untuk perjuangan agama. Sayang, kalau kita lambat mengubahnya.

24.10.09

Tegurlah Mursyidul Am Jika Perlu

16 comments:
1. Sekali lagi hati-hati pekerja parti Islam gundah gulana. Juga keliru antara kemuliaan seorang tokoh di sisi Allah dengan pandangan politik yang penuh subjektif.

2. Turut keliru terhadap dua tokoh yang hebat di sisi Ilahi, bertentangan dalam membaca dan berpendirian terhadap senario politik semasa.

3. Saya merujuk kepada apa yang pernah berlaku selepas perang Badar. Dua pandangan berbeza dizahirkan oleh Saiduna Abu Bakr dan Saiduna Omar Al Khattab. Cukup bercanggah. Satu mahu mati. Satu lagi mahu digunakan dan memberi manfaat kepada muslimin. Akhirnya, ia hanya menjadi koleksi sirah yang bermanfaat, walaupun keputusannya di tangan Ilahi melalui wahyu selepas itu. Tiada sengketa, tiada penjarahan berlaku.

4. Dulu, lebih sepuluh tahun lalu, seorang tokoh ulama PAS pernah bermadah di hadapan saya dan rakan-rakan, "Ambo adalah PAS". Saya terkejut dan bimbang, sehingga sekarang.

5. Selagi tiada teguran terbuka ditujukan kepada tokoh ini, selagi itulah setiap kata-katanya sentiasa menimbulkan kebimbangan saya. Saya sering menolak bacaan politiknya, tetapi terlalu ramai berebut-rebut mencari "hikmah" di sebalik ungkapannya, walaupun jelas tersasar.

6. Bagi saya, kehebatan seorang manusia di sisi Ilahi, tidak menjamin dengan banyak ketepatan dia dalam membaca politik semasa. Itu dua keadaan yang sangat berbeza, kerana Islam terbina atas hujah, bukan kemuliaan batang tubuh. Maka menggunakan Islam untuk berpolitik juga terbina atas hujah, bukan kedudukan.

7. Maksud saya, penjamin dan pemutus adalah hujah, bukan " siapa kita nak dibandingkan dengan ketaqwaan beliau, dia lebih berpengalaman, dia alim, dia tok guru kita."

8. Saya suka tulisan berani MSO di sini.

9. Saya tidak bersetuju EGM diadakan, bagai cadangan Tuan Guru Mursyidul Am, dalam isu dua tiga orang pemimpin bermasalah. Malah bagi saya sudah tidak berbangkit isu ini selepas muktamar memutuskan siapa memimpin PAS. Pandangan itu amat tidak tepat. Saya hanya mampu menyebutnya di blog sendiri. Pemimpin-pemimpin di atas, tegurlah jika perlu.

10.10.09

Bekalan dalam permusafiran

No comments:

Pada malam itu, kami menjangkakan perjalanan ke Terengganu tidaklah begitu menyusahkan. Kami keluar dari rumah sekitar jam 2.30am. Dari Puchong perjalanan agak lancar. Apabila sampai sahaja di persimpangan UIA/Kuantan keadaan makin sesak.

Sebaik sahaja melepasi tol berdekatan UIA, pergerakan kenderaan begitu perlahan sekali. Lenguh juga kaki bermain dengan dua pedal minyak dan brek.

Inilah kali pertama kami berhadapan dengan kesesakan melampau untuk pulang berhari raya. Apa yang dirancang, tidak berlaku. Subuh kami hanya di Masjid Lentang.

Mujurlah kami sempat menyediakan bekal untuk bersahur. Sempat berhenti di tepian lebuhraya untuk menjamah makanan dan minuman yang tidak seberapa.

++++++

Begitulah perjalanan sebuah kehidupan. Sukar menjangkakan apa yang bakal dilalui, dilakukan dan ditetapkan untuk sebuah permusafiran itu.

Perkara pertama yang penting, kita mesti INGAT, kita masih dalam sebuah permusafiran. Sedang menuju ke destinasi yang pasti dan kekal abadi.

Malam ini, saya dan rakan-rakan akan bermusafir ke Bagan Pinang. Semata-mata untuk mencari BEKALAN bagi permusafiran yang masih jauh perjalanannya.

Nasihat di mana-mana yang mudah dikutip, IKHLAS adalah kekuatan dalam sebuah perjalanan seorang yang berjuang...bermusafir.

3.10.09

Sudah sebulan mak pergi ke rahmat Ilahi

3 comments:
Wajah akhir mak yang sempat direkodkan. Ketika menunggu masa untuk dimandikan. Bagi saya, mak gembira dengan pemergiannya ini, wallahu a'lam...moga Allah sentiasa "bersama"nya, ameen.


Perjalanan akhir mak melintas jalan raya dari rumah ke kawasan perkuburan


Mak sedang dikebumikan


Selepas selesai pengkebumian dan doa. Saya duduk di antara mak dan abah. Kawasan sebelah mak kosong selama 10 tahun, seperti telah dijanjikan, mak akan berdekatan dengan abah. Abah meninggal pada bulan Mac 1999. Mak bulan September 2009.


Kubur mak, abah, mak dan ayah kepada mak serta beberapa keluarga lain, kelihatan di dalam gambar ini.

12 Syawwal yang lalu, genaplah sebulan pemergian mak yang sangat dirindui. Perginya dengan penuh kejutan, kehilangannya ditangisi dan belaian kasih sayangnya sangat dirindui. Kini tiada lagi doa-doa mak untuk anak-anaknya dan tiada lagi senyum tawa dan hilaian mak memanggil dan bermain dengan anak sulungku Ihsan Izziddeen.

Mak, kita jumpa di sana.

Allahummaghfirlana wa laha, wa 'aafina wa'fu 'anha!

al-fatihah...

14 Syawwal 1430