24.4.07

Projek Segera

Sebenarnya jalan yang ditar semula masih lagi elok. Tetapi projek perlu diteruskan.

Inilah natijah daripada projek segera membangunkan Ijok dalam tempoh 8 hari. Tar di tempat letak kereta Masjid Pekan Batang Berjuntai telah mula pecah/berlubang.

Tanah merah/kuning ditambun di tepi jalan. Jalan nampak masih elok, tetapi bagi kerajaan, ia masih belum memuaskan hati mereka. Pembangunan perlu disumbat segera kepada penduduk Ijok.
Ijok kini ibarat sebuah negeri, ataupun negara. Pelbagai kementerian dan jabatan kerajaan dikerah turun padang oleh Kerajaan BN. Sama ada caranya betul atau salah, penduduk di DUN 11 Ijok terus menikmati pembangunan segera. Namun apakah semua ini akan terus dikecapi sebaik sahaja pilihanraya kecil berakhir nanti?
Bagaimana kawasan sekitar Ijok? Apakah kemisikinan tegar hanya berlaku di DUN Ijok? Bagaimana orang miskin di Sabak bernam sekarang ini? Di Hulu Selangor yang penuh dengan kawasan hutan? Nelayan papa di Tanjung Karang pula terus dilupakan MB?

Jangan tunggu sehingga rakyat miskin mendoakan pilihanraya kecil di tempat mereka, baru kerajaan mengerahkan segala apa yang ada untuk mempertahankan kemenangan.

21.4.07

Pasca Kematian

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada sahabat baik saya yang telah meletakkan pautan blog ini di dalam laman webnya. Tetapi bimbang juga, jika blog ini tidak 'menjadi', maka terkesan pula kepada lamannya.

Maka, saya jadikan ia sebagai peniup semangat untuk terus menulis dan menulis. Memang benar kata sahabat saya, menulis bermakna memberi. Sesuatu yang dimiliki, elok benarlah jika dikongsi bersama. Lebih-lebih lagi jika pemberian itu boleh memberi sumbangan kepada pembaca, masyarakat atau agama. Paling tidak, berkongsi sesuatu yang berfaedah, daripada membuang masa dengan bermusafir di dunia siber tanpa hala tuju. Kadang-kadang kita terbabas ke dunia yang serba asing daripada Islam.

Sehari dua ini orang ramai tertumpu kepada Ijok. Kenapa?

Apakah kerana pembangunan yang sedang pesat? Atau kerana suatu proses demokrasi sedang bermula? Juga kerana ia menjadi tumpuan media, maka rakyat pun mengikut sahaja apa yang media muntahkan?

Ijok, suatu pekan kecil yang sememangnya mundur, jika dibandingkan dengan Shah Alam, ibu negeri Selangor. Tetapi ia tidaklah jauh sangat dari Bandaraya itu. Punca mundur, wallahu a'lam.

Yang pasti, kini ia akan menerima limpahan rezeki secara mengejut, ibarat durian runtuh dari langit. Jika betul caranya, durian itu sempat dimakan dan puas menikmati keenakan rasanya. Jika silap langkah, kepala berdarah dan lebih malang jika buahnya berulat.

Begitukah Ijok?

Kita boleh melihat dengan jelas, pembangunan untuk warga kampung, terpencil, desa jauh dan pinggiran hutan hanya akan datang sekali-sekala ketika pilihanraya umum, dan lebih pesat jika wakil kepada golongan tadi menemui ajal yang dijanjikan.

Malang sungguh warga Malaysia jika hanya dapat menikmati sedikit kesenangan ketika sebuah keluarga menangisi kematian ahli mereka.

Agaknya, selesaikah masalah banjir di Shah Alam jika pilihanraya kecil Parlimen Shah Alam diadakan? Nampaknya begitulah.

Sinonimlah agaknya Malaysia dengan ungkapan "Pembangunan Pasca Kematian". Kalau begitu, seronoklah agaknya masyarakat marhaen yang kematian wakil mereka?
Inna lillah...

20.4.07

Bunga bahasa dalam Barzanji

Saya merujuk kepada tulisan di bawah, yang dipetik daripada sebuah laman web. Tulisan di bawah mengkritik beberapa kesilapan di dalam karangan Barzanji.

Sikap saya ialah, saya suka jika kita mengambil kira penjelasan 'mereka' dan mengambil kira bunga-bunga bahasa yang digunakan. Iaitu mungkin ada takwilat yang boleh diguna pakai ketika membaca bahasa-bahasa barzanji ini, tanpa saya menafikan beberapa fakta di bawah yang tidak boleh lagi ditakwil-takwil serta siapa itu barzanji.

Saya berikan contoh begini:

Allah berfirman yang bermaksud ( Jika kamu semua menolong Allah, Allah akan menolong kamu, dan Dia menetapkan kaki-kaki kamu.)

Bagaimana kita menolong Allah, sedangkan nas ayat di atas jelas menyatakan sedemikian. Benarkah Allah meminta kita menolongNya? Atau bukan begitu maknanya?

Ulama tafsirkan dengan menolong agama Allah. Dan juga mentafsirkan penetapan pada hati-hati, bukan tapak kaki ( sahaja )!

Saya suka kita memberi peluang takwil terlebih dahulu kerana jika tidak, maka mudah kita menjebakkan pengamal barzanji ini ke daerah bid’ah, kufur dan syirik, sedangkan apakah kita yakin mereka bermaksudkan sedemikian.

Tiada ulama ahli sunnah menyatakan Nabi boleh menghapuskan dosa, ( lihat pertikaian 1 ) baik daripada kumpulan salafiah, mahupun asyairah dan maturidiah. Barzanji dikaitkan dengan syiah. Tetapi ada juga ulama asyairah yang menerima bait2 syair ini, kalau pun tidak semua... Bukan begitu? Saya kurang pasti. Jadi saya fikir, di sana banyak kaedah-kaedah bahasa dan balaghah yang perlu direnung-renung juga.

Sebagai contoh kedua:

Allah tidak akan mengazab kaum yang ada bersama mereka Rasulullah saw.

Apakah hukumnya jika kita berkata : " Mereka diselamatkan oleh Rasulullah" dengan memahami bahawa yang menyelamat ialah Allah Ta'ala tanpa ragu2.

Bahasa itu digunakan untuk memuliakan Rasulullah dan menyedarkan sesiapa yang ingin sedar bahawa besarnya jasa Rasulullah saw. Kesimpulannya, penelitian secara mendalam sangat dituntut ketika menilai karangan-karangan berbahasa Arab sebegini, tambahan pula ia menyentuh amalan kebiasaan masyarakat terbanyak, yang perlu kepada hikmah yang tinggi.

Namun, saya tak pernah dan tak berminat pun nak membaca barzanji nih. Dan jika kesilapan yang berlaku itu memang jelas dan tiada takwil yang boleh digunakan, maka pembetulan adalah wajib.

Elbaritii.

Petikan tersebut :

“ Sebahagian Pertikaian (Kekeliruan dan kebatilan) Daripada Sekian Banyak Kebatilan : ”

Pertikaian 1 – Syair - “Salam atasmu (Muhammad) wahai pernghapus dosa (ya maa hayal zunuub)”


Hujah (Pegangan) ahlus Sunnah:
(Hanya Allah lah) Yang mengampunkan dosa, dan Yang menerima taubat; Yang berat azabNya; Yang melimpah-limpah kurniaNya; tiada Tuhan melainkan dia; kepada-Nyalah tempat kembali. (al-Mu’min (40): 3)

Oleh itu, maka Tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (Wahai Muhammad) Bahawa Sesungguhnya tiada Tuhan Yang berhak disembah melainkan Allah, dan mintalah ampun kepadanya bagi salah silap Yang Engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang Yang beriman - lelaki dan perempuan; dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di Akhirat). (Muhammad (47): 19)

“Dan aku merasa berdosa, maka ampunilah dosaku wahai Tuhanku! Sesungguhnya tidak ada yang boleh mengampunkan segala dosaku kecuali Engkau” (al-Azkar, m/s 177. Cetakan Pertama an-Nawawi – Dinukil daripada kertas kerja kuliah Ust. Rasul Dahri)

“Demi Allah! Sesungguhnya aku memohon keampunan Allah dan bertaubat kepada-Nya dalam sehari semalam lebib tujuh puluh kali”. (Hadis Riwayat Bukhari)

Pertikaian 2 – Syair - “Salam atasmu (Muhammad) wahai tempat bernaung dan meminta (ya kahfau wa maqsod)”

Pertikaian 3 – Syair - “Salam atasmu (Muhammad) wahai tempat memohon segala hajat (ya kullal maraam)”

Hujah (Pegangan) ahlus Sunnah:

Katakanlah (Wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; (al-Ikhlas (112): 1-2)
Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja (tempat) kami memohon pertolongan. (al-Fatihah (1): 5)



Fakta

Pagi ini, sekali lagi mendengar berita seawal jam 6 am. Alhamdulillah, sempat sembahyang sebelum bertugas. Bekerja sebagai penterjemah berita ( sebenarnya alih bahasa dan suara ) Bahasa Arab kepada Bahasa Melayu, soal ketepatan sangat dijaga.

Fakta berita yang didengari daripada siaran berita Al Jazeera cuba difahami dan dihayati serta di'tangkap' secepat mungkin. Dalam satu dua saat....huhh. Bukan mudah menjadi penterjemah secara serentak dan "mubasyir" pula siarannya. Walaupun begitu, fakta mesti tepat.

Tetapi, ketika masih mengantuk atau layu-layu mata seawal 6 am, mudah sangat kami tergelincir daripada fakta yang sebenar. Jika berlaku, ia bukan disengajakan. Kami berusaha untuk pastikan fakta yang diterima, itulah yang diberi.

Selain itu, kerja seperti kami, tidak seharusnya meletakkan kepentingan apa-apa dengan berita yang diterima. Tugas kami ialah, menterjemah dan menyampaikan.

Saya fikir itulah yang sepatutnya dilakukan oleh semua petugas media, khususnya di bilik berita. Tidak meletakkan kepentingan apa-apa terhadap realiti yang berlaku. Paling tidak pun, jika sesuatu berita itu sangat tidak digemari, petugas-petugas media ini seharusnya tidak menukar fakta dan memutar belit. Cukup dengan mendiamkan diri...ermm, lebih baik daripada menipu!

Lainlah kalau sengaja mencari kelemahan musuh politik atau perniagaan, kemudian menjadikan sebuah berita, dan faktanya memang berasas, saya kira masih boleh diterima. Apa yang saya tekankan, penipuan terhadap fakta tidak seharusnya berlaku.

Tetapi ini tidak berlaku kepada pihak penyiaran berita di Malaysia. Kepentingan pihak tertentu dijaga sehingga menyebabkan fakta tunggang-langgang dan 'terbalik-kot'.

Anda boleh saksikan perbezaan fakta antara TV3 dan Astro ( Bernama ) dalam kejadian balingan botol di Ijok semalam. Saksi dan hayatilah...

Ini adalah contoh yang terlalu kecil...

19.4.07

Pengumuman

ASSALAMUALAIKUM WRT WBT

MAAF, KEPADA PENGUNJUNG BLOG INI. SAYA TELAH MEMBERHENTIKAN BLOG INI LEBIH SEBULAN KERANA MASALAH YANG SUKAR DIATASI...WALAUPUN BARU SAHAJA BERMULA.

BEBERAPA PERUBAHAN TELAH DILAKUKAN KE ATAS BLOG INI DENGAN WAJAH DAN KONSEP YANG LEBIH SEGAR, INSYAALLAH.

DOAKAN...