24.3.11

Husam vs Mohd Sabu vs Nizar

Saya berminat mengulas sedikit pandangan pembaca dalam ruang komen pada posting terdahulu.

Saya menolak untuk meminati Husam sebagai calon Timbalan Presiden PAS kerana beliau belum terbukti berjaya menyatukan PAS Kelantan. Sikapnya menyerang kepimpinan Ust Nasa pada pemilihan lepas juga mencalar hormat saya padanya. Biar apapun salah sesiapa, jika menjejakkan kaki dalam arena pemilihan parti, jauhkan menyerang sesiapa.

Saya menolak untuk meminati Mohd Sabu sebagai calon Timbalan Presiden PAS kerana saya tidak melihat banyak kemahiran yang dimilikinya untuk membantu Presiden. Dan gaya politik serta ketokohan beliau sangat sinonim dengan watak pendekar atau pahlawan yang tidak perlu berada di kerusi kedua teratas.

Saya meminati Nizar kerana beliau telah dipilih Allah untuk merasai pengalaman mentadbir sebuah negeri, mempertahankan Islam di tengah kerumunan non-muslim dalam pengurusannya, lebih bersifat pemimpin parti Islam dan tidak terpalit dengan imej yang boleh dimomokkan oleh BN ke atas anak muda atas pagar.

Saya akui, daripada sudut pengorbanan dan seniority dalam kepimpinan pusat, Nizar di tempat ketiga. Tetapi jika dicampur kesemua kriteria yang ada pada minda saya, begitulah keinginan saya.

Jika anda hidup dalam dunia korporat, kewangan, ekonomi, perniagaan, pembinaan, maka anda tahu mereka di sana akan memilih siapa antara tiga tokoh ini, jika terpaksa memilih.

Kita mahu pemimpin yang mentadbir Malaysia yang merupakan sebuah negara berteknologi tinggi dan membangun yang menjadi contoh, bukan hanya sebuah parti pembangkang.

Tokoh nombor dua sangat sinonim dengan situasi itu malah biarlah tokoh itu mampu duduk dan diri bersama Ketua Pembangkang sekarang.

Dalam masa yang sama, diterima majoriti ahli parti sendiri dan mendapat kepercayaan dan penghormatan di samping memiliki akhlak yang TERPUJI.

Wallahu a'lam.

23.3.11

Regu dua Dato' Seri - Bekas MB Terengganu dan Perak

Setiap kali PAS mendekati waktu pemilihan kepimpinannya, saya ghairah mencari berita berkaitan dan berkongsi pandangan. Saya minat untuk mengetahui gelombong atau arus yang wujud dalam parti. Tambahan, kepimpinan sesebuah parti memainkan peranan paling asas untuk perjalanannya.

Suatu yang sukar untuk dirungkai ialah, konsep kepimpinan ulamak dalam parti. Ia telah menjadi sebati dan mustahil untuk sesiapa menukarnya. Tinggal lagi, bagaimana setiap ahli mentafsir maksud kepimpinan ulamak ini.

Bagi saya, pentafsirannya boleh berbeza antara dulu dan sekarang, mengikut perkembangan parti, peralihan masa dan suasana politik serta keperluan semasa.

Asas konsep ini, bagi saya ialah dengan wujudnya Majlis Syura Ulamak dengan peranan yang boleh dipertingkatan lagi serta peranan dan pengaruh Dewan Ulama dalam kepimpinan tertinggi melalui Ketua Dewan Ulamaknya.

Manakala kedudukan ulamak sebagai presiden merupakan satu bonus yang lebih mencantikkan lagi penonjolan peranan ulamak.

Jika ada keraguan pada kedudukan penjawat eksekutif yang bukan ulamak, saya melihat bahawa situasi itu perlu diperiksa timbang oleh Majlis Syura. Oleh itu, untuk menyaksikan penglibatan tokoh bukan aliran agama menduduki tangga teratas jawatan eksekutif parti, Majlis Syura mesti diletakkan pada kedudukan lebih kemas, kukuh dan dilihat memiliki kuasa yang jelas dan mesti patuh.

Berbalik kepada musim pemilihan ini, saya memiliki pandangan yang berbeza dengan kebanyakan teman2 di sekeliling saya.

Jawatan Presiden dikekalkan. Bagi jawatan Timbalan Presiden, saya bersikap terbuka untuk melihat tokoh bukan aliran agama mendudukinya dan beliau ialah Dato' Seri M. Nizar.

Asas saya begini;

Presiden, Dato' Seri Tuan Guru adalah seorang tokoh agama yang diyakini kekuatan ilmu dan pembacaan politik Islamnya. Beliau tidak memerlukan sokongan seorang lagi ustaz atau ulamak di sampingnya. Beliau memerlukan seseorang yang mampu melengkapinya bagi menjadi regu terbaik untuk PAS, selepas peranan yang dimainkan oleh Ustaz Nasharuddin kurang berkesan.

Dato' Seri Nizar telah teruji dengan ujian berat yang mengukuhkan perjuangannya dalam parti, pengorbanannya menghadapi karenah musuh dan tindakan politik yang segar, inklusif serta dinamik.

Jika dipersoalkan kelemahannya dalam ilmu agama, saya menjawab bahawa kerusi nombor dua tidak dijadikan untuk memberi fatwa agama atau fikah, sebaliknya untukmembantu kerja2 Presiden selain melangkapinya dalam ilmu dan kemahiran yang tidak dimiliki oleh Presiden.

Kenapa tidak tokoh ustaz atau ulama yang ada di dalam parti? Maaf, saya belum melihat ada tokoh yang benar2 teruji dan diyakini kemahirannya dalam memberi pandangan politik, berketrampilan serta diyakini mempunyai pengaruh yang luas.

Nabi memilih Quraish kerana pengaruhnya di kalangan bangsa Arab. Melayu diutamakan untuk jawatan MB dan PM kerana pengaruh juga. Ini membuktikan kuasa pengaruh melalui kemahiran adalah sangat penting untuk dimiliki oleh seorang pemimpin parti dan rakyat.

Jika dibangkitkan persoalan tarbiah dan fikrah. Jawapan ringkas saya, semua yang dialaminya dan diikuti dengan istiqamahnya dalam perjuangan parti membuktikan beliau seorang yang memiliki kekuatan tarbiah dan fikrah yang jelas. Kesatuan fikrah bukanlah bermakna mesti sama pandangan dengan kita dalam semua isu parti dan rakyat.

Dalam situasi semasa, saya menyeru agar persepsi ulamak mahu menguasai segalanya dapat dihindarkan dan biarlah ulamak terbuka dalam perjalanan parti yang disayangi ini. Jangan biarkan kebimbangan melampau terhadap parti mendorong kita bertindak tempang dengan meletakkan siapa sahaja asalkan seorang ustaz atau ulama, sedangkan dia tidak memiliki kemahiran sebagai pemimpin bagi melengkapi Tuan Guru Presiden.

Inilah pandangan saya dan inilah pandangan orang muda dan pemerhati di luar parti.

14.2.11

Revolusi Mesir memulakan keadilan dan meningkatkan maruah manusia


Sungguh tidak disangka, dalam era ini, seorang diktator 'ganas' dan bergelar 'thoghut' umat ini, mampu tumbang dengan suara rakyat yang sekian lama menderita kesempitan hidup, menahan perit keganasan pemerintah dan tertindas oleh sekatan kebebasan bersuara dan mengkritik terhadap kerajaan memerintah.
Ayman Nour, seorang calon pilihanraya presiden yang menentang Muhammad Hosni Sayyid Mubarak, dijatuhi hukuman kerja berat bebarapa tahun.
Tokoh ulama tersohor dunia, berkelana di Qatar demi meneruskan perjuangan Islam suci.
Ratusan malah ribuan manusia yang cuba memperjuangkan sesuatu, tertahan, terperengkok dan terbunuh. Mesir, sebuah negara umat Islam yang ada 'segalanya'.

Revolusi ini adalah revolusi rakyat. Revolusi yang suci daripada minda dan jiwa yang terdesak sekian lama. Selama itu, masa sahaja yang menentukan tarikh letusannya. Maha Agung Allah, cetusan yang kecil menjalarkan semangat juang membara ke seluruh pelusuk Mesir sehingga jutaan berhimpun pada jumaat kedua revolusi. Dataran merdeka itu menyaksikan segalanya.

Revolusi rakyat tidak eksklusif. Penyatu adalah kezaliman pemerintah. Perjuangan mereka adalah keadilan.

Tiada keadilan, tiadalah sebuah ideologi. Tahniah Mesir.

Revolusi ini, memulakan sebuah kebebasan dan keadilan yang mengikhtiraf manusia sebagai makhluk Allah yang bermaruah.


Dan, bermulalah juga gerakan dakwah ke arah khilafah Islamiah dengan cara lebih pantas lagi, InsyaAllah


Artikel Wikipedia

Akibat gerakan nasionalisme yang hebat, British mengiytiharkan kemerdekaan Mesir pada 22 Februari 1922. Kerajaan baru ditubuhkan dan bersifat raja berperlembagaan. Pada 1948, Mesir terlibat dalam serangan oleh negara-negara Arab terhadap Israel tetapi kalah dalam perang tersebut. Golongan nasionalis yang tidak puas hati telah menggulingkan institusi monarki pada 1952 dalam Revolusi Mesir dan mengisytiharkan Republik Arab Mesir pada 1953.

Gamal Abdel Nasser menjadi Presiden Republik pada 1954 dan mengisytiharkan kemerdekaan penuh daripada United Kingdom. Tindakan Abdel Nasser memiliknegarakan Terusan Suez pada 1956 mambangkitkan kemarahan United Kingdom dan Perancis, dan mengakibatkan konflik tentera, iaitu Krisis Suez. Dalam Perang Enam Hari 1967, wilayah Mesir, iaitu Semenanjung Sinai dan Jalur Gaza ditakluk oleh Israel.

Abdel Nasser meninggal dunia pada 1970 dan digantikan oleh Anwar Sadat. Pada 1973, Mesir dan Syria melancarkan Perang Yom Kippur bagi mendapat balik wilayah Semenanjung Sinai dan Bukit Golan. Campur tangan pihak Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet berjaya memulakan gencatan senjata. Pada 1977, Sadat menandatangani perjanjian damai dengan Israel untuk mendapatkan balik Semenanjung Sinai. Tindakannya mencetuskan kemarahan dalam kalangan penduduk Arab di dalam dan luar Mesir. Pada 1981, Sadat telah dibunuh. Sadat digantikan oleh Hosni Mubarak yang merupakan Presiden Mesir sehingga digulingkan pada tahun 2011.

28.1.11

Sekali lagi Muhyidin merapu dalam hujahnya dan penipuan MC

Sekali lagi saya terdengar ucapan Muhyidin yang menggunakan hujah bersifat dangkal. Beliau dengan lantang menjerit kepada para pengundi Cina di Labis agar tidak mengundi PAS kerana kononnya parti Islam ini tidak layak untuk menang atau mentadbir DUN Tenang.

Apakah sandaran beliau? Butakah Muhyidin melihat kejayaan PAS di Kelantan dan Kedah? Kejayaan separa masak yang ditonjolkan di Perak, sebelum rampasan kuasa berlaku?

Jika hujah ini dihalakan kepada KITA, tiada siapa yang akan bising. Tapi halanya kepada PAS yang sangat dihormati kawan dan ditakuti BN, adalah hanya mencerminkan ceteknya idea beliau untuk meraih sokongan pengundi Tenang.

Mana tidaknya, untuk mendabik dada kemajuan dan pembangunan hasil tangan BN di Tenang, mustahil untuk dijaja. Tiada apa yang boleh dibanggakan.

Muhyidin, bertindaklah sebagai pemimpin yang berbernas idea dan berjauh pandangan.


MC

Sama ada apa yang saya baca hari ini betul atau tidak, secara umumnya saya amat tidak bersetuju petugas parti menggunakan MC "buat-buat" untuk digunakan sebagai bekalan dalam sebuah jihad politik yang suci.

Jika benar layak menerima MC dan digunakan untuk tidak hadir ke tempat kerja, alhamdulillah. Tetapi jangan kerana ingin memperjuangkan sebuah perjuangan suci, kita sanggup melakukan satu helah atau penipuan terhadap majikan yang memberi kita sumber rezeki dan kerja, "selepas Allah swt."

Mari kita berpegang kepada amaran Rasulullah saw bahawa baginda tidak mengakui umatnya bagi mereka yang melakukan penipuan.

Bagaimana pula gaji yang diterima untuk hari itu?

26.1.11

Tidak setuju PAS mengorek kelemahan lama yang tiada kaitan dengan politik

Ketika Calon BN melakukan kesalahan atau kesilapan pada tahun 2003 dahulu, beliau mungkin sudah aktif dalam Umno dan mungkin tidak. Kesalahan itu tiada kaitan dengan dirinya sebagai umnowi.

Isu salam telah menyebabkan ramai bantah sikap Presiden Chua. Senjata yang mungkin boleh pakai untuk pengundi Cina, tak disenangi oleh orang-orang Islam. Akhirnya PAS untung.

Dalam keuntungan itu, Naib Presiden PAS mendedahkan satu kelemahan lama calon BN. Memang satu kelemahan yang tidak wajar berlaku. Tetapi, itu adalah kelemahan yang tiada kaitan dengan Umno, BN, pilihanraya dan undi. Ia berkaitan sikap profesional calon itu sendiri. Mungkin kesilapan itu telah diperbaikinya dengan membetulkan dirinya sendiri. Mungkinlah.

Oleh itu, saya tidak nampak kewajaran PAS mendedahkan hal ini sebagai satu kempen pilihanraya di Tenang.

Pertama: Saya nampak PAS sudah tiada hujah
Kedua: Saya kira PAS menggelabah dengan isu salam?
Ketiga: Saya rasa ia membuka satu persaingan baru parti politik iaitu korek mengorek kelemahan peribadi calon pilihanraya, yang telah lama berlalu. Akhirnya, berapa orang sangatlah yang tidak pernah melakukan kesalahan sepanjang usianya menjadi manusia mukallaf.

Jika itu berlaku, bukanlah mudah untuk mana-mana parti mencari calon yang benar-benar suci dan murni daripada kelemahan dalam kerjaya, kehidupan peribadi atau bisnes masing-masing.