Showing posts with label Jawatan. Show all posts
Showing posts with label Jawatan. Show all posts

1.6.09

"PERJAWATAN" DALAM PAS - PANDANGAN SAYA


Berikut, saya cuba melihat susun atur tugasan dalam parti secara lebih menyeluruh, tidak kepada jawatan tertinggi sahaja. Dan saya cuba elak daripada terikat kepada jangkaan-jangkaan wujudnya kelompok-kelompok dalam parti.


1. Walaupun saya lebih gembira jika Timbalan Presiden adalah seorang tokoh beraliran agama, namun bagi saya, dalam situasi SEKARANG ini, wajar bagi Ustaz Nasharudin menarik diri daripada pertandingan jawatan Timbalan Presiden atas beberapa alasan tertentu yang saya tidak mahu nyatakan di sini. Maka jawatan terbaik yang saya sesuaikan untuk beliau ialah Ketua Penerangan PAS Pusat. Di bawah bebanan dan pengawasannya ialah institusi dakwah dan penerangan yang amat penting untuk parti. Selama ini, institusi dakwah HAMPIR terabai sama sekali.

2. Husam dan Mohd Sabu wajar bertanding untuk melihat sejauh mana sokongan ahli terhadap dua tokoh parti ini. Mereka berdua mewakili dua kelompok utama dalam parti yang sentiasa memberikan sokongan kepada kepimpinan ulama. Kedua-dua mereka ini adalah tokoh nasional yang tidak wajar dibebankan dengan pengurusan di peringkat negeri.

3. Bagi jawatan Naib, saya seronok jika Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, Ustaz Mohd Amar dan Mahfuz Omar memenanginya, walaupun saya lebih berminat untuk melihat Salehuddin berada di situ. Tetapi, kerusi S/U Agung lebih memerlukan tenaga muda seperti Salehuddin yang mempunyai sifat-sifat yang sangat dituntut oleh kerusi itu. Beliau adalah aktivis yang berlatar belakangkan pendidikan yang baik, berjiwa muda, mampu bergerak aktif dan cergas membantu Presiden dan dilihat tokoh yang boleh menjadikan Pejabat Agung sebagai "rumah keduanya". Kesetiaan Salehuddin terhadap Presiden dan parti nanti, adalah aset bernilai untuk parti dan dirinya sendiri. Sangat indah dan cantik, pemimpin yang lahir dari tarbiah pemuda parti, akan menjadi pembantu paling setia kepada parti.

4. Mujahid adalah tokoh baru dalam parti yang masih memerlukan pengalaman lebih luas dan mendalam. Beliau perlukan pengalaman lebih luas dalam perjalanan tarbiah parti yang tidak sama dengan pengalaman silamnya. Penyatuan fikrah sangat penting untuk menduduki kerusi utama. Beliau paling layak untuk terus berperanan di tempatnya sekarang. Beliau adalah seorang pemimpin aliran agama yang lebih berwatak "profesional". Sesuai untuk mendekati golongan bukan Islam yang memerlukan sentuhan yang tepat.

5. Kedudukan Mohd Amar adalah sangat penting di kerusi Naib kerana beliau dilihat antara pemimpin pelapis bagi negeri Kelantan yang perlu diketengahkan di peringkat nasional. Antara beliau dan Husam, beliau lebih sesuai untuk menduduki kerusi panas Menteri Besar Kelantan kerana ilmunya, kemahiran berkomunikasinya, pengalamannya dan kesesuaiannya menjaga identiti Serambi Mekah pada batang tubuh Kelantan. Sebagai Menteri Besar ( pandangan saya ), beliau sesuai di kerusi Naib Presiden.

6. Jawatan bagi Pengarah PPP perlu diserahkan kepada individu yang lebih menjiwai amanah itu. Individu tersebut seharusnya seseorang yang tidak disibukkan dengan tanggung jawab sebagai wakil rakyat, pegawai kerajaan PR atau jawatan politik parti yang lain. Dr Dzulkefli mungkin perlu diberikan jawatan lain yang lebih sesuai dengan tanggungjawabnya sekarang, seperti memimpin Jabatan Pilihanraya dan seumpamanya.

7. Bendahari perlu diserahkan kepada tokoh korporat yang sanggup berkorban masa dan nama untuk parti. Jaringan sedia ada yang dimiliki oleh tokoh seperti ini sangat diperlukan untuk mempercepatkan pengisian kantung parti. Menarik jika Dato Kamaruddin dilantik sebagai Bendahari.

8. Berbalik kepada Ustaz Nasharudin. Saya percaya, dengan jawatannya sebagai Ketua Penerangan, beliau mampu mengembalikan semula imej "jamaah islamiah" kepada PAS yang semakin kabur sejak akhir-akhir ini. Di situlah medan terbaik untuk beliau menggerakkan jentera dakwah yang semata-mata bermatlamatkan penyebaran agama secara sistematik, sempurna, lengkap dan berwibawa. Sebelum ini, pemegang jawatan ini banyak memfokuskan kepada isu politik semata-mata sedangkan persoalan politik dan isu semasa boleh diulas semua pemimpin parti pada bila-bila masa. Tetapi, untuk kerja-kerja dakwah, orang tertentu sahaja yang lebih sesuai.

9. Bagi tarbiah dan perkaderan, lebih baik terus diserahkan kepada Ketua Dewan Ulama PAS Pusat supaya tidak lagi wujud pertindihan perjawatan dan tugasan melibatkan kerja-kerja dakwah, yang sememangnya utama dan mulia itu.

21.5.09

RENUNGAN BUAT YANG BAKAL MEMIMPIN


1. Islam telah menggariskan beberapa tugas penting yang mesti dilaksanakan oleh pemerintah Islam sekiranya diberikan kuasa oleh Allah swt. Bagi yang belum berkuasa, kewajipan itu perlu disandang pula oleh pemimpin-peminpin utama gerakan Islam yang sedang berusaha menguasai muka bumi Allah ini dengan sebaik yang mungkin. Pelaksanaannya hendaklah bermula daripada institusi yang ditadbirnya. Kewajipan itu adalah sangat banyak dan saya perturunkan antara yang utama di sini bagi renungan bersama.

2. Kewajipan paling utama adalah menegakkan agama Islam. Maksudnya ialah memelihara Islam, menyebarkannya, mempertahankannya daripada sebarang kekeliruan yang ditimbulkan, melaksanakan hukum-hukum Islam dan hududnya mengikut kemampuan dan kuasa, dan terakhirnya berjihad di landasan Allah swt. Itulah erti menegakkan agama di muka bumi ini. Surah al-Nisa' ayat 58 boleh dijadikan rujukan.

3. Memilih dan melantik pemimpin bawahan dan pegawai terdekat yang layak dan mampu menjalankan tugas dengan baik. Allah swt berfirman di dalam Surah al-Qasas ayat ke 26 bermaksud "Sesungguhnya yang paling baik untuk kamu ambil bekerja ialah yang kuat dan beramanah" Dalam situasi kepimpinan, saya huraikan begini, kuat bermakna mempunyai kemahiran dalam kepimpinan dan dalam bidang tugasnya, manakala amanah pula ialah mereka yang mempunyai ikatan kuat dengan Allah swt. Lantas menjalankan tugas dengan ikhlas, betul dan tidak mempunyai agenda peribadi yang tersembunyi.

4. Pemimpin perlu selalu melakukan pemeriksaan, koreksi atau pengujian terhadap pemimpin bawahan. Itu adalah sangat penting supaya semua petugas di bawah pemimpin utama itu sentiasa berada di landasan yang betul. Suatu ketika seorang sahabat berkata kepada Rasulullah saw bahawa dia diberikan hadiah kerana tugasan yang dilakukannya. Tetapi ditolak oleh Nabi saw seraya bertanya apakah sahabat itu akan mendapat hadiah jika dia tiada jawatan dan hanya berada di rumah ayah atau ibunya sahaja? Sudah tentu tidak. Maka itu adalah rasuah. Hadis ini menceritakan bagaimana telitinya Nabi saw terhadap semua tindakan dan laporan petugasnya. Sila rujuk Sahih Bukhari dan Muslim untuk keterangan lanjut bagi hadis ini.

5. Sentiasa mendekati dan mengesan segala kesusahan yang dialami oleh ahli di bawahannya, atau rakyat di bawah pentadbirannya. Setiap yang berlaku akan ditanya oleh Allah taala. Walaupun tugasan diagihkan, namun pemimpin utama tidak seharusnya berlepas tangan begitu sahaja. Nabi sudah mengingatkan kepada kita bahawa setiap kita akan ditanya perihal ahli tadbiran kita. Saidina Omar sudah menegaskan bahawa seekor anak kambing yang mati di sungai Furat juga akan ditanya oleh Allah taala terhadapnya. Apatah lagi masalah ahli yang semakin mencengkam kini?

6. Sentiasa membimbing dan menasihati ahli dan rakyat di bawah tadbirannya supaya sentiasa mentaati Allah dan Rasul serta melakukan kebaikan dan menjauhi maksiat dan kejahatan. Peringatan melalui hadis Nabi saw bermaksud "Agama itu nasihat" wajar menjadi panduan kita. Selain itu, para pemimpin utama ini sepatutnya menjadi contoh teladan yang terbaik dalam setiap segi. Al-Furqan ayat ke 74 mengajar para mukminin supaya sentiasa menjadi imam kepada para muttaqin. Iaitu menjadi ikutan kepada orang-orang bertakwa. Oleh itu, orang yang diikuti itu seharusnya juga layak dipanggil muttaqi. Bukan sebaliknya. Al-Sajadah ayat ke 24 juga wajar dijadikan panduan.