Showing posts with label Jihad. Show all posts
Showing posts with label Jihad. Show all posts

16.3.10

JIHAD BLOG

Ketika Malaysia belum memasuki era perang, maka jihad perang belum relevan lagi untuk dihurai secara detil kepada rakyat. Nak bercerita tentangnya pun serba salah kerana tiada siapa yang benar-benar ada pengalaman berjihad untuk berkisah, walaupun banyak ayat dalam al-Quran mengisahkan perihal jihad perang.

Oleh itu, banyaklah jenis jihad lain yang menjadi medan juang pencinta kepada agama. Jihad ekonomi, jihad pendidikan, jihad dakwah, jihad perbankan Islam, jihad politik Islam, jihad penulisan, jihad ceramah, jihad berkebajikan, jihad NGO Islam dan lain-lain.

Sejak lima tahun lalu, jihad blog muncul di tengah rakyat. Ramai yang terjun ke medan ini demi mahu melihat zalim dilanyak, adil dijulang dan hak diperteguhkan. Ini memang satu jihad yang menarik perhatian ramai peminat kepada tulis menulis.

Jihadnya bermula dengan mencari ilmu, mengkaji fakta, mengejar peristiwa sehinggalah kepada perdebatan di alam maya, menghadapi kritikan dengan masa yang terhad untuk menjawab dan kemungkinan disaman atau diugut. Tekanan daripada pihak sendiri juga mungkin berlaku.

Jika mudah, tidaklah namanya jihad. Jika dakwah tulisan diikhtiraf jihad oleh ulama, maka tentulah ada banyak kesukaran dalam medan jihad ini, termasuklah jihad blog dan laman sesawang.

Apa lagi jihadnya?

Tentu banyak. Antaranya, menahan diri daripada menulis apa sahaja sehingga memuaskan nafsu sendiri, demi menjuangkan bijak sendiri untuk kepuasan diri, tanpa mengira maslahah ummah, jamaah dan kepimpinan jamaah!

Jihadnya, menahan ego diri yang bijak dan cerdik ketika jahil dengan perancangan samar pimpinan.

Jihadnya termasuk menahan diri daripada memalukan sesama pencinta agama dan hak ketika melihat pihak lain salah memilih dan berijtihad.

Juga menyebut kebenaran kepada teman dan lawan, dengan cara yang hikmah pada kedua-dua sasaran. Hikmah pada musuh berbeza dengan hikmah pada teman sendiri yang terikat dengan cinta dan wala' pada agama dan kebenaran.

Jihadnya, sukar mengikut dan syok melulu. Banyak lagi jihadnya...

Moga jihad ini benar2 memberi kebaikan akhirat kepada pesertanya.

28.2.10

BERNIAGA DENGAN ALLAH

Allah taala ada perniagaan sendiri yang ditawarkan untuk orang-orang beriman. Dinamakan niaga kerana ada konsep pertukaran. Kalau kereta ditukar dengan wang atau hutang berbayar ansuran, maka Allah mahu syurgaNya ditukar dengan empat perkara.

Pertama: Beriman denganNya sebenar-benar makna dan amalan iman. Berikutannya, beriman dengan 5 subjek lain yang disebut agama.

Kedua: Beriman dengan Pesuruh akhirNya, iaitu Nabi Muhammad saw. Termasuk melaksanakan sunnah dan mempraktikkan kasih sayang terhadap baginda alaihissolatu wassalam.

Ketiga: Berjihad di jalan Allah dengan harta benda, kekayaan, kemewahan dan lebihan harta selepas segala kewajipan tertunai.

Keempat: Berjihad di jalan Allah dengan diri. Itu termasuk tenaga, masa, korban diri dan risiko nyawa.

Bukan sekadar syurga menjadi jualan Allah swt, bahkan selamat daripada azab yang pedih, keampunan bagi dosa-dosa, tempat kediaman terbaik di syurga 'Adnin dan kejayaan perjuangan menuntut hak, di dunia yang sementara ini.

Itulah antara pengajaran yang boleh diambil daripada ayat kesepuluh dan seterusnya, Surah as-Saff. Surah yang memulakan perbicaraan tentang pentingnya mengota kata, bertindak dengan kesatuan dan keseragaman dalam kerja berkait agama serta dakwah Islamiah.

Akhir seruan pada surah ini ialah, peringatan supaya umat Islam bersedia sebagai ansarullah.

Jika dikaitkan dengan ayat awal surah, maka surah ini mahu pejuang yang sentiasa bersedia untuk membantu perjuangan agama, memulakan ibadah itu dengan menunaikan ikrar, bersatu dan seragam ketika bertindak. Tindakan itu pula ibarat satu perniagaan langsung yang maha suci.

Itulah perniagaannya. Ia untuk orang beriman.

26.10.09

Kemanisan Yang Semakin Hilang

Bekerja untuk agama memang cita-cita setiap pendokong Islam yang memahami deennya dan ada kesedaran pula di hati. Lebih-lebih lagi jika pekerjaan itu adalah suatu jihad yang menjanjikan kemanisan zahir dan batin, bertambahlah semangat menyempurnakannya. Manis dirasai pancaindera dan manis berbentuk koleksi anugerah dari Ilahi.

Ramadhan yang lalu, kita sentiasa mendengar huraian tentang dua kemanisan bagi ahli puasa. Manis ketika berbuka puasa dan manis ketika menemui Tuhan. Satu contoh yang sangat tepat.

Bagi membentuk sebuah dorongan dalam bekerja demi agama, ada dua manis juga yang sentiasa dikecapi pejuangnya. Manis dalam bekerja dan manis menemui Allah, Pemberi kemanisan.

Ketika ini, saat ini, benarkah manis dalam bekerja itu mudah dikecapi setiap kita? Wujudkah lagi manis dalam berjihad?

Persoalan yang selalu juga saya tujukan buat diri sendiri. Maniskah rasanya bekerja ketika ini? Samakah seperti dulu-dulu atau sudah banyak berubahnya?

Kadang-kadang saya merasakan kesusahan dalam bekerja pada masa kini berpunca juga daripada sikap masing-masing yang gagal memahamkan diri sendiri tentang tujuan sebenar kita bersusah payah untuk berjihad!

Tidak masuk akal sama sekali, jika kita berjihad, dan ketika berjihad, kita masih boleh menjatuhkan mujahid, membentak mujahid, bermasam muka sesama mujahid, mencari kelemahan mujahid dan mengkelaskan mujahid ini kem mana dan kita pula kem mana.

Tetapi itulah yang banyak berlaku dan itulah yang kadang-kadangnya, kita lakukan. Jelas, kemanisan jihad itu semakin pudar kerana para mujahidin sudah kabur maqasid agama daripada tuntutan jihad itu sendiri.

Persoalan mudahnya, benarkah cara kerja kita, jika kita hanya berjaya pada mengejar undi, tetapi hati banyak yang tercalar, jantung kerap gegarannya, dan teman-teman, ada yang mula menjauhkan diri daripada paksi jihad kita dan kita pula, secara sengaja mencipta manusia muslim yang lain sebagai musuh perjuangan.

"Mari ke sini, jika tidak kamu musuh perjuangan" kata mujahid yang sakit.

Jika senario sebegini berterusan, suatu hari nanti, saya bimbang jihad kita setiap hari itu sudah tidak lagi kelihatan seperti jihad. Ia sudah menjadi seperti sebuah kerjaya untuk mengejar pahala, yang ganjarannya pahala tanpa duit.

Saya juga bimbang, kalau-kalau kita sendiri yang mencipta tanggapan salah terhadap jihad itu sendiri. Persepsi songsang terhadap kerja agama dan bekerja untuk perjuangan agama. Sayang, kalau kita lambat mengubahnya.

5.1.09

IRAN AKAN SERANG ISRAEL?

Iran di bawah pimpinan gerakan Islam syiah telah dibentuk pada awal tahun 80-an. Inilah satu-satunya negara dunia yang dipimpin oleh ulama dan kelompok pejuang agama. Cumanya bermazhabkan syiah. Sehingga hari ini belum terdapat satu pun negara yang dikuasai sepenuhnya oleh gerakan Islam dan Ulama sunnah. Sudan hanya sekerat jalan. Arab Saudi dikuasai oleh keluarga raja. Pakistan bukan dipimpin gerakan Islam. Syiah mendahului dalam hal ini.


Masalah di Palestin wujud sejak 1948. Ia berpanjangan. Umat Islam sehingga hari ini gagal menewaskan sepenuhnya Israel di bumi Palestin. Serangan ketika ini yang dilancarkan oleh Israel ke bumi Palestin adalah paling buruk sejak 1967. Paling buruk sepanjang wujudnya negara Islam syiah Iran. Apakah kita akan melihat Iran menyerang Israel?


Sepatutnya, sebagai sebuah negara pimpinan ulama, Iran tidak perlu lagi menunggu untuk melanyak Israel. Atas apa alasan Iran masih mendiamkan diri? Takut kepada US yang akan menyerang Iran atau takut sekatan ekonomi oleh US dan Barat? Nampaknya, Iran tidak berbeza dengan negara Arab lain yang hanya pandai berkhutbah.


Dulu, ketika Taliban menguasai Afghanistan, pejuang mujahidin pernah meminta laluan daripada Iran untuk sampai ke Palestin, namun tidak dibenarkan oleh Iran. Ironinya, Iran menghalang, sedangkan ianya sebuah negara Islam syiah.


Mungkinkah kita perlu tunggu munculnya negara Islam sunnah pimpinan ulama sunnah baharulah sempat melihat ketakutan Israel? Mungkinkah juga Iran sedang menanti Imam Mahdinya yang sedang bersembunyi, tidak muncul-muncul lagi, untuk memampuskan Israel? Sampai hati Imam Mahdi mereka tidak bersimpati dengan umat Islam sunni yang sedang dilanyak di Palestin dan Iraq!


Marilah kita berdoa agar Iran berbeza dari negara umat Islam yang lain. Atau?


( Untuk berita, cerita, analisa terkini isu-isu Palestin-Gaza berbahasa Malaysia, sila klik di sini. )

19.11.08

CERPEN - ANU DAN DAULAT

Karya Abu Ihsan


Malam itu Anu cukup berpuas hati. Tidur yang ingin diambilnya, walau untuk hanya 3 jam sahaja, memang akan dipenuhi dengan impian yang manis-manis, indah dan bertenaga.

Dia masih ingat ketika mesyuarat tadi, semuanya penuh ceria dan bersemangat untuk mendirikan daulat. Masing-masing diberi tugas yang besar. Peranan mereka bukan alang kepalang. Ada yang menebas, ada yang menanam cerucuk dan ada yang mengumpulkan simen yang dibeli di sana sini untuk mencukupkan kuantitinya.

Anu ditugaskan untuk mengumpul dana. Dia sangat gembira dengan kerja ini. Bukan untuk riya' atau menunjuk bukti, tetapi untuk membina daulat. Dia tahu, jika dia gagal, gagallah daulat. Jika dia duduk diam sahaja di rumah, tiada siapapun tahu. Kalau dia tak ambil pot pun, bukan ada siapa yang nak marah. Tapi itu bukan sifat Anu.

Anu sungguh bersemangat, walaupun tugasnya adalah tugas paling penting. Paling kritikal. Paling susah. Mana nak dicari duit di tengah bendang yang terbentang luas ini. Kalau nak diharapkan hasil tuaian, masih jauh lagi. Yang lepas-lepas pun tidak berhasil sangat. Ramai orang kampung kecewa. Tapi itu bukan pembunuh semangat Anu.

Ani, ketua kaum ibu mereka juga lain macam semangatnya. Kerjanya kerja orang lelaki. Kerja yang dibuat oleh orang-orang yang belum mencecah usia 40 tahun. Tapi, Ani yang berusia 59 tahun itu, sanggup menerima tugas yang dicadangkan oleh Tok Kepala mereka. Kerja menebas tapak daulat. Kalau makcik Ani pun begitu luar biasa semangatnya, apatah Anu yang masih muda remaja.

"Kenapa Tok Kepala cadangkan kerja itu kepada makcik Ani?" tanya Anu dalam meeting. Tok Kepala hanya senyum. Tidak menjawab. Sebaliknya dia menyambung terus pengagihan tugas, selepas Ani setuju, Anu setuju dan semuanya setuju.

Anu masih berfikir tentang itu. Sepanjang meeting, dia ceria, bersemangat tetapi sukar melupakan kenapa Ani yang dipilih. Mukanya kejap-kejap melungu, kejap-kejap senyum sengeh seorang diri. Tok Kepala sedar dari awal lagi.

Pada akhir meeting, di kaki tangga Tok Kepala membisikkan ke telinga Anu, " saya mahu dapatkan rahmat daripada syura. Keputusan tadi terbukti syura dihargai. Keputusan dibuat kerana syura, bukan kerana Ani layak. Saya boleh beri orang lain yang lebih layak, tetapi bimbang kerja itu diikuti oleh sifat ujub seseorang, terlalu yakin, sehingga lupa syura dan Tuhan syura. Kerja menebas kerja asas daulat kita. Saya mahu ia dilakukan oleh Ani atas rasa rendah diri, bersungguh-sungguh, tawakal yang tinggi dan mendapatkan bantuan orang lain. Dengan itu, rahmat akan bertapak pada tapak daulat kita."

"Bayangkan ketika Ani menebas, Ana yang sibuk membuat air akan terus menghulurkan air ke mulut Ani. Apu yang sibuk mengangkat simen, akan ringan tulang mengutip rumput-rumput Ani. Kamu pula, saya percaya akan membantu makcik Ani menebas, setelah letih mencari dana. Bukankah itu kerjasama dan persaudaraan? Kamu tidak ada kaitan dengan dia, tetapi ikatan itu terbentuk dengan kerjasama" Panjang lebar Tok Kepala membisikkan ke telinga Anu yang sudah lama tidak berkorek itu.

Panjang Anu termenung. Berisi rupanya Tok Kepala mereka ini, fikir Anu. Setiap tugas, ada hikmahnya. Ada tiga empat matlamat, bukan satu sahaja, untuk siapkan kerja sahaja. Dia semakin menyayangi Tok Kepala.

"Tok!" panggil Anu.

"Ya Anu," ringkas.

"Kenapa saya dilantik mencari dana sedangkan saya tiada pengalaman perniagaan?" luah Anu yang dari awal ingin bertanya soalan itu.

"Anu, bukankah Tuhan memesan, orang yang kuat dan amanah dilantik jawatan? Kamu itu orang amanah, tidak tahu sombong, tidak biasa menipu, tiada kepentingan diri, dan muda remaja, kuat untuk ke sana ke sini meminta derma. Saya tak mahu orang yang kaya, orang niaga, tetapi tiada sifat rendah diri untuk meminta derma." Tok Kepala jelas berjela, tetapi tidak sepanjang tadi.

" Apakah kita hanya bergantung kepada derma tok? Bukankah berniaga itu sumber dana terbaik?" soal Anu.

Dengan senyum Tok Kepala menambah dengan penuh semangat, sambil membetulkan ekor serbannya, "Anu, kerja kita bukan setakat siap daulat. Ya, sekarang daulat belum terbina lagi. Meminta derma itu perkara biasa. Nanti bila daulat dah siap, cat dah berkilat, bumbung dah bergenting, laman dah berhias, mampukah orang berniaga terus menjaga daulat kita dengan mengumpul dana daulat dan lupakan hasrat untuk mendapatkan anugerah menebas rumput sekeliling daulat, ibarat kerja ikhlas yang dibuat Ani? Satu lagi, biarkan orang berniaga buat kerja lain dalam bina daulat. Sambil itu dia boleh niaga. Untung, kamu minta lah. Bukankah daulat dapat untung dua kali. Satu kerja dia, dua duit niaga dia"

Anu terus mengangguk dan faham benar pemikiran Tok. Dia tahu, Tok pandang jauh. Zaman susah bina daulat semua nampak beramanah dan konsisten. Zaman daulat dah siap, tidak semua mampu terus sederhana dengan cara hidup sebelum daulat siap, cara kerja sebelum daulat cantik dan cara membantu, bergotong royong sebelum daulat kukuh, macam yang Tok harapkan Ani dibantu.

Anu tak mahu fikir lagi. Dia tahu Tok ada wawasan jelas untuk daulat. Bina daulat bukan sekadar bina daulat, tetapi bina persaudaraan dalam daulat, bina manusia dalam bina daulat dan bina ikhlas, rendah diri dan tidak sombong dalam menebas rumput bersama Ani.

Anu juga tahu, semua keputusan dibuat secara berbincang, bermesyuarat dan berterus-terang. Semua dijelaskan dan semua orang tahu keputusannya. Hikmahnya, hanya yang bertanya akan dapat, macam Anu.

Anu sudahpun selesai solat witirnya. Jam sudah menunjukkan jam 2 pagi. Dia seronok malam malamnya dikorbankan untuk Islam. Isterinya juga faham. Jika dia rasa tak sedap hati, akan diajak isterinya berbincang, sebelum isterinya merungut kerana sibuk.

Anu tersenyum sebelum tidur. Hampir tergelak. Isterinya pelik.

"Hai abang, tadi nampak semangat dalam meeting tadi, kenapa tiba-tiba baca doa tidur tergelak pulak?" korek isterinya.

"Bukan apa isteriku, kan dalam meeting tadi Tok Kepala sergah Putu kerana tertidur dalam meeting, sehingga merah padam muka Putu."

"Ya, saya ingat abang"

"Tahu apa Tok bisik pada abang bila abang tanya apa hikmahnya?"

"Mana le saya tahu abang." sambil isteri Anu memeluk Anu, bukan menggaru kepala yang tidak gatal, kerana itu tidak berfaedah.

"Dia kata dia manusia biasa, hahaha." tergelak Anu mengenangkan pengakuan Tok yang juga ada emosi manusia biasa.

Isteri Anu makin rapat, sambil menambah "saya rasa ada hikmahnya yang dia suruh kita fikir abang, bukan setakat dia tidak terkawal geramnya pada Putu. Saya fikir Tok mahu semua tersentak dan berfikir bahawa kerja bina daulat ini kerja perjuangan. Kerja serius. Takkanlah boleh tertidur dalam meeting kerja besar macam ini" jelas isteri Anu diakhiri dengan sama-sama mereka membaca doa " Ya Allah jauhkanlah kami dari syaitan..."

Anu gembira dapat tunaikan kewajipannya siang dan malam.

Malam itu Anu termimpikan daulat yang cantik, ibarat istana indera kayangan yang boleh digunakan untuk masyarakat setempat solat, ceramah, tahlil, sukan, mesyuarat dan memasak-masak di dalam dan sekitarnya. Daulat itu terletak di tengah bendang nan menghijau itu. Binaannya sangat kukuh hasil persaudaraan penduduknya, yang semuanya manusia biasa.