Showing posts with label ibu. Show all posts
Showing posts with label ibu. Show all posts

21.9.09

Kasihlah Ibu selamanya

Hari ini adalah hari raya kedua. Saya masih berada di Kuala Terengganu. Memenuhi kewajipan, janji dan tanggung jawab.

Hari raya di negeri ini tidak kurang meriahnya, berbanding negeri sendiri, kampung sendiri. Namun manakan sama jika bersama seluruh keluarga sendiri di kampung sendiri, Teluk Sena.

Pada pagi raya, perasaan gembira berbaur sedih. Gembira kerana selesai menyempurnakan Ramadhan dengan cara yang baik, kalaupun tidak terbaik. Sedih kerana Syawal tidak lagi menjanjikan kelebihan-kelebihan seperti bulan sebelumnya.

Gembira kerana hari raya adalah hari bergembira dan sedih kerana insan tersayang tiada lagi di sisi.


Wajah mak bersama adik bongsu dan dua cucunya, pada beberapa minggu sebelum beliau bertemu Penciptanya

Gambar di atas diambil ketika menghadiri majlis perkahwinan cucu lelakinya Munzir, di Taman Kelebang Jaya, Ipoh.

Inilah antara saat-saat indah bersama mak yang dapat dirasai bersama oleh semua anak-anak dan cucu-cucunya. Walupun mak tidaklah begitu kuat, namun keriangan serlah pada raut wajahnya. Siapa sangka, ini antara detik akhir kemeriahan bersama mak, sebelum pulangnya ke KL dengan keletihan, kepenatan dan bermukim seketika di hospital Putrajaya.

Memang ketiadaan mak menggugat perasaan dan emosi kami semua. Kemuncaknya ialah pada hari raya ini. Mungkin saya belum begitu merasainya kerana masih berjauhan dari kampung dan pusaranya. Esok, saya akan memulakan perjalanan dari Padang Midin ke Kuala Berang-Tasik Kenyir-Felda Aring-Gua Musang-Kuala Betis-Lojing-CH-Simpang Pulai.

Dari Simpang Pulai ke Batu Gajah, Bota dan Teluk Sena. Mungkin terus ke pusara mak, menziarahinya dan membacakan al-Fatihah dengan iringan doa pada Ilahi.

Ada yang bertanya, kenapa saya banyak menulis tentang mak di blog ini. Jawapan saya mudah. Kerana ingin berkongsi suka duka bersama keluarga saya sendiri, juga pembaca yang sudi mengikutinya. Penulisan begini adalah cara mudah dan cepat untuk perkongsian bersama adik-beradik saya.

Untuk pengajaran pula, cukup saya nyatakan satu perkara. Kematian kita adalah satu kejutan. Bayangkan jika kita tidak bersedia untuk itu? Dan bayangkan juga jika kita tidak bersedia dengan pemergian ibu kita? Alirnya air mata darah sekalipun takkan mengubah apa-apa, jika kematian ibu anda diselubungi dosa-dosa anda kepadanya tanpa pengampunan lebih awal. Bayangkan itu, sudah mencukupi.

Elemen kejutan memang wujud pada kisah kami dengan mak. Persiapan mak nampak jelas. Dosa-dosa kami pada mak? Alhamdulillah, kami berkesempatan merayu kasih dan ampunannya.

Oleh itu, pesanan saya buat yang mungkin terlupa, kembalilah kepada ibu anda dengan sebenar-benar kembali. Sayangi dan kasihilah ibu anda, seperti sayangnya kami kepada ibu kami yang telah tiada.

19.5.09

DEMI IBU DAN GURU YANG ITU - BISIKAN DIRIKU


Bersempena hari ibu dan guru yang lalu, teruklah bagi aku jika tidak langsung mencoretkan sesuatu buat ibu dan guru pertamaku. Biarpun hari dia sepanjang tahun, seusia diri aku dan dia.

Bermula dengan Allah swt mahukan manusia di muka dunia ini. Maka aku sebahagian daripada perancangan itu

Ibu dari Teluk Sena dan Abah dari Pasir Kubu. Bertemu di mana-mana, maka aku sempat menjenguk dunia. Dibesarkan aku di perumahan kerajaan sambil membesar bersama deruan dan tenangan air sungai Perak.

Aku, bukanlah anak hebat. Kerinting rambutku, kurus perutku, cekeding betisku, kuat tangisku, merajuk temanku. Setiap kali aku dahaga, minumanku adalah susu dada ibuku dan susu cap junjung atau teko bercampur milo buatan nestle.

Tiap kali lapar, bukanlah janggal aku makan bilis, ikan rebus, garam bersama nasi kepal dan sambal kelapa yang digaul dengan bermacam temannya. Oh, bukan aku ingin menceritakan kemiskinan diriku. Ramai lagi yang lebih miskin daripadaku. Aku sekadar mencari mood untuk bisikan ini. Aku mencari-cari, sejak bila atau pernahkah ibuku melaparkan aku walau sedetik...pasti tidak.

Itulah seorang ibu. Ibu yang tidak kenal jemu membesarkan aku, sehingga kini. Biar dulunya aku tidak hensem, kini lebih hensem ( :) ) ibu itu tetap itu. Dialah ibu aku dan dialah guru pertama aku.

Aku kaki menangis katanya. Aku juga kuat merajuk labunnya. Aku suka jerit-jerit dan aku bermacam-macam lagi. Tapi tidak pernah walau sedetik dia nak memecat aku daripada menjadi anak didiknya, sehingga kini.

Aduh, aku terfikir, takkan blog ini mampu mengungkapkan jasa dia sebagai ibu dan jasa dia sebagai guruku. Takkan...

Aku bertambah yakin dan yakin, semakin besar semakin yakin, erti kasih seorang ibu. Di hadapan siapa sahaja, bila aku mendekatinya, pasti wajahku diterpa dan dikucupnya. Aku sudah beranak, mmm ber anak tetapi dia tetap mahukan aku anaknya di samping anak aku, cucunya.

Suatu hari, dia menelefon aku "Hari ini hari ape Omar?" "Hehehe, hari ibu mak" jawabku sambil gelak. "Ate, mane kamunya?" Aku terdiam. "Oooo mak jeles tengok anak menantu mak sambut hari ibu yer" Jawabku sambil gelak.

Tapi hatiku sebenarnya terkesima, atau terkedu? Atau terdetik, kesian mak. Menantunya diraikan oleh cucunya, tetapi dia keseorangan jiwanya tanpa aku. Tanpa anak kesayangannya selain abang sulungku, tempat mak menetap kini.

Bergegas aku mendapatkannya dua hari selepas itu. "Mak, tak sempat nak bawa Ihsan. Ni datang dari pejabat" sambil mak cium pipi kanan, kiri dan dahi aku. Kalau lah dia minta haknya pada hari ibu, naya aku? nak kena bagi hadiah balut2 lawa ke?

"Mak, kasih sayang kita sampai ke hujung akhirat, bersambung semula di padang mahsyar, insya Allah...walaupun dunia ini selalu menyaksikan kedegilan anakmu ini".

Demi mak, aku sanggup menyembahnya, mempersembahkan sembah kasih sayang yang tiada ungkapan mampu menggambarkan hakikatnya.

Tidak perlulah aku menceritakan lagi sejarah hidupku. Cukuplah 9 bulan dan tarikh kelahiran itu membuktikan dialah ibu dan dialah guru utama aku. Isteriku turut membuktikan, apa maknanya semua ini.

Bagi isteriku, kaulah ibu perdana anak kita dan kaulah guru ulung Ihsan. Bagi ibuku, kaulah segalanya...

11.5.08

Inspirasi Untuk Berbakti Kpd Mak

Mak sedang mencium anak bongsunya, satu-satunya adik saya, Kamarazaman Mohamed.

Esok adalah hari ibu. Saya tidak tahu apa mulanya dan bagaimana sejarahnya. Tetapi saya mengambil kesempatan itu untuk kebaikan saya dan mak. Saya bersyukur kerana ada masa untuk bersama dengan mak saya, kerana cuti hari Ahad. Saya sempat juga menyediakan tempat baring dan tidur yang lebih baik untuknya. Kami turunkan tilam tebal milik isteri saya ( ketika bujangnya dahulu ) dan dibentangkan betul-betul sebelah televisyen. Memang itulah tempat yang dipilihnya. Bukan sebab nak tengok tv, tapi itu yang sesuai baginya.


Kadang2 mak bising-bising juga jika bunyi televisyen terlalu kuat. Tetapi itulah tempat yang terbaik untuknya di tingkat bawah rumah saya. Struktur dan reka bentuk rumah ini tidak memiliki ruang besar di bahagian tamu. Saya ada juga berkira-kira untuk membesarkan bahagian tamu tersebut. Tadi saya maklumkan kepada isteri, nantilah tunggu Ihsan nak kahwin la, gurau saya. Mana tahan lama sangat. Saya memilih rumah ini kerana ruang dapurnya besar, dan lebih besar lagi apabila kami tambahkan ruangnya sehingga ke pagar belakang rumah. Harganya, ruang tamu kecil.


Hari ini saya panas sedikit. Agaknya kerana hujan malam tadi sekejap sahaja. Maka panas berlanjutan sampai ke pagi. Teringat kepada kepanasan dan keperitan yang dialami oleh penduduk di merata dunia. Lebanon sengsara. Myanmar derita. Darfur terus perit. Somalia bencana. Palestin belum ada tanda-tanda noktahnya. Ahhh semuanya derita dalam sengsara. Tetapi kita cuma panas sedikit, sebaliknya diliputi dengan ni'mat. Jangan sekali-kali lalai dengan ni'mat ini.


Sebagai suami dan bapa, saya memahami apa itu hari ibu. Biarlah ada yang sedang menyambut lahirnya sebuah parti Melayu dan memperkatakan tentang kesinambungannya pada hari ini. Saya tidak mahu fikir semua itu. Biarlah ada yang membicarakan tentang Piala Thomas dan Uber, saya belum terghairah menyebutnya. Biarlah ada yang panas dengan dua pertembungan malam ini, penentu juara EPL, tetapi saya tidak kuasa meramalnya. Apa yang ingin saya fikir dan usahakan, merebut peluang berbakti kepada ibu.


Bukan untuk hari ini, hari ibu. Untuk selamanya selagi dia bernyawa selagi saya bernafas, walaupun ada puing-puing nafsu malas, memberontak, degil dan membantah. Mak selalu juga komen, saya ni suka melawan masa muda-muda dulu. Malas bila disuruh buat itu ini dan banyak cakap dengan mak. Isyyy rasanya, berjangkit juga sampai ke tua ini...


Saya selalu diuji dengan ujian yang menuntut kesabaran. Saya selalu juga tewas. Namun Allah tetap Pemurah memberikan banyak peluang untuk saya meneruskan mujahadah kesabaran. Saya mesti menjaga peluang-peluang ini. Menjadi anak yang soleh adalah inspirasi berbakti kepada ibu saya. Menjadi suami soleh, juga inspirasi berbakti kepada ibu saya.


Selamat murah rezeki, diberkati dan diampunkan dosa-dosa, mak...