1.5.07

Kenali HPA, cintai herba ciptaan Ilahi!

Pekerja sedang membotolkan kordial roselle yang penuh dengan khasiat vitamin c. Saya menghilangkan demam dan selesema dengan meminum air roselle sahaja, serta kopi radix.

Biskut Radix HPA sedang diproses. Alhamdulillah, terdapat alternatif biskut yang dijamin suci dan halal. Ditambah pula dengan khasiat tongkat ali serta herba2 yang lain.

Kompleks HPA di Jejawi, Perlis. Di hadapan bangunan ini terdapat dataran yang digunakan untuk solat tahajjud beramai-ramai pada setiap kali kursus herba diadakan setiap sebulan sekali di Perlis. Di pintu masuk Kompleks inilah terletak bilik cerap bintang.

Tuan Haji Ismail, Pengarah Urusan HPA. Seorang yang mahir dalam perubatan herba.

Seorang Prof. Madya dari USM, dan berpengalaman dalam organisasi kesihatan di peringkat antarabangsa telah menjadi ahli HPA dan memuji pengetahuan Tuan Haji Ismail. Menurut beliau, kelebihan Pengarah Urusan HPA ini ialah pengetahuan yang mendalam tentang herba dan sistem rawatan tubuh badan dengan disertakan amalannya sekali. Beliau memang kagum dengan HPA.

Juga yang menarik ada pada HPA ialah, pekerja kilangnya diarahkan solat dhuha setiap kali sebelum masuk bekerja, dan membaca al-mathurat. Jelaslah, ke mana arah tuju HPA bersama barangannya...

Kuliah Herba HPA




Pada hari Rabu, esok, bersamaan 2 Mei, akan diadakan KULIAH HERBA SIRI 1: DARAH TINGGI DAN PERUBATAN HERBA. Bertempat di KLIH, jam 8 mlm.

Kuliah disampaikan oleh Pengarah Urusan 1 HPA Industries Sdn Bhd, Tuan Haji Ismail Haji Ahmad.

Beliau adalah pemilik kepada HPA, dan pakar dalam ilmu perubatan herba. Untuk mengetahui dan mengenali beliau dengan lebih dekat, serta HPA itu sendiri, sila hadir ke kuliah tersebut.

Jika sekali menghadiri kuliah beliau, saya beri jaminan sebahagian besar daripada anda semua akan jatuh hati kepada perubatan herba dan tidak kepada perubatan lain. Maaf kepada para doktor semua. Namun, perubatan herba bukan menentang rawatan moden. Ada situasi yang memerlukan rawatan moden.

Alhamdulillah, telah beberapa bulan saya tidak mengambil ubatan moden jika memerlukan rawatan, sebaliknya ubatan herba HPA. Saya telah membuktikannya untuk diri saya dan keluarga. Anda...cubalah!

Semua dijemput hadir, walaupun belum menjadi ahli HPA. Untuk menjadi ahli, boleh hubungi saya di elbaritii@yahoo.com

Sila ke link ini untuk iklan kuliah tersebut. Terima kasih.

30.4.07

Warkah daripada Tuan Guru

Tan Sri Khalid lepasi ujian getir.
Oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat.

(Warkah tazkirah buat Tan Sri)

MENEMUI Tan Sri Khalid Ibrahim dengan segala doa dan limpah kerahmatan dariNya.

Tan Sri,
Baru agak sebentar Tan Sri cuba untuk berjinak-jinak dengan dunia pembangkang dan Tan Sri sudah dapat merasai pahit gigitannya. Kami sudah puluhan tahun dijeruk dalam tempayan penderaan ini. Cukuplah Allah yang menjadi saksinya.
Usahkan kita nak bercakap soal pembelaan Islam dan umat Islam, membela nasib bangsa Melayu melalui demokrasi sekali pun, kita akan menyaksikan satu laluan berhalang yang teramat sukar.

Apa yang menyayatkan hati lagi ialah ia hampir sah sengaja dilakukan. Ini cukup dapat disaksikan dalam plihan raya kecil di Ijok baru semalam.

Dalam konteks demokrasi, rugi sangatkah jika Dewan Undangan Negeri Selangor memberi ruang kepada minoriti pembangkang? Hatta, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah menegur tentang ‘tidak betulnya’ sesebuah sistem berkerajaan jika kerajaan yang di pilih(?) itu terlampau-lampau kuat.

Tanpa sebuah kerusi pun yang dibenarkan, maka siapa agaknya yang mampu menyemak parti yang membentuk kerajaan itu dari melakukan kesilapan? Beliau seorang tokoh bergelar Tan Sri dan bukan sebarang budak kampung yang biasa.

Dalam hal ini, mungkin sangat bermanafaat kita merenungi maksud ayat Allah SWT mengenai tiga orang Rasul yang dibunuh oleh kerajaan yang zalim kerana mengamalkan sikap enggan menerima nasihat.

Ini kebenaran sejarah dan tercatat sendiri di dalam al-Quran. Ia berbunyi, “Utusan-utusan itu berkata: kemalangan itu adalah kerana kamu sendiri. Apakah sekadar jika kamu diberi peringatan (kamu bernasib malang)? Sebenarnya kamu adalah kaum yang melampaui batas.“ (Surah Yasin Ayat 19).

YBhg. Tan Sri,
Pada saya, pilihan raya kecil Ijok sebenarnya semacam kesempatan. Kesempatan itu semacam diatur oleh Allah SWT untuk memberi peluang kepada pemimpin Umno dan seluruh warga pengundi Ijok untuk memperbaiki semula dasar angkuh Selangor yang menolak Islam dan sekali gus doktrin demokrasi berbunyi “pembangkang sifar”.

Tak bolehkah Ijok sekadar dibiarkan kerusinya untuk pembangkang. Maksud saya, bukan diberi percuma sebegitu tetapi dipertandingkan dengan cara yang sihat.
Ini, sampai membawa bala tentera polis dan FRU yang beribu-ribu. Mengugut pengundi di sana sini. Amalan gangsterisme. Ada tertangkapnya dua bas yang disyaki membawa pengundi hantu dari Perlis.

Curahan peruntukan raksasa yang melebihi RM36 juta. Ini demokrasi atau apa? Tak mungkin Umno tak faham betapa semua amalan ini adalah perbuatan kontra demokrasi yang terkutuk dan hina sehina-hina!

Jika saya dibenarkan menggunakan ‘pisau tumpul’ untuk memotong di ketika ini maka saya akan mengatakan yang pemimpin-pemimpin Umnolah yang selama ini bertanggungjawab mengeraskan hati rakyat Malaysia dari menerima kebenaran Allah.

Jika calon KeADILan kita menang sekali pun, apa sangatlah yang kurangnya Selangor itu. Sehabis kuat, Tan Sri Khalid kita akan hanya bertazkirah, menegur dan berpesan-pesanan darihal kebaikan.

Selaku seorang yang berkepakaran di bidang ekonomi dan korporat, tentu sekali penguasaan ilmu Tan Sri adalah aset yang sangat besar untuk dikongsikan oleh Selangor dalam konteks mendengar pandangan kedua dari arah yang sedikit berlainan.
Ini tentu akan mencetus satu proses ‘check and balance’ yang sihat untuk membela nasib orang Melayu, orang Islam, non-Islam dan umat manusia pada amnya.

Cuba pemimpin Umno buat perbandingan sedikit dengan apa yang sedang berlaku di White House hari ini. Lapan calon Demokrat telah sebulat suara mengutuk Presiden Bush berhubung dasar beliau di Iraq. Ini berikutan daripada kekalahan pihak Republikan di tangan Demokrat yang semakin menyisihkan Bush.

Bahkan, dalam perbahasan kempen pertama disiarkan menerusi televisyen sebelum pemilihan Presiden 4 November 2008, calon Demokrat membidas pentadbiran Bush kerana terus menghantar beribu-ribu askar AS dan membelanjakan berbilion-bilion dolar untuk kempen Perang Iraq yang menuju kegagalan.

Berita ini ada dalam semua akhbar pada 28 April 2007. Nah, kita boleh lihat bagaimana berbeda sekali amalan demokrasi di tempat orang berbanding dengan di tempat kita.
Di peringkat ini, saya tidak perlulah menghukum betapa kunonya kita sebab Tan Sri sendiri, seluruh penduduk Ijok dan rakyat Malaysia pada amnya telah sempat menyaksikan segala adegannya. Ia jelas sebuah demokrasi olok-olok di mana Islam diperolok-olokkan.

Jika mulialah apa yang dilakukan kerajaan Umno di Ijok itu, kenapa tidak dibenarkan mana-mana pasukan pemantau pelaksana demokrasi peringkat dunia untuk menjadi saksi.
Sebenarnya, kita telah tersalah memakaikan lencana dacing yang bersimbolkan keadilan dunia dan demokrasi ke dada pemimpin Umno. Rupanya, mereka cuma berwajah demokrasi tetapi berjiwa ‘komunis’.

Mereka boleh dikatakan hampir kering kontang dari segi nilai iman dan hari pembalasan di akhirat. Itulah Tan Sri; apa yang mungkin saya boleh simpulkan.
Pemimpin Umno perlu ingat bahawa segala yang dilakukan di Ijok itu ada divideokan oleh Allah SWT. Jangan ingat, pihak Special Branch (SB) dan polis rahsia Umno sahaja yang membuat rakaman.

Bahkan, mereka perlu di ingatkan dengan ayat Allah yang bermaksud, “pada hari di ketika mereka dibangkitkan Allah semuanya, lalu diberitakan Nya, kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan. Allah mengumpul (mencatat) amal perbuatan (dan aktiviti) itu, padahal mereka melupakannya. Dan Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu. (Surah Al-Mujadalah Ayat 6).

Tan Sri,
Saya sekadar berpesan kepada Tan Sri. Saya cuma mengambil kesempatan untuk bertazkirah melalui surat terbuka ini untuk dibaca oleh semua. Tahniah jua dari saya di atas keberanian dan ketabahan Tan Sri untuk mengharungi ujian yang getir ini.

Lagi pun, mengikut bacaan, undi di Ijok untuk PKR sudah bertambah sebanyak 471 undi. Syabas saya ucapkan. Sesungguhnya, kerja memikul kebenaran ini adalah satu tugas berat.

Hanya Nabi-Nabi, Rasul-Rasul dan para anbiya’ yang diikuti oleh pejuang-pejuang seperti kita termasuklah seperti Tan Sri yang mampu memikulnya, InsyaAllah. Pantang berundur. Kuatkan semangat. Seorang mukmin adalah seorang yang tidak pernah kenal erti kecewa dan putus asa. Wallahua’lam. - /mj

Elbariti: Saya jadikan tulisan Tuan Guru ini untuk mengumpulkan semula semangat yang tertaburan...

Mengubat kedukaan dengan Pesta Buku


Sejak malam Khamis yang lalu sehingga malam Ahad berikutnya, saya bermukim di Ijok. Menjadi petugas pilihanraya yang berlangsung. Selain melakukan tugasan yang diberi, saya bertindak sebagai pemerhati kepada gelagat manusia di Ijok dengan seribu satu ragam dan perangai. Salah satu kesimpulan yang saya noktahkan ialah, buruknya sebuah demokrasi di Malaysia.

Untuk segera melupakan segala yang pahit-pahit dan menyakitkan - saya akan ceritakan jika ada kesempatan selepas ini - saya terus ke Pesta Buku di PWTC pagi tadi. Sempat membeli buku karangan Syeikh 'A'idh al-Qarni bertajuk "Tafsir Muyassar" dan beberapa buah buku agama yang lain.
Tidak ketinggalan, buku-buku di bawah ini, satu menceritakan tentang Prof HAMKA dan dua lagi novel hebat karangan beliau. Mungkin dua novel ini boleh meredakan 'kemarahan Ijok' saya.
HAMKA Pujangga Islam...Tertulis di bahagian belakang buku ini " Banyak perkara yang belum diketahui oleh orang ramai perihal peribadi dan martabat Prof. Dr. Hamka, termaktub dalam buku ini. Dan banyak pula dokumen yang belum tersiar, yang selama ini ingin kita ketahui duduk perkaranya; seperti pengalaman Hamka selama dipenjarakan oleh Presiden Sukarno..."

"... Di dalam usia 31 tahun ( 1938 ), masa darah muda masih cepat alirannya dalam diri, dan khayal serta sentimen masih memenuhi jiwa, pada waktu itulah 'ilham' Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck ini mula kususun dan dimuat berturut-turut dalam majalah yang kupimpin..."

"... Baru sekarang adinda beroleh berita di mana Abang sekarang. Telah hampir dua tahun hilang saja dari mata, laksana seekor burung yang terlepas dari sangkarnya sepeninggal yang empunya pergi..."

Saya sememangnya lewat dalam mengenali Almarhum Prof. Hamka ini. Sepatutnya semua buku hasil tulisan beliau telah dihadam. Namun saya tetap mahu mendekatinya, walaupun dikira sudah terlalu lewat.

Ayat-ayat cinta


" Ayat-Ayat Cinta" memang berbisa. Bukan calang-calang novel. Ia telah berjaya menggugurkan air mata kesedihan rakan saya yang seumur hidup saya, tidak percaya dia akan mengalirkan air matanya, hanya kerana sebuah novel.
Jika dilihat kepada perwatakannya, gaya syarahannya, kualiti kepimpinannya sebagai seorang ahli politik yang berkaliber, sukar dipercayai hatinya turut dimamah realiti sebuah kisah cinta. Cinta yang berjiwakan ruh Islam dan perjuangan suci.
"Ayat-Ayat Cinta" mengisahkan seorang pemuda Indonesia yang menuntut ilmu di Mesir. Seorang yang menghafaz dan mendalami al-Quran. Bertemu 4 orang wanita, dua gadis Mesir, seorang Indonesia yang sama-sama belajar dan seorang lagi ditemui dalam tren. dengan bantuan Tuan Gurunya, beliau berjaya mengahwini salah seorang daripada mereka.
Tapi kemudiannya ditangkap dan dipenjarakan atas sebab dituduh .....
" Jika Naquib Mahfuz menulis Mesir daripada pandangan orang Mesir, maka Mesir kali ini ditulis dalam pandangan orang Indonesia" menurut Joni Ariadinata.
A Samad Said pula mengulas, " Ternyata ia adalah novel yang sangat memujuk dan menghiburkan. Dengan bahasa yang sederhana mengalir, novel ini menghadapkan kita kepada sekelompok mahasiswa Indonesia yang tidak saja tekun menangguk ilmu, malah berupaya mengisi kehidupan dengan penuh sabar. Ayat-ayat cinta memangnya pintar mengheret kita menjejaki-malah menghidu- perhubungan Fahri dan Maria secara penuh mengajar, menghantar isyarat dan kebijaksanaan baru melalui perhubungan sopan antara insan dua negara..."
Sesuailah novel ini dihadiahkan kepada anak-anak muda yang baru hendak mengenal cinta, teman-teman yang mula goyah pendirian kerana cinta terlarang dan saya fikir cukup baik untuk siibu atau bapa menghadiahkannya buat anak yang telah berjaya melepasi ujian SPM, yang menandakan telah memasuki peringkat dewasa. Jika mereka tidak mengejar cinta, ia tetap datang jua. Maka hadapkan dahulu buku ini untuk menjadi petunjuk yang baik..."AYAT-AYAT CINTA"- Sebuah novel pembangun jiwa.
Dapatkan novel ini di Pesta Buku Antarabangsa yang sedang berlangsung sekarang, sehingga 6 Mei, di PWTC. Jika bertuah, anda boleh mendapatkan autograf penulisnya sekali. Jika tidak silap saya di ruang Syarikat Penerbitan Hidayah...( Something like that la...)