Saya melihat kepada beberapa sikap segelintir aktivis gerakan dakwah yang saya sendiri kurang bersetuju. Pertama, cuba mencari jalan pintas untuk kerja sendiri dan kedua mahu semua orang menjadi seperti mereka.
Sebaik sahaja Azhan Atan memenangi Akademi Nasyid anjuran TV9, beliau menegaskan mahu terus dibimbing oleh alim ulama dalam kerjaya/kerja barunya sebagai penasyid. Maknanya dia masih mahu bernasyid, bukan berhenti nasyid untuk jadi ahli politik sepenuh masa. Harapan dia, landasan nasyidnya nanti tidak terpesong daripada ruh perjuangan politiknya.
Oleh itu, tindakan sewajarnya yang harus kita lakukan ialah, membantunya dalam menetapkan identiti sebagai penasyid islami, membantunya menjayakan matlamat dakwah melalui nasyid secara lebih terbuka dan tidak terputus daripada gerakan yang dipilihnya sebelum bergelar juara.
Tetapi, apa yang saya perhatikan, ramai telah mengikatnya dengan program kepartian secara terbuka sehingga menyebabkan beberapa kerugian berlaku. Dengan tindakan segera orang parti atau orang dakwah ini, TV9 mungkin membatalkan apa-apa perancangan yang mereka telah aturkan, seperti jelajah tanah air dengan program sua rasanya, merekodkan satu dua lagu dan seumpamanya. Itu bermakna satu kerugian lain berlaku apabila beliau tidak sempat untuk popular di tengah masyarakat terbuka.
Bagaimana anda ingin penjadi pendakwah hebat menerusi lagu-lagu islami, jika tidak popular, tidak muncul di televisyen dan tiada album? Kenapa Azhan tidak mungkin popular? Jawapannya, syarikat mana mahu mengambil risiko kerugian dengan mengambil Azhan ( yang telah di'rampas' oleh orang politik pembangkang ) sebagai artis rakaman mereka?
Saya tidak mengatakan dia seperti terputus sayap untuk terbang berdakwah. Masih boleh. Cuma sudah koyak sana-sini. Maka sukarlah untuk 'burung' ini terbang tinggi. Dia tetap berdakwah. Tetapi seperti kita sahaja, berdakwah dengan ahli, penyokong tegar dan sedikit pemerhati berani. Masyarakat luar, mungkin kempunan mengenali siapakah Azhan!
Tidak rugikah apabila Azhan yang mungkin menjadi salah satu penasyid popular yang memiliki ruh gerakan Islam, terdampar di pentas program politik kepartian yang tidak memberi impak besar yang sewajarnya, sebagai juara akademi nasyid kebangsaan?
Puncanya, mereka mahu senang dalam kerja menarik orang, hanya uar-uarkan namanya yang masih kecil itu dan mahukan Azhan seperti mereka, aktif dan hadir dalam program parti, walaupun sebenarnya dia berpeluang berdakwah di medan lain.