Showing posts with label Dakwah. Show all posts
Showing posts with label Dakwah. Show all posts

15.7.10

SUKUK DAN HARAKAH

Sukuk

Alhamdulillah, Al Rajhi telah berjaya mengeluarkan sukuk yang bebas daripada kontrak jual beli ‘inah, jual beli hutang dan akujanji (undertaking). Usaha yang dilakukan adalah sangat rumit. Bermula dengan mencipta struktur, membetulkan mana yang silap dan salah, menyesuaikannya dengan kontrak ijarah, pelaburan, murabahah dan pelbagai lagi.

Seterusnya selepas satu struktur siap, kami terpaksa meneliti baris ke baris deraf perjanjian yang kesemuanya berjumlah lebih sepuluh set. Kami terpaksa melakukan dua kali kerja luar secara intensif. Deraf perjanjian terpaksa diulang alik antara bank, lawyer, cagamas dan pihak berkaitan.

Alhamdulillah, kini sukuk kami telah dilancar. Ada banyak kelebihannya. Ada banyak keunikannya. Semoga produk-produk Islam yang menjamin ketulenan hukum fiqh terus berkembang dan disebar-luaskan. Pada Allah kami bersyukur.

Harakah

Alhamdulillah, Harakah telah diberi kebenaran untuk disambung penerbitannya oleh KDN. Semoga Harakah terus mantap di persada dakwah dan pengembangan politik Islam berteraskan ilmu dan kebijaksanaan. Harakah mampu untuk menghasilkan tulisan yang mantap, berkarisma dan ada nilai kritikan membangun yang tidak lari daripada konteks dakwah Islamiah.

Saya tidak menantikan satu tulisan yang sangat panjang di dalam akhbar ini kerana ia akan memalaskan saya membacanya. Saya suka jika pimpinan menulis dengan memberi kelainan idea kepada masyarakat. Bukan mengulang kembali apa yang biasa kita dengar sejak 10 tahun lalu. Tetapi mengulang apa yang mereka baca daripada pengalaman politikus dunia yang ada nilai2 yang hebat.

Saya sentisa dahagakan idea bernas pimpinan yang lebih kelihatan berjiwa negarawan yang membaca potensi generasi masa depan berbanding meluahkan strategi-strategi pilihan raya semata-mata.

Kini rakyat terlalu pandai untuk sekadar membaca idea bagi menumpaskan BN dalam setiap kali pilihan raya. Ia penting bagi sebuah parti seperti PAS tetapi ia bukan penarik kepada anak-anak muda untuk mendekati Pakatan.

Pimpinan Pakatan perlu luaskan pemikiran mereka kepada memikirkan untung rugi bangsa dengan idea yang maha hebat, bukan sekadar menambah undi semata-mata. Kerana ada pihak yang sangat dahagakan kelainan dan nilai tinggi daripada sebuah akhbar yang bebas tanpa kongkongan mana-mana pihak.

1.7.10

MEMO UNTUK USTAZ FATHUL BARI

Saya hanya mengenali Ustaz Fathul Bari melalui paparan namanya di mailing list, akhbar, laman web dan pertama kali melihat wajahnya ialah ketika beliau berhadapan satu kes di Negeri Sembilan.

Setelah menjadi ahli politik merangkap pendakwah berparti, bermakna ustaz sudah tidak boleh dianggap bebas lagi oleh mana-mana pihak. Jika berpolitik, maka ada asam garamnya. Jika berdakwah melalui parti, ada rempah ratusnya. Semua ini mesti cepat dipelajari.

Insiden jawab menjawab yang berlaku kini hasil secara spontan atau ada pihak yang mengatur sesuatu untuk mencetuskannya? Saya tidak pasti. Tetapi apa yang berlaku kini, ustaz telah mula mengundang pertentangan antara pihak ustaz dengan pihak tertentu.

Tak kisahlah apa dakwaan yang dibuat. Kini kelihatan kerusi ustaz sudah panas dengan satu insiden. Ya, insiden demi insiden akan menuruti. Jika semua ini terancang, maka perancangan itu adalah untuk menjadikan ustaz benar2 berjiwa Umno, mempertahankan parti dan sanggup berhadapan dengan siapa sahaja.

Mereka mahu kami membenci dan mereka mahu ustaz melenting. Tembok pemisah mesti dibina agar kami dan pihak ustaz tidak mungkin bekerjasama, walaupun itulah antara kata2 awal ustaz dari sebelah sana.

Harapan saya, bijaklah berpolitik dan bersuara. Di dalam sana terlalu banyak pihak yang tak senang. Ustaz sendiri tahu. Dan jangan pula kita yang sepatutnya boleh bersatu atas nama Islam dan dakwah, semakin berjauhan. Jika ini berlaku, apalah ertinya mencalarkan pakaian jubah ustaz dengan kekotoran Umno yang ramai ahlinya mahu diselamatkan daripada terjebak ke api neraka, tetapi kita pula bersengketa tak habis-habis.

Bukan tidak boleh menyelamatkan ahli Umno tanpa masuk ke dalam Umno, tetapi sengaja mencari kelainan. Inikah sunnahnya? Terpulang.

Pendirian saya, kita memang boleh bekerjasama. Harapan saya, jaga diri baik2 daripada perangkap parti sendiri.

GUNA UMNO UNTUK DAKWAH?

Salam,

Setelah sekian lama blog ini sepi daripada sebarang artikel, coretan atau nota malas yang ringkas, kini saya berusaha untuk memulakannya semula. Sepanjang "persenyapannya" dalam lingkungan kurang 3 bulan lalu, saya banyak memberi masa kepada beberapa urusan lain yang perlu diselesaikan segera.

Banyak yang ingin dicoretkan mengenai apa yang telah berlaku. Baik tentang keseronokan juga perihal kesulitan, permasalahan dan sekitarnya. Pun begitu, ada juga yang telah disentuh ringkas dalam FB saya.

Insya Allah, semoga usaha menulis untuk melatih diri, berkongsi ilmu dan pengalaman serta memberi respon kepada persoalan agama, kekeluargaan dan isu semasa terus diberi kekuatan Allah dan diberkatiNya.

Pendakwah Menyertai Umno

Komen ringkas saya untuk mereka yang telah menyertai Umno demi menyampaikan dakwah secara lebih bebas, tidak diganggu dan boleh memberi teguran terus, bersedialah untuk berhadapan dengan cabaran dan perangkap di medan politik.

Jika antum mahukan sesuatu, mereka yang menerima juga mahukan sesuatu. Jika antum berada di pihak yang menjadi ancaman kepada kami, apakah antum tidak begitu? Jika antum meletakkan diri di pihak yang menghalang perjuangan kami, tidakkah antum juga begitu? Jika mereka mahukan kami tumbang, lenyap dan musnah, tidakkah antum diminta berbuat sesuatu demi matlamat mereka? Jika begitu, salahkah kami menganggap antum adalah ancaman politik kami? Politik Islam bersama perjuangan yang kami yakin benar.

Sebenarnya dakwah kita tidak jauh bezanya. Matlamat kita sama. Pendekatan banyak yang serupa. Tetapi dengan memasuki parti politik yang salah, dari kaca mata kebenaran, adalah ijtihad politik yang kurang matang dan bakal merosakkan dakwah kita secara keseluruhan.

Sama-sama kita saksikan langkah politik seterusnya yang bakal antum terokai.

6.4.10

SESUAIKANLAH HATI


1. Hati adalah makhluk yang mudah berubah sifatnya. Kadang keras, kadang lembut, kadang panas dan kadang sejuk. Kesemua empat sifat ini menjadi indah jika perubahannya mengikut suasana sekitar dan peristiwa tertentu yang sesuai dan tepat.

2. Jika perubahan langsung tidak berlaku, ianya juga tidak akan menjadi indah. Keras dalam semua keadaan atau lembut dalam semua kejadian adalah menandakan kelemahan pada pemilik hati ini.

3. Manusia yang suka menempelak tanpa usul periksa, menengking secara tiba-tiba, mengkritik sepanjang masa, memaki sesedap rasa adalah pemilik hati yang bermasalah. Ia telah menjadi keras dan kasar sekaligus. Sudah tidak mampu menghitungi diri sendiri, sebaliknya hanya suka mengukur baju sendiri di badan orang lain. Jika tidak bersesuai, maka badan orang itu dicalar-calar.

4. Manusia yang kurang bijak ialah mereka yang berlawanan dengan sifat mukmin anjuran Allah taala. "Merendahkan diri sesama mukmin dan bangga serta muliakan diri ( atas keimanan yang dimiliki ) tika berhadapan orang-orang kuffar.

5. Sakit hati, apabila sesama sendiri, sesama mukminin, sesama kelompok dakwah sendiri, bila keras tidak bertempat, panas membabi buta. Menghina manusia lain adalah satu mainan elektronik terkini. Buka blog, buka emel, menyebarkan kefasadan sesama mukminin.

6. Perit rasa hati melihat seseorang yang rasa dirinya suci, berhadapan dengan manusia lain yang dipandang bermasalah membuat penampilan "suci" tanpa pertimbangan yang wajar. Ibarat memekik "berambus kamu, ini perjuangan "suci", kamu kotor!". Juga seperti "hei, buatlah kerja, jangan curi tulang, kamu tak cukup pahala, kami sangat banyak kerja+kebajikan+pahala".

7. Perjuangan "suci" begitu hanya mengecilkan tenaga dan melemahkan kekuatan sendiri. Pelik bila pekerja dakwah suka menitipkan fasad di ruang dakwah! Semuanya kerana hati yang keras dan panas tidak bertempat. Akhirnya semua kusut. Sesuaikanlah hati di tempat yang tepat.

15.6.09

FATHI YAKAN


1. Dahulu, dunia dikejutkan dengan suatu kebangkitan pemuda Islam melangkah jauh membawa panji dakwah dan tarbiah, dan seorang murabbi mereka melangkah gagah seiring jalan.

2. Kini, dunia dikejutkan dengan suatu kesedihan pejuang dakwah yang tersentak pedih dan hiba, apabila seorang murabbi mereka 'rebah' kaku memulakan suatu perjalanan baru...

3. Al-Syaikh Fathi Yakan, kembali menemui Tuhan Penciptanya, pada 13 Jun 2009. Insya Allah, kini beliau sedang menikmati hasil daripada usahanya dalam menyampaikan dakwah kepada umat Islam melalui lidah dan penanya dan penanya lebih banyak bergerak ke suluruh pelusuk dunia berbanding lidah dan batang tubuhnya.

4. Moga Allah merahmatinya, beliau telah mengajar kita bagaimanakah sepatutnya pegangan kita kepada Islam secara perbuatan, bukan hanya kata-kata dan beliau telah melihatkan kepada kita jalan dakwah itu penuh ranjau dan duri, mustahil bersamanya bungaan mawar.

5. Jalan dakwahnya, contoh yang diikuti...

9.6.09

ASAS MUZAKARAH DAN PERUNDINGAN PAS















Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)! Fussilat (33)



Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau melakukan demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. (34)



Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai nasib dan keuntungan yang besar daripada kebahagiaan dunia dan akhirat. (35)



Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (36)



28.4.09

MEMILIH PEMIMPIN PAS (1)

1. Gagasan Kepimpinan Ulamak tidak pernah kedengaran pada zaman Nabi saw. Memang pun begitu sepatutnya. Juga tiada terdengar ketika khilafah Umaiyyah dan Abbasiyyah. Justeru, ramailah yang beranggapan, itu gagasan baru, yang tiada apa-apa kaitan dengan yang dulu-dulu.

2. Apa yang muncul pada usia Nabi saw masih berbaki ialah usaha mengulamakkan para sahabat, sehingga mampu menjadi sahabat yang ulama dan bijaksana dalam gerakan, dakwah dan kepemimpinan. Lantaran, gempitalah pujian melangit terhadap mereka yang berilmu, memahaminya dan menjaga amanah ilmu tadi.

3. Hadis, sirah, sejarah dan rekod perjuangan Nabi Muhammad saw dan para sahabat yang lain dipenuhi dengan cerita dan kisah menarik seputar ilmu ad-deen mereka selain jihad, bijaksana dalam menghukum dan kasih sayang sesama insan. Maka, itulah bukti kukuh dan jelas bahawa mereka semua adalah ulamak atau peminat ulamak yang turut mendalami sebanyak mungkin ilmu agama daripada Nabi saw sendiri.

4. Jelas lagi bersuluh, mereka ialah ulamak yang bekerja. Menjawab sebelum bertanya dan menjelaskan selepas persoalan terkumpul tersusun. Tidak perlu dibandingkan antara kepimpinan ulamak dan kepimpinan Islam. Kedua-duanya sukar berpisah dan mustahil jika Islam mahu ditegakkan tanpa ulamak memimpin. Sesungguhnya, antara ulamak yang memahami pentadbiran dengan tokoh politik yang sedang mendalami hukum, biarlah ulamak sentiasa di hadapan.

18.3.09

POLITIK BUKAN SEGALANYA UNTUK UMMAH

Ketika menulis ini, saya sedang mendengar program wawancara Ustazah Fatma El-Zahra dengan bekas pelakon Ziela Jalil. Saya terdiam dan terhiba, mendengar bagaimana Ziela Jalil menyebut Allah amat menyayanginya sejak dulu lagi.

Lebih kagum saya apabila Ziela sudah mampu mengungkap zikir-zikir sunni dengan begitu baik, berserta penampilan menutup auratnya di Astro Oasis. Episod dengan Ziela ini telah diulang beberapa kali.

Apa yang menarik perhatian saya ialah, apabila beliau menyatakan, ketika hidupnya dahulu yang masih diselimuti keghairahan hiburan, hatinya sudah terdetik mahukan rahmat dan kasih sayang Allah. Tetapi tidak terungkap dek mulut. Kenapa?

Inilah yang perlu kita fahami, jangan kerana penampilan luaran seseorang yang bersanggahan dengan syariat, kita terus menghukum dia dengan memisahkannya daripada dakwah atau nasihat kita. Lebih parah kalau kita suka menghukum hati mereka dengan penampilan zahir.

Saya percaya, ramai adik-adik remaja di luar sana yang lemah, kosong dan perlukan bimbingan walaupun zahir mereka menyampah untuk kita dekati malah melihatnya. Kita, mungkin zaman remaja kita tidak begitu mencabar berbanding zaman mereka kini.

Saya cuba kaitkan juga dengan lontaran idea Saifulislam, ketika kita serabut dengan pelbagai masalah politik dan negara, masih ada pihak yang tersenyum melakukan kerja-kerja dakyah terhadap remaja kita atas nama kasih Jesus.

Maka, mereka yang sebenarnya mudah untuk didekati, mudah dipujuk, telah terbiar dek kesibukan para pendakwah menghabiskan masa dengan kecelaruan politik dan negara.

Salah siapa jika semuanya mahu berjuang di batasan politik, sehingga tiada masa mendekati muslimin dan muslimat yang sedang tenat jiwanya, malah sedang didekati oleh pihak yang cuba merampas dan meragut cahaya Islami mereka.

Saya insaf, bahawa kerja politik bukan segalanya untuk ummah ini. Bukan bermakna saya kecewa atau putus asa dengan politik, tetapi runsing bahawa tanggapan sesetengah orang terhadap politik itu seperti tersasar.

30.11.08

DAKWAH DUNIA BLOG

Apa itu blog


Blog ( singkatan daripada istilah " Web log " adalah laman web yang biasanya dikemaskini oleh individu dengan memasukkan entri-entri berbentuk komentar, gambaran terhadap sesuatu peristiwa atau bahan-bahan lain seperti grafik atau video.


Kebiasaannya entri yang disiarkan adalah berbentuk 'reverse-chronological order'. Blog juga satu kalimah yang boleh digunakan sebagai kata kerja yang bermaksud mengemaskini atau menambah kandungan sesuatu blog.


Kebanyakan blog menyediakan komentar atau berita-berita berkaitan sesuatu subjek. Fungsi lainnya adalah sebagai diari peribadi berbentuk online. Ciri biasa blog adalah terdiri daripada tulisan, imej, pautan ke blog-blog lain, laman web dan media-media lain yang ada kaitan dengan topik. Sila rujuk wikipedia.


Pembaca juga dibenarkan meninggalkan komentar dalam format interaktif dan itu merupakan ciri penting kebanyakan blog.


Di dalam bahasa Melayu, ianya juga dipanggil blog.


Kepentingan


1. Mudah mengutarakan pandangan, idea dan pemikiran penulis tanpa dihalang oleh mana-mana individu yang tidak bersetuju.


2. Menjadi akses yang sangat mudah untuk pembaca atau pencari maklumat terhadap sesuatu isu atau topik apabila merujuk kepada blog tertentu yang telah dikenal pasti kategorinya.


3. Mampu menjadi wahana dakwah yang sangat berkesan, sekiranya sesuatu blog itu telah diterima oleh ramai pembaca


4. Membaca blog adalah menjimatkan, tidak perlu keluar rumah dan boleh berinteraksi dengan penulis blog.


5. Medan terbaik untuk melatih diri dalam penulisan, dan kepuasan akan dirasai jika tulisan itu dihargai pembaca.


Sudut negatif


Tidak tepat untuk menyatakan bahawa budaya menulis blog adalah positif secara mutlak mahupun negatif. Ia bergantung kepada sikap kepenggunaan di dalam diri penulis blog itu sendiri. Realitinya, ia sama sahaja seperti wahana dakwah yang lain, jika kita bercakap tentang medium dakwah. Sudah tentu baik buruk sesuatu medium itu bergnatung kepada pengamalnya.


Menyentuh persoalan dakwah dan gerakan Islam, blog menjadi negatif apabila bahan yang disiarkan penuh dengan andaian, syak wasangka dan tiada nilai ilmu atau lojik akal. Juga apabila blog itu menjadi medan mengkritik individu tertentu yang disebut secara zahir. Lebih malang jika seseorang anggota gerakan Islam itu menjadikan blognya sebagai tempat luahan perasaan tidak puas hati terhadap gerakannya.


Dalam dunia blog Malaysia, pelbagai karenah atau sikap boleh kita saksikan jika meneliti satu persatu blog yang dikenali ramai. Jika kita merenung ke dunia politik, ada blogger yang merupakan ahli sesebuah parti politik, tetapi suka mengkritik pimpinan dan mendedahkan kelemahan partinya sendiri secara terbuka.


Ada penulis yang merupakan anti kepada sesebuah parti politik dan banyak menimbulkan keraguan dan menyebarkan fitnah terhadap parti itu. Ada juga penulis yang mempertahankan partinya dengan hujah yang sangat mantap dan berkesan.


Pendek kata, dunia blog adalah dunia terbuka untuk sesiapa sahaja. Meninggalkan dunia ini atas alasan ianya penuh fitnah dan kekarutan, sehingga tiada pembela kepada parti anda adalah hanya merugikan.


Perang yang berlaku di dalam dunia blog ini juga perlukan kepada pembela Islam yang mampu menangkis serangan musuh, terutama pemfitnah kepada parti PAS hasil mainan 'cyber troopers' Umno, selain menyebarkan dasar perjuangan parti.


Blog pilihan


Bagi saya, banyak blog yang boleh menjadi pilihan, khususnya sebagai ahli PAS, untuk mengikutinya. Saya berikan beberapa contoh sahaja:


Blog Ustaz Nasruddin Tantawi di sini

Blog Ustaz Nik Abduh di sini

Blog Ustaz Adnan Fadhil di sini

Blog Roslan Shahir di sini

Blog Ustaz Yussaini di sini

Blog Ustaz Idris Ahmad di sini


Kesimpulan


Kesimpulan saya, bagi yang mempu menulis dan mempunyai masa menulis, khususnya di malam hari, mulakan menulis di blog masing-masing. Seseorang ulama atau pendakwah itu akan diingati selepas kematiannya dengan rakaman ceramah dan tulisannya. Kebiasaan, tulisan lebih kekal merentasi zaman berbanding rakaman suara.


Blog anda memberi kebebasan kepada anda untuk melontar idea dan pandangan. Jika anda mengkritik sesiapapun, nescaya tidak mudah menimbulkan perbalahan, berbeza dengan tulisan keras dan tegas di dalam mana-mana group, mudah menimbulkan konflik.


Tulisan bermutu anda juga akan menjadi 'sampah' atau bahan tertawa jika diletakkan di tempat yang salah. Sebaliknya, ia akan dihargai dan dijadikan panduan jika diletakkan di blog sendiri yang mempunyai pembaca tetap yang pandai menghargai anda.


Menulis blog adalah satu kerja dakwah. Luarbiasanya apabila ia boleh dicapai oleh sesiapa sahaja dan di mana sahaja. Ramai ulama atau pendakwah terkenal dengan hasil tulisan mereka dan mampu mengubah masyarakat dengan jihad pena ini.

8.11.08

LEPASKAN AZHAN ATAN

Saya melihat kepada beberapa sikap segelintir aktivis gerakan dakwah yang saya sendiri kurang bersetuju. Pertama, cuba mencari jalan pintas untuk kerja sendiri dan kedua mahu semua orang menjadi seperti mereka.

Sebaik sahaja Azhan Atan memenangi Akademi Nasyid anjuran TV9, beliau menegaskan mahu terus dibimbing oleh alim ulama dalam kerjaya/kerja barunya sebagai penasyid. Maknanya dia masih mahu bernasyid, bukan berhenti nasyid untuk jadi ahli politik sepenuh masa. Harapan dia, landasan nasyidnya nanti tidak terpesong daripada ruh perjuangan politiknya.

Oleh itu, tindakan sewajarnya yang harus kita lakukan ialah, membantunya dalam menetapkan identiti sebagai penasyid islami, membantunya menjayakan matlamat dakwah melalui nasyid secara lebih terbuka dan tidak terputus daripada gerakan yang dipilihnya sebelum bergelar juara.

Tetapi, apa yang saya perhatikan, ramai telah mengikatnya dengan program kepartian secara terbuka sehingga menyebabkan beberapa kerugian berlaku. Dengan tindakan segera orang parti atau orang dakwah ini, TV9 mungkin membatalkan apa-apa perancangan yang mereka telah aturkan, seperti jelajah tanah air dengan program sua rasanya, merekodkan satu dua lagu dan seumpamanya. Itu bermakna satu kerugian lain berlaku apabila beliau tidak sempat untuk popular di tengah masyarakat terbuka.

Bagaimana anda ingin penjadi pendakwah hebat menerusi lagu-lagu islami, jika tidak popular, tidak muncul di televisyen dan tiada album? Kenapa Azhan tidak mungkin popular? Jawapannya, syarikat mana mahu mengambil risiko kerugian dengan mengambil Azhan ( yang telah di'rampas' oleh orang politik pembangkang ) sebagai artis rakaman mereka?

Saya tidak mengatakan dia seperti terputus sayap untuk terbang berdakwah. Masih boleh. Cuma sudah koyak sana-sini. Maka sukarlah untuk 'burung' ini terbang tinggi. Dia tetap berdakwah. Tetapi seperti kita sahaja, berdakwah dengan ahli, penyokong tegar dan sedikit pemerhati berani. Masyarakat luar, mungkin kempunan mengenali siapakah Azhan!

Tidak rugikah apabila Azhan yang mungkin menjadi salah satu penasyid popular yang memiliki ruh gerakan Islam, terdampar di pentas program politik kepartian yang tidak memberi impak besar yang sewajarnya, sebagai juara akademi nasyid kebangsaan?

Puncanya, mereka mahu senang dalam kerja menarik orang, hanya uar-uarkan namanya yang masih kecil itu dan mahukan Azhan seperti mereka, aktif dan hadir dalam program parti, walaupun sebenarnya dia berpeluang berdakwah di medan lain.