Showing posts with label Hati. Show all posts
Showing posts with label Hati. Show all posts

6.4.10

SESUAIKANLAH HATI


1. Hati adalah makhluk yang mudah berubah sifatnya. Kadang keras, kadang lembut, kadang panas dan kadang sejuk. Kesemua empat sifat ini menjadi indah jika perubahannya mengikut suasana sekitar dan peristiwa tertentu yang sesuai dan tepat.

2. Jika perubahan langsung tidak berlaku, ianya juga tidak akan menjadi indah. Keras dalam semua keadaan atau lembut dalam semua kejadian adalah menandakan kelemahan pada pemilik hati ini.

3. Manusia yang suka menempelak tanpa usul periksa, menengking secara tiba-tiba, mengkritik sepanjang masa, memaki sesedap rasa adalah pemilik hati yang bermasalah. Ia telah menjadi keras dan kasar sekaligus. Sudah tidak mampu menghitungi diri sendiri, sebaliknya hanya suka mengukur baju sendiri di badan orang lain. Jika tidak bersesuai, maka badan orang itu dicalar-calar.

4. Manusia yang kurang bijak ialah mereka yang berlawanan dengan sifat mukmin anjuran Allah taala. "Merendahkan diri sesama mukmin dan bangga serta muliakan diri ( atas keimanan yang dimiliki ) tika berhadapan orang-orang kuffar.

5. Sakit hati, apabila sesama sendiri, sesama mukminin, sesama kelompok dakwah sendiri, bila keras tidak bertempat, panas membabi buta. Menghina manusia lain adalah satu mainan elektronik terkini. Buka blog, buka emel, menyebarkan kefasadan sesama mukminin.

6. Perit rasa hati melihat seseorang yang rasa dirinya suci, berhadapan dengan manusia lain yang dipandang bermasalah membuat penampilan "suci" tanpa pertimbangan yang wajar. Ibarat memekik "berambus kamu, ini perjuangan "suci", kamu kotor!". Juga seperti "hei, buatlah kerja, jangan curi tulang, kamu tak cukup pahala, kami sangat banyak kerja+kebajikan+pahala".

7. Perjuangan "suci" begitu hanya mengecilkan tenaga dan melemahkan kekuatan sendiri. Pelik bila pekerja dakwah suka menitipkan fasad di ruang dakwah! Semuanya kerana hati yang keras dan panas tidak bertempat. Akhirnya semua kusut. Sesuaikanlah hati di tempat yang tepat.

26.11.09

Hati Hati Di Permukiman 'Arafah

Malam Arafah adalah malam penuh keghairahan. Kerana esoknya, bermula pada detik suria menghampiri barat, manusia terus bersedia untuk berdiri lemah di hadapan Ilahi. Serahkan segalanya padaNya.

Disitulah, Arafah itu, hati hati menyahut seruan mulia menghampiri Pencipta yang abadi. Ya, ketika itu, sekujur badan tidak banyak ertinya. Anggota-anggota zahir, mungkin sedikit sedikit mencari hajat dan keperluan. Namun, makhluk hati bingkas bangun dari sedar, bersedia dengan satu pendedahan ikhlas, ibarat bicara akhir bersama Penghukum.

Ya, hati ini juga pernah di situ dan mendedahkan segalanya...sebelum kembali kepada sunnah Allah, bahawa yang fitrah itu, sukar terjaga jika gagal demi gagal muncul sepanjang perjalanan perjuangan sebuah kehidupan.

Hati-hati hati hati mendedahkan segalanya. Satu persatu terjelma di minda, mata berperanan menambah kesayuan, lidah menyokong dengan bait-bait sesalan, tangan terhulur tagih simpati segera dan nafas selari dengan zikrullah seluruh anggota.

Pada saat itu, apalah erti hidup tanpa keampunan, kemaafan dan RAHMAT Ilahi yang kekal abadi.

Maha Pengampun terus menjadi sasaran zikir, tagihan dan tangisan.

Ya Rabbi, inilah hati itu suatu tika dulu. Dan inilah hati ini, di sini ketika ini. Tetap menagih yang sama. Menangisi yang sama. Mengingati yang Sama.

Dulu Kau berikan. Kini tetap kupohon Kau berikan yang sama. Sebuah keampunan yang menjadikan jiwa dan hati ini kuat dan berterusan ingin mengenaliMu, mendekatiMu dan kekal dalam perjuangan merapatiMu.

Tiadalah erti hidup, tanpaMu di sisi sebagai Tuhan, ketika dan sentiasa, aku hamba yang penuh noda.

6.8.09

HATI SELEPAS NISFU SYA'BAN

1. Lebih sebulan blog ini tidak berubah. Kekal dengan artikel lama dan wajah serupa. Malam ini saya gagahkan diri untuk meloretkan satu dua rasa.

2. Malam tadi ramai yang gembira menamatkan buku mereka dengan husnul khatimah dan membuka lembaran baru dengan husnul bidayah. Itu bagi yang beriman dengannya. Bagi yang tidak menerimanya, kekallah malam tadi seperti malam ini dan malam seterusnya.

3. Bagi saya, semuanya serupa. Bezanya hanya pada hati.

4. Apakah hati kita pada malam ini lebih baik berbanding semalam? Seterusnya apakah hati malam ini mampu menjadi raja pemerintah untuk mengejar kebaikan-kebaikan yang melimpah ruah? Atau malam ini tidak beza dengan malam-malam sebelumnya, hati tetap diselimuti kapan keimanan?

5. Bagi hati-hati yang kotor, jadikan malam ini masa untuk suatu pengajaran kerana malam esok belum tentu sempat dirasai. Biarlah telah melepasi separuh Sya'ban, belum lagi malam Ramadhan dan jauh lagi malam Syawal, namun hati-hati ini mesti diubati segera.

6. Ilahi ya Rabbi, hati-hati ini sedang lena dibuai mimpi indah. Mimpi sekeping hati yang tertipu dengan fatamorgana jalanan. Bangkitkan kesedaran pada hati-hati ini. Sucikan ia daripada terus dikotori. Ya Ilahi, siapa lagi untuk hati-hati ini berpaut? Pada mimpi? Pada fatamorgana? Pada nafsu-nafsi?

7. Ilahi, malam ini malam Ilahi. Kau menentukan malam ini untuk hati ini akur dan tunduk. Pada kebesaranMu, ya Rabbi...Dan Kau sedarkanlah pada hati-hati itu, bahawa hati ini memerlukan bantuan penunjuk arah!

"Tuhanku, aku tidak layak untuk menghuni FirdausMu, tetapi aku tidak kuat menanggung api nerakaMu, oleh itu kurniakanlah keampunan kepadaku ampunkanlah dosaku, sesungguhnya Kaulah Maha pengampun dosa-dosa besar..."