Showing posts with label Pemimpin. Show all posts
Showing posts with label Pemimpin. Show all posts

8.5.09

JANGAN SIMPAN BAWAH KARPET, NANTI HAPAK

1. Trend yang diamalkan oleh pemimpin politik Pakatan adalah mudah, menjawab dengan ayat "ini semua permainan media", apabila berlaku pergolakan dalaman parti. Saya sangat tidak setuju. Ya, benar media akan sensasikan, tetapi tiadalah sensasi jika isu itu tidak wujud pada akarnya. Media pula tidak akan berjaya mencipta isu dalam hal-hal tertentu, termasuk hal ulama dan profesional dalam PAS.

2. Tidak perlulah pemimpin PAS menyorokkan semua isu di bawah karpet, demi menjaga imej "Islam" pada parti kononnya, sedangkan perlakuan sesetengah pemimpin tidakpun diperbetul dan diperbaiki langsung, malah itulah punca masalahnya. Apakah pemimpin PAS malas berfikir untuk selesaikan masalah? Seimbangkan kritikan kita terhadap mad'u dengan kritikan kita terhadap rakan da'i.

3. Jika media bertanya apakah ulama diperlekehkan, kita kata itu mainan media. Cuba lihat kenyataan pemimpin PAS tertentu, di dalam media alternatif dan di blog-blog. Janganlah memperbodohkan pembaca. Tolonglah...

4. Adalah buruk lakunya, jika kelemahan sendiri dilemparkan kepada media perdana. Belajarlah mengakui kelemahan diri sendiri dan tulus menjadi pemimpin rakyat. Setiap kali kita sombong "indirectly" dalam kenyataan kita, walaupun maksud sebenarnya menyembunyikan sesuatu, setiap itulah kita merendahkan darjah mulia kita dan menaikkan darjah ego di sisi Tuhan. Belajarlah menilai "pandangan" Tuhan terlebih dahulu sebelum pandangan media, ahli, dan peminat.

5. Kalau karpet itu terselak, bukan setakat hapak, orang akan buang karpet itu.

7.5.09

TIADA KOMPROMI PADA KELAYAKAN MEMIMPIN SEORANG ALIM

1. Ketika saya meuar-uarkan pegangan saya bahawa dua jawatan tertinggi dalam pentadbiran & pengurusan parti saya mesti ulama, ada sahabat yang menegaskan begini,"pemimpin saya mestilah yang tahu memimpin negara".

2. Kenyataannya, pada zahirnya, seolah-olah bertentangan dengan saya, tetapi tidak begitu sebenarnya. Ini kerana kenyataan beliau tidak menolak secara total individu ulama sebagai pemimpin, malah boleh digabungkan dengan kenyataan saya.

3. Baginya, mesti pandai memimpin, walau siapapun mereka. Saya pula, mesti ulama dan mesti pula pandai memimpin.

4. Adalah jelas, jika anda ingin memimpin maka anda perlu pandai memimpin. Jika mahu mengajar mesti pandai skil mengajar. Jika mahu mengurus sebuah syarikat korporat, sama ada anda belajar kedoktoran atau syariah, mestilah pandai mengurus sebuah pejabat, sekumpulan manusia dan sebagainya.

5. Maka, gerakan menuntut ulama terus kekal di persada kuasa parti, mestilah seiring dengan tuntutan memilih individu ulama yang bijak memimpin, mentadbir dan memajukan parti. Jika ulama memimpin, dan dia gagal dalam kepimpinannya, maka dia sebenarnya sedang merosakkan parti dan ahlinya.

6. Jika pemimpin itu gagal memimpin, maka kegagalan itu SUDAH PASTI tidak mampu memberikan manfaat kepada apa yang dipimpin, hatta jika dadanya penuh dengan ilmu agama yang ditagih rakyat. Bagi ulama sebegini, tempatnya bukan di kerusi presiden dan timbalan presiden. Saya jelas dalam hal ini.

7. Maka blog ini menyokong sepenuhnya individu ulama memimpin PAS dan dia adalah layak untuk digelar dan dipanggil pemimpin.

28.4.09

MEMILIH PEMIMPIN PAS (1)

1. Gagasan Kepimpinan Ulamak tidak pernah kedengaran pada zaman Nabi saw. Memang pun begitu sepatutnya. Juga tiada terdengar ketika khilafah Umaiyyah dan Abbasiyyah. Justeru, ramailah yang beranggapan, itu gagasan baru, yang tiada apa-apa kaitan dengan yang dulu-dulu.

2. Apa yang muncul pada usia Nabi saw masih berbaki ialah usaha mengulamakkan para sahabat, sehingga mampu menjadi sahabat yang ulama dan bijaksana dalam gerakan, dakwah dan kepemimpinan. Lantaran, gempitalah pujian melangit terhadap mereka yang berilmu, memahaminya dan menjaga amanah ilmu tadi.

3. Hadis, sirah, sejarah dan rekod perjuangan Nabi Muhammad saw dan para sahabat yang lain dipenuhi dengan cerita dan kisah menarik seputar ilmu ad-deen mereka selain jihad, bijaksana dalam menghukum dan kasih sayang sesama insan. Maka, itulah bukti kukuh dan jelas bahawa mereka semua adalah ulamak atau peminat ulamak yang turut mendalami sebanyak mungkin ilmu agama daripada Nabi saw sendiri.

4. Jelas lagi bersuluh, mereka ialah ulamak yang bekerja. Menjawab sebelum bertanya dan menjelaskan selepas persoalan terkumpul tersusun. Tidak perlu dibandingkan antara kepimpinan ulamak dan kepimpinan Islam. Kedua-duanya sukar berpisah dan mustahil jika Islam mahu ditegakkan tanpa ulamak memimpin. Sesungguhnya, antara ulamak yang memahami pentadbiran dengan tokoh politik yang sedang mendalami hukum, biarlah ulamak sentiasa di hadapan.