Showing posts with label Ulama. Show all posts
Showing posts with label Ulama. Show all posts

21.5.09

ERA ULAMA DICELA SI PENCELA MENJADI-JADI


1. Ramai penulis blog mempertikaikan keperluan individu ulama di kerusi teratas parti Islam PAS. Hujah mereka pelbagai. Bermula dengan teladan gerakan Islam luar negara yang mereka sendiri tidak tahu bezanya keadaan mereka dengan kita, hinggalah kepada tidak bijaknya ulama tertentu dalam PAS yang menyebabkan syarat ulama itu bukan syarat penting.

2. Boleh dikatakan semua yang menulis begitu adalah bukan daripada kategori ustaz. Jauhlah ulama. Maknanya, mereka menulis berkaitan individu-individu yang jauh lebih berilmu daripada mereka.

3. Saya tertanya-tanya, apakah sebenarnya yang mendorong mereka ini mendesak sedemikian rupa? Jika tidak mahu si alim itu, maka carilah si alim yang lain. Tetapi masih beriya-iya mahu syarat itu dihapuskan. Maka sudah tentu mereka mahu si bukan alim tertentu untuk menjadi orang atas parti. Mungkinkah kerana si bukan alim ini lebih dekat dengan Tuhan dan lebih bijak berpolitik? Nampak macam tidak berapa bijak juga, apabila meneliti kepada kedudukan dan imej parti pada masa kini. Tang mana bijaknya? Nampaknya, makin berkecamuk.

4. Bagi mereka, alim bukan lagi suatu kelebihan dalam mentadbir politik, walaupun Nabi mengesahkan alim-alim ini ibarat pewaris ILMU beliau saw.

5. Bagi si alim-alim sekalian, ikhlaslah menjadi alim, kerana si alim tidak mengejar kasih sayang mahkluk jika ia membawa murka Khaliq dan kejarlah restu Khaliq walau manusia membuang tuan-tuan, jika itulah yang akan berlaku.

6. Di medan siber politik, sudah sampai masa dan eranya para ulama yang tidak disukai oleh pencela-pencela menebalkan telinga dengan celaan mereka yang menjadi-jadi. Kewajipan dan tanggung jawab para ulama adalah menjawab kepada Yang Maha Alim serta para mukminin. Segala yang lemah perbaikilah segera, dan segala celaan biarkan sahaja. Nasihat diambil, celaan dibiarkan berlalu.

7. Islam menerima kelemahan sebagai suatu kelemahan tetapi Islam tidak pernah menerima celaan si pencela sebagai suatu yang boleh dikompromi.

9.5.09

MENGULAMAKAN PROFESIONAL TELAH BERJAYA?

1. Saya tergelak membaca tulisan ZS yang memberikan contoh kepada usaha PAS mengulamakan profesional dalam artikel pendeknya di siasah. Beliau sifatkan gagasan almarhum Ustaz Fadhil Noor itu telah berjaya dan contohnya adalah Husam, Dr Zulkefli dan beberapa orang lagi. Saya tidak perkecilkan nama yang disebut, dan saya tahu merekapun tak dakwa mereka ulama, tetapi peminat mereka ini berlebih sakan.

2. Kalau nak kempen pun, biarlah berpada-pada. Takkanlah dengan beberapa bulan atau tahun Husam mengambil kursus Bahasa Arab dah dianggap layak dipanggil ulama? Takkanlah semata-mata Dr Zul boleh berhujah terus dilayakkan dengan kedudukan sebagai ulama. Jika ZS menyebut sudah bertambah ilmu agama, maka lojiklah juga.

3. Bagi saya, boleh sahaja mengulamakan pemimpin profesional dalam PAS, tetapi perlukah? Atau lebih tepat mengilmukan pemimpin profesional dengan ilmu agama? Mungkin ini juga maksud almarhum. Bukanlah calang-calang usaha perlu dilakukan untuk layak memanggil seseorang itu sebagai ulama. Ada yang telah berjayapun, tapi bukanlah seperti yang disebut ZS.

4. Dato' Haron Taib, dalam ucapan dan sembangnya sewaktu bergelar Ketua Dewan Ulama selalu sebut "ana bukan ketua ulama, ketua dewan saja." Itulah orang berilmu. Baginya dia adalah ketua dewan kerana dia ahli dan pemimpin dewan. Bukan kerana dia belajar Madinah, dia alim dia sekian-sekian dan seumpamanya. Namun, siapa boleh nafikan keilmuannya dalam agama? Orang tetap memanggilnya salah seorang alim hebat dalam parti.

5. Janganlah sudah boleh berhujah, berbahasa Arab sedikit, boleh rujuk kitab sikit-sikit dan selalu baca al-quran, sudah layak duduk di kerusi Presiden PAS. Buruk lakunya macam tu. Ini, tafsiran sayalah.

6. Cuba para pembaca fikir bersama. Presiden adalah pentadbir parti paling atas. Dia dipilih oleh ahli melalui pemilihan atau menang tanpa bertanding setelah dicalonkan. Dia kemudiannya akan mempengerusikan satu mesyuarat untuk memilih empat orang daripada kalangan AJK Pusat yang menang untuk menjadi ahli Majlis Sura. Jika dia bukan Ulama, jika dia mahu, dia akan masuk ke majlis itu dalam keadaan jahil agama. Jika dia tidak mahu, bermakna orang bawahnyalah yang akan menyertai Majlis Syura dan akan menentukan hala tujunya.

7. Boleh bayangkan jika Presiden PAS bukan ulama dan dia pengerusikan mesyuarat untuk memilih di kalangan orang bawahannya untuk menjadi penentu dasar parti dan penjaga hala tuju dia dan partinya?

8. Selamat berteori tuan ZS dan KS.

8.5.09

JANGAN SIMPAN BAWAH KARPET, NANTI HAPAK

1. Trend yang diamalkan oleh pemimpin politik Pakatan adalah mudah, menjawab dengan ayat "ini semua permainan media", apabila berlaku pergolakan dalaman parti. Saya sangat tidak setuju. Ya, benar media akan sensasikan, tetapi tiadalah sensasi jika isu itu tidak wujud pada akarnya. Media pula tidak akan berjaya mencipta isu dalam hal-hal tertentu, termasuk hal ulama dan profesional dalam PAS.

2. Tidak perlulah pemimpin PAS menyorokkan semua isu di bawah karpet, demi menjaga imej "Islam" pada parti kononnya, sedangkan perlakuan sesetengah pemimpin tidakpun diperbetul dan diperbaiki langsung, malah itulah punca masalahnya. Apakah pemimpin PAS malas berfikir untuk selesaikan masalah? Seimbangkan kritikan kita terhadap mad'u dengan kritikan kita terhadap rakan da'i.

3. Jika media bertanya apakah ulama diperlekehkan, kita kata itu mainan media. Cuba lihat kenyataan pemimpin PAS tertentu, di dalam media alternatif dan di blog-blog. Janganlah memperbodohkan pembaca. Tolonglah...

4. Adalah buruk lakunya, jika kelemahan sendiri dilemparkan kepada media perdana. Belajarlah mengakui kelemahan diri sendiri dan tulus menjadi pemimpin rakyat. Setiap kali kita sombong "indirectly" dalam kenyataan kita, walaupun maksud sebenarnya menyembunyikan sesuatu, setiap itulah kita merendahkan darjah mulia kita dan menaikkan darjah ego di sisi Tuhan. Belajarlah menilai "pandangan" Tuhan terlebih dahulu sebelum pandangan media, ahli, dan peminat.

5. Kalau karpet itu terselak, bukan setakat hapak, orang akan buang karpet itu.

7.5.09

TIADA KOMPROMI PADA KELAYAKAN MEMIMPIN SEORANG ALIM

1. Ketika saya meuar-uarkan pegangan saya bahawa dua jawatan tertinggi dalam pentadbiran & pengurusan parti saya mesti ulama, ada sahabat yang menegaskan begini,"pemimpin saya mestilah yang tahu memimpin negara".

2. Kenyataannya, pada zahirnya, seolah-olah bertentangan dengan saya, tetapi tidak begitu sebenarnya. Ini kerana kenyataan beliau tidak menolak secara total individu ulama sebagai pemimpin, malah boleh digabungkan dengan kenyataan saya.

3. Baginya, mesti pandai memimpin, walau siapapun mereka. Saya pula, mesti ulama dan mesti pula pandai memimpin.

4. Adalah jelas, jika anda ingin memimpin maka anda perlu pandai memimpin. Jika mahu mengajar mesti pandai skil mengajar. Jika mahu mengurus sebuah syarikat korporat, sama ada anda belajar kedoktoran atau syariah, mestilah pandai mengurus sebuah pejabat, sekumpulan manusia dan sebagainya.

5. Maka, gerakan menuntut ulama terus kekal di persada kuasa parti, mestilah seiring dengan tuntutan memilih individu ulama yang bijak memimpin, mentadbir dan memajukan parti. Jika ulama memimpin, dan dia gagal dalam kepimpinannya, maka dia sebenarnya sedang merosakkan parti dan ahlinya.

6. Jika pemimpin itu gagal memimpin, maka kegagalan itu SUDAH PASTI tidak mampu memberikan manfaat kepada apa yang dipimpin, hatta jika dadanya penuh dengan ilmu agama yang ditagih rakyat. Bagi ulama sebegini, tempatnya bukan di kerusi presiden dan timbalan presiden. Saya jelas dalam hal ini.

7. Maka blog ini menyokong sepenuhnya individu ulama memimpin PAS dan dia adalah layak untuk digelar dan dipanggil pemimpin.

5.5.09

AYAT-AYAT CINTA ULAMA

1. Saya mahu pemimpin utama parti saya mereka yang lebih pandai agama daripada saya dan lebih kuat amalannya berbanding saya. Mereka juga mesti lebih berhati-hati dalam memimpin berbanding saya.

2. Apabila saya menolak orang alim agama menjadi peneraju utama parti saya, bermakna saya melantik orang jahil agama sebagai pemimpin saya untuk meneruskan perjuangan agama.

3. Apa lebihnya seorang bukan alim agama berbanding orang alim agama? Jika orang alim agama memiliki sifat "qawi" dan "amin", kenapa saya memilih qawi dan amin yang jahil agama?

4. Ulama lawannya adalah juhala', dan bukan profesional. Jika kedua, maka ia suatu andaian bahawa para pelajar aliran agama tidak akan dipanggil profesional. Mehh nak test sikit ...!

5. Orang jahil agama bukanlah hina, tidak juga dibenci Tuhan dan manusia. Manakala orang alim yang lemah dikehendaki kebaikan padanya oleh Tuhan kerana alimnya dia, tetapi mesti ditukar daripada kepimpinan kerana lemahnya dia. Penggantinya mestilah orang alim yang kuat, bukan jahil yang kuat. Ini kerana kekuatan orang jahil boleh sahaja dihina sekalian para malaikat jika bertindak salah atas kejahilan pada agamanya.

6. Apa yang penting, kerjasama, bukan kerjakan sama dia.

22.3.09

CAKAP-CAKAP ULAMA

Ummah akan pening jika ulama ada sifat-sifat begini:

1. Cakap dahulu, kaji kemudian
2. Cakap ikut sedap dalil dalam kepala, bukan dalil dalam rujukan
3. Cakap dengan keputusan awal yang dibuat
4. Cakap ikut aturan penasihat dan pesetia-usaha
5. Cakap banyak, tanpa aturan betul
6. Cakap dengan orang munafiq
7. Cakap bertalam-talam
8. Cakap ikut ego

Ummah akan lebih pening, jika ulama selalu pening. Kesian ummah...