1. Saya cuba berada di luar kotak.
2. Isu Hudud yang dimainkan kini oleh media perdana memang memberi tekanan berat kepada imej dan penampilan Naib Presiden PAS, Datuk Paduka Haji Husam Musa setelah Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia berjaya memerangkapnya dalam Wacana Perdana, 20 Disember yang lalu. Kejayaan itu pada isu di media kini, bukan sorakan di dewan.
3. Sampingan, realiti ini menggambarkan manipulasi negatif oleh media perdana boleh berlaku terhadap kenyataan mana-mana pimpinan PAS, baik tokoh ulama dalam parti mahupun tokoh pembaharuan atau pengurusan organisasi.
4. Sefaham saya, Husam dikenali seorang tokoh yang melihat fokus kepada kandungan konsep daulah Islam, berbanding slogan, moden dan pencetus idea baru, tetapi kenapakah beliau memilih jawapan sedemikian, malah mencabar Umno pula, yang hanya sia-sia. Jika cuba untuk memerangkap Khairy atau Umno, maka hasilnya belum kelihatan.
5. Jangan bicara tentang pendirian Umno terhadap Hudud, kerana ianya sedia maklum, kekal dan tiada tanda positif dalam tempoh terdekat. Kecuali jika kenyataan terbaru Najib ingin digunapakai bagi Kelantan bertemu beliau dalam usaha mengaktifkan Hudud di Kelantan.
6. Apakah Husam sengaja menjawab sedemikian agar meraih sokongan pengundi Melayu di Terengganu dan memberi isyarat kepada rakan Pakatan Rakyat tentang cita-cita perjuangan PAS? Saya percaya, pusingan faham politik Pakatan akan kembali ke tahap lama, asal.
7. DAP masih belum berubah dalam laras pemikirannya malah masih terlalu fobia dengan kalimah Hudud. Dalam realiti Pakatan kini, boleh sahaja mereka memahaminya dan memberi respon yang lebih baik terhadap konsep itu daripada hanya menutup pintu dengar dan faham. Salahlah Husam apabila mendakwa DAP lebih memahami Islam sebagai hujah PAS berkawan dengan DAP dan menolak Umno. Soalan Khairy itu perlu difahami dengan jelas jawapannya oleh semua pemimpin PAS.
8. Mereka salah tanggap jika merasakan Hudud telah hilang daripada kamus perjuangan PAS. Mungkin PAS silap percaturan dalam meniadakan kalimah Hudud dalam dua pilihanraya lalu. Mungkin PAS terus diam demi manjaga Pakatan. Jika slogan Negara Kebajikan menjadi 'firm' baru bagi PAS, kenapakah Husam tidak pantas ke arah slogan itu ketika ditanya Khairy?
9. Hubungan dalam Pakatan Rakyat memang penuh dengan 'bom jangka' pelbagai saiz. Menarik untuk kita bertanya kepada pimpinan tertinggi PAS, slogan negara berkebajikan yang digunakan lewat dua pilihanraya lalu, adakah hanya helah atau strategi meraih undi dalam melaksanakan tuntutan siasah syar'iyyah atau merupakan pemahaman baru PAS terhadap konsep daulah Islamiah yang telah ber'evolusi' kepada menghayati dan mengamali kandungan konsep?
10. Bagi saya, jika ia suatu strategi sementara, ia mempunyai ciri-ciri bom jangka hadapan.