Showing posts with label Hudud. Show all posts
Showing posts with label Hudud. Show all posts

9.1.09

KARPAL SINGH JAHIL HUDUD, TERTINGGAL KERETAPI


Artikel berikut di Malaysiakini dirujuk; " Hudud: Kenyataan Anwar mengelirukan, kata Karpal"

Nampaknya Pengerusi DAP masih lagi mahu dilihat sebagai pejuang anti-Hudud dan mahu meyakinkan orang ramai, rakyat Malaysia, bahawa dia adalah pejuang setia dalam menentang Hudud.

Cuba lihat kenyataannya seperti berikut:

"Kenyataan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa tidak perlu menolak hukum hudud kerana ia hanya terpakai kepada orang Islam adalah bertentangan dengan hasrat PAS yang mengakui mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

"Ini memang menjadi pendirian PAS sejak ditubuhkan sepertimana dicerminkan dalam kenyataan oleh bekas dan pemimpin PAS sekarang."

Jelas Karpal Singh masih lagi jahil dengan Hudud dan Negara Islam. Eh, memanglah jahil, dia bukan Islam. Orang-orang Islam pun ramai yang sama begitu. Maka tak pelik Karpal seperti orang Arab Jahiliah yang menolak kebaikan Islam.

Dia fikir apabila Negara Islam dibentuk, mesti semua orang kena ikut hukum Islam. Contoh yang dibawanya adalah Arab Saudi. Beliau juga memetik kata-kata Tuan Guru Mursyidul Am PAS seperti berikut:

"Saya tidak nampak kenapa mereka (iaitu orang bukan Islam) tidak dapat menerima hukum hudud yang tidak berbeza daripada undang-undang Barat".

Saya ingin tegaskan kepada Karpal bahawa orang-orang PAS sedar terhadap undang-undang di Arab Saudi itu. Tetapi jangan lupa tentang komposisi penduduk antara Islam dan bukan Islam di sana. Tak sama dengan Malaysia, maka peraturan dalam pelaksanaan Hudud dua negara ini boleh sahaja berbeza, berdasarkan realiti setempat.

Dalam Islam, ada banyak mazhab dan banyak pandangan. PAS boleh sahaja tak ikut cara Arab Saudi. Malaslah saya nak cerita panjang, Karpal bukan Islam.

Beralih kepada kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Karpal kena faham, maksud Tuan Guru itu ialah menerima Hudud dilaksanakan oleh orang Islam ke atas pesalah orang Islam menurut hukum Islam. Kan Karpal bukan Islam. Kenapa bimbang? Kami minta tolong faham, tolong benarkan dan tolong undi. Itu sahaja. Bukan tolong hulurkan tangan perompak bukan Islam untuk kami potong. Tidak, tidak, bukan begitu.

Kami pun bukanlah seronok-seronok aje nak hukum orang Islam. Apatah lagi bukan Islam. Ada peraturan yang Karpal belum tahu lagi.

Karpal menambah lagi:

"Adalah penting untuk Anwar mengetahui apakah niat sebenar PAS yang memperjuangkan penubuhan sebuah negara Islam.

"Mungkin Presiden PAS (Datuk Seri Abdul) Hadi Awang patut memberikan penjelasan sama ada hukum hudud yang ingin dilaksanakan PAS terpakai kepada orang Islam dan juga bukan Islam sekiranya PAS berjaya menubuhkan sebuah negara Islam. Demi kepentingan orang ramai, beliau patut berbuat demikian."

Berdasarkan kepada kenyataan di atas, jelaslah Karpal tertinggal keretapi. Karpal ini masih tidak celik IT kah atau malas baca Harakahdaily? Eh, jangan pula ingat Harakahdaily hanya untuk orang Islam ya! Hudud sahaja tahu!

Karpal ni sebenarnya bijak politik atau tidak? Lim Kit Siang sibuk-sibuk ceramah di Kuala Terengganu, dia merepek di Kuala Lumpur!

Buat tuan lawyer Karpal, janganlah bicara perkara yang anda tidak tahu. Dalam agama kami, kami diajar, bukan semua kami ikut, tapi ramai orang PAS ikut, iaitu jangan bercakap perkara yang tidak diketahui. Diam lebih baik daripada cakap-cakap merepek.

Jika Karpal belum faham pasal Hudud, cubalah mengaji dahulu. Manalah tahu, untung sabut timbul, untung Karpal, berjiwa tenang.

Marilah kita fokus kepada isu rasuah, penyelewengan, kezaliman ISA dan penipuan dalam pilihanraya. Tak payahlah menunjukkan kebebalan kita dalam perkara yang kita memang tidak cerdik.

Lapangkan dada, buka minda, cuba bertanya sebelum berpendirian. Boleh? Lebih-lebih sangat, takut nanti orang PAS Puchong tak undi anak kamu dalam pilihanraya akan datang, baru padan muka ...rakyat! Mmmmm

23.12.08

HUDUD DAN HUSAM


1. Saya cuba berada di luar kotak.


2. Isu Hudud yang dimainkan kini oleh media perdana memang memberi tekanan berat kepada imej dan penampilan Naib Presiden PAS, Datuk Paduka Haji Husam Musa setelah Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia berjaya memerangkapnya dalam Wacana Perdana, 20 Disember yang lalu. Kejayaan itu pada isu di media kini, bukan sorakan di dewan.


3. Sampingan, realiti ini menggambarkan manipulasi negatif oleh media perdana boleh berlaku terhadap kenyataan mana-mana pimpinan PAS, baik tokoh ulama dalam parti mahupun tokoh pembaharuan atau pengurusan organisasi.


4. Sefaham saya, Husam dikenali seorang tokoh yang melihat fokus kepada kandungan konsep daulah Islam, berbanding slogan, moden dan pencetus idea baru, tetapi kenapakah beliau memilih jawapan sedemikian, malah mencabar Umno pula, yang hanya sia-sia. Jika cuba untuk memerangkap Khairy atau Umno, maka hasilnya belum kelihatan.


5. Jangan bicara tentang pendirian Umno terhadap Hudud, kerana ianya sedia maklum, kekal dan tiada tanda positif dalam tempoh terdekat. Kecuali jika kenyataan terbaru Najib ingin digunapakai bagi Kelantan bertemu beliau dalam usaha mengaktifkan Hudud di Kelantan.


6. Apakah Husam sengaja menjawab sedemikian agar meraih sokongan pengundi Melayu di Terengganu dan memberi isyarat kepada rakan Pakatan Rakyat tentang cita-cita perjuangan PAS? Saya percaya, pusingan faham politik Pakatan akan kembali ke tahap lama, asal.


7. DAP masih belum berubah dalam laras pemikirannya malah masih terlalu fobia dengan kalimah Hudud. Dalam realiti Pakatan kini, boleh sahaja mereka memahaminya dan memberi respon yang lebih baik terhadap konsep itu daripada hanya menutup pintu dengar dan faham. Salahlah Husam apabila mendakwa DAP lebih memahami Islam sebagai hujah PAS berkawan dengan DAP dan menolak Umno. Soalan Khairy itu perlu difahami dengan jelas jawapannya oleh semua pemimpin PAS.


8. Mereka salah tanggap jika merasakan Hudud telah hilang daripada kamus perjuangan PAS. Mungkin PAS silap percaturan dalam meniadakan kalimah Hudud dalam dua pilihanraya lalu. Mungkin PAS terus diam demi manjaga Pakatan. Jika slogan Negara Kebajikan menjadi 'firm' baru bagi PAS, kenapakah Husam tidak pantas ke arah slogan itu ketika ditanya Khairy?


9. Hubungan dalam Pakatan Rakyat memang penuh dengan 'bom jangka' pelbagai saiz. Menarik untuk kita bertanya kepada pimpinan tertinggi PAS, slogan negara berkebajikan yang digunakan lewat dua pilihanraya lalu, adakah hanya helah atau strategi meraih undi dalam melaksanakan tuntutan siasah syar'iyyah atau merupakan pemahaman baru PAS terhadap konsep daulah Islamiah yang telah ber'evolusi' kepada menghayati dan mengamali kandungan konsep?


10. Bagi saya, jika ia suatu strategi sementara, ia mempunyai ciri-ciri bom jangka hadapan.


5.7.08

"Kembali Kepada Islam Sebenar" - Presiden PAS ( Klpos.com )


BERHUBUNG dengan pelbagai fitnah yang tersebar dengan meluas dalam negara kita kebelakangan ini, bagi pihak PAS saya suka menyeru agar semua kita kembali berpaut kepada ajaran Islam yang sebenar.

Kita menegaskan bahawa fitnah adalah lebih merbahaya dari membunuh oleh kerana itu kita tidak boleh menyibarkan sebarang fitnah sewenang-wenangnya. Sesungguhnya Islam meletakkan garispanduan dalam semua perkara tapi malangnya kita sendiri memilih untuk menjauhkan diri daripada ajaran Islam.

Islam dengan jelas mengajar dan menetapkan hukuman yang berkait dengan memfitnah termasuk fitnah zina dan liwat. Seseorang tidak boleh menuduh seseorang yang lain dengan dosa itu melainkan mengemukakan empat orang saksi.

Sekiranya tidak ada empat orang saksi maka orang yang menuduh hendaklah dijatuhkan hukuman hudud dan menjadi fasik, dan beliau tidak boleh menjadi saksi lagi.

Di dalam Islam seorang yang dituduh tidak boleh dianggap bersalah sehingga dibuktikan kesalahnnya ataupun orang itu mengaku sendiri dengan rela diri tanpa paksaan yang ia telah melakukan kesalahan tersebut.

Kita mengharapkan masyarakat Islam supaya memelihara akhlak yang diajar oleh Islam ini dan menunjukkan contoh yang terbaik kepada semua pihak. Apa yang mendukacitakan gejala ini berlaku dikalangan pemimpin-pemimpin Melayu yang mengaku beragama Islam.

Oleh itu saya menyeru supaya sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan sedemikian rupa hendaklah bertaubat kepada Allah swt kerana dosa itu termasuk di dalam kategori dosa besar yang diberi amaran keras oleh Allah swt di dalam al Quran dan oleh Nabi kita Muhammad saw dan diperingatkan oleh para ulamak disepanjang zaman.

Saya menyeru ahli-ahli PAS supaya kembali kepada pegangan kita yang termaktub di dalam Perlembagaan PAS dan menunjukkan contoh yang terbaik kepada semua pihak disaat yang serba mencabar dan meruncing ini.

Penulis merupakan Presiden PAS - Pengarang