Showing posts with label PKR. Show all posts
Showing posts with label PKR. Show all posts

3.3.10

PEMBERSIHAN DALAM PKR ATAU ?

Apa yang berlaku dalam PKR tidak mengejutkan pimpinan PR, blogger PR dan penyokong kuat PR. Mungkin lagi ramai yang keluar dari PKR lebih melegakan mereka yang beranggapan itulah "tathir" atau pembersihan yang dibuat oleh ?

Lagi ramai keluar bermakna sudah tidak ramai lagi yang kekal dalam PKR untuk membuat onar dan busuk. Lebih memudahkan gerak kerja PKR. Eh, begitukah kita berfikir?

Atau itulah pembuktian bahawa PKR penuh dengan onar dan busuk? Bahawa sebenarnya ramai yang bersama PKR memasang kepentingan diri dan kroni. Sudah terhalang mendapatkan habuan, kekasih lama dikejar semula?

Walau apapun yang ditafsirkan, bagi rakyat umum, ia membuktikan Umno lebih baik berbanding PKR. Rakyat umum yang saya maksudkan adalah rakyat teramai yang tidak mendapat akses kepada maklumat alternatif selain perdana. Tiada istilah tathir bagi mereka. Tiada istilah dibeli atau takut terjual. Apa yang mereka tahu, "wow, Umno bertambah kuat dan dipuji oleh orang-orang kuat PKR dulu-dulu"!

Jika keadaan begini berterusan, mampukah PKR menggapai lagi kemenangan yang besar seperti pilihanraya lalu, untuk yang mendatang? Apa kekuatan mereka selepas ini? Dulu mereka kuat dengan kekuatan Anwar dan kelemahan Pak Lah. Kini mereka semakin lemah dengan kelemahan Anwar dan PKR dan kekuatan Najib. Pola yang jelas, Najib mula meraih popular dan Anwar menjadi bahan kajian dan luahan kedai kopi. Jika tidak semua, seorang dua tentu percaya kerja buat Anwar bagai yang dituduh di mahkamah, biarpun itu dosa besar qazaf.

Nampaknya, semuanya semakin sampai ke persimpangan. Simpang yang dulunya PAS ada kekuatan sendiri untuk memilih. Tetapi kini, sukar PAS membuat tekad, kerana azam-azam dalam PAS terlalu berselerak dan banyak.

Banyak perkara akan membawa kepada keadaan belum tentu dalam PR. Ini perlu menjadi iktibar kepada SEMUA parti, khususnya PAS untuk melihat semula tapak-tapak asas di kubu sendiri dan mulakan perkemas sisi taklidinya.

Janganlah lagi berpaut di dahan yang rapuh, kelak akan jatuh jua, walaupun rapuh itu asalnya jati yang matang. Kalau sudah nampak rapuh, kembalilah ke pangkal.

Bolehkah kita membaca...ada unsur tathir dalam diri PAS, bukan membuang busuk dari parti, tetapi membersihkan diri yang terpalit dedalu parasit yang melemahkan jati diri.

Politik penuh dengan seni. Seni itu termasuk mengenal musuh diri dan menjadikan musuh sebagai kawan diri tika perlu sahaja. Mempercayai orang sendiri adalah seni asas. Kalau ini pun tidak lepas, susahlah PAS.

1.2.09

BOTAKU HANGAT PIJO

Saya belum lagi ada kesempatan untuk meraikan penghijrahan Adun Bota di ruang blog ini, kerana kesempitan masa untuk membicarakan hal itu. Apa yang tersempat. cuma mencadangkan bekas pemimpin nombor wahid BN Perak berhenti daripada dunia politik Umno.


Tiba-tiba malam ini saya menerima satu sms yang agak mengejutkan. Saya menerimanya sebelum melayari berita-berita internet malam ini. Maka saya percaya ia sekadar teori mainan BN.


Ia berbunyi " salam, dengarnya malam ni atau esok govt Perak tumbang, 2 PKR exco dah 4 hari hilang. Any inside info yg siqah boleh dita'kidkan? If yes, jawabnya kena bubar DUN, election..." Received 22:56:59


Tetapi, selepas membaca banyak sumber berita alternatif, nampaknya teori yang saya fikir tinggal teori, bertukar menjadi igauan ngeri buat diri saya. Cepat-cepat saya hubungi sahabat pemuda di Parit. Soalan saya ringkas, apa berita terpenting dari Bota?


Dia menjawab "2 exco PKR kemungkinan besar lompat" Received: 01:30:46


Mulalah saya mencari maklumat tambahan atau baru berkaitannya dan ramai yang menulis tentang kerisauan masing-masing, selain berdoa untuk kebaikan PR Perak. Siapalah yang tidak bimbang dengan situasi sebegini. Dilaporkan dua exco itu sudah hilang sejak 4 hari dan kini, pada malam ini sedang berada di rumah TPM bersama pegawai SPRM. Rumah Najib pula dikatakan sedang dikepung oleh pihak keselamatan.


Di mana mereka tidak penting bagi saya. Boleh sahaja mereka kini berada di Pulau Pangkor atau Langkawi, bukannya di Pekan atau Putrajaya. Tetapi, di manakah prinsip mereka? Mampukah mereka pertahankan prinsip dengan bersedia dipenjara? Kes mereka sendiri membuktikan bahawa tiada apa yang boleh diharapkan. Kita andaikanlah mereka mendakap BN.


Hasilnya 30 PR dan 29 BN. Siapa sasaran Najib seterusnya?


Benarkah Adun Bota? Atau sebenarnya mana-mana Adun DAP atau PKR yang lain? Peletakan jawatan Datuk Seri Tajol Rosli dilaporkan lewat daripada tarikh peletakan sebenarnya. Dia juga pernah menafikan peletakan itu beberapa hari lalu.


Apa bacaan anda?


Saya andaikan peletakan itu diarah Najib. Datuk Seri Tajol Rosli enggan pada asalnya. Tetapi atas arahan, akhirnya Tajol Rosli meletaknya. Kenyataannya juga kritikal.


Kurang lebih begini " Saya tidak mampu memenangkan semula BN pada pilihan raya akan datang. Kemasukan Adun Bota ke dalam PKR memalukan BN Perak. Saya percaya pengganti saya mampu merampas semula Perak. Jika tidak, maka tiada siapa yang mampu melakukannya"


Kenyataan di atas adalah susunan ayat saya, dengan cuba menepati intipati kenyataan sebenar beliau. Nampak yakin Tajol bahawa penggantinya lebih baik dan mampu. Siapakah penggantinya kini jika bukan Najib? Maka, dengan perancangan yang rapi, nampaknya Najib mencari jalan pintas untuk menutup dua kali tewas sebelum ini.


Saya tidaklah sehingga ingin menuduh kemasukan Adun Bota ke dalam PR adalah sebahagian pelan Najib. Tetapi, tanpa Tajol menjadi Ketua Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Hj Ahmad Zahid Hamidi kekal menteri pusat, siapakah yang akan dinobatkan Najib untuk bakal MB Perak mewakili BN dalam pelan itu?


Kita gembira dan memuji penghijrahan Adun Bota. Mereka gembira dan memuji penghijrahan 2 exco PKR. Seri.


Mereka tarik semula Adun Bota? Tunggu sahaja esok pagi, eh, beberapa jam lagi.


25.5.08

Ezam Dan Politiknya

Dahulu ketika KeADILan mula diperkenalkan, dan Anwar masih lagi dikurung sebalik jaring penjara, pimpinan muda KeADILan bertungkus-lumus, berhempas-pulas mengajak rakyat menumbangkan kerajaan Mahathir dan membebaskan Anwar. Sasaran serangan dan hentaman mereka ialah, Mahathir, Najib, pemimpin korup, rasuah dan kronisme serta ketidak-bijakan ahli-ahli Umno yang masih lagi taat membuta tuli kepada pemimpin parti 'dacing senget' itu.


Ironinya, pemimpin yang banyak menyebut perjuangan membebaskan Anwar ialah Ezam Mohd Nor, yang kini disebut-sebut akan meninggalkan segala-galanya, untuk berpusing 180 darjah ke arah Umno, parti yang menjadi sasarannya sejak reformasi. Selain itu, prinsip-prinsip keadilan dan kesaksamaan sering juga diutarakan. Tetapi, apakah jati diri bagi KeADILan yang kini PKR?


Saya cuba melihat faktor tolakan dan tarikan yang berlaku kepada Ezam, sehingga mencetuskan keinginan memasuki pintu karat Umno itu. Jika ianya ibarat kapal, maka kapal itu adalah kapal besar yang telah bocor kecil di sana sini. Sempat atau tidak kebocoran itu ditampal, bergantung kepada kemampuan nakhoda kapal meyakinkan anak kapalnya akan pengemudiannya terhadap kapal.


Senario-senario ini perlu kita ambil kira:

1. Ezam anti kepada Mahathir, yang kini telah berada di luar kapal senget dan bocor tersebut.

2. Ezam anti kepada rasuah, yang ada persamaan dengan azam Pak Lah yang mahu memerangi rasuah, dan sudah tentu mahu pengemudi kecil untuk melawan rasuah.

3. Siapa pemimpin Umno yang benar-benar bebas dan diyakini bebas daripada palitan rasuah?

4. Apakah ada usaha untuk sengaja mengeluarkan Mahathir daripada Umno?

5. Ezam berjuang di dalam keADILan untuk membebaskan Anwar dan menentang rasuah dan kronisme.

6. Anwar telah bebas dan penentangan terhadap kronisme boleh sahaja di buat di mana-mana, termasuk di dalam Umno.

7. Ezam kecewa apabila usahanya membebaskan Anwar seperti tidak dihargai, apabila dakwaannya Anwar cuba 'memilikkan' PKR dan Anwar dikuasai oleh orang sekelilingnya.

8. PKR tiada jati diri sebenar dan kekal serta istimewa yang mengikat Ezam untuk terus setia bersama PKR. Jati diri PKR berkecamuk dan bercelaru.

9. Jika Umno boleh bermain sentimen Melayu, PAS Islam, DAP Malaysian Malaysia, tetapi PKR pula sama ada keadilan atau penobatan Anwar sebagai PM.

10. Jika untuk keadilan, boleh sahaja Ezam perjuangkannya dalam Umno, jika demi Anwar, sudah tidak relevan lagi jati diri itu terhadap Ezam.

11. Apa lagi pilihan Ezam yang mendarah daging jiwa politiknya selain menyertai Umno? Boleh mendekati PAS, tetapi tetap akan bersua dengan Anwar dan orang sekelilingnya. Untuk kekal dalam PKR, demi apa selain Anwar? Menyertai Umno, maka dia boleh bercakap tentang rasuah, kronisme dan nepotisme di dalam Umno dan kerajaan.

12. Kenapa jika boleh di dalam NGO, tidak di dalam kerajaan?

13. Tambahan pula Anwar tidak pernah mengajar kita akan kebenciannya terhadap Umno. Apa yang disebut oleh Anwar ialah, rosaknya Umno kerana kebejatan sesetengah pemimpin Umno. Malah Anwar selalu menyatakan dia tidak bermusuh dengan ahli2 Umno di peringkat bawahan.

14. Jika begitu apakah bezanya PKR dan Umno? Jika Ezam boleh berjuang di dalam parti berbilang agama ahlinya dan sekular semangatnya, iaitu PKR, apakah hina jika berjuang di dalam parti sekular Umno? Lebihnya PKR hanya belum terpalit dengan rasuah, kurangnya Umno ialah ramainya pemimpin yang rosak.

15. Bukankah ada lojiknya Ezam membantu Pak Lah untuk kepentingan Melayu, keadilan dan kesaksamaan dalam kerajaan dan demi kepentingan negara melalui parti pemerintah?

16. Jika kita bercakap tentang Pak Lah, Ezam boleh sahaja bercakap tentang Anwar dan Azmin.



Tetapi, jika Ezam mahukan akhiratnya mudah, politiknya cemerlang, jangan tunggu lagi, pergilah mendapatkan nasihat daripada Mursyidul Am PAS. Beliau tidak memiliki keajaiban, tetapi nasihatnya menjadi mutiara kepada ribuan manusia di Malaysia. Dia hanya orang biasa, tetapi amalan dan imannya dilihat luar biasa.


Ezam boleh sahaja mencipta seribu alasan, jika dia benar-benar ingin menyertai Umno, tetapi perlu diingatkan, kerja politik ini bukan hanya kerja kita orang-orang yang bijak berpolitik, ia kerja para nabi dan rasul. Ikutilah bimbingan yang disediakan oleh agama. Hancurkan ego itu, sekali-sekala.