Showing posts with label Najib. Show all posts
Showing posts with label Najib. Show all posts

4.2.09

JANGAN HINA LOMPATAN ITU, MARAHLAH PADA DIRI SENDIRI

Saya pernah menulis entri bertajuk, siapa PM PR pada 25 April tahun lalu. Antara isu yang saya singgung ialah mengenai siapa yang paling layak untuk menjadi Perdana Menteri Pakatan Rakyat bagi sebuah kerajaan lompat parti.


Begitulah usaha kita dulu. Sama ada kita berjaya atau tertipu, maka itulah yang cuba dilakukan oleh kita, pimpinan kita, malah disokong pula oleh ulama kita. Tak pasti pula, ulama kita dipengaruhi siapa? Siapa yer?


Hari ini, sampai hatikah kita mahu melabelkan mereka sebagai hina dan keji? Mungkin kita bezakan antara mereka dengan kita pada unsur-unsur rasuah harta dan peras ugut. Ya, pada cara kita mungkin lebih baik. Tapi pada kesan dan implikasinya, sama sahaja. Etika dan moral dilupakan. Kuasa rakyat dinafikan.


Saya menulis begini :


Kedua, wajarkah Anwar terus "bising" mencari ahli parlimen BN untuk dipujuk menyertai PR? Setakat ini, saya tidak pasti apakah ianya langkah terbaik atau sebaliknya. Sesetengah pihak melihatnya bukan sebagai satu proses yang bertunjangkan ketulusan dan menghormati keputusan demokrasi pada PRU lalu, lebih-lebih lagi jika tindakan yang dilakukan bersalahan dengan etika dan moral.


Dan jika kita sibuk pula untuk memperkecilkan usaha Najib di Putrajaya yang seolah-olah perasan telah berjaya memerintah Perak, saya memetik laporan Malaysiakini begini:


Dr Wan Azizah Ismail berkata beliau bersedia menjadi perdana menteri Malaysia jika Pakatan Rakyat berjaya mendapat majoriti dua pertiga susulan peralihan sokongan wakil-wakil Barisan Nasional.


"Saya bersedia, insya Allah. Ini kejutan baru kepada saya.


"Saya menyertai gelanggang politik (pun) secara mengejut, saya menjadi ketua pembangkang (pun) secara mengejut," kata presiden PKR kepada wartawan di Petaling Jaya, hari ini.


Dan hari ini


Wajarkah kita menghina lompatan ini? Sudah tentu tidak.


Dan pada hari ini, marah kita bukan pada BN dan Najib. Itu kewajipan mereka. Marah kita kepada SPR dan diri kita sendiri. Marahlah pada diri seNdiri, kemudian marahlah pada Anwar Ibrahim. Jika anda tidak mahu memarahinya, tidak mengapa. Biar saya seorang. Dia memulakan 'permainan' ini, dan sebuah kerajaan negeri telah runtuh.


Kemudian, berdoalah pada al-Hafiz.


2.2.09

NAJIB DAN PAK LAH SAMA-SAMA MALU, TAJOL BOLEH JADI HERO

Kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa beliau tidak tahu berapa ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pakatan Rakyat di Perak yang akan menyertai Barisan Nasional (BN) memang memalukan.

Beliau sepatutnya malu kerana Perdana Menteri lebih mengetahui hal tersebut apabila sebelum itu menegaskan lebih dua orang akan menyertai BN. Atau Pak Lah sendiri yang rasa malu kerana pandai-pandai membuat kenyataan sedangkan Pengerusi BN Perak pun tak tahu apa-apa. Tapi, eloklah kalau dua-dua malu apabila dua bekas exco PKR itu menegaskan kononnya mereka masih lagi wakil rakyat PKR, tidak BN dan bukan juga bebas, dan tiba-tiba dua-dua tadi yang serentaknya sakit, sihat mengejut. Pandai pula berurusan dengan BERNAMA?

Habis, bukankah berita semalam telah maklumkan yang mereka telah menjadi wakil rakyat bebas? Sila rujuk semula berita TV3.

Najib berkata, "saya tidak tahu, kita akan lihat," ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini bahawa beberapa ADUN daripada pakatan itu akan menyertai BN.

Sebelum itu, tentu sahaja Najib bengang kepada Pak Lah kerana cepat sangat membuat dakwaan kemasukan wakli rakyat PKR itu, sedangkan ketika itu Najib mungkin sedang mengatur strategi tertentu di rumahnya di Pekan. Bukankah itu membuktikan dua yang hilang itu memang 'diculik' oleh sesiapa? Pak Lah tahu dari mana sedangkan kerajaan Perak pun tak dapat menghubungi mereka?

Jangan-jangan Pak Lah ada 'game' untuk Najib kut, bagai dakwaan sesetengah peminat politik, Khairy bengang peranan Najib melalui SPRM yang kelihatan menyusahkan orang-orang Khairy di Pahang.

Beberapa hari lepas, saya ambil MC kerana demam, selesema dan bersin. Namun sempat juga saya maklumkan melalui sms kepada sahabat-sahabat di pejabat. Sudah tentu MC ada pada saya kerana saya pergi ke kelinik dari rumah, dan tidak pula ke pejabat selepas itu untuk tinggalkan MC itu di pejabat. Kalau orang kata kenapa tak hantar sendiri MC pada hari saya sakit, saya balas balik, baik pergi kerja kalau larat bawa motor ke pejabat untuk hantar MC.

Bagi dua bekas exco tadi, MC mereka ada di pejabat. Memang hebat.

Sekarang surat peletakan jawatan mereka telah diserah kepada Pengerusi SPR Perak. Pengerusi SPR Malaysia melalui berita tengahari ini berkata esok akan diadakan mesyuarat khas membincangkan kedudukan surat tersebut. Ia akan dikaji oleh pihak perundangan SPR sendiri sama ada ianya sah atau sebaliknya. Jika boleh diterima, bermakna akan ada pilihan raya kecil di Behrang dan Cangkat Jering.

Hal berkaitan persiapan dan kesan pilihan raya itu, kita boleh bincangkan kemudian di bawah tajuk lain, yang mana ianya sangat menarik selepas PR menang di dua pilihan raya kecil perlimen sebelum ini.

Apakah strategi Najib sebenarnya?

Najib tentu ingin merampas semula Perak selepas Tajol menyerah kalah. Najib tidak mahu menunggu lama sehingga PRU akan datang, kerana beliau terdesak untuk menunjukkan ke'beradaannya' dan kehebatannya dalam sebulan dua ini, selepas dua kali tewas di Pulau Pinang dan Terengganu.

Jika Pak Lah terpaksa menunggu pilihan raya umum untuk merampas semula Terengganu, Najib ingin dilihat lebih 'canggih' agaknya. Tajol hilang kelayakan bermain. Zahid dijadikan pembantunya. Maka bermulalah pelan merampas.

Dua bekas exco dijadikan sasaran. Namun semuanya serba tak menjadi. Surat peletakan jawatan wakil rakyat tanpa tarikh mereka menjadi penghalang utama. Ianya boleh juga disebut sebagai penyelamat kepada kerajaan PR Perak. Apakah dua orang itu tidak tahu atau ingat tentang surat itu? Mustahil tidak ingat.

Buat-buat tak tahu agar mereka beroleh sesuatu daripada BN? Apabila PR Perak mula bertindak, baharulah semuanya tersentak?

Saya tidak mahu mencela atau menghina mereka berdua, kerana saya faham ujian ke atas mereka berat. Kita maafkan apa-apa kesilapan mereka yang lalu, jika benar melakukannya. Ujian kini ialah, ke kiri ke penjara, ke kanan ke peti simpanan jutaan ringgit. Itulah andaian ramai orang. Benar atau tidak, itulah lojiknya kalau orang yang telah didakwa di mahkamah hilang secara tiba-tiba dan timbul pula desas-desus akan meninggalkan partinya sendiri.

Bagi saya, kalau ditawarkan selamat daripada penjara oleh pembesar zalim, walaupun tanpa imbuhan, itu sesuatu yang sukar ditolak. Benteng akhir saya untuk tidak meninggalkan perjuangan cuma kekuatan iman melalui latihan usrah dan tarbiah yang diadakan.

Katakan surat tersebut tidak laku. Apa permainan seterusnya? Drama ini mesti bermula dengan pengekalan jawatan exco dua orang tersebut. Mereka sihat. Mereka masih PKR.

Sebaliknya, Najib mesti tarik mereka, jika gagal Najib memang sangat lemah. Bolehkah mereka meninggalkan PKR dengan baik dan aman selepas beriya-iya menafikan peletakan jawatan itu? Mahukah BN orang semacam itu menyertai mereka?

Pilihan Najib yang bermoral ialah, sama ada menunggu wakil rakyat PR yang lain menyertai BN atau biarkan sahaja pilihan raya kecil berlangsung. Janganlah teruskan mengekori buntut Jamaluddin dan Mohd Othman kerana itu memalukan semua orang, termasuk Pak Lah.

Ingin menunggu wakil rakyat PR lain masuk BN, sampai bila? Terlibat dalam pilihan raya ketika sibuk pemilihan Umno adalah malapetaka bagi orang-orang Umno. Lebih ringan jika Najib malu sahaja, dan kerajaan Perak terus kekal diperintah oleh PR.

Bagi PR, jika pilihan raya tidak berlangsung, mereka tetap berhadapan risiko tinggi kerana kes rasuah dua bekas exco ini memang menyusahkan. Tiada pilihan selain meneruskan perbincangan dengan wakil rakyat BN yang lain.

Jika saya menjadi pengarah drama ini, saya suka ingin menghidupkan semula watak Tajol Rosli. Saya akan jadikan beliau pelakon pembantu yang berjaya menyatukan dua kumpulan bertelagah apabila dia bersama tiga empat orang pengikut setianya menyertai kerajaan memerintah.

Bayangkan perasaan orang kampung, orang Gerik, orang hulu, orang Parit, orang Melayu, waris orang Perak dan bermacam orang lagi apabila Tajol menjadikan PAS majoriti di Perak untuk mentadbir urusan dunia dengan agama Islam yang sama dianuti. Bayangkan pula betapa sukacitanya tuanku-tuanku di Darul Ridzuan dengan penyatuan itu oleh Tajol. Bayangkan sengehnya Tuan Mufti yang mulia dengan mesranya Tajol dan Nizar mengapit mesra Raja Nazrin Shah.

Itulah, kalau saya menjadi pengarah. Saya suka watak Tajol sebab dia orang baik-baik yang boleh jadi lebih baik.

Apa-apapun, setakat ini, paling malu Najib dan Pak Lah.

1.2.09

BOTAKU HANGAT PIJO

Saya belum lagi ada kesempatan untuk meraikan penghijrahan Adun Bota di ruang blog ini, kerana kesempitan masa untuk membicarakan hal itu. Apa yang tersempat. cuma mencadangkan bekas pemimpin nombor wahid BN Perak berhenti daripada dunia politik Umno.


Tiba-tiba malam ini saya menerima satu sms yang agak mengejutkan. Saya menerimanya sebelum melayari berita-berita internet malam ini. Maka saya percaya ia sekadar teori mainan BN.


Ia berbunyi " salam, dengarnya malam ni atau esok govt Perak tumbang, 2 PKR exco dah 4 hari hilang. Any inside info yg siqah boleh dita'kidkan? If yes, jawabnya kena bubar DUN, election..." Received 22:56:59


Tetapi, selepas membaca banyak sumber berita alternatif, nampaknya teori yang saya fikir tinggal teori, bertukar menjadi igauan ngeri buat diri saya. Cepat-cepat saya hubungi sahabat pemuda di Parit. Soalan saya ringkas, apa berita terpenting dari Bota?


Dia menjawab "2 exco PKR kemungkinan besar lompat" Received: 01:30:46


Mulalah saya mencari maklumat tambahan atau baru berkaitannya dan ramai yang menulis tentang kerisauan masing-masing, selain berdoa untuk kebaikan PR Perak. Siapalah yang tidak bimbang dengan situasi sebegini. Dilaporkan dua exco itu sudah hilang sejak 4 hari dan kini, pada malam ini sedang berada di rumah TPM bersama pegawai SPRM. Rumah Najib pula dikatakan sedang dikepung oleh pihak keselamatan.


Di mana mereka tidak penting bagi saya. Boleh sahaja mereka kini berada di Pulau Pangkor atau Langkawi, bukannya di Pekan atau Putrajaya. Tetapi, di manakah prinsip mereka? Mampukah mereka pertahankan prinsip dengan bersedia dipenjara? Kes mereka sendiri membuktikan bahawa tiada apa yang boleh diharapkan. Kita andaikanlah mereka mendakap BN.


Hasilnya 30 PR dan 29 BN. Siapa sasaran Najib seterusnya?


Benarkah Adun Bota? Atau sebenarnya mana-mana Adun DAP atau PKR yang lain? Peletakan jawatan Datuk Seri Tajol Rosli dilaporkan lewat daripada tarikh peletakan sebenarnya. Dia juga pernah menafikan peletakan itu beberapa hari lalu.


Apa bacaan anda?


Saya andaikan peletakan itu diarah Najib. Datuk Seri Tajol Rosli enggan pada asalnya. Tetapi atas arahan, akhirnya Tajol Rosli meletaknya. Kenyataannya juga kritikal.


Kurang lebih begini " Saya tidak mampu memenangkan semula BN pada pilihan raya akan datang. Kemasukan Adun Bota ke dalam PKR memalukan BN Perak. Saya percaya pengganti saya mampu merampas semula Perak. Jika tidak, maka tiada siapa yang mampu melakukannya"


Kenyataan di atas adalah susunan ayat saya, dengan cuba menepati intipati kenyataan sebenar beliau. Nampak yakin Tajol bahawa penggantinya lebih baik dan mampu. Siapakah penggantinya kini jika bukan Najib? Maka, dengan perancangan yang rapi, nampaknya Najib mencari jalan pintas untuk menutup dua kali tewas sebelum ini.


Saya tidaklah sehingga ingin menuduh kemasukan Adun Bota ke dalam PR adalah sebahagian pelan Najib. Tetapi, tanpa Tajol menjadi Ketua Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Hj Ahmad Zahid Hamidi kekal menteri pusat, siapakah yang akan dinobatkan Najib untuk bakal MB Perak mewakili BN dalam pelan itu?


Kita gembira dan memuji penghijrahan Adun Bota. Mereka gembira dan memuji penghijrahan 2 exco PKR. Seri.


Mereka tarik semula Adun Bota? Tunggu sahaja esok pagi, eh, beberapa jam lagi.


3.11.08

Najib (baca: Mohd Najib) Hasil Carian Damai Abadi

RTM sudah lama melupakan 'kehebatan' Pak Lah. Seingat saya sejak pilihanraya lalu. Status cucu ulamanya juga sudah tidak kedengaran lagi. Mr Clean pula tidak berkumandang di corong-corong televisyen dan radio sejak pelbagai skandal dikaitkan dengan keluarganya. Kehebatannya menumbangkan pembangkang pada tahun 2004, seolah-olah sejarah lama 20 tahun lalu.


Pagi ini Najib ( baca: Mohd Najib ) mula dipuja RTM. Sudah bermula ulasan berita membongkar kehebatan beliau. Sudah kedengaran pujian terhadap kebijaksanaannya dan diiktiraf pula oleh ahli akar umbi parti 'antah berantah' itu. Najib kini pemimpin masa depan, pemimpin cemerlang, pemimpin terbilang. Najib adalah hasil penyelongkaran Pak Lah dalam pencarian damai abadinya. Dikira berjaya atau tidak Pak Lah mencari, itulah hasilnya.


Siapakah Dato' Seri Najib Tun Razak? ( baca: Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak ) Orang Kaya Inderapura ini memang seorang ahli politik yang penuh dengan pengalaman. Menjadi ahli parlimen seawal usia 23 tahun. Memasuki pejabat Menteri Besar Pahang pula ketika 29, pada tahun 1982 hingga 1986. Pelbagai kementerian pernah dipimpinnya. Malah dalam kepimpinan parti 'antah berantah'nya, pernah juga memangku jawatan Ketua Pemuda 'antah berantah' Malaysia. Kemudian Naib Presiden sebelum ke Timbalan Presiden. Kini bakal menjadi peneraju 'antah berantah'.


Apakah beliau menepati ciri-ciri damai abadi Pak Lah dengan latar belakang politiknya itu? Sudah tentu tidak kerana Pak Lah telah menetapkan kriteria yang sangat tinggi. Namun, itulah hasil carian Pak Lah. Jika dicari di luar 'antah berantah', mungkin akan terjumpa beratus tokoh lebih baik daripada Najib.


Benarkah Najib tidak baik? Itu persoalan yang subjektif jawapannya. Jika dilihat kepada ikrar Najib semalam, di dalam blognya, beliau mempunyai keazaman yang baik.


"Saya berazam menggalas amanah dan tanggungjawab ini sebaik mungkin bagi menangani segala cabaran yang sedang dihadapi Umno dan Barisan Nasional (BN). Saya harap proses pemilihan yang sedang berlaku sekarang ini dapat terus berjalan dengan bersih dan teratur".

"Marilah kita bermuafakat dan bekerjasama untuk membawa obor perjuangan murni agama, bangsa dan negara."


Satu ikrar yang baik. Tetapi, ikrar sebegitu, bukan sahaja diungkapkan oleh Najib seorang, malah semua pemimpin 'antah berantah'. Biarpun mereka pemimpin rasuah, pemimpin skandal, pemimpin sombong, semuanya memiliki kemampuan luar biasa untuk bercakap seperti apa yang Najib tulis. Tiada erti.


Apa yang Najib akan sumbangkan demi agama Islam? Apa wawasannya untuk agama Islam? Apa pula pencarian beliau? Persoalan-persoalan ini tentu sedang dirangka jawapannya oleh tink tank beliau, sama ada di Tingkat 4 ataupun di dalam Eurocopter nya nanti. Kita nantikan sajaknya pula pada penghujung Mac depan. Setelah genap setahun 'antah berantah' tersungkur.


Pendakian Najib ini mungkin menarik perhatian rakyat Pahang sahaja. Baik buruknya akhlak seseorang pemimpin itu, dia tetap membawa pembangunan. Pembangunan ini sedang dinanti pelannya oleh penduduk Pekan dan umumnya rakyat Pahang. Warga Iskandar Johor mungkin sedang kaget.


Bagaimana pula penduduk Lambor di Perak yang menjadi salah satu tempat asal keturunan bapa Najib? Ingatkah Najib? Orang 'antah berantah' Lambor mungkin boleh menghantar memo pembangunan mereka.