Showing posts with label umno. Show all posts
Showing posts with label umno. Show all posts

17.1.09

POLITIK MURAHAN ORANG UMNO PERAK DALAM ISU TANAH

Ketika saya membaca berita-berita berkenaan isu tanah di Perak, komen di hati saya ialah "jangan layan sangat suara-suara NGO ini". Jika benar ianya isu kritikal bagi orang Melayu di Perak, kenapakah Pak Lah masih mendiamkan diri? Kenapa Najib tidak turun ke Perak bagi menghalang pemberian itu, sebaliknya hanya berkampung di Terengganu, ketika ini?


Sekadar menggunakan MTN untuk membantah, itu hanya kenyataan politik emosi. Malah ramai para ahli akademik menyebelahi Perak dalam isu tersebut.


Umno adalah parti yang kononnya memperjuangkan Melayu, maka adalah mustahil pemimpin Umno seluruh negara tidak bertindak tegas menghalang apa yang berlaku di Perak, sebaliknya menggunakan NGO tertentu. Jelaslah, ia hanya mainan politik Umno untuk meraih sokongan Melayu Perak, dalam masa yang sama, tetap mahu menjaga hati orang-orang Cina di mana-mana.


Mari kita lihat sedikit fakta sejarah berkaitan Kampung Baru ini.


Prof. Nik Anuar Nik Mahmud dari Jabatan Sejarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berkata:


''Penempatan di kampung baru dengan kemudahan jalan, elektrik, air paip, sekolah dan kesihatan mampu mengelakkan orang Cina di pinggir hutan daripada bercampur dengan komunis.


''British membina kampung baru berkenaan hanya untuk memastikan kaum Cina ketika itu tidak dipengaruhi komunis.


''Ini kerana jika komunis berkuasa, negara ini akan menjadi sebuah negara komunis dan British akan kehilangan kepentingan mereka di Tanah Melayu ketika itu,'' katanya.


Bagi saya, tindakan ini mungkin dilihat tidak menyebelahi orang Melayu. British bersikap berat sebelah dalam memberi kebajikan kepada orang-orang Islam/Melayu. Namun di sana, ada sedikit kebaikan kepada semua pihak, iaitu menghalang daripada komunis menguasai dan memerintah Tanah Melayu ketika itu.


Kesilapan British itu cuba diselesaikan oleh kerajaan pimpinan BN yang mentadbir selepas merdeka. Menurut Prof Nik Anuar:


''Justeru, bagi memastikan hak orang Melayu terus dipelihara kita harus meneruskan langkah-langkah Allahyarham Tun Razak seperti membuka tanah rancangan dan mendaulatkan Bahasa Melayu,'' katanya.


Jelas bahawa langkah yang diambil oleh BN dalam penyelesaian masalah ini ialah menyediakan pelbagai perancangan untuk kaum Melayu di negara ini, termasuk membuka tanah rancangan sebagaimana yang dimulakan oleh Tun Razak. Program mendaulatkan bahasa kebangsaan juga telah berlaku, dengan turut disokong penuh oleh parti politik pembangkang dan NGO Melayu serta tokoh intelektual mereka.


Dalam hal tanah, BN sejak sekian lama tidak berhasrat atau sekurang-kurangnya tidak "berlabun besar" ingin mengambil semula tanah Kampung Baru daripada orang-orang Cina. Itu pilihan yang mungkin bersikap perkauman, anti manusiawi, tidak sepakat dan seumpamanya.


Namun apabila Pakatan Rakyat di Perak mahu sempurnakan kepercayaan BN bahawa tanah itu tidak perlu diambil semula, dengan memberi geran kepada penghuni Kampung Baru, NGO Melayu Perak mula bangkit dan bising, seperti Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Hilmi Ismail?


Kenapa selama ini mendiamkan diri. Kenapakah tidak berbangkit hak Melayu selama ini. Kenapa rumah-rumah setinggan Melayu di bandar-bandar yang menjadi mangsa. Benarkah semangat Melayu mereka?


Lebih 50 tahun BN boleh ambil semula tanah itu, tetapi tiada seorangpun yang melakukannya. Tetapi kini mereka muncul wirawan seperti komik kung fu Cina, mahu MB Perak bersikap "ganas" sedemikian rupa dengan 'kuasa tujuh petala langit hasil pertapaan lama di bukit batu kapur Ipoh'?


Inilah politik cetek pemikiran oleh orang-orang Umno Perak. Malu teman.

9.11.08

SEKADAR HIBURAN, CUKUP!

Seronok. Memang menyeronokkan apabila berita-berita hiburan Umno menjadi hidangan harian kita. Bukan setakat surat melayang, bahkan kerusi, meja, pensil dan genggam jari. Datang dari mereka, sampai ke wajah mereka. Kita, tersengih pun dah memadai.

Hiburan begini bermusim. Tidak sepanjang tahun. Bukan juga setiap tahun. Ada musimnya. Sekarang adalah musimnya.

Tapi, cukuplah jadikan semua berita itu sebagai hiburan ringan. Tidak lebih daripada itu. Jangan sampai kita pula seronok mengulas itu, mengomen ini, menaikkan itu, menaikkan ini, secara berlebihan. Sikit-sikit ok. Lebih-lebih pelik.

Apa tidaknya, Nabi telah menunjuk arah, "Antara tanda-tanda Islam seseorang itu sempurna, meninggalkan peduli apa yang tiada kaitannya."

Umno, kita boleh peduli dengan pemikiran PARTI ITU, hala tujunya, kebaikannya dan keburukannya, pada tahap memberi kesan kepada agama dan perjuangan kita. Juga memberi kesan kepada baik buruk manusia lain. Jika mana-mana yang melibatkan mereka, tidak melibatkan kita, apa perlu kita peduli?

Siapa lawan siapa, perlukah kita kaji jika semuanya sama, ke arah perkauman tegar dan sekularisme kotor? Isteri siapa bertudung, isteri siapa kaki boros, memberi kesankah kepada muslimat kita untuk kita riuh rendahkan? Siapa banyak pencalonan, siapa tidak layak, menghabiskan ruang dakwah kita, wajarkah berlaku begitu? Membuang masa meneka siapa menang siapa kalah, apakah perlu disinggung mendalam seperti menjadi agenda kerja kita pula?

Aduh, biarkanlah mereka. Naiknya Najib, turunnya Pak Lah, menangnya Muhyidin, kalahnya Ibnu Rustam, Umno tetap dengan perjuangan mereka.

Mari kita bincang masalah kita, hal kita anak-beranak dan tarbiah kita yang berliku jalannya.

3.11.08

Najib (baca: Mohd Najib) Hasil Carian Damai Abadi

RTM sudah lama melupakan 'kehebatan' Pak Lah. Seingat saya sejak pilihanraya lalu. Status cucu ulamanya juga sudah tidak kedengaran lagi. Mr Clean pula tidak berkumandang di corong-corong televisyen dan radio sejak pelbagai skandal dikaitkan dengan keluarganya. Kehebatannya menumbangkan pembangkang pada tahun 2004, seolah-olah sejarah lama 20 tahun lalu.


Pagi ini Najib ( baca: Mohd Najib ) mula dipuja RTM. Sudah bermula ulasan berita membongkar kehebatan beliau. Sudah kedengaran pujian terhadap kebijaksanaannya dan diiktiraf pula oleh ahli akar umbi parti 'antah berantah' itu. Najib kini pemimpin masa depan, pemimpin cemerlang, pemimpin terbilang. Najib adalah hasil penyelongkaran Pak Lah dalam pencarian damai abadinya. Dikira berjaya atau tidak Pak Lah mencari, itulah hasilnya.


Siapakah Dato' Seri Najib Tun Razak? ( baca: Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak ) Orang Kaya Inderapura ini memang seorang ahli politik yang penuh dengan pengalaman. Menjadi ahli parlimen seawal usia 23 tahun. Memasuki pejabat Menteri Besar Pahang pula ketika 29, pada tahun 1982 hingga 1986. Pelbagai kementerian pernah dipimpinnya. Malah dalam kepimpinan parti 'antah berantah'nya, pernah juga memangku jawatan Ketua Pemuda 'antah berantah' Malaysia. Kemudian Naib Presiden sebelum ke Timbalan Presiden. Kini bakal menjadi peneraju 'antah berantah'.


Apakah beliau menepati ciri-ciri damai abadi Pak Lah dengan latar belakang politiknya itu? Sudah tentu tidak kerana Pak Lah telah menetapkan kriteria yang sangat tinggi. Namun, itulah hasil carian Pak Lah. Jika dicari di luar 'antah berantah', mungkin akan terjumpa beratus tokoh lebih baik daripada Najib.


Benarkah Najib tidak baik? Itu persoalan yang subjektif jawapannya. Jika dilihat kepada ikrar Najib semalam, di dalam blognya, beliau mempunyai keazaman yang baik.


"Saya berazam menggalas amanah dan tanggungjawab ini sebaik mungkin bagi menangani segala cabaran yang sedang dihadapi Umno dan Barisan Nasional (BN). Saya harap proses pemilihan yang sedang berlaku sekarang ini dapat terus berjalan dengan bersih dan teratur".

"Marilah kita bermuafakat dan bekerjasama untuk membawa obor perjuangan murni agama, bangsa dan negara."


Satu ikrar yang baik. Tetapi, ikrar sebegitu, bukan sahaja diungkapkan oleh Najib seorang, malah semua pemimpin 'antah berantah'. Biarpun mereka pemimpin rasuah, pemimpin skandal, pemimpin sombong, semuanya memiliki kemampuan luar biasa untuk bercakap seperti apa yang Najib tulis. Tiada erti.


Apa yang Najib akan sumbangkan demi agama Islam? Apa wawasannya untuk agama Islam? Apa pula pencarian beliau? Persoalan-persoalan ini tentu sedang dirangka jawapannya oleh tink tank beliau, sama ada di Tingkat 4 ataupun di dalam Eurocopter nya nanti. Kita nantikan sajaknya pula pada penghujung Mac depan. Setelah genap setahun 'antah berantah' tersungkur.


Pendakian Najib ini mungkin menarik perhatian rakyat Pahang sahaja. Baik buruknya akhlak seseorang pemimpin itu, dia tetap membawa pembangunan. Pembangunan ini sedang dinanti pelannya oleh penduduk Pekan dan umumnya rakyat Pahang. Warga Iskandar Johor mungkin sedang kaget.


Bagaimana pula penduduk Lambor di Perak yang menjadi salah satu tempat asal keturunan bapa Najib? Ingatkah Najib? Orang 'antah berantah' Lambor mungkin boleh menghantar memo pembangunan mereka.


31.7.08

Kenyataan Media Presiden PAS Pada 31 Julai 08


"PAS menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk mewujudkan kerajaan samada diperingkat Pusat ataupun negeri-negeri. Oleh itu sebarang tawaran daripada Umno untuk mewujudkan kerajaan bersama disemua peringkat tersebut tidak lagi berbangkit.

PAS akan terus terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan semua pihak termasuk parti-parti politik , NGO, institusi-institusi dan mana-mana individu demi kepentingan negara dan ummah.

(Dalam pada itu) PAS mengulangi pendiriannya kekal bersama Pakatan Rakyat dengan memainkan peranan yang aktif dan positif selaras dengan perjuangan bersama."


31 Julai, 2008


DATO' SERI TUAN GURU HJ ABD. HADI AWANG

Presiden

Parti Islam Se Malaysia (PAS)


25.7.08

Umno Makin Galak, PAS Ambillah Peluang

Nampaknya Umno makin galak untuk memainkan isu muqabalah+muzakarah dengan PAS. Ketua Penerangan Umno sudah pandai menyebut istilah Islam, aqidah dan Iman. Sudah tidak sanggup lagi untuk berpecah sesama umat Islam dan Melayu. Aduh, makin berstrategi mereka.

Kawan-kawan, janganlah kita cepat bimbang. Jangan perkecilkan kemampuan pimpinan kita yang telah teruji memimpin. Kita mungkin hanya teruji sebagai pembaca atau penulis blog sahaja, tidak lebih daripada itu. Mereka jatuh bangun sebagai orang yang memimpin...berilah harapan kepada mereka, bagi bertemu pimpinan Umno.

Bukankah ini masanya PAS bangkitkan isu ISA, hukum hudud di Kelantan, Islam Hadhari, ketuanan Lord Reid, ketidakadilan dalam pilihan raya, kelemahan mahkamah shariah dan lain-lain lagi. Takkanlah, kita dah kuat, masih takut dengan Umno yang lemah.

Tapi, pimpinan yang pergi, juga yang tidak pergi, diharapkan biarlah bersatu pada kenyataan dan bacaan politiknya. Jangan lagi orang utara kata lain, orang timur kata lain, orang selatan kata lain dan orang tengah kata lain.

Saya amat tertarik dengan jawapan Ustaz Din di dalam blognya, ruangan komentar, apabila menjawab pertanyaan pembaca terhadap tulisannya. Komentar beliau di bawah ini, perlu dibaca bersekali dengan tulisannya yang berkaitan.

Saya perturunkan di sini:

++++++

Firman Allah swt :

“Dan jika sekiranya mereka ( musuh ) condong untuk berdamai, maka condonglah kamu kepadanya ( terimalah perdamaian ) dan bertawakkallah kepada Allah. sesungguhnya Dialah tuhan yang maha mendengar dan maha mengetahui. Dan jika mereka mahu menipu dayamu, maka cukuplah Allah untukmu ( sebagai pelindung ). Dialah Tuhan yang memperkukuhkan engkau dengan pertolonganNya dan dengan orang - orang yang beriman.”

Surah al Anfaal : 61 - 61

Kalau boleh saudara gopenghagen baca sekali dengan ayat 60 dari surah yang sama. Saya hairan kenapa ramai orang takut untuk muzakarah dengan UMNO.

Takut terpedaya? hebat sangat kah UMNO tu? atau kita tak yakin kepada aqidah perjuangan Tok Guru Presiden kita? Pasal rakyat yang tidak memahami, mmg tugas kita memberi mrk faham. Bila - bila pun mmg kita kena bersedia memberi faham kpd masyarakat tentang apa yang kita buat.

Bukankah Allah juga suruh Musa as. mendatangi Firaun ( yang saya kira berjuta kali lebih zalim dari UMNO ) dengan perkataan yang lembut. Banyak perkara kita boleh bincang, bukan shj pasal Islam tapi semua perkara untuk kepentingan ummah Islam.

Jika semata - mata kerana mrk menentang Islam maka tiada perbincangan dan perdamaian dgn mereka, bagaimana pula dengan sikap yang diambil oleh Nabi saw. membuat perjanjian yg dilihat berat sebelah dan merugikan ummah dalam perjanjian hudaibiah.

Masa perjanjian hudaibiah tu, ramai yg tak setuju dan bantah nabi saw. sehingga Nabi suruh sembelih kambing ( untuk dam krn mrk tidak mengerjakan umrah sdg mrk telah ihram masa tu , tidak diikuti oleh sahabat.

Sehinggalah nabi sendiri sembelih barulah sahabat insaf dgn ketegasan nabi lalu mrk mohon ampun dan menyembelih kambing sbg mana ia disuruh oleh Nabi. Kadang - kadang kita baca Nas quran dan hadis, tapi knp kita berat hati nak ikut cara nabi. Bukankah PAS parti Islam.

Bagi Tok Guru, muzakarah tu untuk bincang mengenai Islam dan ummatnya, bagi kita menyebut perkara Islam yang sebenar kpd mrk dalam majlis yg tertutup selain kita guna pentas terbuka seperti ceramah. Siapa yg kata Tok Guru nak heret PAS masuk UMNO? Astaghfirullah. Ini punca salah faham. Bimbang takut PAS masuk BN. Tak betul tu...

Orang kata kenapa PAS jumpa secara rahsia. Sebenarnya Syura telah setuju muzakarah, so bukan rahsia kpd syura, cuma tidak didedah kepada umum ini termasuk dalam salah satu strategi yang perlu dilaksanakan secara teliti.

Masalahnya apabila ada yg membocorkan rahsia pimpinan. ( sebelum Pak Lah dedah, sudah ada org PAS yg dedah ). Dalam Gerakan Islam, malah dalam apa jua organisasi, tanzim dan strategi mmg sifatnya rahsia. Apa pun perkara ni dah selesai dgn lahirnya Istilah baru iaitu Muqabalah.

Sekarang Syura sudah solid setuju Muqabalah ( bertemu UMNO ) dan bertemu ni bukan untuk saling mengenyet mata tetapi bincang soal masa depan negara dan Islam. Kalau ada yg tak setuju jugak muqabalah nih, saya tak tahu nak kata apa lagi. Sedang Allah sebut dlm al quran : Urusan mrk ialah syura dikalangan mereka .

Berilah kepercayaan kepada Pimpinan kita untuk bertindak. Tidak rugi org yang bermesyuarat. Bimbang UMNO nak tipu, Allah bersama kita. Dalam pilihanraya, UMNO tipu kita berkebuk saban kali kita masuk pilihanraya, tapi kenapa kita masuk jugak? dah tahu UMNO tipu, pasal apa masuk jugak? Soalan ini menjawab pertanyaan org kata dah tahu UMNO menipu kenapa nak bincang jugak?

Saya juga ingat kata - kata Arwah Ust Fadhil dulu :

Berunding dgn org yang kita tidak percaya ni lebih selamat dari org yang kita percayai. Kerana manusia sering kena tipu oleh org yang dia percayai sebelumnya, berbanding ia berhadapan dgn org yang dia tidak percaya, dia senantiasa berhati hati dan risiko kena tipu tu kurang .

- Ust Nasrudin Hassan al-Tantawi, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat sesi 2007-09

4:05 AM

21.7.08

PAS Temui Umno - Apa Isu Sebenarnya?


Setiap kali saya ada idea untuk menulis tentang pertemuan PAS-Umno, saya menemui idea baru yang menyebabkan hasrat saya tertangguh. Setiap kali mahu sahaja menulis tentang isu ini, saya membaca tulisan baru tentangnya, yang menyebabkan saya teragak-agak.

Oleh kerana saya sendiri kurang arif tentang apa yang berlaku, biarlah saya sekadar menjadi pembaca sahaja. Jika menulis, pasti jelas kelemahannya, kerana saya tidak yakin. Tambahan pula kebanyakan bacaan yang saya telaah di media dan laman web tentang isu ini, jelas ianya tidak disokong dengan fakta yang memuaskan hati dan minda pembaca. Apa lagi tulisan saya nanti.

Seolah-olah saya juga sedang menonton drama yang belum berakhir. Oleh itu, lebih baik saya tunggu episod terakhirnya, pada 17 Ogos nanti. Telur saya belum masak lagi.

Satu sahaja yang sentiasa saya pegang. Isu di sini bukan berkenaan PAS berusaha mencari cara dan kaedah demi mencapai maslahah terbaik untuk Islam dan perjuangan, isunya mencari dalil bahawa Umno benar-benar telah berubah dan bersedia memuliakan agama, jika berbincang dengan PAS. Itu saya belum ketemu lagi.

26.6.08

Kenaikan Minyak Kerana Jaga Kepentingan!

Kenapakah harga minyak melambung tinggi pada firasat anda? Itulah soalan yang saya kemukakan di blog ini, iaitu di sisi kanan. Pilihan yang dibuat oleh pembaca blog ini secara majoriti bersetuju tiga sebab utama ianya dinaikkan.


Menampung kos hidup Umno

Pertama bagi menampung kos hidup Umno di 5 negeri yang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat. Kita tahu sejak sekian lama, aktivis politik Umno mesti dilayan dengan projek-projek kerajaan untuk terus hidup dalam parti dan perjuangan Melayu, kononnya.

Secara umumnya terdapat dua sumber projek atau tender, iaitu kementerian milik kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Di negeri PR, sudah tentu peluang pimpinan Umno semakin sempit dan mengecil. Sudah sukar untuk menerima anugerah projek daripada kerajaan negeri, kecuali melalui tender secara terbuka. Layakkah mereka dalam persaingan mendapatkan tender secara terbuka? Oleh itu, apakah pilihan yang mereka ada selain mendapatkan projek kementerian?

Dengan sebab itulah, kerajaan pusat perlu menyediakan jumlah wang yang besar untuk berpuluh pimpinan bahagian Umno, termasuk perhubungan negeri yang kalah. Wang ini mestilah real dan wujud, bukan hanya di dalam angka yang terdapat di dalam kertas cadangan dan pelan pembangunan kridor-koridor. Merenung kepada situasi semua ini, di manakah kerajaan pusat perlu menceduk wang segera untuk 'menghidupkan' ahli dan pimpinan Umno pertengahan?


Menampung projek besar

Tujuan kedua bagi kenaikan harga minyak itu adalah untuk mengumpul dana pembangunan yang akan melibatkan perniagaan syarikat-syarikat kroni. Di sini, dua perkara yang saya selalu renungkan. Pertama, kenapakah cara syarikat besar negara perlu bergantung dengan kerajaan untuk hidup? Bukankah dunia ini penuh dengan pelbagai jenis perniagaan.

Kedua, kenapakah kerajaan banyak bergantung dengan hasil pendapatan jualan minyak untuk membangunkan negara? Cuba fikirkan, negara pengimport minyak juga boleh bangun dan maju, malah ada yang mampu membangun melebihi Malaysia, tetapi kita yang merupakan pengeksport minyak, bukanlah terlalu kaya atau maju atau membangun. Mungkinkah ini bermakna, kerajaan Malaysia gagal menghasilkan pendapatan yang baik daripada urusniaga selain minyak?

Berbalik kepada isu kenaikan harga minyak, sudah terbukti kerajaan akan melakukan apa sahaja demi menyelamatkan syarikat kroni kerajaan dan kroni pemimpin kerajaan BN.


Tipu

Pilihan nombor empat yang saya letakkan dalam undian tersebut adalah sekadar ingin menggambarkan penipuan yang dilakukan oleh Pak Lah dan kerajaan apabila berjanji tidak akan menaikkan harga minyak selepas pilihanraya, tetapi realitinya adalah berbeza. Namun, oleh kerana media perdana di bawah telunjuk kerajaan, isu bohong dan tipu sehebat inipun tak akan memberi apa-apa bekas kepada kerajaan. Lainlah jika kita semua sedang berada di negeri antah berantah. Rasanya, dah letak jawatan dek kerana menipu rakyat secara terang-terangan.

Inilah nasib rakyat Malaysia. Kalau pemimpin dengan riang gembira boleh menipu rakyat, apakah yang boleh diharapkan daripada penipu-penipu ini untuk memberikan ihsan dan sayang kepada rakyat? Maka berlakulah episod baru pertembungan rakyat perihatin dengan pemimpin BN yang tidak malu menipu dan menipu lagi selepas tiada malu akan menipu itu menguasai dirinya yang sudah lama biasa menipu rakyat itu.

Wallahu a'lam.

21.5.08

Ajak Tun Dekati Platform Politik Islam

Seperti yang banyak pihak jangka, pengumuman keluar Tun daripada Umno menarik ramai orang untuk membuat andaian, ulasan dan komen. Paling menarik minat saya ialah keterbukaan pimpinan PAS terhadap Tun, sehingga sedia membuka pintu untuk bekas PM tersebut menyertai parti Islam, PAS.


Tuan Guru MB Kelantan menegaskan, Tun adalah seorang yang sangat bijak, tetapi sayang apabila kebijaksanaannya digunakan untuk sekular, bukan Islam. Namun beliau tidak mahu mempelawanya masuk, seperti pendiriannya terhadap MP Pasir Mas, YB Ibrahim Ali.


Salahuddin Ayub, Ketua Pemuda PAS pula lebih laju dengan mengajak Tun menyertai PAS. Beliau berkata, Dewan Pemuda PAS mengajak Tun Dr Mahathir Mohamad dan ahli-ahli Umno yang sedar penyelewengan perjuangan mereka untuk membina kekuatan baru bangsa Melayu berasaskan Islam dengan menyertai PAS. Menurut Salahuddin lagi, jika Tun Mahathir sudi menyertai PAS, kesilapannya yang lalu masih boleh diperbetulkan dan beliau berpeluang melihat Islam dalam konteks menyeluruh seperti yang diajar oleh Rasulullah.


Kenyataan Salehuddin tersebut pasti menimbulkan pelbagai ulasan dan komentar pula. Mungkin ada yang masih benci dengan Tun kerana peristiwa-peristiwa sepanjang era reformasi yang lalu, tidak bersetuju dengan pelawaan ini. Bagi saya, biarlah ajakan itu dikemukakan. Ia tidak merugikan dan tidak juga menguntungkan Umno atau perjuangan sekular.


Bayangkan jika di Mahsyar nanti, Tun menyalahkan pemimpin PAS tidak mahu mengajaknya memahami Islam, ketika dia telah meninggalkan platform perjuangan sekularnya? Sebagai anggota gerakan dakwah, jangan tidak bijak untuk menggunakan peluang terdedah di hadapan mata bagi seruan dakwah kepada Islam dan Allah. Seperti selalu kita nafikan, kunci syurga bukan di tangan kita, yang membawa erti syurga itu bukan milik kita. Ia milik Tuhan kita.


Oleh itu, kenapa kita tidak mahu mempelawa Tun ke jalan politik benar, yang mungkin membawa kepada mencapai kunci syurga tadi, yang merupakan milik Allah ta'ala. Kita pula tidak boleh menghalang Tun memasukinya, apatah lagi jika terbentang di hadapan Tun, jalan politik Islam yang sebenar.


Jika pun semua ini sandiwara Tun, ia tetap merupakan kewajipan pendakwah, mengajak semua manusia, termasuk anggota Umno yang lain, bersama-sama Tun, menyertai platform politik Islam sebenar, bukan Islam ala Umno yang haru.


Inilah intipati ajakan Presiden PAS kepada keluarga Umno dan BN supaya menyertai perjuangan PR, sedikit masa dulu, yang mana PAS adalah sebahagian daripada kekuatan PR tersebut.

19.5.08

Tun Mahu Pilihan Raya Semula, Najib PM dan Mukhriz KP?

Perihal keluarnya Tun daripada Umno, Malaysiakini melaporkan:


"Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Shahrir Samad, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna berkata, keputusan Dr Mahathir amat mengejutkan dan mungkin mendorong ramai lagi turut meletakkan jawatan dan sekaligus memaksa Abdullah mengadakan pilihanraya umum baru.

Keputusan Dr Mahathir itu, tambahnya, boleh mengakibatkan situasi di mana ramai ahli Parlimen Umno mungkin turut meletakkan jawatan. Jika itu berlaku, kata Shahrir yang juga ahli Parlimen Johor Bahru, kerajaan tidak mempunyai pilihan, kecuali menubuhkan sebuah kerajaan baru atau mengadakan pilihanraya umum baru. "


Saya yang kurang arif dengan politik Umno ini, sebenarnya tertanya-tanya juga apabila Shahrir mengulas dengan cepat hal ini dan terus mengingatkan rakyat ( baca: ahli Umno ) kepada pilihan raya umum yang baru. Saya seterusnya termenung memikirkan, apakah semua ini telah diatur dengan baik, demi kepentingan Umno? Saya pun membuat andaian mentah tanpa kajian:

  1. Mula-mula Tun keluar.
  2. Kemudian ramai yang akan ikut, kerana mustahil Tun akan keluar berseorangan
  3. Tun cuba gambarkan Umno akan musnah dengan kelemahan Pak Lah
  4. Pak Lah pula menegaskan Umno akan musnah jika tiada pilihan raya umum awal, setelah Umno dikhianati Tun
  5. Tun salahkan Pak Lah, Pak Lah salahkan Tun khianat dia dan Umno
  6. Sebenarnya, kedua-duanya takutkan Anwar jadi PM
  7. Pilihan raya umum diadakan, SPR telah sediakan pelan paling jahat untuk tumbangkan PR.
  8. Umno diharapkan menang besar, dan Pak Lah letak jawatan dalam aman dan cemerlang, Najib naik jadi PM, dengan syarat, Mukhriz jadi KP ( bakal PM ) dan keluarga Pak Lah bebas berniaga dan selamat.
  9. Tun menyerang awal Pak Lah dengan perancangan ini, supaya beliau tidak dimangsakan dengan isu video Lingam.
  10. Jika Tun dimangsakan, mungkin Pak Lah tidak sempat menjadi PM semula selepas pilihan raya baru nanti dan lebih berisiko kepada keluarganya, termasuk Khairy.


Malaysiakini terus melaporkan :

"Sementara itu, lamanweb akhbar the Star memetik ketua penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib sebagai berkata beliau terperanjat dengan keputusan Dr Mahathir keluar dari Umno. Bagaimanapun, katanya, setiap ahli mempunyai hak untuk menyertai atau meninggalkan parti. Ditanya sama ada Umno akan mengadakan mesyuarat tergempar berhubung perkara itu, Muhd Taib menjawab "kita akan tunggu dan lihat"."


Bagi saya, MM Taib tidak tahu perancangan ini, kerana beliau adalah orang lama yang dihidupkan semula oleh Pak Lah, maka beliau hanya taat kepada Pak Lah. Saya juga percaya, langkah Tun ini selepas ada persefahaman dan perjanjian tertutup dengan Najib Razak.

Begitulah saya mengandaikan peristiwa ini.


Tun Dr Mahathir Keluar Umno : Malaysiakini

Dr Mahathir keluar Umno

May 19, 08 12:12pm

Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan keluar dari Umno berkuatkuasa serta merta dan menggesa ahli-ahli Umno yang lain supaya turut berbuat demikian.

Katanya, beliau bertindak keluar parti - yang diterajuinya selama 22 tahun sehingga 2003 - kerana tidak yakin dengan kepimpinan penggantinya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Dr Mahathir berkata, beliau akan hanya kembali semula ke parti tersebut apabila pucuk pimpinan ditukar.

Berucap dalam satu forum di Alor Sta pagi ini, Dr Mahathir juga menggesa kesemua menteri Umno, timbalan menteri dan semua peringkat pemimpin, supaya bersama dengannya keluar dari parti.

Bagaimanapun, beliau meminta mereka supaya jangan menyertai parti-parti yang lain.

"Tunggulah hingga Abdullah letak jawatan sebagai perdana menteri dan presidenparti, dan kita boleh kembali semula kepada Umno," katanya.

Dr Mahathir adalah perdana menteri Malaysia keempat dan memegang jawatan tersebut selama 22 dari tahun 1981 hingga 2003.

PM paling lama

Ini menjadi beliau perdana menteri Malaysia yang paling lama berkhidmat serta pemimpin yang paling lama berkuasa di Asia.

mahathir and umno 190508Dr Mahathir dilahirkan di Alor Star pada 20 Disember 1925. Beliau aktif dalam politik sejak 1954 melalui pembabitan dalam kempen anti-Malaysian Union.

Dr Mahathir menyertai Umno apabila parti itu ditubuhkan pada tahun berikutnya (1946). Dalam pilihanraya ketiga pada 1964, Dr Mahathir dipilih sebagai ahli Parlimen Kota Setar Selatan.

Bagaimanapun beliau gagal mempertahankan kerusi tersebut pada 1969 dan kalah dengan majoriti 989 kepada calon PAS, Haji Yusoff Rawa.

Ekoran peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969, Dr Mahathir dipecat dari jawatan ahli Majlis Tertinggi Umno pada 12 Julai tahun berkenaan selepas beliau mengedarkan secara terbuka suratnya kepada perdana menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman.

Dalam surat tersebut, Dr Mahathir mengkritik cara Tunku mengendalikan pentadbiran negara yang didakwa lebih menguntungkan rakyat keturunan Cina. Dr Mahathir kemudiannya dipecat dari parti pada 26 September 1969.

Ketika itulah Dr Mahathir menulis bukunya yang bertajuk "The Malay Dilemma" di mana beliau cuba menjelaskan punca berlakunya peristiwa berdarah 13 Mei di Kuala Lumpur dan sebab-sebab mengapa orang Melayu ketinggalan di belakang dalam bidang ekonomi dalam negara mereka sendiri.

Dasar Ekonomi Baru

Bukut tersebut diterbitkan pada 1970 dan terus diharamkan oleh kerajaan Tunku. Bagaimanapun, beberapa cadangan dalam buku tersebut telah digunakan oleh Tun Abdul Razak Hussein yang menggantikan Tunku sebagai perdana menteri, dalam pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang pada asanya untuk mengambil langkah ekonomi yang afirmatif bagi menangani jurang perbezaan ekonomi antara orang Melayu dan bukan Melayu.

Pengharaman buku itu kemudiannya ditarik balik selepas Dr Mahathir menjadi perdana menteri pada 1981.

Beliau menyertai semula Umno pada 7 Mac 1972, dan dilantik sebagai Senator pada 1973. Dr Mahathir melepaskan jawatan senator pada 1974 untuk bertanding dalam pilihanraya umum dan menang tanpa bertanding di parlimen Kubang Pasu, dan seterusnya dilantik sebagai menteri pendidikan.

Pada 1975, beliau terpilih sebagai salah seorang naib presiden Umno. Tun Hussein Onn kemudiannya melantik Dr Mahathir sebagai timbalan perdana menteri pada 15 September 1978, dan dalam rombakan kabinet, turut melantik Dr Mahathir sebagai menteri perdagangan dan industri.

Dr Mahathir menjadi perdana menteri pada 16 Julai 1981 selepas Tun Hussein Onn melepaskan jawatan perdana menteri atas sebab-sebab kesihatan. Dr Mahathir menjadi perdana menteri yang pertama yang bukan dari keluarga bangsawan atau diraja.

[Berita lanjut menyusul]