18.1.11
HIDAYAH
Kemudian terus bersegera ke sebuah restoran untuk menjamu kelaparan malam.
Topik bicara pada sebuah HIDAYAH. Terkejut. Menung seketika. Tidak kisah maklumat itu datang dengan angin sepoi bahasa, tetapi terkilan dengan kejadian yang menimpa seorang sahabat. Kehilangan sebuah HIDAYAH.
Petunjuk Allah boleh datang dengan mengejut. Tidak berundang. Dan pastinya juga boleh pergi tanpa diminta. Tiada halangan untuk pergi. Walaupun begitu, jangan hanya mendiamkan diri menunggunya datang dan membiarkan ia pergi. Usahakan sesuatu. Beriman pada ikhtiar manusia berpaut pada kehendak yang Esa.
Bicara tentang HIDAYAH, membawa kami kepada pelbagai andaian. Dia pergi jika tidak dijaga. Atau dia meninggalkan kita lantaran kesyukuran pada nikmat semakin pudar. Mustahil, perginya HIDAYAH dengan meninggalkan sebidang kezaliman. Masakan Tuhan mahu begitu. Zalim, jika bersua, bukan laku sengaja oleh seorang manusia pencari HIDAYAH.
Bukan begitu. Ia terlalu rumit dirungkai persatu.
Walau ke mana sekalipun berpergian sebuah petunjuk, seorang manusia tetap dituntut mencari, mengejar dan memangku erat sebuah petunjuk yang mengukuhkan kedudukan sebuah impian suci.
Hidayah adalah sebuah petunjuk pada diri dan hati.
13.9.09
Tazkirah
Bermakna Ramadhan semakin dekat ke penghujungnya. Beberapa hari sahaja lagi untuk kita menamatkan rangkaian tarbiah acuan Ilahi.
Dalam siri tarbiah Allah ini, ada amalan yang dikhususkan oleh Allah dan RasulNya, dan ada yang tidak. Antara pengkhususan yang diketahui umum ialah puasa, sedekah, zakat, qiam, tilawah al-Quran dan lain-lain.
Para alim ulama, ada yang mengambil kesempatan Ramadhan untuk lebih memberi masa dengan al-Quran, manakala pengajian dan pengajaran dikurangkan sedikit. Ada juga yang masih sama pada skala kekerapan pengajarannya, demi melebarkan dakwah, ilmu dan ma'ruf.
Dalam proses menghangatkan dakwah di bulan mulia ini, hikmah pada menjalankan dakwah mestilah dijaga. Jangan sekali-kali berlaku keadaan di mana kekerapan aktiviti dakwah atau tazkirah berganda namun kesannya tidak berganda, mungkin kebih buruk.
Secara peribadi, saya melihat pemberian tazkirah antara empat rakaat taraweh adalah amalan yang baik tetapi bercanggah dengan hikmah dan bijaksana berdakwah. Kecuali jika telah dipastikan ianya diterima secara majoriti atau sebulat suara oleh jamaah.
Fokus saya ialah pada masa tersebut yang sedikit sebanyak tazkirah itu mengganggu jamaah yang ingin memberi tumpuan lebih baik kepada solat mereka. Jika peluang berdakwah ingin direbut, maka masa yang lebih baik ialah selepas selesai lapan rakaat taraweh dan tiga rakaat witir. Ambil 15 minit masa sudah mencukupi untuk memberi peringatan. Lakukannya sebelum berdoa. Tidak perlulah diperpanjangkan wirid atau ditambah pula dengan bacaan tahlil ketika itu.
Taraweh adalah amalan khusus di bulan Ramadhan. Ia memberi fokus kepada solat dan al-Quran.
Kadang-kadang, dan kebanyakannya tazkirah gagal memenuhi tuntutan penghayatan al-Quran, sebaliknya penuh dengan emosi, menyentuh maruah manusia, menyindir kumpulan tertentu, meluahkan lawak jenaka dan seumpamanya yang akan memberi kesan kepada jamaah. Apatah lagi jika diadakan selepas rakaat ke empat. Dengan keletihan mendengar ditambah keletihan duduk mendengar, mungkin empat rakaat keduanya gagal diberi tumpuan.
Lebih malang jika ramai yang mendengar tazkirah dan ramai juga yang sudah siap menutup pintu hatinya untuk mendengar pengajarannya.
Jika dilakukan antara isya' dan taraweh, perlu dipastikan pula masanya tidak terlalu lama, kerana jika lama, ia mungkin berjaya menimbulkan kebosanan dan ke'nyampahan' jamaah yang datang mahu menunaikan solat, bukan mendengar 'leteran' ustaz.
Apa yang juga sangat penting untuk difahami oleh pihak masjid dan surau ialah jangan gopoh dalam mengatur aktiviti dakwah dan tazkirah sepanjang Ramadhan. Pantang ada peluang, terus ustaz diterkam, jamaah disogokkan, tetapi kesannya tidak berlaku dengan baik.
Mengajak seorang insan ke medan dakwah lantas mengetuk pintu hatinya memerlukan seni dakwah yang cukup halus lagi tepat. Manusia mudah menolak jika dia merasakan dirinya diperlakukan secara salah.
Semoga ramai yang telah menerima hidayah sepanjang Ramadhan ini dan berjaya menyebarkan kasih sayang sesama pendokong agama, penggerak dakwah dan masyarakat Islam keseluruhannya.
Manusia perlu diajak bersama mencari Tuhan, bukan dipaksa dengan 'sogokan'.
8.12.08
TALKIN SATU TAZKIRAH
Bismillah al-Rahman al-Rahim.
Mahasuci Tuhan yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan siapa yang kecewa.
Mahasuci Tuhan yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai, dan sebesar-besar amaran kepada orang yang masih hidup.
Ingatlah! Bahawa sekalian mahluk Allah akan menemui ajal dan binasa, melainkan zat Allah Taala, Tuhan yang Maha Besar kuasa menghukum, manakala kita sekalian akan kembali menghadap Allah Taala.
Wahai Nursyairah binti Rohani, Nursyairah binti Sulong, wahai seluruh yang hadir pada hari ini, hendaklah kamu semua ingat akan janji-janji Allah dan apa yang kamu akan bawa bersama-sama dari dunia ini.
Kamu telah mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah, dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah.
Ingatlah kalian semua, apabila datang kepada kamu 2 orang malaikat iaitu Mungkar dan Nakir, maka janganlah berasa gentar dan takut, janganlah kamu berdukacita dan risau serta janganlah kamu susah-hati dan terkejut.
Mereka akan bertanya kepada kita yang akan mati nanti, bertanya kepada si mati ini:
Siapakah Tuhan kamu? Siapakah Nabi kamu? Apakah agama kamu? Apakah kiblat kamu? Siapakah saudara kamu? Apakah pegangan iktikad kamu? Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?
Di masa itu hendaklah kita menjawab soalan-soalan mereka dengan cermat dan
sehabis-habis terang, tepat dan betul. Janganlah kita berasa gementar dan jawablah dengan tenang:
Allah Taala Tuhanku, Muhammad nabiku, Islam agamaku, kitab suci Al-Quran ikutanku, Baitullah itu qiblatku, malahan solah lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas aku. Semua orang Islam dan orang yang beriman adalah saudara aku, bahkan dari masa hidup hingga aku mati aku mengucap: "La ila ha illallah Muhammaddur rasulullah".
Wahai kaum muslimin, janganlah sekali-kali meninggalkan solat, kerana itulah amalan pertama yang akan dihitung oleh Allah Taala. Tidak berguna kejayaan di dunia jika Allah dilupakan, solat ditinggalkan dan nafsu mengusai diri. Jangan sekali-kali menderhakai kedua ibu bapa yang masih hidup. Jangan sekali-kali melupakan agama dan menganggap hidup di dunia ini selama-lama.
Wahai kaum muslimin, inilah dia suatu dugaan yang paling besar. Ingatlah bahawa kita akan tinggal didalam alam Barzakh, sehingga sampai satu masa, kita akan dibangunkan semula untuk berkumpul di Padang Mahsyar.
Insaflah wahai kaum muslimin yang hadir, bahawa senya mati ini adalah benar, soalan malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur ini adalah benar, bangun dari kubur kemudian kita dihidupkan semula adalah benar,berkumpul dan berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar, dihisab dan dikira segala amalan kita adalah benar, minum di kolam air nabi adalah benar, dan akhirnya syurga dan neraka adalah benar.
Bahawa senya hari Kiamat tetap akan tiba, begitu juga Tuhan yang Maha Berkuasa akan membangkitkan semula orang-orang yang di dalam kubur.
Semoga Tuhan akan memberi sejahtera kepada Nursyairah.Tuhan jua yang menetapkan hati beliau. Kita sekalian berdoa mudah mudahan Allah Taala menjinakkan hati Nursyairah dan kita semua, dan Allah menaruh belas kasihan kepada dia dan kita yang berdagang seorang diri di dalam kubur nanti. Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan dan memaafkan kesalahan dia dan kita semua serta menerima segala amal kebajikan beliau dan kita.
Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepada Mu supaya tidak disiksa mayat ini, juga kami di alam kubur nanti, dengan sifatMu yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Subhana rabbika rabbil 'izzati 'amma yasifun wassallamu 'ala al-mursalin walhamdulillahi rabbil 'alamin.
++++++
Talkin ini dibaca sebagai satu tazkirah kepada penyampainya, para hadirin dan jenazah yang telah selamat disemadikan. Saya mengambil bacaan talkin ini di alam siber, disuntik ruh tazkirah dan ditujukan terutamanya kepada yang hidup, dengan menukar sedikit penggunaan bahasanya.
Dibaca secara berdiri bersama para hadirin lain, kemudiannya membaca fatihah dan tiga Qul untuk disedekahkan kepada simati, seterusnya berdoa untuk kebaikan yang hadir dan jenazah. Moga ianya menjadi amalan yang diredhai Allah.
9.11.08
SEKADAR HIBURAN, CUKUP!
Hiburan begini bermusim. Tidak sepanjang tahun. Bukan juga setiap tahun. Ada musimnya. Sekarang adalah musimnya.
Tapi, cukuplah jadikan semua berita itu sebagai hiburan ringan. Tidak lebih daripada itu. Jangan sampai kita pula seronok mengulas itu, mengomen ini, menaikkan itu, menaikkan ini, secara berlebihan. Sikit-sikit ok. Lebih-lebih pelik.
Apa tidaknya, Nabi telah menunjuk arah, "Antara tanda-tanda Islam seseorang itu sempurna, meninggalkan peduli apa yang tiada kaitannya."
Umno, kita boleh peduli dengan pemikiran PARTI ITU, hala tujunya, kebaikannya dan keburukannya, pada tahap memberi kesan kepada agama dan perjuangan kita. Juga memberi kesan kepada baik buruk manusia lain. Jika mana-mana yang melibatkan mereka, tidak melibatkan kita, apa perlu kita peduli?
Siapa lawan siapa, perlukah kita kaji jika semuanya sama, ke arah perkauman tegar dan sekularisme kotor? Isteri siapa bertudung, isteri siapa kaki boros, memberi kesankah kepada muslimat kita untuk kita riuh rendahkan? Siapa banyak pencalonan, siapa tidak layak, menghabiskan ruang dakwah kita, wajarkah berlaku begitu? Membuang masa meneka siapa menang siapa kalah, apakah perlu disinggung mendalam seperti menjadi agenda kerja kita pula?
Aduh, biarkanlah mereka. Naiknya Najib, turunnya Pak Lah, menangnya Muhyidin, kalahnya Ibnu Rustam, Umno tetap dengan perjuangan mereka.
Mari kita bincang masalah kita, hal kita anak-beranak dan tarbiah kita yang berliku jalannya.
27.10.08
Pemuda Rahsia Sebuah Kebangkitan
Baik dalam gerakan Islam, mahupun di luarnya, golongan pemuda sentiasa dikaitkan dengan pengggerak yang memiliki semangat kental dan jiwa tegar dalam sesebuah perjuangan. Mereka juga sinonim dengan peranan sebagai benteng pertama bagi kepentingan ummah dan gerakan. Lantas itulah, seringkali kita mendengar nasihat dan seruan agar golongan muda remaja ini sentiasa dibentuk dengan acuan sebenar dan tepat serta diawasi daripada tergelincir.
Tidak kurang juga nasihat berguna dikemukakan terhadap pemuda gerakan Islam yang sedang bersebati dengan perjuangan, agar betul langkah arah mereka dan tepat pilihan tujuan mereka. Ia bermakna, sekali menyertai gerakerja Islam bukanlah suatu jaminan bahawa ia akan kekal selamanya terpandu arah ke matlamat dengan langkah yang sempurna. Sebarang kemungkinan boleh sahaja menerjah.
Oleh itu, Mursyid Am Ikhwan Muslimun dalam salah satu mesej mingguannya juga tidak ketinggalan dalam memberikan nasihat sangat berguna kepada para pemuda gerakan Islam seluruh dunia. Tegas beliau, iman, ikhlas, semangat dan gerakerja adalah ciri utama bagi golongan pemuda. Dengan itulah maka pemuda mampu menjadi tonggak kebangkitan kepada setiap umat manusia, rahsia kekuatan kepada setiap kebangkitan dan pembawa panji kepada setiap pemikiran dan idea.
Beliau turut mengharapkan agar para pemuda dapat mengukuhkan iman mereka agar tidak bergoncang, meningkatkan kerja agar tidak berhenti, menambah kepercayaan kepada Allah dan jangan berasa lemah serta memiliki jiwa yang bahagia dan sempurna ketika kembali menemui Allah Ta'ala pada hari pertemuan nanti.