Showing posts with label pemuda. Show all posts
Showing posts with label pemuda. Show all posts

27.10.08

Pemuda Rahsia Sebuah Kebangkitan

Baik dalam gerakan Islam, mahupun di luarnya, golongan pemuda sentiasa dikaitkan dengan pengggerak yang memiliki semangat kental dan jiwa tegar dalam sesebuah perjuangan. Mereka juga sinonim dengan peranan sebagai benteng pertama bagi kepentingan ummah dan gerakan. Lantas itulah, seringkali kita mendengar nasihat dan seruan agar golongan muda remaja ini sentiasa dibentuk dengan acuan sebenar dan tepat serta diawasi daripada tergelincir.


Tidak kurang juga nasihat berguna dikemukakan terhadap pemuda gerakan Islam yang sedang bersebati dengan perjuangan, agar betul langkah arah mereka dan tepat pilihan tujuan mereka. Ia bermakna, sekali menyertai gerakerja Islam bukanlah suatu jaminan bahawa ia akan kekal selamanya terpandu arah ke matlamat dengan langkah yang sempurna. Sebarang kemungkinan boleh sahaja menerjah.


Oleh itu, Mursyid Am Ikhwan Muslimun dalam salah satu mesej mingguannya juga tidak ketinggalan dalam memberikan nasihat sangat berguna kepada para pemuda gerakan Islam seluruh dunia. Tegas beliau, iman, ikhlas, semangat dan gerakerja adalah ciri utama bagi golongan pemuda. Dengan itulah maka pemuda mampu menjadi tonggak kebangkitan kepada setiap umat manusia, rahsia kekuatan kepada setiap kebangkitan dan pembawa panji kepada setiap pemikiran dan idea.


Beliau turut mengharapkan agar para pemuda dapat mengukuhkan iman mereka agar tidak bergoncang, meningkatkan kerja agar tidak berhenti, menambah kepercayaan kepada Allah dan jangan berasa lemah serta memiliki jiwa yang bahagia dan sempurna ketika kembali menemui Allah Ta'ala pada hari pertemuan nanti.


21.6.08

Himpunan Membantah Kenaikan Minyak Oleh Pemuda PAS Puchong

Dewan Pemuda PAS Puchong dengan kerjasama PAS semua peringkat di Puchong, telah berjaya mengadakan himpunan penerangan membantah kenaikan harga minyak di Masjid as-Salam ( terapung ) Puchong Perdana selepas solat Jumaat semalam.

Berikut adalah sedikit gambar yang diambil sepanjang aktiviti tersebut. Sambutan yang diberikan oleh orang ramai juga memuaskan. Syabas kepada Ketua Penerangan Pemuda yang menjadi pengarahnya.

Sila klik di sini untuk menyaksi lebih banyak gambar berkaitan himpunan ini.


Seorang peserta mengangkat poster bantahan dengan kartun wajah pemimpin negara.




Orang ramai memberi tumpuan terhadap himpunan, selepas selesai solat Jumaat

Parti Merentas Kemenangan - Pemuda PAS Selangor


Tajuk artikel ini merupakan tajuk ucapan tema Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor ke 42, yang diadakan di Shah Alam pada 14 Jun 2008. Ucapan tersebut telah disampaikan oleh ketuanya, Ybhg. Ustaz Sallehen Mukhyi.

Berikut adalah petikan daripada ucapan tersebut untuk tatapan para pembaca semua, khususnya bagi yang tidak dapat menyertai muktamar tersebut. Juga untuk yang ingin memahami situasi dan idealisme Pemuda PAS Selangor ketika ini.

  1. Di bawah tajuk kecil Kerajaan Campuran:

"Walau apapun istilah untuk meletakkan kita hanya menumpang kerajaan orang lain, namun realitinya orang lain juga menumpang kekuatan jentera dan kerja kita dalam mencapai kemenangan pilihanraya baru-baru ini."

  1. Cabaran Pemuda:

"Kita akan memantau dan menegur pemimpin kerajaan negeri agar tidak mengimpot budaya buruk dan jijik tersebut. Elakkanlah dari (pada) perasaan angkuh dan sombong sebagaimana pemimpin BN sebelum ini kerana semua ini menjadi penghalang turunnya keberkatan dari Allah SWT."

"Sekiranya kerajaan negeri lambat menangani masalah ini maka kita mencadangkan agar Badan Perhubungan PAS negeri dapat mengenukakan Pelan Pelaksanaan Manifesto, bagi memastikan segala janji akan tertunai dan sokongan rakyat akan bertambah kuat."

  1. Parti Merentas Kemenangan:

"Polisi parti mestilah menjadi asas dan tunjang yang utama dalam mengurus tadbir potfolio exco yang kita kendalikan. Keputusan parti mestilah dijadikan sebagai sandaran dalam mencari persetujuan, persefahaman dan kebersamaan mengurus tadbir kerajaan negeri."

"Tahniah di atas penubuhan PASKAD. Namun seperkara yang penting untuk dicadangkan ialah pembentukan jawatankuasa Hisbah perlu diwujudkan di peringkat domestik dengan diwakili oleh kesemua dewan-dewan Pemuda, Ulama dan Muslimat, yang diberi autoriti untuk memastikan ketelusan, menegur yang salah, mengingatkan yang terlalai agar matlamat parti sentiasa merentasi kemenangan yang kita raih."

  1. Tugas dan Peranan:

"Kita ingin mengingatkan bahawa menjaga kesucian Islam melampaui kepada menjaga Pakatan Rakyat. Kita rela bersendirian untuk Islam sekiranya kebersamaan itu akan mencemarkannya."

Tahniah kepada Pemuda PAS Selangor atas kebersediaan dalam menyiapkan pendirian dan prinsip dewan sepanjang perjalanan nakhoda Selangor Baru ini. Semangat yang ditunjukkan untuk mencapai kecemerlangan tadbir urus negeri memberi keyakinan kepada kita bahawa dewan ini akan terus memacu tindakan berasaskan kepada kebersamaan dan menghormati prinsip.

Kita bersama merakyatkan Selangor dengan kebajikan dan prinsip murni!

19.6.08

Isu Konsert Ella Dan Mas Idayu

Ketika ini banyak pihak mengulas dan melontarkan pandangan terhadap bantahan yang dikemukakan oleh Pemuda PAS Selangor terhadap konsert bersempena Piala Sultan Selangor, pada 6 Julai akan datang.

Saya menyokong penuh bantahan tersebut. Diharapkan pihak kerajaan negeri mengambil perhatian yang serius dalam hal ini. Alhamdulillah, Sultan Selangor telah perkenan menerima menghadap delegasi Pemuda PAS Selangor untuk membincangkan isu ini. Itulah cara sebaik-baiknya.

Jika persetujuan gagal dicapai, apakah langkah seterusnya? Menurut kenyataan asal Pemuda PAS Selangor, mereka mungkin akan turun berdemo.

Saya lontarkan dua idea;

1. Apakah berdemo boleh menyelesaikan masalah sebenar, iaitu sikap rakyat terhadap konsert hiburan sebegini. Bagi saya konsert yang melibatkan Ella dan Mas Idayu adalah isu zahir sahaja.
2. Jika berdemo tetap diadakan selepas Pemuda PAS menghadap Sultan Selangor, wahh ini akan menjadi bola tanggung kepada BN.

Saya memetik respon Ainon Mohd dalam ruangan komen terhadap tulisan MSO di blognya dan bersetuju persoalan yang diutarakannya.

{ Apakah tidak nanti, strategi dan teknik yang digunapakai bagi menegur penganjur konsert itu menyebabkan kita mungkin "menang pada bertarung tetapi akhirnya kita kalah pada berperang".

Kita mungkin berjaya membuat konsert itu dibatalkan tetapi orang-orang yang kita ajak supaya bersikap lembut dan mahu menerima Islam menjadi takut pada tingkahlaku kita lalu menolak apa-apa yang dikaitkan dengan Islam.Maka berlakulah fenomena "teknik bantahan kita memang tetapi Islam kalah".}

15.6.08

Siasah Syariah Di Negeri Pakatan - Malaysiakini

Jun 14, 08 2:36pm

Dewan Pemuda PAS Pusat kini dalam proses merangka agenda untuk melaksanakan undang-undang Islam, Siasah Syariah, di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang, kata Timbalan Ketuanya, Azman Shapawi.

Beliau dipetik sebagai berkata, antara perkara yang bakal dilaksanakan dalam Siasah Syariah ialah berkaitan dengan pengharaman tempat perjudian, menghadkan premis penjualan arak, dan etika pakaian di pejabat. Sebuah jawatankuasa, tambahnya, telah ditubuhkan bagi membincangkan dengan lebih terperinci pelaksanaannya di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor .

"Kita akui bukan mudah untuk melaksanakannya kerana di beberapa negeri pembangkang seperti Pulau Pinang dan Perak, PAS hanya mempunyai suara yang terhad. Bagaimanapun, kita akan cuba sedaya upaya dalam hal ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Kelantan ke-49 di Kota Bharu hari ini.

Menurut laporan Bernama, Azman Shapawi berkata satu seminar untuk membincangkan perkara ini di kalangan anggota Pemuda PAS seluruh negara, akan diadakan pada Ogos ini.


Seminar itu, katanya, antara lain akan membincangkan kaedah paling sesuai digunakan di negeri-negeri berbeza.

"Misalnya di Kelantan PAS menguasai negeri manakala di negeri-negeri pembangkang lain yang bukan diketuai PAS, pelaksanaannya akan disesuaikan dengan undang-undang negeri di samping mengambil kira majoriti masyarakat setempat," katanya.

Jelasnya, walaupun ada di kalangan pembangkang terutama DAP masih tidak sepakat berkaitan pelaksanaan undang-undang sebegini, beliau percaya masih ada ruang untuk pelaksanaannya memandangkan tidak semua pemimpin parti itu mengambil pendekatan yang sama.

"Kalau kita lihat pemimpin DAP di Pulau Pinang amat terbuka dan bertoleransi, termasuk menaikkan elaun guru KAFA," katanya.

Beliau yakin perkara itu tidak akan menjejaskan hubungan baik di antara parti pembangkang kerana masing-masing faham dalam keadaan sekarang, setiap parti tidak boleh bergerak sendiri.

"PAS tak boleh bergerak sendiri, DAP pun tak boleh bergerak sendiri, Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor pun tak dapat bergerak sendiri, jadi masing-masing perlu menyokong dan bertolak ansur di
antara satu sama lain," katanya.

++++++++++++++++

Syabas diucapkan kepada pimpinan Pemuda Pusat di atas perancangan yang disebutkan di atas. Ia menggambarkan perjuangan PAS terus diperkuatkan bersama Pakatan Rakyat. Sesungguhnya sekali kita memilih kerjasama ini, maka setapak pun tidak boleh kita berpaling daripada cita-cita perjuangan PAS. Sesuaikanlah dengan cabaran yang wujud.

Pemuda PAS harus bekerjasama dengan Dewan Ulama Pusat dan Jawatankuasa Ulama Pelapis di peringkat pusat untuk menjayakan perancangan tersebut..

Ini yang dinantikan oleh banyak pihak. Bergerak ke hadapan, perlahan atau lambat dalam merealisasikan ghayah perjuangan. Jangan kita lupa, jangan menteri kita lupa, jangan pemikir kita lupa bahawa asas kerjasama kita bersama pakatan diikat dengan maslahah umum dan khusus deen al-Islam, bukan "berpakat menjatuhkan Mahathir atau Pak Lah"