25.4.08

Siapa PM PR ?

Malaysiakini melaporkan :


Dr Wan Azizah Ismail berkata beliau bersedia menjadi perdana menteri Malaysia jika Pakatan Rakyat berjaya mendapat majoriti dua pertiga susulan peralihan sokongan wakil-wakil Barisan Nasional.


"Saya bersedia, insya Allah. Ini kejutan baru kepada saya.


"Saya menyertai gelanggang politik (pun) secara mengejut, saya menjadi ketua pembangkang (pun) secara mengejut," kata presiden PKR kepada wartawan di Petaling Jaya, hari ini.


Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah beliau bersedia menjadi perdana menteri apabila Pakatan berjaya mempengaruhi lebih 30 wakil BN untuk beralih kepada gabungan pembangkang.


Dr Wan Azizah, kini ketua pembangkang di Dewan Rakyat berkata, kerajaan Malaysia boleh "bertukar pada bila-bila masa".......


Jika melihat kepada kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang, sememangnya beliau paling hampir dengan jawatan Perdana Menteri bagi Pakatan Rakyat.


PAS pula diakui jauh daripada kerusi itu kerana memiliki jumlah kerusi parlimen yang paling sedikit berbanding dua lagi parti PR. Maka, PAS tidak pernah mengejar kerusi PM dan tidak pernah merancang untuk mengambilnya dalam tempoh terdekat ini.


Walau bagaimanapun, dalam hal besar sebegini, PKR seharusnya mengutamakan semangat bersama dan bekerjasama antara anggota Pakatan Rakyat. Apakah PR sememangnya telah bersetuju dengan pencalonan Wan Azizah sebagai PM. Atau sekadar andaian sahaja?


PAS yang tidak layak mendudukinya, tidak bermakna juga tidak layak dalam memberi pandangan dan cadangan. Sehingga tulisan saya ini ditaip, belum lagi saya membaca persetujuan pimpinan PAS terhadap kemungkinan Wan Azizah sebagai PM untuk PR.


Apa yang sering kita dengar, PR menang maka yang akan naik ialah Anwar Ibrahim. Tetapi kini bukan dia lagi dalam jarak masa terdekat ini. Sudah tentu situasi ini memerlukan kepada persetujuan bersama oleh semua parti dalam PR.


Jika dilihat daripada sudut keterbatasan dan fizikal, bukankah beliau lebih lemah dan lembut berbanding Pak Lah? Mampukah beliau menyaingi mana-mana kelebihan Pak Lah?


Bagi saya, pelantikan wanita sebagai orang nombor satu dalam kerajaan akan mengheret PAS kepada satu isu yang berpanjangan perbahasannya nanti. Malah, hampir pasti akan ada yang membantah pelantikan/pemilihan itu nanti. Maka, di sinilah peranan semua parti perlu diambil kira dan proses pemilihan itu nanti jangan sampai memandang sebelah mata kepercayaan dan prinsip pimpinan PAS!


Kedua, wajarkah Anwar terus "bising" mencari ahli parlimen BN untuk dipujuk menyertai PR? Setakat ini, saya tidak pasti apakah ianya langkah terbaik atau sebaliknya. Sesetengah pihak melihatnya bukan sebagai satu proses yang bertunjangkan ketulusan dan menghormati keputusan demokrasi pada PRU lalu, lebih-lebih lagi jika tindakan yang dilakukan bersalahan dengan etika dan moral.


Akhirnya, saya suka ingin membangkitkan isu kroni suami isteri sebagai cabaran awal kerajaan PR nanti. Kita tidak meragui kemampuan Wan Azizah. Namun dalam tempoh pentadbiran beliau sebagai PM, sebelum Anwar menjadi PM, sudah tentu banyak pengaruh yang ditanam oleh si suami terhadap isterinya. Apatah lagi Anwar adalah perancang utama dalam episod menguasai kerajaan Persekutuan ketika ini.


Bukankah kondusinya tidak jauh berbeza dengan Pak Lah – Khairy? Cuma, Khairy di tingkat 4, tetapi mereka serumah.


Oleh itu, berhati-hatilah kepimpinan PR membuat keputusan dan perancangan. Jangan bertindak melulu dan bersendirian, sehingga menimbulkan keresahan anggota pakatan!!!




No comments: