15.12.09

Antara Menyerang Bahtera Dengan Menerang Kebaikan Perahu Kecil

Baru-baru ini seorang Profesor memberi komen agak tajam terhadap Harakah. Sepanjang 7 edisi Harakah yang diikutinya, tiada sedikitpun usaha yang dilakukan oleh Harakah untuk menjelaskan polisi-polisi PAS kepada pembaca. Bagi beliau, ini merupakan satu kelemahan.

Mungkin Harakah sedar perkara itu dan ia mungkin dianggap sebahagian daripada strateginya. Penjelasan terhadap polisi-polisi parti mungkin tidak sesuai pada masa sekarang dan lebih berkesan pada masa-masa yang hampir dengan pilihan raya nanti.

Mungkin juga Harakah tidak sedar hal ini.

Saya percaya, teguran yang dilontarkan oleh profesor ini mempunyai asas yang kukuh. Beliau kaitkan perkara ini dengan ketidak-mampuan rakyat secara umum, memahami apa yang dibawa oleh PAS. Masalah ini sebenarnya meruncing di kawasan luar bandar.

Pada tahun hadapan, PAS melalui Jabatan Penerangannya akan menggegarkan negara dengan kempen "Umno Pengkhianat Rakyat". Bagaimana rupa bentuk kempen ini, belum diketahui lagi buat masa ini. Sampai masa nanti, kita akan mengetahuinya.

Persoalan lebih penting bukanlah bentuk kempen ini. Tetapi apakah kaedah ini masih menjadi yang terbaik pada tahun hadapan? Tidakkah nanti ianya akan menjadi senjata makan tuan?

Ketika perahu kita kecil, kita mendakwa bahtera Umno menipu peraih dengan ikan-ikan yang busuk dan sudah rosak, sedangkan sebanyak manalah ikan elok yang kita perolehi daripada perahu kecil kita?

Mungkin ikan yang kita jual kepada peraih semuanya elok, tetapi cukupkah untuk mereka? Dalam bahtera yang besar itu, semestinya tidak semuanya rosak dan busuk. Jika tiada langsung yang elok, sudah tentu bahtera itu bukan tempat yang sesuai untuk mereka mendiaminya. Tentu ada ubat penahan bau yang digunakan dan seumpamanya.

Ketika perahu kita kecil, percayakah peraih dengan gegak kita memburukkan bahtera dan seisinya?

Saya lebih suka, Jabatan Penerangan parti membongkar terlebih dahulu segala isi kebaikan dan kemalaikatan yang terdapat di Kelantan, Kedah, Perak era Nizar dan Selangor. Hebahkan ke seluruh rakyat kebaikan dan kebajikan yang kita lakukan.

Seterusnya, berusaha pula mendekati golongan yang sudah muak dengan isu-isu politik di negara ini. Mereka kini semakin bertambah jumlahnya. Ada di mana-mana. Bacaan mereka bukan blog2 yang boleh dilihat di Beras Terpilih atau Beras Padu, sebaliknya blog2 menjana ekonomi diri, hiburan, hobi melancong, dan lain-lain.

Bagaimana kebaikan PAS boleh dibentangkan kepada mereka dan berjaya meraih hati-hati mereka?

Atau semuanya telah dihebahkan...sehingga tiada lagi untuk dibicarakan?

8.12.09

Guru Agama Perlu Objektif, PAS Perlu Muhasabah

Dua hari berturut-turut saya mengikuti dua seminar yang berkisar dua hal berbeza. Pertama soal pembinaan sahsiah diri sebagai guru agama serta peranan yang perlu dimainkan oleh guru-guru muda dan kedua analisa terhadap sokongan rakyat terhadap Pakatan dan PAS khususnya di Selangor.

Seminar pertama, banyak perkara yang dibincangkan. Dua isu yang menarik perhatian saya ialah peranan bertindih yang dilakukan oleh dua pihak yang diterajui oleh satu kelompok yang sama dan mutu penyampaian guru-guru agama yang selalunya subjektif, tidak berstruktur dan tiada objektif jelas. Satu kupasan yang cukup menarik oleh akh Faisal dan akh Azhar.

Banyak yang saya belajar. Memang betul, guru agama selalunya mengupas ke sana ke sini, tetapi tiada destinasi jelas atau penyelesaian terhadap isu yang dilontar sendiri. Maka terkial-kiallah pendengar mengaitkan dengan diri mereka. Contoh yang diberi sekitar 1400 tahun lalu, tetapi pendengar perlu mengaplikasinya dengan formula sendiri di pejabatnya di Jalan Ampang.

Kedua, kedudukan dan tanggapan rakyat terhadap Pakatan dan PAS. Cukup menarik perhatian ramai kupasan yang dilontarkan oleh Profesor Dr Abu Hassan.

Ringkasnya, kelemahan PAS secara umum ialah, strategi, penampilan pemimpin, komunikasi, terpisah dengan anak-anak muda, tiada pengganti yang jelas dan kelihatan konservatif dan radikal. Cabaran besar untuk semua yang mahukan Pakatan terus memerintah.

Tegasnya, ketika ini BN mendahului Pakatan!

Antara pesan akhir beliau, jangan terkeliru bahawa pada 2008, PAS mendapat sokongan kerana terdapat lapisan nipis fenomena PKR menutupi realiti dalaman PAS yang kini telah terdedah kepada para pengundi.

Dulu, asal sahaja bukan Umno, kini PAS dibedah luar dan dalam.

Komen ringkas saya pula, di hati, mmm keserabutan pimpinan peringkat nasional dalam menyelesaikan isu-isu tertentu, meletakkan ahli dalam emosi yang sangat lemah dan para pengundi terkeliru. Kenapakah pimpinan sukar sangat bersatu dalam kata dan putus?

Semua yang berkaitan PAS mesti muhasabah!