15.12.09

Antara Menyerang Bahtera Dengan Menerang Kebaikan Perahu Kecil

0 Ulasan
Baru-baru ini seorang Profesor memberi komen agak tajam terhadap Harakah. Sepanjang 7 edisi Harakah yang diikutinya, tiada sedikitpun usaha yang dilakukan oleh Harakah untuk menjelaskan polisi-polisi PAS kepada pembaca. Bagi beliau, ini merupakan satu kelemahan.

Mungkin Harakah sedar perkara itu dan ia mungkin dianggap sebahagian daripada strateginya. Penjelasan terhadap polisi-polisi parti mungkin tidak sesuai pada masa sekarang dan lebih berkesan pada masa-masa yang hampir dengan pilihan raya nanti.

Mungkin juga Harakah tidak sedar hal ini.

Saya percaya, teguran yang dilontarkan oleh profesor ini mempunyai asas yang kukuh. Beliau kaitkan perkara ini dengan ketidak-mampuan rakyat secara umum, memahami apa yang dibawa oleh PAS. Masalah ini sebenarnya meruncing di kawasan luar bandar.

Pada tahun hadapan, PAS melalui Jabatan Penerangannya akan menggegarkan negara dengan kempen "Umno Pengkhianat Rakyat". Bagaimana rupa bentuk kempen ini, belum diketahui lagi buat masa ini. Sampai masa nanti, kita akan mengetahuinya.

Persoalan lebih penting bukanlah bentuk kempen ini. Tetapi apakah kaedah ini masih menjadi yang terbaik pada tahun hadapan? Tidakkah nanti ianya akan menjadi senjata makan tuan?

Ketika perahu kita kecil, kita mendakwa bahtera Umno menipu peraih dengan ikan-ikan yang busuk dan sudah rosak, sedangkan sebanyak manalah ikan elok yang kita perolehi daripada perahu kecil kita?

Mungkin ikan yang kita jual kepada peraih semuanya elok, tetapi cukupkah untuk mereka? Dalam bahtera yang besar itu, semestinya tidak semuanya rosak dan busuk. Jika tiada langsung yang elok, sudah tentu bahtera itu bukan tempat yang sesuai untuk mereka mendiaminya. Tentu ada ubat penahan bau yang digunakan dan seumpamanya.

Ketika perahu kita kecil, percayakah peraih dengan gegak kita memburukkan bahtera dan seisinya?

Saya lebih suka, Jabatan Penerangan parti membongkar terlebih dahulu segala isi kebaikan dan kemalaikatan yang terdapat di Kelantan, Kedah, Perak era Nizar dan Selangor. Hebahkan ke seluruh rakyat kebaikan dan kebajikan yang kita lakukan.

Seterusnya, berusaha pula mendekati golongan yang sudah muak dengan isu-isu politik di negara ini. Mereka kini semakin bertambah jumlahnya. Ada di mana-mana. Bacaan mereka bukan blog2 yang boleh dilihat di Beras Terpilih atau Beras Padu, sebaliknya blog2 menjana ekonomi diri, hiburan, hobi melancong, dan lain-lain.

Bagaimana kebaikan PAS boleh dibentangkan kepada mereka dan berjaya meraih hati-hati mereka?

Atau semuanya telah dihebahkan...sehingga tiada lagi untuk dibicarakan?

8.12.09

Guru Agama Perlu Objektif, PAS Perlu Muhasabah

0 Ulasan
Dua hari berturut-turut saya mengikuti dua seminar yang berkisar dua hal berbeza. Pertama soal pembinaan sahsiah diri sebagai guru agama serta peranan yang perlu dimainkan oleh guru-guru muda dan kedua analisa terhadap sokongan rakyat terhadap Pakatan dan PAS khususnya di Selangor.

Seminar pertama, banyak perkara yang dibincangkan. Dua isu yang menarik perhatian saya ialah peranan bertindih yang dilakukan oleh dua pihak yang diterajui oleh satu kelompok yang sama dan mutu penyampaian guru-guru agama yang selalunya subjektif, tidak berstruktur dan tiada objektif jelas. Satu kupasan yang cukup menarik oleh akh Faisal dan akh Azhar.

Banyak yang saya belajar. Memang betul, guru agama selalunya mengupas ke sana ke sini, tetapi tiada destinasi jelas atau penyelesaian terhadap isu yang dilontar sendiri. Maka terkial-kiallah pendengar mengaitkan dengan diri mereka. Contoh yang diberi sekitar 1400 tahun lalu, tetapi pendengar perlu mengaplikasinya dengan formula sendiri di pejabatnya di Jalan Ampang.

Kedua, kedudukan dan tanggapan rakyat terhadap Pakatan dan PAS. Cukup menarik perhatian ramai kupasan yang dilontarkan oleh Profesor Dr Abu Hassan.

Ringkasnya, kelemahan PAS secara umum ialah, strategi, penampilan pemimpin, komunikasi, terpisah dengan anak-anak muda, tiada pengganti yang jelas dan kelihatan konservatif dan radikal. Cabaran besar untuk semua yang mahukan Pakatan terus memerintah.

Tegasnya, ketika ini BN mendahului Pakatan!

Antara pesan akhir beliau, jangan terkeliru bahawa pada 2008, PAS mendapat sokongan kerana terdapat lapisan nipis fenomena PKR menutupi realiti dalaman PAS yang kini telah terdedah kepada para pengundi.

Dulu, asal sahaja bukan Umno, kini PAS dibedah luar dan dalam.

Komen ringkas saya pula, di hati, mmm keserabutan pimpinan peringkat nasional dalam menyelesaikan isu-isu tertentu, meletakkan ahli dalam emosi yang sangat lemah dan para pengundi terkeliru. Kenapakah pimpinan sukar sangat bersatu dalam kata dan putus?

Semua yang berkaitan PAS mesti muhasabah!

26.11.09

Hati Hati Di Permukiman 'Arafah

0 Ulasan
Malam Arafah adalah malam penuh keghairahan. Kerana esoknya, bermula pada detik suria menghampiri barat, manusia terus bersedia untuk berdiri lemah di hadapan Ilahi. Serahkan segalanya padaNya.

Disitulah, Arafah itu, hati hati menyahut seruan mulia menghampiri Pencipta yang abadi. Ya, ketika itu, sekujur badan tidak banyak ertinya. Anggota-anggota zahir, mungkin sedikit sedikit mencari hajat dan keperluan. Namun, makhluk hati bingkas bangun dari sedar, bersedia dengan satu pendedahan ikhlas, ibarat bicara akhir bersama Penghukum.

Ya, hati ini juga pernah di situ dan mendedahkan segalanya...sebelum kembali kepada sunnah Allah, bahawa yang fitrah itu, sukar terjaga jika gagal demi gagal muncul sepanjang perjalanan perjuangan sebuah kehidupan.

Hati-hati hati hati mendedahkan segalanya. Satu persatu terjelma di minda, mata berperanan menambah kesayuan, lidah menyokong dengan bait-bait sesalan, tangan terhulur tagih simpati segera dan nafas selari dengan zikrullah seluruh anggota.

Pada saat itu, apalah erti hidup tanpa keampunan, kemaafan dan RAHMAT Ilahi yang kekal abadi.

Maha Pengampun terus menjadi sasaran zikir, tagihan dan tangisan.

Ya Rabbi, inilah hati itu suatu tika dulu. Dan inilah hati ini, di sini ketika ini. Tetap menagih yang sama. Menangisi yang sama. Mengingati yang Sama.

Dulu Kau berikan. Kini tetap kupohon Kau berikan yang sama. Sebuah keampunan yang menjadikan jiwa dan hati ini kuat dan berterusan ingin mengenaliMu, mendekatiMu dan kekal dalam perjuangan merapatiMu.

Tiadalah erti hidup, tanpaMu di sisi sebagai Tuhan, ketika dan sentiasa, aku hamba yang penuh noda.

8.11.09

Politik Mesra Remaja

0 Ulasan
1. Jika sekarang kita seorang remaja yang sedang bersiap untuk SPM, atau sedang mengikuti sijil kemahiran MARA, atau sedang bergelumang dengan peperiksaan akhir di UITM, apakah yang kita fikirkan untuk sebuah perkataan berbunyi "politik"?

2. Berdasarkan kepada apa yang ada di hadapan mata, kita mungkin akan berfikir, bahawa politik itu adalah satu kemelut kuasa, perebutan pangkat dan darjat, menunjuk-nunjuk kerja amal dan kebajikan di dalam akhbar, suka membuat kenyataan di akhbar dan media, lawatan ke luar negeri, mengumumkan cuti dan bercakap tentang perancangan kerajaan untuk membangunkan negara. Hal ehwal berkaitan remaja, mungkin hanya diperkatakan oleh menteri sukan atau exco terbabit.

3. Maka, semua ini menyebabkan kita - remaja yang hanya fikir peperiksaan dan kerjaya masa depan- tidak mahu memikirkan politik langsung, kecuali menunggu menteri turun memberi anugerah atau menghulurkan perbelanjaan untuk sukan yang kita minati.

4. Kini, kita sebagai pihak yang sangat dekat dengan politik, bagaimana dan apakah yang perlu kita fikirkan untuk menjadikan politik adalah suatu yang indah, santai dan amat menyentuh jiwa remaja-remaja tadi?

5. Kita tahu, politik PAS kini, atau parti lain dalam PR, banyak menerima persepsi terhadap diri masing-masing sebagai parti yang terlalu berkisar, bersentuhan dunia yang sangat terasing daripada peperiksaan dan masa depan remaja-remaja yang akan terus membesar dan membesar ...

6. Kita wajar memikirkannya. Bagaimana politik remaja perlu dibentuk, atau politik dibentuk untuk mesra remaja... dan saya tak pandai merumuskannya. Teman-teman Pemuda tentu tahu dan sedang berusaha. Saya doakan kita berjaya...

7.11.09

Kelantan Perlu Buang Beberapa Orang Bermasalah

6 Ulasan
1. Saya mencadangkan seminar khas perlu diadakan untuk Kelantan. Walaupun penyokong mereka ramai, tetapi masih gagal menguasai persaingan yang wujud.

2. Mungkin boleh dijemput Abu Hassan Hasbullah, eh silap... Hasbullah Awang untuk menjadi ahli panelnya.

3. Ketua pasukan perlu dibuang. Walaupun ada banyak pengalaman, tetapi jelas telah gagal. Dalam persaingan sengit, peluang hanya sekali sahaja. Selepas ini mungkin sepuluh tahun lagi baru dapat masuk ke final. Kalantan perlu lebih berani menukar Indraputra kepada mmmm, siapa yek yang layak?

4. Pembantu Indra, Farhan juga lemah dan tidak bermaya. Gagal berperanan. Selain pemain pertahanan Zamri yang kerap melakukan kesilapan hingga membenarkan dua jaringan untuk Negeri Sembilan.

5. Halim Napi nampaknya sudah tua. Mungkin elok menetap di rumah sahaja. Eranya sudah berakhir. 3 gol telah dilepaskan. Sungguh memalukan. Walaupun kesalahan banyak dilakukan oleh pertahanan, beliau tetap perlu berkorban.

6. Ni apehal presiden KAFA orang Umno? UG ka?

7. Team ini mesti direformasi. Jika tidak, persaingan akan datang tetap akan menyaksikan kekalahan demi kekalahan. Kelantan mesti terbuka dan berani. Jangan biarkan persepsi penyokong, penonton, pengulas sukan dan rakyat kelantan berlalu begitu sahaja. Beberapa pemain mesti menjadi korban "drakula politik" eh, "sukan" daaa...hahahahaha...

30.10.09

Seminar Yang Sukar

2 Ulasan
1. Harapan semua ahli PAS, agar masalah dapat diselesaikan. Antara usahanya ialah dengan mengadakan seminar.

2. Masalah berlaku di kalangan pimpinan. Masalah pada berbeza ijtihad sahaja. Tapi ia menjadi besar. Apabila seminar yang melibatkan ahli semua peringkat ingin dijadikan platfom bagi menyelesaikan masalah atasan, maka seminar ini cukup penting dan sangat sukar untuk dijayakan.

3. Jawatankuasa penganjur seharusnya terdiri daripada kalangan pakar-pakar dalam ilmu keseminaran, keselamatan, kesaksamaan dan pelbagai lagi.

4. Kalau seminar ini sudah digariskan resolusinya oleh penganjur, seminar ini gagal.

5.Kalau seminar ini hanya menyediakan masa bersoal-jawab (debat) selama 15 minit, seminar ini gagal.

6. Kalau seminar ini hanya melibatkan satu mazhab politik dalam PAS sahaja, seminar ini gagal.

7. Kalau seminar ini hanya dihadiri oleh pimpinan atasan pada ketika perasmian pembukaan dan penutup sahaja, seminar ini gagal. Presiden juga seharusnya mendengar semua ucapan, bukan hanya menyampaikan ucapan.

8. Kalau seminar ini ditinggalkan awal oleh pimpinan, seminar ini gagal.

9. Kalau seminar ini tidak fokus kepada isu memperkasakan Pakatan Rakyat, seminar ini gagal.

10. Kalau seminar ini tidak menyentuh 3 nama yang panas itu, saya tidak tahu seminar ini gagal atau tidak.

Bagi saya, seminar sukar mendekatkan pimpinan dan idea masing2. Ia sekadar tempat luahan idea dan pendirian. Penyatuan jarang berlaku dalam sebuah seminar dan akhirnya, dasar bawah kubah ais masih teguh.

Bukan untuk saya memperkecilkan seminar ini, tidak sama sekali. Bukan pula untuk menolak keputusan ini. Tetapi saya merasakan ia amat sukar. Terlalu sukar untuk dijayakan. Moga Allah memberi taufiq dan hidayah, agar ia menjadi mudah.

Wallahu a'lam