30.7.10

IMEJ POLITIKUS, RINDU, EMOSI

Imej Politikus

Pagi Ahad lepas saya cuba meyakinkan diri untuk menerima alasan yang diberikan oleh seorang pemimpin politik tentang satu ‘kesilapan’ politik yang dilakukannya. Dia menyebut tentang belajar agama, mencari pengalaman dan bertukar ide dengan seorang yang berusia 30 tahun dalam kancah dakwah, pembelajaran dan penfatwaan.

Kenapa dia yang ditemui?

Entah le. Mungkin sudah jemu bertukar ide dengan teman separti. Ya, memang betul. Itu hak siapa sahaja yang berstatus seorang ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri. Jumpalah siapa sahaja. Buatlah apa sahaja atas nama portfolionya. Tetapi, begitukah seorang ahli politik yang bijak? Begitukah politikus contoh?

Tika diri tidak disenangi ramai. Tika mudah manusia membina syak wasangka dalam benak diri, kita pula semacam terhegeh-hegeh merosakkan imej diri. Pengalaman sangat jelas menggambarkan imej boleh rosak walaupun dengan tanggapan yang tidak benar. Boleh sahaja berlaku walaupun penjelasan dibuat kemudian. ‘Damage’ telah berlaku, maka imej juga menurut, telah rosak.

Apakah itu politikus? Atau Cuma seorang pentadbir yang memimpin orang-orang politik?

Rindu

Rindu milik Tuhan kata seorang nasyidiwan. Rindu agung hanya pada Allah. Kurang sikit ialah kepada manusia suruhan Allah.

Kita rindu apa? Pernahkah kita merindui tertegaknya keindahan Islam dalam sebuah negara? Untuk apa? Untuk semua termasuk diri. Oleh itu, marilah kita merindui diri sendiri. Diri yang merindui Tuhan semesta alam. Jangan hanya merindui manusia yang biasa.

Dalam lubuk hati saya, yang dalam sekali, saya merindui sebuah jamaah Islam yang indah segalanya. Bukan sebuah parti politik Islam, sebaliknya jamaah Islam yang mendokong kerja politik. Saya rindu melihat pimpinan yang hebat mengejar redha Allah, bukan redha manusia yang zahirnya sahaja bercahaya.

Saya rindukan Islam di mana-mana. Islam pada diri, pada keluarga, pada teman dan pada alam. Dan saya tahu, rindu itu tidak akan bermakna jika sekadar rinduan. Langkah mesti telah lama bermula. Atau mari kita mulakan…

Emosi

Emosi sering terusik dengan karenah anak. Paling terusik, melihat anak meretang ditinggalkan di pusat jagaannya. Mungkinkah pengorbanan kewangan diperlukan demi si anak ini? Dia sudah pasti tidak sedar bahawa si ayah ini amat terusik. Maafkan kami.

23.7.10

MENUNGGU GULA

“Ate, ape koje nye Yong melangut macam ni? Nunggu “mani odar” (money order) dari Kolumpo ke?”

Sapa Selong kepada Yong Me’ah yang mencangkung di daun pintu. Selong melabuhkan punggungnya sambil menolak ketepi sireh Yong Me’ah ke dalam sikit.

“Kamu masuk ke sini le Selong. Kang jatuh pulak ke tanah” sambil Yong Me’ah menginjak ke dalam lagi.

“Aku ni hee. Baghu balik dari Kedai Mat Letong. Abahnye mesan keghang ghebuih dengan ubi jalor. Mujor ade lagi kat Mat tu. Dulu dah aku beghabo ke dia. Kamu kalu ade ubi jalor, tinggeikan aku sikit. Mujor ade hee.”

“Ape kamu kate tadi? Mani odar? Ijak eh. Aku dapat dah minggu lepaih. Posmen hantor aghitu. Esok cadangnye nak ke Kampung Gajah nukor kan duitnye.”

Persoalan Selong tadi masih belum berjawab. Tidak lah dia beriya sangat nak tahupun. Buat alasan nak menyinggah saja. Mereka pun berlabunlah berdua dengan macam-macam cerita. Anak si Kulop tu akan menikah bulan depan. Cucu Anjang dengarnya dah masuk ke UTM. Anak Melah dah dapat tawaran ke negara Arab. Wakil Rakyat nak buat lawatan ke kampung mereka bagi memberi sumbangan penyapu kepada orang-orang miskin.

Sedang lagut berlabun, sempat juga rupanya Yong Me’ah membuatkan kopi secawan untuk tetamunya tu. Itulah satu-satunya kawan rapat dia sejak zaman ronggeng lagi. Zaman pop yeh yeh mereka berdua dah agak dewasa, tapi sekali sekala sempat juga menjenguk ke pasar lambak mendengar kugiran genre tersebut.

“Mak oiiiiiii, ngape kopi kamu pahit Yonggggggggg? Kamu tak ade gule ke?”

Yong senyum kambing.

“Kamu tak nengor berite ke Selong? Ghege gule naik dah. Ape tu, sabsik, sabsuk, sabsi si si lidi ke hape entah!” Yong Me’ah lupa.

“Sabsidi Yong. Haaa ngape?” tanya Selong.

“Kamu ni. Bukan ke Tok Menteghi dah kabor. Ghege naik sebab nak jage oghang kampung macam kite nih. Dulu ghege gule murah, oghang kaye untung. Bile dia buat semule, nak bagi sabsidi tu sampei ke kite le. Aku tengah nunggu le ni. Daghi minggu lepaih aku jenguk kut2 ade wakil rakyat datang bawak gule.” panjang penjelasan Yong Me’ah.

“Maksud kamu?” tanya Selong.

“Bengap kamu ni, Menteghi kite nak jage kite. Die akan bawak gule ke kite. Sikit lagi sampei le tu. Aku kamu tahu, aku sanggup aje bayor kalu deme tu bagi free pun. Aku bayor dengan ghege mughoh dulu2. Ni le carenye Dacing nak nolong kite. Huh, tak sie-sie aku ngikut wanita daghi dulu lagi.”

Terus Yong Me’ah bersyarah lagi. “Biorkan si Melah tu beli gule mahei. Ate, udah die ijak ngundi wakil rakyat kite. Takkan dapat ghege mughohnye!”

“Hooooo gitu!”, jawab Selong.

“He eh”, sambung Yong Me’ah.

Sedang mereka bersembang sakan, sebuah kereta Mercedes S320 lalu di jalan besar kampung tersebut menuju ke belukar di hujung kampung. Di situ akan dibina sebuah sekolah menengah. Balaknya sedang diangkut keluar.

BERPELUH DI THE CHALLENGER

Saya hanya mendaftarkan diri untuk ping pong perseorangan dan regu. Memang dah lama tak main. Paling aktif main, 20 tahun lalu ketika di SIS Ipoh. Masa tu datanglah macam mana sekalipun bolanya, memang kacang aje lah nak membalasnya. Celah kangkang pun kacang. Tapi liat sikit lah, hehehe. Smash, mcm genyit mata aje. Huhu

Bayangkan bertahun tak memegang pemukul ping pong. Memang skil semua dah berkarat. Masa dan usia mengaratkannya.

Apalagi, kami pun mulalah mencari pot untuk memanaskan ketiak memukul bola dan angin. Tepat 6 pm pakat serbu kawasan parkir WSD.

Tiba2 Haji Mail meminta saya turut menyertai badminton. "Aduh abang, semput la saya. Stamina memang kosong, ping pong lagi. Macam mana?" "Alah sheikh, enta boleh punya. Kita main slow2 la."

"Tengok la".

Saya digandingkan dengan abang Treasury yang veteran. Alamak, punah ni. memang kena la kami. Dia veteran. Aku macam veteran. Huhu.

Dua malam sebelum main saya cuba cari pot nak mengorek skil badminton. Ping pong kira ok dah. Bolehlah kalau nak menyemeh Hamdan, hehehe. Tapi badminton tu payah sket. Skil karat. Tenaga tak mandang.

Malang. Malam tu saya tak temui pot yang kosong. MBA penuh. Jumaat malam Sabtu saya merancang untuk memanaskan kaki lengan dan peha di Puchong Perdana. Sekali lagi hampa. malam tu hujan lebat angin kencang saya tak dapat keluar.

Bekalan untuk pertandingan pada pagi itu hanya secawan kopi radix bercampur madu HPA dan dua biji telur separuh tak masak.


Menakjubkan.
Tenaga saya boleh bertahan sehingga 4 pm. Peluh usah kira la. Aksi pun menghiburkan.
Abang yazid memesan, "Omar, kita enjoyyyyyy saje. Saya tak suka tensyen2." "Ok bang dun wori." balas saya yang memang lagi gabra. Orang muda, kederat tua, hahaha.
Seronok main.
Dua tiga hari sebelum main, abang Mail sound. "Sheikh saya tengok awak main diam aje. Tak meriah langsung." Saya senyum saja. Dalam hati, tunggu kat gelanggang.
Mula2 kami dapat "by" regu badminton. Terus ke peringkat kedua. Main menang dua set berturut. Wah ini petanda baik.
Kemudian saya main ping pong perseorangan. Game pertama menang. Game kedua menang juga. Ketiga bertemu Hamdan.
"Dan jom main cepat, ana nak bagi enta menang ni. Ana nak fokus badminton. Mana larat kalau semua masuk final, hahaha." "Yo la Omar," agaknya. Hamdan menang tiga set berturut.
Saya main badminton suku akhir. Bertemu Haji Mail dan Robert. Wah, hebat diorang. Tenaga saya pun dah melepeh dengan ping pong tadi. Set pertama kami tewas.
Saya menyusun strategi baru dengan abang Yazid. Cari kelemahan mereka. Jumpa.
Set kedua menang. Set ketiga menang. Sepanjang permainan ini, kami mendapat tepukan gemuruh, aksi2 memang hebat dan panas. Lompatan, jeritan, gulingan, tersembam, semua ada terhidang. Puassssssssss. Menang dan kami masuk separuh akhir. Tapi kecewa penganjur tidak menyediakan juru kamera pro. Huhu.
Oleh kerana keletihan bermain di suku akhir. Saya yang bergandingan dengan Haji Mail untuk ping pong mengambil keputusan sama seperti saya lakukan ketika bertemu Hamdan. "Bang, kita bagi kalah aje la. Lagipun saya nak tumpu separuh akhir badminton beregu ni."
"Ok no prob."
Malang sedikit. Lawan kami di separuh akhir hebat. Kami dah pun kehilangan banyak tenaga. Pendek cerita, kalah.
Kami berazam menebuskannya dengan merampas tempat ketiga ketika bertemu Saif dan Najid. Yer, kami berjaya dalam strategi dan menang perlawanan itu.
Alahmdulillah. Tak sangka. Wahhh hebat juga kami hahaha. Beregu ketiga terbaik tempat kerja. Hahahaha. Peluh usah kira. Sakit satu badan. Luka ada secalit di lutut kanan. Pinggang dah semua longgar.
Terima kasih yang memberi sokongan. Syabas Charlie, nama 'rumah' kami. Terima kasih Al Rajhi yang memberi saya peluh bermakna. Rupanya aku masih bernyawa dalam sukan. Syabas aku. :)

22.7.10

MENIKMATI BOSPHORUS









Merasai nikmat makan sebagai orang Turki. Inikah makanan Salahuddin al Ayubbi atau Erbakan mahupun Erdogan? Tapi sudah tentu tidak semewah ini? Terima kasih buat teman yang membayar.

21.7.10

SATU DESTINASI BERSATU PADU


Ketika ini fikiran saya banyak menjurus kepada bertanya kepada jiwa-jiwa para pendakwah, pelobi agama, penganjur program Islami dan pembina Jamaah. Saya mahu menjadi sebahagian daripada mereka. Lantas saya juga bertanya pada diri sendiri.

Apa yang saya dapat daripada penyertaan ini? Syurga? Pahala? Rahmat? Pujian?

Saya cuba mencari-cari tanda bagi hasil yang diperolehi. Bagai rezeki yang Tuhan kurniakan, keberkatannya dapat dilihat daripada penggunaan rezeki tersebut. Kalau ke panggung wayang jua perginya, tentulah ada sesuatu yang mesti dilakukan terhadap punca, hasil mahupun kelakuan semasa rezeki itu diusahakan. Kalau ke rumah-rumah ibadah, rumah-rumah amal, alhamdulillah.

Begitu juga kerja yang kita lakukan atas nama agama, dakwah, ibadah, kebajikan dan soleh.

Apa hasil kerja kita? Apa natijahnya? Masyarakat makin kenal Tuhan mereka atau hanya kita mampu menambah jumlah program? Jamaah makin kukuh atau kita hanya mampu menambahkan jumlah peluh yang memercik?

Saya masih sukar menerima penyataan banyak masalah yang berlaku kerana buat kerja adalah lebih baik daripada tidak bermasalah sebab tidak buat kerja. Kenapa kita mesti bermasalah sesama pengejar syurga, pahala dan rahmat? Kenapa mesti ada berantakan? Mesti ada sesuatu yang terjatuh daripada jinjingan kita.

Tingkatan kita bukan lagi seperti dulu, yang sukar segalanya. Kini, Tuhan banyak memudahkan. Maka jika sekali masalah berlaku atas nama kerja, periksalah segera pada diri masing-masing. Tidak perlu menuding sana sini. Jangan dicop awal-awal terhadap si anu si ani. Pantas mengorek qasad di jiwa. Kemudian periksa matlamat setiap program. Terus perbetulkan cara berkomunikasi sesama kita. Yang syubhah hendaklah diperjelaskan secepat mungkin.

Saya amat mengingati pesanan As Syahid Hasan alBanna bahawa kekuatan paling ampuh ialah kesatuan yang mantap.

Mudah-mudahan kita lebih menghitung rahmat Allah, bukan banyaknya kerja kita, atau kurangnya kerja mereka, atau lemahnya mereka, atau hebatnya kita. Kita hitunglah semakin dekatkah kita sesama kita atau sudah semakin jauh kedudukan kita yang sebenarnya sedang pergi ke satu destinasi yang sama.

Wajarkah ada dua jalan berbeza untuk satu destinasi? Kita akui ia tidak begitu. Tetapi ia seperti begitu jadinya. Di sinilah medan mujahadah kita. Teman-teman dan saya sendiri.

19.7.10

SIRI DAE JO YOUNG SARAT DENGAN SENI STRATEGI DAN TAKTIKAL


Sebelum Li Kaigu membuat apa-apa tindakan pantas demi menjaga kaum Khitan daripada ancaman yang disangkakan akan datang daripada orang-orang Dae Jo Young, Sir Chin, ketua taktikal Khitan telah menyediakan satu perancangan rapi lebih pantas, iaitu membunuh Dae Jo Young.

Tindakan beliau dibuat secara diam-diam, hatta tanpa pengetahuan Li Kaigu. Sir Chin banyak melakukan hasutan jahat terhadap Li Kaigu dan pembesar-pembesar Khitan yang lain. Langsung tidak menghitung jasa orang-orang Dae Jo Young yang menyelamatkan mereka daripada serangan Tang.

Namun perancangan mereka ini telah dihidu oleh ketua taktikal Goguryeo, Mimosa. Panglima-panglima Dae Jo Young bersiap sedia bagi mempertahankan Dae Jo Young yang sedang lena tidur selepas mabuk bersama Raja Khitan.

Apa yang menarik dalam kisah ini ialah perancangan teliti dan strategi masa depan yang ditunjukkan oleh pihak bertelagah. Lebih menarik di pihak Tang, taktik hebat yang mereka gunakan datangnya dari Ketua Panglima Tang sendiri, Xue Rengui. Beliau telah mencadangkan kepada Maharani Tang, Wu Zetian, kaedah pecah dan perintah.

Tang berjaya memecahkan kesatuan pakatan Goguryeo dengan Khitan apabila mengikhtiraf bapa Dae Jo Young, Dae Jungsang sebagai pemerintah di bumi Khitan. Pertelagahan tercetus. Kawasan perkampungan orang-orang Goguryeo yang ditawan Khitan dikepung tentera Khitan. Keadaan makin panas apabila Raja Khitan masih terlantar tidak sedarkan diri. Masing-masing cuba mencari strategi untuk terus bertahan. Demi masa depan diri, keluarga dan pengikut.

Dalam keadaan begini, apa sahaja boleh terjadi. Emosi mesti dibuang jauh-jauh. Ketua taktikal mesti memainkan peranan penting.

Maharani Wu Zetian pula, apabila merasakan sudah berjaya memecahkan dua musuh ketat mereka, tanpa mengenang kesusahan rakyat dan keperitan ekonomi, masih mahu memperluaskan kuasanya dengan arahan penghantaran bala tentera ke kawasan jajahan Turk. Arahan ini diterima Xue Rengui sekadar untuk bermuka. Beliau lebih mahu mendahulukan rakyat Tang daripada kemaruk kuasa rejim Zetian. Beliau pula akan mencipta strategi bagi mengutamakan orang bawahan yang hanya akan menjadi mangsa, jika perang tercetus lagi.

Menarik cerita ini. Dae Jo Young sanggup berpakat dengan musuh tradisinya, Khitan dan musuh peribadinya Li Kaigu demi menyelamatkan orang-orangnya di bumi Khitan daripada serangan Tang. Li Kaigu pula, yang sangat benci dan marah kepada Dae Jo Young, bersedia bersatu demi menentang Tang. Mereka cuba mengurangkan musuh demi berhadapan musuh lebih besar. Sanggup melupakan pertelingkahan sekian lama, demi masa depan pengikut masing-masing.

Strategi Dae Jo Young juga cukup menarik ketika berada di bumi Khitan. Mendekati Raja Khitan dengan menawarkan kerjasama ketenteraan. Sanggup berhadapan risiko ancaman terhadap dirinya sendiri, demi keselamatan pengikut. Menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada pakatan dengan Khitan, walaupun dia sedar ada pihak yang sedang berusaha merancang pengkhianatan. Beliau tidak mahu menunjukkan kekerasan selepas pakatan dimeterai. Seterusnya, menunjukkan kerjasama dan sikap tolong menolong yang tinggi di hadapan rakyat Khitan sehingga mereka amat terhutang budi dengan Dae Jo Young.

Drama ini banyak mengajar seni-seni politik pilihan raya, kepartian dan kesepakatan. Strategi masa depan juga ditonjolkan oleh siri ini. Banyak yang boleh dipelajari.

15.7.10

SUKUK DAN HARAKAH

Sukuk

Alhamdulillah, Al Rajhi telah berjaya mengeluarkan sukuk yang bebas daripada kontrak jual beli ‘inah, jual beli hutang dan akujanji (undertaking). Usaha yang dilakukan adalah sangat rumit. Bermula dengan mencipta struktur, membetulkan mana yang silap dan salah, menyesuaikannya dengan kontrak ijarah, pelaburan, murabahah dan pelbagai lagi.

Seterusnya selepas satu struktur siap, kami terpaksa meneliti baris ke baris deraf perjanjian yang kesemuanya berjumlah lebih sepuluh set. Kami terpaksa melakukan dua kali kerja luar secara intensif. Deraf perjanjian terpaksa diulang alik antara bank, lawyer, cagamas dan pihak berkaitan.

Alhamdulillah, kini sukuk kami telah dilancar. Ada banyak kelebihannya. Ada banyak keunikannya. Semoga produk-produk Islam yang menjamin ketulenan hukum fiqh terus berkembang dan disebar-luaskan. Pada Allah kami bersyukur.

Harakah

Alhamdulillah, Harakah telah diberi kebenaran untuk disambung penerbitannya oleh KDN. Semoga Harakah terus mantap di persada dakwah dan pengembangan politik Islam berteraskan ilmu dan kebijaksanaan. Harakah mampu untuk menghasilkan tulisan yang mantap, berkarisma dan ada nilai kritikan membangun yang tidak lari daripada konteks dakwah Islamiah.

Saya tidak menantikan satu tulisan yang sangat panjang di dalam akhbar ini kerana ia akan memalaskan saya membacanya. Saya suka jika pimpinan menulis dengan memberi kelainan idea kepada masyarakat. Bukan mengulang kembali apa yang biasa kita dengar sejak 10 tahun lalu. Tetapi mengulang apa yang mereka baca daripada pengalaman politikus dunia yang ada nilai2 yang hebat.

Saya sentisa dahagakan idea bernas pimpinan yang lebih kelihatan berjiwa negarawan yang membaca potensi generasi masa depan berbanding meluahkan strategi-strategi pilihan raya semata-mata.

Kini rakyat terlalu pandai untuk sekadar membaca idea bagi menumpaskan BN dalam setiap kali pilihan raya. Ia penting bagi sebuah parti seperti PAS tetapi ia bukan penarik kepada anak-anak muda untuk mendekati Pakatan.

Pimpinan Pakatan perlu luaskan pemikiran mereka kepada memikirkan untung rugi bangsa dengan idea yang maha hebat, bukan sekadar menambah undi semata-mata. Kerana ada pihak yang sangat dahagakan kelainan dan nilai tinggi daripada sebuah akhbar yang bebas tanpa kongkongan mana-mana pihak.

9.7.10

PANTAS MENCAPAI OBJEKTIF TAHALUF


Politik memerlukan penggiatnya sentiasa bergerak pantas dalam tindakan. Itulah realiti yang dapat dilihat berdasarkan kepada perkembangan semasa yang berlaku.

Pantas belajar, pantas faham, pantas respon balas, pantas memutuskan keputusan, pantas menerang dan pantas bekerja. Ciri ini menjadi tuntutan yang mendesak ahli politik sentiasa peka dan bersedia. Tambahan pula jika terpaksa melayani karenah pemerintah yang jarang nampak ketulusan sebagai cerminan.

Selangor, adalah sebuah negeri yang ditadbir bersama oleh tiga parti yang berbeza fahaman dan pendekatan. Mungkin cara mudah kita identitikan mereka dengan wajah sekularisme, sosialisme dan Islam. Apakah pengkelasan ini kurang teliti? Tetapi ia sekadar memudahkan pengkelasan. Ketiga-tiga fahaman berbeza ini disatukan oleh objektif menjaga “maqasid insaniah”. Disitulah Islam dapat duduk bersama dengan dua lagi fahaman atas dasar tahaluf. Ia juga dikongsi oleh mereka.

Namun, itu belum lagi mencukupi untuk Islam bertahaluf. Ada objektif-objektif lain yang digariskan para ulama selepas merujuk kitab dan sunnah serta pengalaman pemerintahan Islam sepanjang zaman. Antaranya ialah demi menjaga kepentingan dakwah, mengurangkan kemungkaran dan mengurangkan musuh dakwah.

Walau di mana peringkat sekalipun, pemimpin parti Islam yang terlibat dengan struktur tahaluf ini tidak mempunyai sebarang alasan untuk melupakan objektif tersebut. Di situlah nyawa dan ruh kepada tahaluf. Keharusan yang sementara ini bergantung kepada sejauh mana kepentingan dan objektif agama berjaya diusaha dan dicapai parti.

Melupakannya, dan langsung tidak mengendahkannya akan membawa kepada natijah keharusan bertahaluf itu terangkat.

Ketika ini, pelantikan semula dilakukan terhadap ahli majlis di seluruh kerajaan temaptan di negeri Selangor. Ada muka baru yang ditampilkan dan majoriti adalah yang dikekalkan. Tahniah diucapkan kepada mereka yang menyertai struktur tahaluf ini. Kerja mereka besar dan berat. Matlamat mereka bukan untuk melihat perjalanan kerajaan tempatan, aktiviti rakyat meriah, longkang tersumbat dibetulkan dan memberi bantuan kepada fakir miskin. Semua itu dilakukan oleh kerajaan BN. Sempurna atau tidak adalah isu kedua.

Matlamat mereka menyertai kerajaan tempatan adalah demi mencapai objektif tahaluf di atas. Juga objektif-objektif lain yang tidak disenaraikan. Lantas, sepanjang dua tahun mentadbir (memerintah?) kerajaan tempatan, apakah tahap kecapaian mereka?

Saya tidak fikir ahli politik yang cemerlang bolen menjawab dengan “kami baru nak belajar. Dua tahun tidak mencukupi!”. Itu hanya alasan.

Tempoh belajar bagi seorang pemimpin adalah tempoh sebelum menang. Setelah menang, tiada alasan belajar, walau hakikatnya memang banyak perkara baru yang ditemui. Meletakkan alasan belajar di hadapan hanya merendahkan kedudukan seorang ahli politik. Itu bukan sikap seorang politikus yang pantas. Malah rakyat tidak mengenal alasan begitu, kerana Selangor bukan baru dibina dua tahun lepas. Seharusnya, persediaan menjadi pemimpin negeri di semua peringkat bertepatan dengan harapan, kehendak dan status yang ada.

Ringkasnya, rakyat Selangor tidak boleh menerima alasan “kami baru nak belajar” oleh seorang ahli majlis Pakatan Rakyat yang berdegar-degar membangkang dan mengkritik ketika mereka belum menang. Mereka mahu ahli majlis yang pantas belajar dan bijak mencari kesempatan dan ruang.

Bagi ahli majlis PAS, lihatlah segala kemaksiatan, kelemahan, keboborokan, kejahilan dan penyelewengan yang berlaku di bawah teritori anda. Selepas kami tertanya-tanya, Allah akan bertanya pula.

6.7.10

MERENUNG KL AKAN DATANG




Malaysia adalah sebuah negara yang cukup indah.

Masuk sesi kedua mesyuarat seminggu kami, beralih angin mencari kelegaan dan kelepasan sambil meneruskan agenda mesyuarat di rumah rehat kerajaan di Bentong. Dewan separa besar disewa untuk membincangkan produk-produk yang belum selesai seperti Cross Currency Swap dan Special Investment Account.

Bermula jam 11am kami memulakan perbincangan. Berhenti solat dan makan tengahari. Sambung semula sehingga asar. Seusai asar, terus meninggalkan rumah rehat menuju ke Chamang.

Ya, sebuah air terjun yang menakjubkan. Kekayaan milik Allah yang dipinjamkan buat warga Pahang. Masih segar. Suci. Tidak dikotori dengan maksiat terancang seperti rosaknya keindahan Tanah Tinggi Genting yang dicemari oleh kaki-kaki judi.

“Wallahi, saya berfatwa haram datang ke Malaysia jika matlamatnya bersiar2 di Kuala Lumpur. Wanita bertabarruj. Dedah sana-sini.” Tegas rakan sekerja dari Riyadh, Muhammad yang berasal dari Yaman.

Tapi ia disanggah oleh gurunya dalam perbankan Islam, Syeikh Saleh. “Dulu saya mengharamkan hatta keluar dari Qasim. Kini bagi saya Malaysia adalah tempat terbaik untuk bercuti berbanding sesetengah negara Arab lain seperti Morocco, Syria, Mesir dan Lubnan.”

Namun semua sepakat, KL memang teruk dengan pelbagai fasad dan mungkar. Malaysia masih dikira ok untuk dilawati dengan mengambil kira pusat pelancongan luar bandar yang masih ok dalam banyak perkara, bukan kota yang rosak.

“Satu sahaja cara untuk aku datang ke sini lagi.” Kata Muhammad. “Aku akan ambil teksi dari KLIA terus ke Chamang.” Kami semua gelak hahaha.

Itulah gambaran sahabat-sahabat yang jarang-jarang terdedah dengan kefasadan, terhadap negara ini. Terhadap KL. Lantas bagaimanakah kita mampu menetap di sini dengan iman yang mantap. Tentu sahaja ada cara khusus yang mesti dicari. Kita mesti mendapatkannya.

Apa yang ingin saya sampaikan di sini secara sepintas lalu ialah, bagaimanakah anak kita membesar di kotaraya ini dalam 20 tahun akan datang?

Berapakah rakan-rakan mereka yang tidak langsung mengenali ayah mereka?
Berapakah rakan-rakan mereka yang menikmati kemanisan perkahwinan tanpa akad di usia remaja?
Berapakah rakan-rakan mereka yang masih lagi berbual tentang menjaga hati dan mata?
Berapakah rakan-rakan mereka yang sibuk menjaga solat?

Semua ini menolak saya untuk mengimpikan kedamaian di desa-desa yang penghuninya penuh dengan rasa tanggung jawab beragama dan tersebarnya hidayah di tengahnya dan di kalangan warganya.

Atau kita sebenarnya sangat terdesak untuk kembalikan negara ini kepada pencinta kedamaian hakiki penuh keimanan di hati.

5.7.10

RINDU SEMAKIN MENDALAM

Begitu dekat di hati saat-saat bercinta dahulu. Semuanya indah. Walau kadang-kadang pahit seringkali menghambat.

Saat pertama memandang wajahnya, terpasak di hati, inilah impian hidupku. Jiwa bertukar gementar tidak semena-mena. Mata langsung tidak berkedib. Senyuman terukir jauh di sudut hati. Tidak mahu menzahirkannya pada bibir bimbang-bimbang ada yang memerhati. Pipi kian basah.

Aku bergegas mengingatkan matlamat hadirnya diriku di bumi ini. Aku mulakan langkah dengan penuh semangat. Menghampirinya. Hampir mendakapnya. Tapi itu mustahil. Aku pasang niat suciku di situ juga. Kaki kanan ku mula mengorak langkah di sampingnya.

Sepanjang perjalanan itulah aku mentaqdiskan Ilahi dengan pelbagai zikir, memintaNya dengan bermacam-macam doa. Segala kekuranganku, ku pohon Ilahi membaikinya. Segala kekasaranku, moga dilembutkan. Kemalasanku dirajinkan. Keegoaanku dicairkan. Keburukanku dibetulkan. Kejauhanku didekatkan. Kehilanganku dizahirkan. Aku pasrah pada setiap ketentuanMu Ilahi.

Kini aku amat merinduimu. Sangat-sangat. Tidak tergambar, sukar diungkap. Aku akan pastikan kita bertemu di penghujung kesilapanku. Di awal tahun hadapan. Aku merinduimu ‘Rumah Allah’.

2.7.10

SEBUAH PERJALANAN PENUH BERISIKO

Semalam saya menggunakan Yamaha 125 untuk kali pertama selepas dua minggu menggunakan kereta. Sebaik melihat cuaca sangat mendung kira2 jam 6pm, saya bergegas mengemas meja untuk pulang ke rumah. Perancangan untuk bermain ping pong di opis dibatalkan.

Malang sekali, sebaik sampai di hadapan K Avenue - sebuah bangunan yang penuh bermakna bagi saya suatu ketika dahulu - hujan mula rintik. 'Park' motor di tepi jalan berdekatan kedai Nasi Lemak Antarabangsa di Ampang Park, mengenakan baju hujan dan sambung perjalanan.

Jalan seperti biasa. Sesak, laluan cilok yang sempit, percikan air dari hentaman tayar kenderaan dan terdapat pemandu kereta yang kurang menghargai nyawa penunggang motor. Harapan agar rintikan hujan menemani sepanjang jalan ke Puchong mengecewakan. Harapkan rintik sepanjang jalan, lebat jua yang diterima. Di hadapan Kedutaan AS saya 'park' sekali lagi untuk mengenakan seluar pula. Tetapi masih menggunakan kasut kerana saya fikir agak bahaya memakai selipar dengan hujan yang sangat lebat ini.

Perjalanan diteruskan di bawah hujan yang lebat demi pulang ke rumah. Kelihatan anak melambai2 dan isteri menanti dengan masakannya. Alang2 basah, biarlah lenjun. Ada yang menyebut lencun.

Ketika inilah saya memikirkan tentang kebajikan kami sebagai penunggang dan pembonceng motosikal di Lembah Klang. Kami basah jika hujan. Kami mungkin cedera, mungkin parah, mungkin tiada lagi, jika dihentam kereta atau menghentam. Kami terpaksa berebut jalan dengan kereta2 yang laju. Kami tiada lorong khas di MEX. Kami terdedah dengan air, percikan, panas terik, lambungan batu, ludahan manusia dan sebagainya. Satu sahaja lebih berbanding pemnadu kenderaan, kami tidak membayar tol. Tetapi itu tidak berbaloi dengan keselamatan dan nyawa kami.

Ketika inilah saya juga berfikir, siapakah di Parlimen sana yang memikirkan tentang hal saya dan teman2 penunggang. Apakah kami tersenarai pihak yang berkepentingan ketika mana-mana jalan raya di KL ini dibina. Apakah ada insuran yang disediakan oleh kerajaan jika kami menemui ajal kerana kesilapan pemandu kenderaan?

Sayang sekali jika perihal kami tidak pernah difikirkan oleh mana-mana wakil rakyat, khususnya daripada Pakatan Rakyat. Kami bukan hanya di lembah klang, tetapi seluruh negara. Jarang sekali dengar tentang keselamatan kami didebatkan.

"Vroooomm"

Menyirap darah saya apabila kereta memecut laju sebelah saya dalam hujan yang lebat tadi. Apa lagi selain tawakkal, berdoa dan memikirkan dosa yang banyak.

"Ya Allah, dosaku sangat banyak, belum bersedia untuk sebarang insiden tidak diingini. Selamatkan aku."

"La Ilaha illa Allah". Huh, banyak kali saya mengucap. Sambil menjeling ke cermin motor, menyaksikan kenderaan tidak henti2 datang mendekati dari arah belakang.

Kelihatan juga ER6 memecut di hujung hiway sebelah kanan. Agaknya motor ini berat, mantap dan stabil sehingga penunggangnya berani melajukan putaran rodanya. Bisik saya. Itukah moto ku nanti? Saya mengimpikannya.

Sampai di exit Sri Petaling, saya membuat pusingan di kawasan larangan. Terus berhenti di bawah lebuh raya tadi. Merehatkan motor dan badan seketika. Buka baju dan seluar hujan, tukar kasut dengan selipar dan mengibas-ngibas baju hujan. Rehat sambil berfikir panjang. Macam2 saya fikir di bawah lebuh raya itu. Pusara lebuh raya? Istana menanti? Hujan yang turun bagaikan air mata? Huhuhu.

Sempat memeriksa telefon bimbit yang basah sedikit. Baca sms dari isteri. "Puchong macam nak hujan lebat". Dalam hati saya bisik, "suamimu tengah lenjun ni."

Kurang lebih 10 minit, saya bergerak menuju ke Petronas di KESAS. Mengisi minyak petrol dan 2T. Pecut semula 125 yang saya pinjam menuju ke Puchong. Meninggalkan Petronas dan kenangan. Hujan sedikit reda. Kenderaan setia dengan laju mereka. Tak pandang langsung kami yang naif ini. Di KESAS ada lorong sikal. Namun saya tidak menggunakannya kerana dah terlajak melepasi jalan masuknya.

Masih berfikir tentang keselamatan. Kereta laju. Kami salah kami teruk. Pemandu salah kami teruk. Apakan daya, itulah caranya mencari nafkah untuk diri dan keluarga.

Alhamdulillah, sampai ke rumah dengan selamat. Perjalanan hampir sejam.

Badan sejuk kerana ada air yang mengalir masuk di celah2 zip baju hujan. Rambut basah sedikit. Kaki kecut. Tetapi isu keselamatan kami belum reda. Belum selesai. Malam ini, esok, lusa dan seterusnya, nyawa kami sentiasa terdedah dengan sebarang kemungkinan.

"Abah. hahahahahaha." Inilah satu2nya yang menenangkan saya dengan apa sahaja stress yang saya hadapi. Anak tunggal saya akan gelak besar melihat saya balik. Tiap2 hari macam ni. kadang2 saya sampai aje rumah, terus main nyorok2 di daun pintu rumah dengan dia. Main kejar2. Kick the ball. Baru naik ke atas mandi.

Perjalanan begini memang stress. Keselamatan tiada jaminan.

Tapi satu sahaja yang saya puas dengan menunggang motosikal. Jika saya tertekan dengan kerja, atau apa sahaja masalah dalam hidup ini, saya akan memecut laju di lorong sikal KESAS. Menerjah angin yang datang dari semua arah. Ketika inilah saya rasa seperti terbang ke langit, mencari impian meninggalkan masalah...

Malam ini satu lagi perjalanan berisiko. Moga diselamatkan Allah.

1.7.10

MEMO UNTUK USTAZ FATHUL BARI

Saya hanya mengenali Ustaz Fathul Bari melalui paparan namanya di mailing list, akhbar, laman web dan pertama kali melihat wajahnya ialah ketika beliau berhadapan satu kes di Negeri Sembilan.

Setelah menjadi ahli politik merangkap pendakwah berparti, bermakna ustaz sudah tidak boleh dianggap bebas lagi oleh mana-mana pihak. Jika berpolitik, maka ada asam garamnya. Jika berdakwah melalui parti, ada rempah ratusnya. Semua ini mesti cepat dipelajari.

Insiden jawab menjawab yang berlaku kini hasil secara spontan atau ada pihak yang mengatur sesuatu untuk mencetuskannya? Saya tidak pasti. Tetapi apa yang berlaku kini, ustaz telah mula mengundang pertentangan antara pihak ustaz dengan pihak tertentu.

Tak kisahlah apa dakwaan yang dibuat. Kini kelihatan kerusi ustaz sudah panas dengan satu insiden. Ya, insiden demi insiden akan menuruti. Jika semua ini terancang, maka perancangan itu adalah untuk menjadikan ustaz benar2 berjiwa Umno, mempertahankan parti dan sanggup berhadapan dengan siapa sahaja.

Mereka mahu kami membenci dan mereka mahu ustaz melenting. Tembok pemisah mesti dibina agar kami dan pihak ustaz tidak mungkin bekerjasama, walaupun itulah antara kata2 awal ustaz dari sebelah sana.

Harapan saya, bijaklah berpolitik dan bersuara. Di dalam sana terlalu banyak pihak yang tak senang. Ustaz sendiri tahu. Dan jangan pula kita yang sepatutnya boleh bersatu atas nama Islam dan dakwah, semakin berjauhan. Jika ini berlaku, apalah ertinya mencalarkan pakaian jubah ustaz dengan kekotoran Umno yang ramai ahlinya mahu diselamatkan daripada terjebak ke api neraka, tetapi kita pula bersengketa tak habis-habis.

Bukan tidak boleh menyelamatkan ahli Umno tanpa masuk ke dalam Umno, tetapi sengaja mencari kelainan. Inikah sunnahnya? Terpulang.

Pendirian saya, kita memang boleh bekerjasama. Harapan saya, jaga diri baik2 daripada perangkap parti sendiri.

GUNA UMNO UNTUK DAKWAH?

Salam,

Setelah sekian lama blog ini sepi daripada sebarang artikel, coretan atau nota malas yang ringkas, kini saya berusaha untuk memulakannya semula. Sepanjang "persenyapannya" dalam lingkungan kurang 3 bulan lalu, saya banyak memberi masa kepada beberapa urusan lain yang perlu diselesaikan segera.

Banyak yang ingin dicoretkan mengenai apa yang telah berlaku. Baik tentang keseronokan juga perihal kesulitan, permasalahan dan sekitarnya. Pun begitu, ada juga yang telah disentuh ringkas dalam FB saya.

Insya Allah, semoga usaha menulis untuk melatih diri, berkongsi ilmu dan pengalaman serta memberi respon kepada persoalan agama, kekeluargaan dan isu semasa terus diberi kekuatan Allah dan diberkatiNya.

Pendakwah Menyertai Umno

Komen ringkas saya untuk mereka yang telah menyertai Umno demi menyampaikan dakwah secara lebih bebas, tidak diganggu dan boleh memberi teguran terus, bersedialah untuk berhadapan dengan cabaran dan perangkap di medan politik.

Jika antum mahukan sesuatu, mereka yang menerima juga mahukan sesuatu. Jika antum berada di pihak yang menjadi ancaman kepada kami, apakah antum tidak begitu? Jika antum meletakkan diri di pihak yang menghalang perjuangan kami, tidakkah antum juga begitu? Jika mereka mahukan kami tumbang, lenyap dan musnah, tidakkah antum diminta berbuat sesuatu demi matlamat mereka? Jika begitu, salahkah kami menganggap antum adalah ancaman politik kami? Politik Islam bersama perjuangan yang kami yakin benar.

Sebenarnya dakwah kita tidak jauh bezanya. Matlamat kita sama. Pendekatan banyak yang serupa. Tetapi dengan memasuki parti politik yang salah, dari kaca mata kebenaran, adalah ijtihad politik yang kurang matang dan bakal merosakkan dakwah kita secara keseluruhan.

Sama-sama kita saksikan langkah politik seterusnya yang bakal antum terokai.