Imej Politikus
Pagi Ahad lepas saya cuba meyakinkan diri untuk menerima alasan yang diberikan oleh seorang pemimpin politik tentang satu ‘kesilapan’ politik yang dilakukannya. Dia menyebut tentang belajar agama, mencari pengalaman dan bertukar ide dengan seorang yang berusia 30 tahun dalam kancah dakwah, pembelajaran dan penfatwaan.
Kenapa dia yang ditemui?
Entah le. Mungkin sudah jemu bertukar ide dengan teman separti. Ya, memang betul. Itu hak siapa sahaja yang berstatus seorang ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri. Jumpalah siapa sahaja. Buatlah apa sahaja atas nama portfolionya. Tetapi, begitukah seorang ahli politik yang bijak? Begitukah politikus contoh?
Tika diri tidak disenangi ramai. Tika mudah manusia membina syak wasangka dalam benak diri, kita pula semacam terhegeh-hegeh merosakkan imej diri. Pengalaman sangat jelas menggambarkan imej boleh rosak walaupun dengan tanggapan yang tidak benar. Boleh sahaja berlaku walaupun penjelasan dibuat kemudian. ‘Damage’ telah berlaku, maka imej juga menurut, telah rosak.
Apakah itu politikus? Atau Cuma seorang pentadbir yang memimpin orang-orang politik?
Rindu
Rindu milik Tuhan kata seorang nasyidiwan. Rindu agung hanya pada Allah. Kurang sikit ialah kepada manusia suruhan Allah.
Kita rindu apa? Pernahkah kita merindui tertegaknya keindahan Islam dalam sebuah negara? Untuk apa? Untuk semua termasuk diri. Oleh itu, marilah kita merindui diri sendiri. Diri yang merindui Tuhan semesta alam. Jangan hanya merindui manusia yang biasa.
Dalam lubuk hati saya, yang dalam sekali, saya merindui sebuah jamaah Islam yang indah segalanya. Bukan sebuah parti politik Islam, sebaliknya jamaah Islam yang mendokong kerja politik. Saya rindu melihat pimpinan yang hebat mengejar redha Allah, bukan redha manusia yang zahirnya sahaja bercahaya.
Saya rindukan Islam di mana-mana. Islam pada diri, pada keluarga, pada teman dan pada alam. Dan saya tahu, rindu itu tidak akan bermakna jika sekadar rinduan. Langkah mesti telah lama bermula. Atau mari kita mulakan…
Emosi
Emosi sering terusik dengan karenah anak. Paling terusik, melihat anak meretang ditinggalkan di pusat jagaannya. Mungkinkah pengorbanan kewangan diperlukan demi si anak ini? Dia sudah pasti tidak sedar bahawa si ayah ini amat terusik. Maafkan kami.
No comments:
Post a Comment