Ketika bicarakan isu sosial dan pencemaran keimanan, janganlah kita mudah dikongkong dengan emosi kepolitikan dan kemaruk kemarahan. Tenangkan jiwa dan lapangkan minda untuk mencari penyelesaian.
Di negara Malaysia tercinta, wanita hamil tanpa nikah sudah cukup banyak. Anak yang mati digonggong anjing juga sudah tidak terkawal. Anak ini bukanlah anak kecil yang mampu melangkah longkang dan parit, tetapi anak bayi yang sangat-sangat dhaif.
Punca permasalahan ini adalah sangat banyak. Berpunca dari atas sehingga ke bawah. Salah orang politik, silap orang berilmu agama dan lemah anggota keluarga. Semua mesti merasai kesalahan itu.
Dengan punca yang banyak, salah yang banyak dan lemah di sana sini, penyelesaiannya juga mesti dalam bentuk2 yang banyak, berbeza mengikut punca dan kesesuaian terhadap masalah-masalah yang khusus.
Orang politik yang cintakan Islam tentu sahaja bersuara dengan desakan terhadap pelaksanaan perundangan Islam. Ruh Islam yang diterapkan pada apa yang disebut sebagai perundangan bukan kecil peranannya. Membawa keberkatan dan kesedaran sejati. Kesannya amat besar. Wajib diperjuangkan.
Namun, janganlah diasingkan peranan perundangan ini daripada peranan lain seperti pendidikan (ta’lim), pembentukan dan pembimbingan (tarbiah) serta pembetulan minda dan fikir.
Saya mengambil contoh yang mudah. Jika adik perempuan saya, pada waktu ini, telah mengandung di luar nikah. (Cth semata-mata kerana saya tiada adik perempuan). Beliau kemudiannya menyesal. Mahu menghapuskan dosanya. Dalam masa yang sama mahu kesilapannya dirahsiakan. Mungkin sahaja dia fikirkan mahu sahaja menggugurkan anak kandungannya demi menutup malu. Tapi adakah dia mampu atau adakah klinik yang mahu menolongnya? Dalam tekanan yang maha hebat, dia pasti sahaja mudah untuk mencampakkan kewarasannya.
Jika saya diceritakan semua ini apa yang patut saya buat?
Saya bersyarah di hadapannya mengutuk Umno yang tidak mahu hudud? Saya berdemo di hadapan Istana PM? Saya menceritakan kepadanya, takutlah kamu kepada Allah, tahulah bahawa kamu boleh disebat dan bermacam lagi bentuk pensyarahan yang mungkin sahaja menambahkan lagi tekanan?
Saya mahu membimbing dia. Saya ingin menjanjikannya kebaikan2 Islam sehingga dia melahirkan anak itu, daripada mencela Umno sebagai punca dan bla bla bla. Hal Umno saya boleh jeritkan dalam demo, di dalam parlimen kalau saya ahlinya atau di dalam blog. Di hadapan adik saya ini, saya akan cuba carikannya tempat yang boleh membetulkannya. Saya tidak akan benarkan dia membunuh anak itu kerana itu satu kesalahan atas kesalahan lain. Tapi bagaimana saya mahu dia bertaubat?
Saya akan mencari tempat yang terbaik untuk meletakkannya dalam persekitaran tarbiah yang sempurna. Saya tidak akan jumpa di dalam parti saya. Tidak juga di rumah pimpinan saya. Saya terpaksa mencari rumah2 didikan swasta, individu tertentu atau ngo2 yang mengambil perihatin. Alhamdulillah ia sudah ada. Dan ia perlu dibanyakkan.
Bagaimana jika saya tidak mahu dia terlepas pengajian sekolahnya? Dalam masa yang sama, dia dipulihkan, bukan setakat tidak akan membunuh anaknya, tetapi boleh keluar sebagai seorang yang sudah yakin dengan taubatnya dan mampu membimbing remaja2 lain.
Baik, kalau ketika ini sudah ada hudud. Apakah saya mahu dia disebat ketika hamil? Itu bukan ajaran Islam. Ketika dia menunggu hukuman sebatnya terlaksana, apakah yang perlu saya lakukan? Membiarkannya bermain perasaan, rasa berdosa, kahwinkan sahaja dengan meninggalkan terus alam persekolahan? Saya fikir, sekolah tarbiah untuk mereka yang bermasalah adalah suatu proposal yang boleh difikirkan.
Walaupun idea itu datangnya daripada penentang hukum Islam, kita jangan menyempitkan pemikiran dengan menyalahkan Umno tidak melaksanakan hudud, dan semua idea yang mentah dibangkul sampahkan, kemudian kita diam tidak memberi simpati, membantu dan membimbing mereka yang terlanjur. Ya benar, mereka bersalah kepada Allah dan anak itu, tetapi Islam bukan rahmat untuk orang2 yang bertakwa sahaja. Berikanlah mereka tempat terbaik di samping ada pihak yang terus mendesak perundangan Islam dilaksanakan.
Ini membuka minda kita, apakah sebenarnya idea pusat jagaan anak luar nikah suatu ketika dahulu boleh difikirkan masak2? Tanpa pusat jagaan itu, zina tidak berkurangan sebaliknya anak mati di tepi longkang meningkat.
Jika kita berada di dalam rahim ibu begitu, apakah yang kita mahukan? Kita bercakap dalam dunia realiti manusia yang tidak mahu Islam, dan kita masih lagi gagal memerintah dunia ini.
Apa yang saya mahu utarakan, fikirlah dengan tenang dan bukan berserabut dengan emosi kepolitikan. Jika kita ragui apa yang mereka akan lakukan, kitalah yang perlu tampil ke hadapan dengan idea dan tindakan. Jangan hanya berpuas hati menjerit hudud, hudud dan hudud, tetapi anak di dalam perut itu mungkin menjadi mangsa anjing seterusnya. Apa penyelesaian terkini kita?
No comments:
Post a Comment