30.1.10

Iktibar

1. Akal sentiasa tidak pernah menjadi asas membuat keputusan dalam Siasah Islamiah, sebaliknya menjadi enjin untuk merujuk kepada 4 asas penghukuman dan penghakiman dalam Islam.

2. Jika akal telah mendahului segalanya di kalangan politikawan, maka terbuktilah faham muktazilah itu sentiasa relevan sehingga era moden ini, dengan nama dan gelaran yang pelbagai.

3. Bagiamana ia berkembang? Atau apa contoh terbaiknya? Ketika pandangan agama sudah tidak relevan bagi mereka. Istilah2 fiqh dan aqidah sudah menjadi tabu dan hujah akal dilihat lebih sedap dimamah daripada hujah nas. Ini semua kerana kejahilan mereka terhadap agama sendiri. Tetapi bernafsu besar menjadi politikawan Islam.

4. Bagi orang begini, tiada sudah istilah menjaga jamaah dan menuju kepada kesejahteraan Ummah Islamiah yang beraqidah Islam. Semuanya demi kepuasan nafsu.

5. Iktibar sehari dua ini. Perjuangan perlukan akhlak dan etika. Nas mesti sentiasa terjunjung. Menghina orang-orang takwa dan pejuang ikhlas tidak membantu perjuangan. Khilaf antara pemimpin dan pengikut sentiasa dimenangkan pemimpin oleh Nas, kecuali terhadap tindakan pemimpin yang melanggari Allah dan Rasul. Jika tersilap langkah, anda akan dilanggari oleh kebodohan diri sendiri.

6. Iktibar juga boleh diambil daripada tindakan bodoh yang mahukan kebodohannya didedahkan.

26.1.10

Menziarahi Guru Yang Berjuang

Menziarahi guru yang selama ini banyak berjasa kepada diri saya, memang menimbulkan seribu satu perasaan. Terkenang pelbagai memori bersamanya. Di perantauan, di Terengganu, di Kelantan, di Lembah Kelang dan di Tasik Prima.

Lebih menekan, bila ziarah itu untuk seorang petugas agama yang direhatkan oleh Allah Ta'ala, daripada kesibukan aktiviti dianah dan siasah yang dilaziminya sejak menjejakkan kaki ke Malaysia dari bumi ilmu bumi wahyu.

Dengan memberikan rehat paksa yang sementara, beberapa hari di hospital sebelum boleh pulang ke rumah, mudah-mudahan kerehatan itu turut meruangkan kepada suntikan semangat baru dan berterusan beliau dan rakan petugasnya. Begitulah yang saya mahu andaikan.

Saya tidak mahu mengandaikan yang beliau telah menerima isyarat penghujung perjuangan. Atau isyarat memperlahankan pergerakan, perlahan demi perlahan.

Yang jauh merasakan beliau tokoh yang keras. Tetapi yang dekat menikmati sentuhan keayahannya, keabangannya, kemurabbiannya dan kepemimpinannya.

Dia penuh dengan rendah diri. Jarang-jarang mahu mendahului berkenyataan. Berbincang dengan cara hikmah. Yang kecil dihargai dan yang besar disanjungi. Tidak berminat menonjol dan mudah didekati. Siswa adalah medannya dan graduasi adalah pengiringnya.

Jika dilihat keras, maka kerasnya adalah pada berhujah dan berilmiah. Dia mampu berhujah maka dia tegas dengan hujahnya, bila yang menandinginya pula tidak berhujah betul atau tidak berhujah langsung.

Dalam pertemuan-pertemuan, dia lebih suka jarang berkata-kata. Penandingnya pula lebih suka kalau dia tiada di situ. Itulah sedikit perihal keras atau tegasnya.

Kini, beliau masih berehat, pada segalanya. Pergerakan, percakapan, tindak balas dan penulisannya. Lemahnya memang ketara. Badannya kadang-kadang terasa panas. Begitu juga di bahagian kepalanya.

Apa yang pasti, kembalinya sentiasa dinantikan. Pergerakan ini sangat memerlukannya. Jahillah orang yang berkata, seorang pejuang mempunyai era berjuang, seperti tempoh-tempoh bertanding seorang politikawan.

5.1.10

Janggal Dengan Kelembutan Sikap PAS Dalam Isu Kalimah Allah

1. Isu kalimah Allah menjadi pertikaian antara sesama orang Islam melebihi perbahasan antara muslimin dan nasara. Melihat kepada perbahasan akademik, memang pengikut agama samawi layak menyebut tuhan mereka dengan kalimah Allah.

2. Saya tidak nampak ada isu menyalahgunakan kalimah itu dengan menghina tuhan mereka sendiri.

3. Allah yang sama kita esakan dan Allah yang sama mereka syirikkan. Bagaimana menafikan nama Allah pada Allah? Tentang merosakkan agama asal Nabi Musa dan Isa alaihimassalam, itu sangat jelas pada umat Islam yang belajar.

4. Melihat pula pada peranan PAS menggerakkan maksud "iqamatuddeen wa siasatuddunya bihi" dan maksud pada "hifzuddeen", amatlah janggal jika PAS berlembut.

5. Anak saya mungkin akan pening jika dia dimaklumkan oleh rakan sekelasnya, 5 tahun nanti, "kesian anak "Allah" yang disalib" pada cuti krismas tahun itu.

6. PAS membuat keputusannya hanya melalui Mesyuarat Jawatankuasa Politik Pusat, bukan Majlis Syura Ulama? PAS lebih melihat kepada isu politik semasa? Atau sudah letih mendengar tuduhan; inilah suara2 Umno dalam parti, maka setiap pendirian mesti berlainan?

2.1.10

Cabaran PAS 2010 - Beberapa Isu Yang Perlu Ditangani

Bismillah. Tahun baru telah menjelma. Penuh dengan harapan dan keazaman.

Sepanjang tahun 2009, isu-isu politik lebih mewarnai cerita-cerita dan berita-berita di negara ini. Usaha untuk mengelak daripada memikirkan isu-isu politik sentiasa sukar. Ruang yang ada di mana-mana, biasanya dipenuhi degan cerita politik, walaupun pada masa tertentu, persoalan berkaitan ekonomi negara lebih wajar diketengahkan.

Bila saya bicara soal politik, selalunya ia berkaitan parti Islam di Malaysia ini, iaitu PAS. 2010 adalah tahun ke 59 usia PAS. 9 tahun telah memasuki fasa kedua 100 tahun tempoh perjuangannya. Banyak yang mesti disetelkan oleh parti ini untuk tempoh 2010.

Saya kurang minat membicarakan kebobrokan Umno. Kurang ghairah menyerang parti ini sama ada di dalam usrah mahupun di blog ini. Jarang-jarang sahaja melepaskan geram terhadapnya. Ini kerana perihal Umno ini ramai yang dah tahu dan faham benar posisinya. Busuknya pun sentiasa berulang dan berputar ke 'daerah' yang sama. Blog yang menyerangnya juga sangat banyak, diketuai oleh Harakahdaily.net.

Mari kita senaraikan isu-isu kritikal yang mesti PAS tangani sepanjang tahun baru ini untuk dijadikan asas kepada gerakerja parti. Berikut adalah apa yang saya fikir parti perlu selesaikan dengan seberapa segera:

1. Penyatuan dan persamaan fikrah, azam, cita-cita, pelan dan tindakan bagi setiap seorang ahli jawatankuasa parti di peringkat nasional.

2. Pastikan punca sering berlakunya perbezaan pandangan yang agak kronik, sehingga maklumat-maklumat tertentu yang sangat penting dan rahsia terlepas daripada bilik mesyuarat utama bangunan di Jalan Raja Laut.

3. Siapakah yang sentiasa membina blok pandangan yang sentiasa bercanggah antara satu sama lain. Apakah perbezaan itu berpunca daripada isu itu sendiri dan terbentuk secara spontan atau sudah terbentuk blok/grup yang mempunyai organisasi gelap dalam parti serta dilandasi oleh pelan dan objektif tertentu.

4. Mengembalikan imej dan kewibawaan Presiden dan Mursyidul Am PAS yang tercalar dengan isu-isu yang gagal dijelaskan secara menyeluruh dan meyakinkan oleh parti.

5. Mengembalikan atau memulakan nafas baru keremajaan parti dengan menonjolkan tokoh-tokoh muda yang menjiwai semangat dan ruh PAS akar umbi tetapi berperwatakan moden dan berpendidikan, di peringkat nasional.

6. Mengukuhkan institusi Majlis Syura dengan tokoh yang bersih dan tidak dilihat memihak dalam isu-isu tertentu serta tidak memegang posisi eksekutif. Perubahan segera perlu, walaupun kelihatan sukar dilakukan.

7. Selesai dan sempurnakan pelan tindakan nasional PAS dalam penyertaan terhadap Pakatan Rakyat. Tidak wajar penyertaan parti ke dalam pakatan disarati dengan perbezaan pada konsep dan tindakan di kalangan pimpinan tertinggi. Penyertaan dengan kesatuan dan kefahaman separuh masak, tambahan pula selepas berlangsungnya konvensyen pertama PR akan lebih membawa parti ke kancah fitnah yang berpanjangan. Tetapkan konsep dan dasarnya. Bulatkan keputusannya. Yang tegar membantah selepas itu, eloklah melihat parti lain yang bersesuaian dengan caranya. Perbezaan yang berlaku kini, dalam usaha mendokong PR bukan lagi perbezaan kecil dan remeh. Ia sangat besar dan semakin membesar.

8. Presiden perlu disokong oleh satu pasukan yang mantap bagi membantunya dalam menjalankan kerja parti, selain barisan pimpinan di peringkat nasional. Kumpulan pemikir dan perangka dasar ini, turut memainkan peranan dalam pengimejan dan propaganda untuk Presiden. Presiden mesti bangkit dengan imej lebih ceria, semasa, berpengetahuan luas serta tegas. Ramai yang bercakap, ketegasan Presiden mesti ditingkatkan. Dan seterusnya, jangan hanya cukup memiliki imej ulama sebagai penonjolan dengan moto ulama juga mampu memimpin. Era itu sudah berakhir. Kini, era memimpin satu Malaysia dengan konsep Islam yang menenangkan jiwa jiwa seluruh warga Malaysia. Pemikir-pemikir ini mesti bertindak pantas.

Itulah antara yang sempat saya muatkan dari sini. Wallahu a'lam

02012010
Pulai Perdana