2.1.10

Cabaran PAS 2010 - Beberapa Isu Yang Perlu Ditangani

Bismillah. Tahun baru telah menjelma. Penuh dengan harapan dan keazaman.

Sepanjang tahun 2009, isu-isu politik lebih mewarnai cerita-cerita dan berita-berita di negara ini. Usaha untuk mengelak daripada memikirkan isu-isu politik sentiasa sukar. Ruang yang ada di mana-mana, biasanya dipenuhi degan cerita politik, walaupun pada masa tertentu, persoalan berkaitan ekonomi negara lebih wajar diketengahkan.

Bila saya bicara soal politik, selalunya ia berkaitan parti Islam di Malaysia ini, iaitu PAS. 2010 adalah tahun ke 59 usia PAS. 9 tahun telah memasuki fasa kedua 100 tahun tempoh perjuangannya. Banyak yang mesti disetelkan oleh parti ini untuk tempoh 2010.

Saya kurang minat membicarakan kebobrokan Umno. Kurang ghairah menyerang parti ini sama ada di dalam usrah mahupun di blog ini. Jarang-jarang sahaja melepaskan geram terhadapnya. Ini kerana perihal Umno ini ramai yang dah tahu dan faham benar posisinya. Busuknya pun sentiasa berulang dan berputar ke 'daerah' yang sama. Blog yang menyerangnya juga sangat banyak, diketuai oleh Harakahdaily.net.

Mari kita senaraikan isu-isu kritikal yang mesti PAS tangani sepanjang tahun baru ini untuk dijadikan asas kepada gerakerja parti. Berikut adalah apa yang saya fikir parti perlu selesaikan dengan seberapa segera:

1. Penyatuan dan persamaan fikrah, azam, cita-cita, pelan dan tindakan bagi setiap seorang ahli jawatankuasa parti di peringkat nasional.

2. Pastikan punca sering berlakunya perbezaan pandangan yang agak kronik, sehingga maklumat-maklumat tertentu yang sangat penting dan rahsia terlepas daripada bilik mesyuarat utama bangunan di Jalan Raja Laut.

3. Siapakah yang sentiasa membina blok pandangan yang sentiasa bercanggah antara satu sama lain. Apakah perbezaan itu berpunca daripada isu itu sendiri dan terbentuk secara spontan atau sudah terbentuk blok/grup yang mempunyai organisasi gelap dalam parti serta dilandasi oleh pelan dan objektif tertentu.

4. Mengembalikan imej dan kewibawaan Presiden dan Mursyidul Am PAS yang tercalar dengan isu-isu yang gagal dijelaskan secara menyeluruh dan meyakinkan oleh parti.

5. Mengembalikan atau memulakan nafas baru keremajaan parti dengan menonjolkan tokoh-tokoh muda yang menjiwai semangat dan ruh PAS akar umbi tetapi berperwatakan moden dan berpendidikan, di peringkat nasional.

6. Mengukuhkan institusi Majlis Syura dengan tokoh yang bersih dan tidak dilihat memihak dalam isu-isu tertentu serta tidak memegang posisi eksekutif. Perubahan segera perlu, walaupun kelihatan sukar dilakukan.

7. Selesai dan sempurnakan pelan tindakan nasional PAS dalam penyertaan terhadap Pakatan Rakyat. Tidak wajar penyertaan parti ke dalam pakatan disarati dengan perbezaan pada konsep dan tindakan di kalangan pimpinan tertinggi. Penyertaan dengan kesatuan dan kefahaman separuh masak, tambahan pula selepas berlangsungnya konvensyen pertama PR akan lebih membawa parti ke kancah fitnah yang berpanjangan. Tetapkan konsep dan dasarnya. Bulatkan keputusannya. Yang tegar membantah selepas itu, eloklah melihat parti lain yang bersesuaian dengan caranya. Perbezaan yang berlaku kini, dalam usaha mendokong PR bukan lagi perbezaan kecil dan remeh. Ia sangat besar dan semakin membesar.

8. Presiden perlu disokong oleh satu pasukan yang mantap bagi membantunya dalam menjalankan kerja parti, selain barisan pimpinan di peringkat nasional. Kumpulan pemikir dan perangka dasar ini, turut memainkan peranan dalam pengimejan dan propaganda untuk Presiden. Presiden mesti bangkit dengan imej lebih ceria, semasa, berpengetahuan luas serta tegas. Ramai yang bercakap, ketegasan Presiden mesti ditingkatkan. Dan seterusnya, jangan hanya cukup memiliki imej ulama sebagai penonjolan dengan moto ulama juga mampu memimpin. Era itu sudah berakhir. Kini, era memimpin satu Malaysia dengan konsep Islam yang menenangkan jiwa jiwa seluruh warga Malaysia. Pemikir-pemikir ini mesti bertindak pantas.

Itulah antara yang sempat saya muatkan dari sini. Wallahu a'lam

02012010
Pulai Perdana

No comments: