26.1.10

Menziarahi Guru Yang Berjuang

Menziarahi guru yang selama ini banyak berjasa kepada diri saya, memang menimbulkan seribu satu perasaan. Terkenang pelbagai memori bersamanya. Di perantauan, di Terengganu, di Kelantan, di Lembah Kelang dan di Tasik Prima.

Lebih menekan, bila ziarah itu untuk seorang petugas agama yang direhatkan oleh Allah Ta'ala, daripada kesibukan aktiviti dianah dan siasah yang dilaziminya sejak menjejakkan kaki ke Malaysia dari bumi ilmu bumi wahyu.

Dengan memberikan rehat paksa yang sementara, beberapa hari di hospital sebelum boleh pulang ke rumah, mudah-mudahan kerehatan itu turut meruangkan kepada suntikan semangat baru dan berterusan beliau dan rakan petugasnya. Begitulah yang saya mahu andaikan.

Saya tidak mahu mengandaikan yang beliau telah menerima isyarat penghujung perjuangan. Atau isyarat memperlahankan pergerakan, perlahan demi perlahan.

Yang jauh merasakan beliau tokoh yang keras. Tetapi yang dekat menikmati sentuhan keayahannya, keabangannya, kemurabbiannya dan kepemimpinannya.

Dia penuh dengan rendah diri. Jarang-jarang mahu mendahului berkenyataan. Berbincang dengan cara hikmah. Yang kecil dihargai dan yang besar disanjungi. Tidak berminat menonjol dan mudah didekati. Siswa adalah medannya dan graduasi adalah pengiringnya.

Jika dilihat keras, maka kerasnya adalah pada berhujah dan berilmiah. Dia mampu berhujah maka dia tegas dengan hujahnya, bila yang menandinginya pula tidak berhujah betul atau tidak berhujah langsung.

Dalam pertemuan-pertemuan, dia lebih suka jarang berkata-kata. Penandingnya pula lebih suka kalau dia tiada di situ. Itulah sedikit perihal keras atau tegasnya.

Kini, beliau masih berehat, pada segalanya. Pergerakan, percakapan, tindak balas dan penulisannya. Lemahnya memang ketara. Badannya kadang-kadang terasa panas. Begitu juga di bahagian kepalanya.

Apa yang pasti, kembalinya sentiasa dinantikan. Pergerakan ini sangat memerlukannya. Jahillah orang yang berkata, seorang pejuang mempunyai era berjuang, seperti tempoh-tempoh bertanding seorang politikawan.

No comments: