21.7.10

SATU DESTINASI BERSATU PADU


Ketika ini fikiran saya banyak menjurus kepada bertanya kepada jiwa-jiwa para pendakwah, pelobi agama, penganjur program Islami dan pembina Jamaah. Saya mahu menjadi sebahagian daripada mereka. Lantas saya juga bertanya pada diri sendiri.

Apa yang saya dapat daripada penyertaan ini? Syurga? Pahala? Rahmat? Pujian?

Saya cuba mencari-cari tanda bagi hasil yang diperolehi. Bagai rezeki yang Tuhan kurniakan, keberkatannya dapat dilihat daripada penggunaan rezeki tersebut. Kalau ke panggung wayang jua perginya, tentulah ada sesuatu yang mesti dilakukan terhadap punca, hasil mahupun kelakuan semasa rezeki itu diusahakan. Kalau ke rumah-rumah ibadah, rumah-rumah amal, alhamdulillah.

Begitu juga kerja yang kita lakukan atas nama agama, dakwah, ibadah, kebajikan dan soleh.

Apa hasil kerja kita? Apa natijahnya? Masyarakat makin kenal Tuhan mereka atau hanya kita mampu menambah jumlah program? Jamaah makin kukuh atau kita hanya mampu menambahkan jumlah peluh yang memercik?

Saya masih sukar menerima penyataan banyak masalah yang berlaku kerana buat kerja adalah lebih baik daripada tidak bermasalah sebab tidak buat kerja. Kenapa kita mesti bermasalah sesama pengejar syurga, pahala dan rahmat? Kenapa mesti ada berantakan? Mesti ada sesuatu yang terjatuh daripada jinjingan kita.

Tingkatan kita bukan lagi seperti dulu, yang sukar segalanya. Kini, Tuhan banyak memudahkan. Maka jika sekali masalah berlaku atas nama kerja, periksalah segera pada diri masing-masing. Tidak perlu menuding sana sini. Jangan dicop awal-awal terhadap si anu si ani. Pantas mengorek qasad di jiwa. Kemudian periksa matlamat setiap program. Terus perbetulkan cara berkomunikasi sesama kita. Yang syubhah hendaklah diperjelaskan secepat mungkin.

Saya amat mengingati pesanan As Syahid Hasan alBanna bahawa kekuatan paling ampuh ialah kesatuan yang mantap.

Mudah-mudahan kita lebih menghitung rahmat Allah, bukan banyaknya kerja kita, atau kurangnya kerja mereka, atau lemahnya mereka, atau hebatnya kita. Kita hitunglah semakin dekatkah kita sesama kita atau sudah semakin jauh kedudukan kita yang sebenarnya sedang pergi ke satu destinasi yang sama.

Wajarkah ada dua jalan berbeza untuk satu destinasi? Kita akui ia tidak begitu. Tetapi ia seperti begitu jadinya. Di sinilah medan mujahadah kita. Teman-teman dan saya sendiri.

No comments: