19.7.10

SIRI DAE JO YOUNG SARAT DENGAN SENI STRATEGI DAN TAKTIKAL


Sebelum Li Kaigu membuat apa-apa tindakan pantas demi menjaga kaum Khitan daripada ancaman yang disangkakan akan datang daripada orang-orang Dae Jo Young, Sir Chin, ketua taktikal Khitan telah menyediakan satu perancangan rapi lebih pantas, iaitu membunuh Dae Jo Young.

Tindakan beliau dibuat secara diam-diam, hatta tanpa pengetahuan Li Kaigu. Sir Chin banyak melakukan hasutan jahat terhadap Li Kaigu dan pembesar-pembesar Khitan yang lain. Langsung tidak menghitung jasa orang-orang Dae Jo Young yang menyelamatkan mereka daripada serangan Tang.

Namun perancangan mereka ini telah dihidu oleh ketua taktikal Goguryeo, Mimosa. Panglima-panglima Dae Jo Young bersiap sedia bagi mempertahankan Dae Jo Young yang sedang lena tidur selepas mabuk bersama Raja Khitan.

Apa yang menarik dalam kisah ini ialah perancangan teliti dan strategi masa depan yang ditunjukkan oleh pihak bertelagah. Lebih menarik di pihak Tang, taktik hebat yang mereka gunakan datangnya dari Ketua Panglima Tang sendiri, Xue Rengui. Beliau telah mencadangkan kepada Maharani Tang, Wu Zetian, kaedah pecah dan perintah.

Tang berjaya memecahkan kesatuan pakatan Goguryeo dengan Khitan apabila mengikhtiraf bapa Dae Jo Young, Dae Jungsang sebagai pemerintah di bumi Khitan. Pertelagahan tercetus. Kawasan perkampungan orang-orang Goguryeo yang ditawan Khitan dikepung tentera Khitan. Keadaan makin panas apabila Raja Khitan masih terlantar tidak sedarkan diri. Masing-masing cuba mencari strategi untuk terus bertahan. Demi masa depan diri, keluarga dan pengikut.

Dalam keadaan begini, apa sahaja boleh terjadi. Emosi mesti dibuang jauh-jauh. Ketua taktikal mesti memainkan peranan penting.

Maharani Wu Zetian pula, apabila merasakan sudah berjaya memecahkan dua musuh ketat mereka, tanpa mengenang kesusahan rakyat dan keperitan ekonomi, masih mahu memperluaskan kuasanya dengan arahan penghantaran bala tentera ke kawasan jajahan Turk. Arahan ini diterima Xue Rengui sekadar untuk bermuka. Beliau lebih mahu mendahulukan rakyat Tang daripada kemaruk kuasa rejim Zetian. Beliau pula akan mencipta strategi bagi mengutamakan orang bawahan yang hanya akan menjadi mangsa, jika perang tercetus lagi.

Menarik cerita ini. Dae Jo Young sanggup berpakat dengan musuh tradisinya, Khitan dan musuh peribadinya Li Kaigu demi menyelamatkan orang-orangnya di bumi Khitan daripada serangan Tang. Li Kaigu pula, yang sangat benci dan marah kepada Dae Jo Young, bersedia bersatu demi menentang Tang. Mereka cuba mengurangkan musuh demi berhadapan musuh lebih besar. Sanggup melupakan pertelingkahan sekian lama, demi masa depan pengikut masing-masing.

Strategi Dae Jo Young juga cukup menarik ketika berada di bumi Khitan. Mendekati Raja Khitan dengan menawarkan kerjasama ketenteraan. Sanggup berhadapan risiko ancaman terhadap dirinya sendiri, demi keselamatan pengikut. Menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada pakatan dengan Khitan, walaupun dia sedar ada pihak yang sedang berusaha merancang pengkhianatan. Beliau tidak mahu menunjukkan kekerasan selepas pakatan dimeterai. Seterusnya, menunjukkan kerjasama dan sikap tolong menolong yang tinggi di hadapan rakyat Khitan sehingga mereka amat terhutang budi dengan Dae Jo Young.

Drama ini banyak mengajar seni-seni politik pilihan raya, kepartian dan kesepakatan. Strategi masa depan juga ditonjolkan oleh siri ini. Banyak yang boleh dipelajari.

No comments: