2.7.10

SEBUAH PERJALANAN PENUH BERISIKO

Semalam saya menggunakan Yamaha 125 untuk kali pertama selepas dua minggu menggunakan kereta. Sebaik melihat cuaca sangat mendung kira2 jam 6pm, saya bergegas mengemas meja untuk pulang ke rumah. Perancangan untuk bermain ping pong di opis dibatalkan.

Malang sekali, sebaik sampai di hadapan K Avenue - sebuah bangunan yang penuh bermakna bagi saya suatu ketika dahulu - hujan mula rintik. 'Park' motor di tepi jalan berdekatan kedai Nasi Lemak Antarabangsa di Ampang Park, mengenakan baju hujan dan sambung perjalanan.

Jalan seperti biasa. Sesak, laluan cilok yang sempit, percikan air dari hentaman tayar kenderaan dan terdapat pemandu kereta yang kurang menghargai nyawa penunggang motor. Harapan agar rintikan hujan menemani sepanjang jalan ke Puchong mengecewakan. Harapkan rintik sepanjang jalan, lebat jua yang diterima. Di hadapan Kedutaan AS saya 'park' sekali lagi untuk mengenakan seluar pula. Tetapi masih menggunakan kasut kerana saya fikir agak bahaya memakai selipar dengan hujan yang sangat lebat ini.

Perjalanan diteruskan di bawah hujan yang lebat demi pulang ke rumah. Kelihatan anak melambai2 dan isteri menanti dengan masakannya. Alang2 basah, biarlah lenjun. Ada yang menyebut lencun.

Ketika inilah saya memikirkan tentang kebajikan kami sebagai penunggang dan pembonceng motosikal di Lembah Klang. Kami basah jika hujan. Kami mungkin cedera, mungkin parah, mungkin tiada lagi, jika dihentam kereta atau menghentam. Kami terpaksa berebut jalan dengan kereta2 yang laju. Kami tiada lorong khas di MEX. Kami terdedah dengan air, percikan, panas terik, lambungan batu, ludahan manusia dan sebagainya. Satu sahaja lebih berbanding pemnadu kenderaan, kami tidak membayar tol. Tetapi itu tidak berbaloi dengan keselamatan dan nyawa kami.

Ketika inilah saya juga berfikir, siapakah di Parlimen sana yang memikirkan tentang hal saya dan teman2 penunggang. Apakah kami tersenarai pihak yang berkepentingan ketika mana-mana jalan raya di KL ini dibina. Apakah ada insuran yang disediakan oleh kerajaan jika kami menemui ajal kerana kesilapan pemandu kenderaan?

Sayang sekali jika perihal kami tidak pernah difikirkan oleh mana-mana wakil rakyat, khususnya daripada Pakatan Rakyat. Kami bukan hanya di lembah klang, tetapi seluruh negara. Jarang sekali dengar tentang keselamatan kami didebatkan.

"Vroooomm"

Menyirap darah saya apabila kereta memecut laju sebelah saya dalam hujan yang lebat tadi. Apa lagi selain tawakkal, berdoa dan memikirkan dosa yang banyak.

"Ya Allah, dosaku sangat banyak, belum bersedia untuk sebarang insiden tidak diingini. Selamatkan aku."

"La Ilaha illa Allah". Huh, banyak kali saya mengucap. Sambil menjeling ke cermin motor, menyaksikan kenderaan tidak henti2 datang mendekati dari arah belakang.

Kelihatan juga ER6 memecut di hujung hiway sebelah kanan. Agaknya motor ini berat, mantap dan stabil sehingga penunggangnya berani melajukan putaran rodanya. Bisik saya. Itukah moto ku nanti? Saya mengimpikannya.

Sampai di exit Sri Petaling, saya membuat pusingan di kawasan larangan. Terus berhenti di bawah lebuh raya tadi. Merehatkan motor dan badan seketika. Buka baju dan seluar hujan, tukar kasut dengan selipar dan mengibas-ngibas baju hujan. Rehat sambil berfikir panjang. Macam2 saya fikir di bawah lebuh raya itu. Pusara lebuh raya? Istana menanti? Hujan yang turun bagaikan air mata? Huhuhu.

Sempat memeriksa telefon bimbit yang basah sedikit. Baca sms dari isteri. "Puchong macam nak hujan lebat". Dalam hati saya bisik, "suamimu tengah lenjun ni."

Kurang lebih 10 minit, saya bergerak menuju ke Petronas di KESAS. Mengisi minyak petrol dan 2T. Pecut semula 125 yang saya pinjam menuju ke Puchong. Meninggalkan Petronas dan kenangan. Hujan sedikit reda. Kenderaan setia dengan laju mereka. Tak pandang langsung kami yang naif ini. Di KESAS ada lorong sikal. Namun saya tidak menggunakannya kerana dah terlajak melepasi jalan masuknya.

Masih berfikir tentang keselamatan. Kereta laju. Kami salah kami teruk. Pemandu salah kami teruk. Apakan daya, itulah caranya mencari nafkah untuk diri dan keluarga.

Alhamdulillah, sampai ke rumah dengan selamat. Perjalanan hampir sejam.

Badan sejuk kerana ada air yang mengalir masuk di celah2 zip baju hujan. Rambut basah sedikit. Kaki kecut. Tetapi isu keselamatan kami belum reda. Belum selesai. Malam ini, esok, lusa dan seterusnya, nyawa kami sentiasa terdedah dengan sebarang kemungkinan.

"Abah. hahahahahaha." Inilah satu2nya yang menenangkan saya dengan apa sahaja stress yang saya hadapi. Anak tunggal saya akan gelak besar melihat saya balik. Tiap2 hari macam ni. kadang2 saya sampai aje rumah, terus main nyorok2 di daun pintu rumah dengan dia. Main kejar2. Kick the ball. Baru naik ke atas mandi.

Perjalanan begini memang stress. Keselamatan tiada jaminan.

Tapi satu sahaja yang saya puas dengan menunggang motosikal. Jika saya tertekan dengan kerja, atau apa sahaja masalah dalam hidup ini, saya akan memecut laju di lorong sikal KESAS. Menerjah angin yang datang dari semua arah. Ketika inilah saya rasa seperti terbang ke langit, mencari impian meninggalkan masalah...

Malam ini satu lagi perjalanan berisiko. Moga diselamatkan Allah.

No comments: