Begitu dekat di hati saat-saat bercinta dahulu. Semuanya indah. Walau kadang-kadang pahit seringkali menghambat.
Saat pertama memandang wajahnya, terpasak di hati, inilah impian hidupku. Jiwa bertukar gementar tidak semena-mena. Mata langsung tidak berkedib. Senyuman terukir jauh di sudut hati. Tidak mahu menzahirkannya pada bibir bimbang-bimbang ada yang memerhati. Pipi kian basah.
Aku bergegas mengingatkan matlamat hadirnya diriku di bumi ini. Aku mulakan langkah dengan penuh semangat. Menghampirinya. Hampir mendakapnya. Tapi itu mustahil. Aku pasang niat suciku di situ juga. Kaki kanan ku mula mengorak langkah di sampingnya.
Sepanjang perjalanan itulah aku mentaqdiskan Ilahi dengan pelbagai zikir, memintaNya dengan bermacam-macam doa. Segala kekuranganku, ku pohon Ilahi membaikinya. Segala kekasaranku, moga dilembutkan. Kemalasanku dirajinkan. Keegoaanku dicairkan. Keburukanku dibetulkan. Kejauhanku didekatkan. Kehilanganku dizahirkan. Aku pasrah pada setiap ketentuanMu Ilahi.
Kini aku amat merinduimu. Sangat-sangat. Tidak tergambar, sukar diungkap. Aku akan pastikan kita bertemu di penghujung kesilapanku. Di awal tahun hadapan. Aku merinduimu ‘Rumah Allah’.
No comments:
Post a Comment