6.7.10

MERENUNG KL AKAN DATANG




Malaysia adalah sebuah negara yang cukup indah.

Masuk sesi kedua mesyuarat seminggu kami, beralih angin mencari kelegaan dan kelepasan sambil meneruskan agenda mesyuarat di rumah rehat kerajaan di Bentong. Dewan separa besar disewa untuk membincangkan produk-produk yang belum selesai seperti Cross Currency Swap dan Special Investment Account.

Bermula jam 11am kami memulakan perbincangan. Berhenti solat dan makan tengahari. Sambung semula sehingga asar. Seusai asar, terus meninggalkan rumah rehat menuju ke Chamang.

Ya, sebuah air terjun yang menakjubkan. Kekayaan milik Allah yang dipinjamkan buat warga Pahang. Masih segar. Suci. Tidak dikotori dengan maksiat terancang seperti rosaknya keindahan Tanah Tinggi Genting yang dicemari oleh kaki-kaki judi.

“Wallahi, saya berfatwa haram datang ke Malaysia jika matlamatnya bersiar2 di Kuala Lumpur. Wanita bertabarruj. Dedah sana-sini.” Tegas rakan sekerja dari Riyadh, Muhammad yang berasal dari Yaman.

Tapi ia disanggah oleh gurunya dalam perbankan Islam, Syeikh Saleh. “Dulu saya mengharamkan hatta keluar dari Qasim. Kini bagi saya Malaysia adalah tempat terbaik untuk bercuti berbanding sesetengah negara Arab lain seperti Morocco, Syria, Mesir dan Lubnan.”

Namun semua sepakat, KL memang teruk dengan pelbagai fasad dan mungkar. Malaysia masih dikira ok untuk dilawati dengan mengambil kira pusat pelancongan luar bandar yang masih ok dalam banyak perkara, bukan kota yang rosak.

“Satu sahaja cara untuk aku datang ke sini lagi.” Kata Muhammad. “Aku akan ambil teksi dari KLIA terus ke Chamang.” Kami semua gelak hahaha.

Itulah gambaran sahabat-sahabat yang jarang-jarang terdedah dengan kefasadan, terhadap negara ini. Terhadap KL. Lantas bagaimanakah kita mampu menetap di sini dengan iman yang mantap. Tentu sahaja ada cara khusus yang mesti dicari. Kita mesti mendapatkannya.

Apa yang ingin saya sampaikan di sini secara sepintas lalu ialah, bagaimanakah anak kita membesar di kotaraya ini dalam 20 tahun akan datang?

Berapakah rakan-rakan mereka yang tidak langsung mengenali ayah mereka?
Berapakah rakan-rakan mereka yang menikmati kemanisan perkahwinan tanpa akad di usia remaja?
Berapakah rakan-rakan mereka yang masih lagi berbual tentang menjaga hati dan mata?
Berapakah rakan-rakan mereka yang sibuk menjaga solat?

Semua ini menolak saya untuk mengimpikan kedamaian di desa-desa yang penghuninya penuh dengan rasa tanggung jawab beragama dan tersebarnya hidayah di tengahnya dan di kalangan warganya.

Atau kita sebenarnya sangat terdesak untuk kembalikan negara ini kepada pencinta kedamaian hakiki penuh keimanan di hati.

No comments: