8.12.09

Guru Agama Perlu Objektif, PAS Perlu Muhasabah

Dua hari berturut-turut saya mengikuti dua seminar yang berkisar dua hal berbeza. Pertama soal pembinaan sahsiah diri sebagai guru agama serta peranan yang perlu dimainkan oleh guru-guru muda dan kedua analisa terhadap sokongan rakyat terhadap Pakatan dan PAS khususnya di Selangor.

Seminar pertama, banyak perkara yang dibincangkan. Dua isu yang menarik perhatian saya ialah peranan bertindih yang dilakukan oleh dua pihak yang diterajui oleh satu kelompok yang sama dan mutu penyampaian guru-guru agama yang selalunya subjektif, tidak berstruktur dan tiada objektif jelas. Satu kupasan yang cukup menarik oleh akh Faisal dan akh Azhar.

Banyak yang saya belajar. Memang betul, guru agama selalunya mengupas ke sana ke sini, tetapi tiada destinasi jelas atau penyelesaian terhadap isu yang dilontar sendiri. Maka terkial-kiallah pendengar mengaitkan dengan diri mereka. Contoh yang diberi sekitar 1400 tahun lalu, tetapi pendengar perlu mengaplikasinya dengan formula sendiri di pejabatnya di Jalan Ampang.

Kedua, kedudukan dan tanggapan rakyat terhadap Pakatan dan PAS. Cukup menarik perhatian ramai kupasan yang dilontarkan oleh Profesor Dr Abu Hassan.

Ringkasnya, kelemahan PAS secara umum ialah, strategi, penampilan pemimpin, komunikasi, terpisah dengan anak-anak muda, tiada pengganti yang jelas dan kelihatan konservatif dan radikal. Cabaran besar untuk semua yang mahukan Pakatan terus memerintah.

Tegasnya, ketika ini BN mendahului Pakatan!

Antara pesan akhir beliau, jangan terkeliru bahawa pada 2008, PAS mendapat sokongan kerana terdapat lapisan nipis fenomena PKR menutupi realiti dalaman PAS yang kini telah terdedah kepada para pengundi.

Dulu, asal sahaja bukan Umno, kini PAS dibedah luar dan dalam.

Komen ringkas saya pula, di hati, mmm keserabutan pimpinan peringkat nasional dalam menyelesaikan isu-isu tertentu, meletakkan ahli dalam emosi yang sangat lemah dan para pengundi terkeliru. Kenapakah pimpinan sukar sangat bersatu dalam kata dan putus?

Semua yang berkaitan PAS mesti muhasabah!

No comments: