26.11.09

Hati Hati Di Permukiman 'Arafah

Malam Arafah adalah malam penuh keghairahan. Kerana esoknya, bermula pada detik suria menghampiri barat, manusia terus bersedia untuk berdiri lemah di hadapan Ilahi. Serahkan segalanya padaNya.

Disitulah, Arafah itu, hati hati menyahut seruan mulia menghampiri Pencipta yang abadi. Ya, ketika itu, sekujur badan tidak banyak ertinya. Anggota-anggota zahir, mungkin sedikit sedikit mencari hajat dan keperluan. Namun, makhluk hati bingkas bangun dari sedar, bersedia dengan satu pendedahan ikhlas, ibarat bicara akhir bersama Penghukum.

Ya, hati ini juga pernah di situ dan mendedahkan segalanya...sebelum kembali kepada sunnah Allah, bahawa yang fitrah itu, sukar terjaga jika gagal demi gagal muncul sepanjang perjalanan perjuangan sebuah kehidupan.

Hati-hati hati hati mendedahkan segalanya. Satu persatu terjelma di minda, mata berperanan menambah kesayuan, lidah menyokong dengan bait-bait sesalan, tangan terhulur tagih simpati segera dan nafas selari dengan zikrullah seluruh anggota.

Pada saat itu, apalah erti hidup tanpa keampunan, kemaafan dan RAHMAT Ilahi yang kekal abadi.

Maha Pengampun terus menjadi sasaran zikir, tagihan dan tangisan.

Ya Rabbi, inilah hati itu suatu tika dulu. Dan inilah hati ini, di sini ketika ini. Tetap menagih yang sama. Menangisi yang sama. Mengingati yang Sama.

Dulu Kau berikan. Kini tetap kupohon Kau berikan yang sama. Sebuah keampunan yang menjadikan jiwa dan hati ini kuat dan berterusan ingin mengenaliMu, mendekatiMu dan kekal dalam perjuangan merapatiMu.

Tiadalah erti hidup, tanpaMu di sisi sebagai Tuhan, ketika dan sentiasa, aku hamba yang penuh noda.

No comments: