24.4.08

Saya Dirempitkan

Hari ini, atau lebih tepat malam ini saya agak lega sedikit kerana tiada program parti atau masyarakat. Oh ya, sepatutnya saya mengajar kitab 'Taudih al-ahkam' Maghrib tadi, namun saya batalkan kerana ingin menemani emak yang sakit. Sudah lebih seminggu beliau demam. Jika esok masih belum sembuh, saya terpaksa mengambil 'emergency leave' lagi untuk urusan emak.


Sudah beberapa hari saya pulang ke rumah dengan berhujan. Dua hari lepas, nyaris-nyaris saya terjatuh daripada motor, gara-gara jalan licin ketika membelok untuk memasuki Jalan Klang Lama. Ketika itu muncul tiba-tiba sebuah kereta dari sebelah kiri, dan saya terus melakukan berek mengejut. Silap langkah, saya hanya menarik tali berek tayar hadapan, maka motor saya menggelungsur dalam beberapa kaki jaraknya secara luar kawal.


Kejadian hampir terjatuh atau hampir kemalangan telah saya alami lebih daripada 5 kali, sejak menunggangi motorsikal ke pejabat di pusat bandar Kuala Lumpur. Ia memang menggerunkan. Tapi tiada pilihan lain. Memandu kereta adalah suatu yang bukan lagi pilihan saya kerana masalah harga minyak, kesesakan pergi balik dan tol. Lagipun, kereta saya sekarang ini berada dalam kondusi tidak menguntungkan untuk dipandu ke tempat kerja. Oh ya, satu lagi kerana sukar mendapatkan parkir dengan bayaran murah di pusat bandar. Jika mengambil LRT, bermakna saya terpaksa berdiri lama untuk sampai ke Bukit Jalil.



Sejak menggunakan motorsikal di pusat bandar Kuala Lumpur, saya selalu mengingati kematian. Rekod menunjukkan penunggang motorsikal antara yang banyak terlibat dalam kemalangan maut. Ia berlaku sama ada berpunca daripada kelalaian mereka atau kecuaian pemandu kereta. Salah jadi mangsa, betul pun boleh jadi mangsa. Itulah risiko penunggang motorsikal.


Oleh itu, seringlah juga saya mengambil langkah perlindungan setiap kali menunggang, iaitu berdoa untuk selamat sepanjang perjalanan, sebagai syarat minimum. Doa inilah yang menyebabkan kita sentiasa memikirkan risiko dan bergantung sepenuhnya kepada Tuhan yang Maha Penyelamat.


Selain masalah kecuaian dua pihak, struktur dan kondusi jalan raya juga menjadi penyebab kepada kemalangan. Banyak jalan yang rosak dan berlubang di sekitar pusat bandar, selain struktur pembinaannya yang jauh daripada ciri-ciri keselamatan.


Antara laluan yang kerap saya ambil ialah lebuh raya LDP, Seremban- Sungai Besi, KESAS dan NPE. Struktur jalan di keempat-empat lebuhraya ini secara keseluruhannya baik, namun ada satu dua tempat yang sangat merbahaya. Ia sama ada laluan kecil sehingga menyusahkan penunggang mencelah antara kereta yang memecut laju, selekoh bahaya sebelum plaza tol, cat pada jalan raya yang tebal atau simpang berdekatan exit lebuh raya yang bersimpang-siur.


Siapa yang tahu semua ini kecuali kami yang menunggang? Saya percaya pemandu kereta yang tidak pernah menunggang motorsikal langsung tidak sedar betapa bahayanya nyawa penunggang yang mereka tidak hormati ketika memecut. Mereka tidak terfikir pun kesusahan yang dialami oleh kami. Oleh itu, kami selalunya tidak 'menang' dalam merebut laluan di lebuh raya. Paling menyampah ialah apabila pemandu kenderaan menukar laluan secara mengejut ke kiri atau kanan, tanpa memberi isyarat lampu. Mereka ini manusia yang tidak menghargai nyawa orang lain.


Saya sendiri telah mengalami keadaan itu banyak kali. Petang tadi juga turut saya alami. Jika sangat membahayakan, saya memang tak kisah langsung untuk menunjukkan kaki kepada mereka menandakan bantahan. Apalah ruginya mereka dengan tanda kaki itu berbanding ruginya kami apabila nyawa melayang, nauzu billah.


Setelah agak lama melalui semua ini, anda boleh berubah. Saya juga sudah mula berubah. Daripada penunggang yang berhati-hati, saya kini menjadi penunggang yang suka memecut. Ini semua kerana terpaksa, apabila anda tidak akan selamat jika memperlahankan motor di sesetengah jalan raya.


Contohnya, jika tiba-tiba di tengah-tengah lebuh raya Sungai Besi, kereta di hadapan anda tiada, dan di belakang kenderaan berderet, maka adalah langkah yang silap jika masih lagi menunggang secara sopan dan perlahan. Risikonya ialah berkemungkinan ada kereta yang akan memotong dari sebelah kiri dengan memecut laju dan ketika itu jika anda turut membelok rapat ke kiri dengan sopan santun, maka nahas mungkin berlaku. Sebelum ada kenderaan memintas, anda sepatutnya segera mengasingkan diri dari mereka. Langkah yang wajar ialah, memecut ke kiri segera.


Banyak lagi keadaan yang saya boleh ceritakan, bagi menggambarkan situasi-situasi yang mendidik anda menjadi seorang rempit. Saya tambah satu lagi. Selepas lampu hijau menyala, anda tiada pilihan selain memecut ke hadapan supaya mengelak daripada dilanggar jika terdapat sebuah kereta yang ingin memecut laju di belakang anda.


Ringkasnya, struktur jalan dan sikap pemandu kenderaan akan membentuk anda secara tidak langsung menjadi abang rempit ke pejabat dan pulang ke rumah. Saya juga terasa telah dirempitkan sedikit demi sedikit.


Siapakah yang dapat menyelesaikan masalah ini? Atau masyarakat tidak kisah jika rempitan terpaksa ini berleluasa?





No comments: