20.4.08

Ziarah, Perbankan Islam, Penasihat Shariah Untuk Negeri PR

Pada pagi ini kami sekeluarga merancang untuk menziarahi anak saudara yang telah pun dianugerahi 3 orang cahaya mata. Sejak beliau berpindah ke rumah baru, belum pernah lagi kami menjenguknya. Sebagai sanak saudara, seharusnya amalan ziarah ini dikerapkan. Bagi kita yang biasa dengan usrah, amalan ziarah adalah biasa. Namun, kadang2 kesibukan yang mencengkam menyebabkan jarang benar ziarah saudara-mara dapat dilakukan, atau terlupa kerana asyik berfikir untuk melawat anak-anak usrah atau sahabat segerakan Islam.


Paling utama ialah menziarahi orang tua kita. Saya, alhamdulillah, sejak dikurniakan anak 5 bulan yang lalu, emak adalah penghuni tetap rumah saya. Tiada masalah untuk melawatnya. Mungkin ini dianggap nikmat sampingan apabila memperolehi anak sulong kami, dan cucu kepada tuan Haji Sulong.


Banyak nikmat sampingan lain yang saya perolehi berkat kesabaran 5 tahun menanti cahaya mata. Itulah kepercayaan saya.


Pada 13 Ogos 2008, saya mula memasuki dunia karier baru yang tidak pernah saya fikir ianya akan menjadi kenyataan. Saya mula bekerja di Kuwait Finance House sebagai 'Customer Service Executive'. Kerja ini membawa saya mengenali ramai pelanggan bank daripada pelbagai golongan dan karenah. Itulah juga kali pertama saya terpaksa berjinak-jinak dengan bahasa Inggeris dalam pekerjaan, selain bahasa Arab yang turut dituntut, malah syarat utama ketika pekerjaan ini memerlukan pekerjanya.


Kira-kira 7 bulan kemudian saya berpindah angin ke bank Islam tempatan. Daripada sebuah bank antarabangsa saya bertukar ke bank tempatan, tetapi daripada karier sebagai pegawai khidmat pelanggan beralih sebagai pegawai shariah bank baru ini. Bagi saya ia adalah peralihan yang berbaloi dan banyak menepati citarasa dan minat, alhamdulillah. Semalam, genap sebulan saya bekerja sebagai pegawai shariah di EONCAP Islamic Bank Berhad, beribu pejabat di Jalan Raja Laut.


Semua ini, datang bersama anugerah seorang anak, bernama Ihsan Izziddeen Omar. Segala syukur bagi Allah ta'ala.



PERBANKAN ISLAM

Sebagai pekerja di sebuah bank Islam, antara tanggung jawab sosial dan agama yang perlu dilaksanakan ialah memberi penerangan secara langsung atau tidak langsung kepada masyarakat tentang kewajipan berurusan dengan perbankan Islam dalam setiap aspek kehidupan yang berkaitan dan perniagaan. kadang-kadang kedengaran tanggapan negatif terhadap sistem perbankan islam di negara ini, namun usaha berterusan perlu dilakukan oleh mereka yang berada di dalam industri. Dalam masa yang sama, sokongan masyarakat sangat diperlukan.


Apabila memasuki dunia ini, lebih terserlah kepada saya usaha bersungguh yang dilakukan oleh para ulama dan ilmuwan Malaysia untuk mengurus sistem ini. Keikhlasan mereka tidak dipertikaikan lagi. Kesungguhan mereka bukan kepalang. Hasilnya, alhamdulillah banyak kemajuan dicapai. Namun masih memerlukan usaha yang bukan sedikit. masih ada isu di sana-sini yang perlu diselesaikan. Kesimpulannya, ia berada dalam proses berterusan dan di atas landasan yang betul.


Harapan saya sebagai ahli PAS dan pekerja di dalam industri ini, kerajaan Pakatan Rakyat khususnya Kedah, Perak dan Selangor mengorak langkah agresif melibatkan diri dalam sistem ini sama ada sebagai pengamal mahupun penggerak.


Saya lihat banyak ruang yang boleh diisi. Pertama menjadi pengamal kepada sistem ini dengan meletakkan semua dana dan harta milik kerajaan negeri di dalam bank bersistem Islam. Keduanya, menggerakkan masyarakat muslim untuk meninggalkan perbankan riba dan beralih kepada perbankan Islam. Ketiga, memperbanyakkan seminar dan forum ke arah memahami dan memahamkan perbankan Islam untuk kakitangan kerajaan dan rakyat. Ramai ulama dan ilmuwan yang hebat dalam industri ini di Malaysia, namun mereka tidak popular di dalam akhbar, media elektronik atau di mata rakyat. Keempat, melaksanakan konsep-konsep produk perniagaan dan perbankan Islam dalam perjalanan korporat kerajaan negeri seperti konsep musyarakah, mudharabah, wadi'ah, rahn, wakalah dan lain-lain.


Saya percaya, untuk menjayakan semua yang saya coretkan di atas, lebih baik jika kerajaan negeri melantik penasihat Shariah kepada sama ada MB, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau setiap exco, supaya setiap urusan kerajaan negeri dan anak syarikat kerajaan negeri dijamin bertepatan dengan peraturan Shariah. Anak-anak syarikat kerajaan negeri seharusnya memiliki panel penasihat Shariah supaya setiap perniagaan dan kontrak yang diikat, tidak bersalahan dengan Shariah.



Insya Allah, ramai yang dapat membantu. Saya harapkan negeri saya Perak, segera memikirkannya, supaya benar-benar menjadi negeri berkebajikan dan mendapat keampunan.




1 comment:

Anonymous said...

selamat memulakan tugas di tempat kerja baru. semoga ia memberi kebaikan kepada tuan punya diri dan manfaat yang besar kepada jemaah