18.4.08

Khir Terus Desak, PR Jangan Leka

Apa yang dipaparkan di dalam Malaysiakini bahawa Dr Khir Toyo mahukan Pak Lah segera turun adalah sesuatu yang telus daripada bakal calon ketua anak-anak muda Umno ini. Saya menyifatkannya telus kerana beliau tidak berselindung untuk mengakui kekuatan yang dimiliki oleh Pakatan Rakyat dan bekas TPM, Dato' Seri Anwar Ibrahim.


Selanjutnya beliau juga telah meramalkan beberapa perkara seperti perancangan Anwar untuk memasuki gelanggang parlimen sebagai PM, undi tidak percaya tidak akan dilakukan segera dan kemungkinan ramai yang akan berpindah ke PR daripada kalangan MP BN.
Malah, saya juga ada mendengar, seorang menteri bakal melompat. Siapakah dia?


Kenapakah ketika Pak Lah mengumumkan langkah pro-aktif kerajaan untuk mensucikan sistem kehakiman negara, Khir masih lagi mendesak Pak Lah berundur? Apakah tindakan Pak Lah itu hanya akan menguatkan Pak Lah, sebaliknya tidak bagi BN? Atau Khir sebenarnya bimbang tentang kukuhnya legasi Mat Taib di bawah 'era baru' Pak Lah selepas terlingkup pada 8 Mac lalu? Era baru itu ialah era Pak Lah berusaha mendapatkan simpati rakyat melalui penonjolan 'keikhlasan dalam lemah' beliau!


Jika senario ini diteliti, saya percaya ia ada kaitan langsung dengan kain-kain rentang yang mendesak supaya Pak Lah segera menyerahkan baton kepada Najib.


Walau apapun yang berlaku, pemimpin PR di Selangor jangan leka dengan dua perkara yang ingin saya nyatakan ini. Sekurang-kurangnya, ini pandangan orang kecil di bawah




Pertama, jangan leka dengan ucapan-ucapan Anwar untuk menguasai kerajaan Persekutuan, sebelum ianya berlaku. Saya tegaskan sedemikian kerana saya percaya hanya beliau dan beberapa orang di sekelilingnya sahaja yang memahami dan tahu duduk sebenar gerakan itu. Saya yakin, ramai pemimpin PKR sendiri yang tiada maklumat jelas dan lengkap. Paling tidak, mereka tidak tahu jumlah sebenar dan bilakah peralihan itu akan menjadi kenyataan.


Jika anda semua leka, bermakna anda hanya akan menanti saat penting itu sebelum bertungkus-lumus untuk turun ke padang bagi membantu rakyat. Kami tahu, anda di Selangor ini sedang kepeningan memahami kerja sebagai pemimpin negeri dan juga pening memikirkan bebanan tugas dan tekanan daripada bawah, oleh rakyat.
Benar kata Anwar, jika takut dengan risiko, jangan sebut pasal perjuangan. Jika sudah masuk ke gelanggang, nah turunlah melihat rakyat. Apa kes, apabila ada wakil rakyat PR yang susah dihubungi?


Kedua, jangan leka dengan tugasan kerajaan dan kepopularan mengejut sebagai MB/Exco/ADUN sehingga lupa menjenguk petugas-petugas dan program parti masing-masing. Saya diceritakan, semasa PAS memerintah Terengganu, ada pimpinan yang terlupa seketika kepada parti. Saya dengar cerita, tidak melihatnya. Namun, faktor itu memang boleh memberi kesan negatif kepada kelangsungan perjuangan kita.



Bagi ahli PAS, jangan kita lupa perjuangan kita bermula dari mana. Bagi pemimpin pula, jangan ada yang sudah berat untuk menjenguk surau usang, masjid kelam dan markas tersorok, ketika diri anda sudah mudah menjengah ke masjid negeri, hotel mewah dan dewan serbaguna.


Ingatlah, kemenangan yang kita perolehi ini hanya seketika. Allah hanya memberi kita paling sekejap 3 tahun, paling lama 5 tahun. Selepas itu kita akan kembali berperang undi dan belum tentu kemenangan ini akan berulang. Terserah kepada Allah ta'ala setelah melihat kesungguhan dan keikhlasan kita kini.


Ayuh, marilah kita sempurnakan yang ada di hadapan mata sekarang ini. Jangan leka, rakyat Selangor semakin tertanya-tanya.

No comments: