17.4.08

Ahli Umno Selangor Masih Belum Berubah



Entri sebelum ini bukanlah bertujuan untuk mendapatkan tarikan daripada pembaca Malaysiakini. Saya pun tidak terfikir untuk menerima penghormatan ini daripada pihak Malaysiakini - yang menyiarkan nama saya di ruangan 'Mkini in blogs' - yang sememangnya menjadi rujukan harian saya dalam mengikuti perkembangan Malaysia, selepas Harakahdaily. Walau apapun, terima kasih kepada Malaysiakini. Kadang-kadang berita berkaitan PAS juga mendapat liputan lebih awal daripada Malaysiakini berbanding Harakahdaily.


Saya memasukkan entri tersebut kerana, itu kali pertama saya membacanya. Keduanya, bukanlah suatu budaya pimpinan Umno memuji ahli PAS. Paling tidakpun mereka memuji Tuan Guru Nik Abdul Aziz, yang bagi kita semua selayaknya dipuji. Tetapi untuk ahli PAS, daripada pihak DAP pun jarang sangat.


Kecualilah semasa pilihan raya yang lalu. Saya pernah berceramah sepentas dengan Gobin Singh Deo, wakil rakyat parlimen Puchong kini, dan ketika itu beliau sememangnya memuji kerja bersama yang ahli PAS dan Barisan Rakyat Puchong lakukan. Sehingga saya boleh memberi gambaran, Gobin tetap terhutang budi dengan kerjasama PAS Puchong yang banyak menyediakan pentas untuk beliau, termasuk seawal hari penamaan calon lagi.


Jadi apabila Mat Taib memuji, itu suatu penghormatan bermakna daripada seorang lama yang penting balik, dalam Umno. Tetapi bagi ahli Umno, seperti belum menunjukkan apa-apa kesedaran dalam hal ini. Saya merujuk apa yang berlaku di cawangan saya. Tidak ketara langsung perubahan pada susuk tubuh dan tindakan mereka. Masih seperti membenci kami, sedangkan kerajaan sudahpun bertukar. Cuma dalam ramai-ramai mereka, ada seorang yang telah mengucapkan tahniah kepada saya, sambil melekehkan hasrat bekas MB Selangor untuk bertanding sebagai KP Umno. Beliau memang kami tahu merupakan antara orang kuat Mat Taib di Puchong dan pernah dahulu mengaku terlibat dalam menghantar pengundi hantu Selangor ke Terengganu, untuk PRU pada tahun 2004.


Bagi saya, kekalahan yang dialami oleh Umno Selangor ini seharusnya menjadi peluang kepada orang-orang Melayu Selangor untuk berani mendekati kami, penggerak Pakatan Rakyat.


Jika mereka kaki surau, mereka ada penceramah PAS untuk didengari dan didekati. Jika mereka berminat dengan khidmat masyarakat, mereka ada bekas calon PAS di DUN Seri Serdang untuk dibantu. Jika mereka memerlukan bantuan, mereka boleh merujuk kepada Pusat Khidmat Masyarakat PAS, ahli majlis MPSJ yang akan dilantik nanti dan juga JKP yang dikuasai oleh parti gabungan PR. Jika mereka malu dengan PAS, mereka boleh mendekati PKR. Jika mereka tidak suka orang-orang PKR, mereka boleh berjinak-jinak dengan PAS. Jika mereka mahu kelainan, boleh berkenalan dengan orang-orang DAP. Semua boleh asalkan meninggalkan 'kati purba' BN yang semakin senget dan usang.


Kecualilah jika mereka sama sahaja dengan kebanyakan pemimpin Umno yang tidak fikir langsung soal bangsa dan agama, selain poket dan perut. Ketika itu, mereka akan terus bersama kepurbaan mereka demi ada sedikit peluang dan ruang untuk membolot mana yang sempat.


Mat Taib, kini menjadi buruan mereka untuk meneruskan agenda projek dan projek di Selangor. Oleh itu Khir Toyo akan dilupakan terus, melainkan berjaya menjadi ketua-ketua orang muda Umno. Agaknya, mereka juga percaya PR tidak lama memerintah, maka terus setia dengan Umno.


Tetapi siapa pula mereka yang mahu menjatuhkan Pak Lah yang melantik Mat Taib menjadi orang besar Umno Selangor? Saya percaya Umno Selangor kelam kabut kini.




No comments: