15.6.08

Siasah Syariah Di Negeri Pakatan - Malaysiakini

Jun 14, 08 2:36pm

Dewan Pemuda PAS Pusat kini dalam proses merangka agenda untuk melaksanakan undang-undang Islam, Siasah Syariah, di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang, kata Timbalan Ketuanya, Azman Shapawi.

Beliau dipetik sebagai berkata, antara perkara yang bakal dilaksanakan dalam Siasah Syariah ialah berkaitan dengan pengharaman tempat perjudian, menghadkan premis penjualan arak, dan etika pakaian di pejabat. Sebuah jawatankuasa, tambahnya, telah ditubuhkan bagi membincangkan dengan lebih terperinci pelaksanaannya di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor .

"Kita akui bukan mudah untuk melaksanakannya kerana di beberapa negeri pembangkang seperti Pulau Pinang dan Perak, PAS hanya mempunyai suara yang terhad. Bagaimanapun, kita akan cuba sedaya upaya dalam hal ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Kelantan ke-49 di Kota Bharu hari ini.

Menurut laporan Bernama, Azman Shapawi berkata satu seminar untuk membincangkan perkara ini di kalangan anggota Pemuda PAS seluruh negara, akan diadakan pada Ogos ini.


Seminar itu, katanya, antara lain akan membincangkan kaedah paling sesuai digunakan di negeri-negeri berbeza.

"Misalnya di Kelantan PAS menguasai negeri manakala di negeri-negeri pembangkang lain yang bukan diketuai PAS, pelaksanaannya akan disesuaikan dengan undang-undang negeri di samping mengambil kira majoriti masyarakat setempat," katanya.

Jelasnya, walaupun ada di kalangan pembangkang terutama DAP masih tidak sepakat berkaitan pelaksanaan undang-undang sebegini, beliau percaya masih ada ruang untuk pelaksanaannya memandangkan tidak semua pemimpin parti itu mengambil pendekatan yang sama.

"Kalau kita lihat pemimpin DAP di Pulau Pinang amat terbuka dan bertoleransi, termasuk menaikkan elaun guru KAFA," katanya.

Beliau yakin perkara itu tidak akan menjejaskan hubungan baik di antara parti pembangkang kerana masing-masing faham dalam keadaan sekarang, setiap parti tidak boleh bergerak sendiri.

"PAS tak boleh bergerak sendiri, DAP pun tak boleh bergerak sendiri, Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor pun tak dapat bergerak sendiri, jadi masing-masing perlu menyokong dan bertolak ansur di
antara satu sama lain," katanya.

++++++++++++++++

Syabas diucapkan kepada pimpinan Pemuda Pusat di atas perancangan yang disebutkan di atas. Ia menggambarkan perjuangan PAS terus diperkuatkan bersama Pakatan Rakyat. Sesungguhnya sekali kita memilih kerjasama ini, maka setapak pun tidak boleh kita berpaling daripada cita-cita perjuangan PAS. Sesuaikanlah dengan cabaran yang wujud.

Pemuda PAS harus bekerjasama dengan Dewan Ulama Pusat dan Jawatankuasa Ulama Pelapis di peringkat pusat untuk menjayakan perancangan tersebut..

Ini yang dinantikan oleh banyak pihak. Bergerak ke hadapan, perlahan atau lambat dalam merealisasikan ghayah perjuangan. Jangan kita lupa, jangan menteri kita lupa, jangan pemikir kita lupa bahawa asas kerjasama kita bersama pakatan diikat dengan maslahah umum dan khusus deen al-Islam, bukan "berpakat menjatuhkan Mahathir atau Pak Lah"

9.6.08

Dasar Dan Perjuangan PAS Kekal, Cara Mungkin Berubah

Saya tertarik membaca beberapa blog yang lantang dan keras mengkritik PAS dan pendekatannya selepas pilihan raya lalu. Disifatkan parti ini semakin hanyut ketepian dilampias semangat Pakatan Rakyat dan desakan non-syariah di dalamnya.

Ada yang sehingga sanggup mendesak presiden meletakkan jawatan, bagi saya satu desakan keterlaluan dan kurang rasional. Tidak semua rasa tidak puas hati yang kita tanggung akan reda dengan desakan sedemikian. Jika sudah biasa mendesak musuh politik meletakkan jawatan, mungkin sudah terbawa-bawa ke dalam parti sendiri. Itu bukan penyelesai. Malah, lebih buruk lagi, sangkaan penulis blog kononnya PAS hanyut mengejar kerusi adalah sangat tersasar.

Saya berterima kasih kepada siasah yang telah menyiarkan temubual orang kuatnya, MSO dengan Timbalan Presiden PAS dalam keluaran 1-7 Jun lalu.

Ketika ditanya apakah PAS sudah tidak menonjolkan elemen Islam dan Melayu dalam arena politik semasanya, Ustaz Nasharudin Mat Isa berkata:

" Tidak. PAS kekal dengan pendirian kita Islam itu adalah teras perjuangan kita. Itu adalah dasar perjuangan kita. Uslub dan kaedah mungkin boleh berubah, tetapi teras dan asas Islam tidak akan berganjak dan kita tidak berkompromi dalam hal ini."

Itu masih belum menjelaskan kekeliruan yang timbul. Penulis-penulis blog yang saya maksudkan di atas menyentuh tentang hubungan langsung PAS dengan PR. Juga seruan Presiden PAS supaya Umno bersama Pakatan Rakyat atas nama Islam.

Menjelaskan kekeliruan yang wujud, walaupun soalan yang dikemukakan oleh MSO agak umum dan memfokuskan kepada sifat jinak Umno terhadap PAS seawal kekalahan mereka baru-baru ini, ustaz berkata:

"Yang terancam bukannya Melayu. Yang terancam adalah Umno. Pada tahun 2000 soal ini pernah digagaskan oleh Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor. Soal ini menjadi hangat semula selepas 8 Mac lalu. Dalam hal ini PAS mengambil sikap terbuka untuk membincangkan dengan sesiapa saja asalkan Islam menjadi teras utama untuk masa depan negara."

"Mengenai hal ini saya ingin memetik keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura yang saya sebut di beberapa tempat saya merasmikan mesyuarat agung PAS. Keputusan Majlis Syura yang bersidang pada 23 April mengambil ketetapan bersetuju sebulat suara merestui Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung parti bagi mempertingkatkan usaha yang bersungguh-sungguh bagi menyatu padukan umat Islam dan rakyat Malaysia berlandaskan Islam."

Ustaz Nasharudin menjelaskan, ia bermakna sesiapa sahaja boleh berbincang dengan PAS, dan sebaliknya untuk kepentingan Islam dan umat Islam di Malaysia. Bagi saya sendiri, jika semuanya telah direstui oleh Majlis Syura, maka tiada lagi isu berbangkit. Itulah prinsip kita sebagai ahli bawahan. Untuk ikuti seterusnya, sila rujuk siasah keluaran tersebut.


Jika ada yang sudah mahu ketepikan keputusan ijma' Majlis Syura, apa lagi harapan yang dia ada pada PAS untuk jaminan keutuhan dasar parti?

Sistem Usrah Perlu Dikaji Semula.

Saya pernah menulis behawa salah satu matlamat bagi gerakan Islam adalah meluaskan risalah Islam ke setiap penjuru dunia, penjuru kehidupan dan penjuru kerja buat harian, bukan menjayakan usrah. Saya tekankan perkara ini sebagai penyelesaian mudah terhadap kemelut usrah sebagai satu medium dakwah atau pengajian agama yang jarang berjaya sempurna.

Merujuk kepada banyak buku-buku terbitan Ikhwan atau mana-mana gerakan Islam dunia, usrah disifatkan sebagai satu gerakerja yang sangat berjaya sebagai sumber kekuatan gerakan mereka. Ia mampu menjadi medan bertukar teori dan amalan, koreksi diri dan rakan serta menyusun pelan tindakan untuk kerja-kerja dakwah dan politik.

Tetapi, malangnya ia tidak semudah memperkatakannya. Bukan kerana usrah tidak relevan lagi pada era ini tetapi ia tidak lagi menjadi daya tarikan kepada pekerja-pekerja Islam masa kini. Atau memang tidak relevan? Saya fikir tidak setahap itu. Apa yang berlaku. ia sukar diadakan. Payah untuk berjalan lancar. Jarang dihadiri jika tiada tokoh hebat. Saya fikir banyak faktornya. Bermula dengan masalah kesempitan masa sehinggalah kepada kewibawaan sesebuah usrah yang dijalankan.

Saya mengharapkan, kemelut ini perlu diubati segera, khususnya selepas era kemenangan besar PRU yang lalu. Jangan lagi disalahkan ahli semata-mata apabila usrah tidak berjalan lancar. Jangan mudah sifatkan mereka sebagai ahli yang gugur atau pasif, hanya kerana tidak menghadiri usrah. Oleh itulah saya memilih penegasan risalah sebagai matlamat bukan usrah. Bagi saya, itu satu daripada penyelesaian masalah. Atau mengelak masalah terus berulang? Mungkin juga.

Risalah sebagai matlamat bermakna biarlah apa sahaja program yang kita lakukan, di mana atau apa tatacaranya, walau bukan usrah, asalkan ianya menjadi medan perbahasan dan pendalamian risalah Rasulullah saw. Matlamat kita agar risalah baginda saw diterima seramai mungkin, difahami dan diamalkan. Kemudian dihayati bersama sebaik mungkin.

Tidak dinafikan, usrah memiliki objektif tersendiri yang biasanya tiada dalam program lain, namun setidak-tidaknya risalah tadi sampai dengan apa cara sekalipun. Lagipun, biasanya juga, usrah yang dijalankan selama ini tidak berjaya mencapai objektifnya yang sangat cantik itu.

Penyelesaian kedua ialah dengan melakukan rombakan besar-besaran terhadap institusi usrah, khususnya dalam gerakan PAS. Saya percaya usrah masih relevan dalam PAS dan terus relevan selamanya kerana susuk usrah itu sendiri sangat anjal, mantap dan dinamik. Maka, apa yang perlu dilakukan ialah sistem pelaksanaan usrah dan silibusnya perlu dikaji semula. Jangan banyak terikat dengan cara lama atau cara yang sedia terguna kini.

Jangan kerapkan ahli hadir usrah di banyak peringkat, tetapi semuanya seperti tiada beza dan tidak mencerminkan peringkat-peringkat itu. Usrah cawangan, pemuda, zon dan kawasan seperti tiada pemisah atau pembeza. Yang membezakannya hanya naqib-naqib terlibat.

Usrah yang terpaksa dihadiri terlalu kerap turut menjadi penyumbang kepada kelemahan ahli bukan kekuatan bagai yang diharapkan. Tanggapan biasa, jika ingin menjadi ahli aktif, perlu aktif mengahidiri semua usrah. Jika tidak semua atau sedikit sahaja, maka ditohmah tidak aktif. Akhirnya, semua tidak diikuti. Pihak tertentu, kadang2 tidak sangat mengambil tahu apa puncanya, sama ada kerana terlalu kerap atau usrah itu kandungannya membosankan.

Bagaimana rombakan seharusnya dilakukan, saya pun sukar menjelaskannya di sini. Ia bukan kerja seorang dua dan bukan kerja satu pihak dengan satu bentuk fikiran. Ia adalah isu tarbiah yang besar dan perlu melibatkan pelbagai pihak dan golongan, untuk duduk berseminar atau berbengkel dan dalami betul-betul isu ini. Lahirkan satu resolusi yang pendek ringkas dan mudah.

Hasilnya pula seharusnya sesuai untuk seluruh negara dan bersistematik. Tidak ada lagi pengulangan demi pengulangan pada setiap usrah yang diikuti kerana ia pasti membosankan.

Doa dan harapan saya, agar pimpinan tarbiah PAS dapat memulakan langkah memikirkannya. Tak perlulah sangat, orang tarbiah PAS pun terlalu kerap dan sibuk mengulas dan berceramah perihal politik lompat parti, minyak naik dan kemelut BN, sebaliknya kita ambil kesempatan yang ada untuk memperbaiki sistem tarbiah dan pembentukan diri kita.

Saya turuti setiap rumusan, insya Allah.

8.6.08

Agama Bukan Mengkhayalkan Orang Miskin

Dr Mohd Asri Zainal Abidin

Saya tertarik apabila membaca kisah al-Imam al-Nawawi (631-676H) yang diminta oleh Raja pada zamannya al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa bagi mengharuskan Raja mengambil harta rakyat untuk digunakan memerangi musuh yang mengancam negara iaitu tentera Tatar. Tujuan itu pada zahirnya baik kerana mempertahankan negara dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk keperluan jihad.


Namun ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan fatwa berkenaan. Al-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap tindakan Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu pengambilan harta itu untuk kepentingan negara juga. Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa beliau enggan menyokong? Beliau menjawab: Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta. Kemudian Allah memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki tali pinggang daripada emas. Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap mereka memiliki sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamha perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga baitulmal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu. Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada Allah dan mengikut jalan nabi-Nya S.A.W (lihat: ‘Abd al-Ghani al-Daqar, al- Imam al-Nawawi, 144-145, Damsyik: Dar al-Qalam).



Saya suka dengan jawapan al-Imam al-Nawawi ini. Saya tahu, selepas ini banyak forum-forum perdana, ceramah-ceramah di radio dan televesyen akan memperkatakan tentang kewajipan berjimat cermat. Maka ustaz, ustazah dan penceramah pun atas permintaan penaja yang membayar harga ceramah akan bersungguh-sungguh menyuruh orang-orang bawahan untuk berjimat cermat. Dalil-dalil pun akan dibaca. Mungkin akan ada ustazah yang mencari cerita-cerita ajaib yang baru untuk dikaitkan dengan bab jimat cermat dan jangan membazir. Mungkin akan ada penceramah yang cuba menangis seperti seorang pelakon berjaya yang menerima anugerah, bercerita kepada makcik-makcik yang khusyuk menonton tentang azab seorang yang membazir ‘nasi lemaknya’. Datanglah orang-orang kampung mendengar forum perdana dengan basikal atau motosikal sebagai menyahut seruan agar tidak membazir petrol.


Adapun penceramah, datuk-datuk penganjur, YB-YB hanya menggunakan kenderaan mewah yang berkapasiti atas daripada 2000cc. Tujuannya untuk mengelakkan pembaziran wang kerajaan yang terpaksa dibayar kepada empunya kenderaan 2000cc ke bawah, lebih tinggi daripada 2000 ke atas. Maka insaflah makcik dan pakcik yang barangkali teringatkan tulang ikan yang pernah dibuangnya padahal masih ada sedikit sisa isinya yang melekat. Itulah membazir namanya. Maka, atas keinsafan dan taubat itu, mungkin ada yang akan mula mengurangkan makan nasi lemak daripada sebungkus seorang kepada sebungkus yang dikongsi bersama. Air kopinya yang memang sudah ‘ceroi’ akan ditukar kepada yang warna hitamnya antara kelihatan dan tidak. Maka selamat negara kita ini, disebabkan pakcik dan makcik, pak long dan mak long, pak lang dan mak lang di kampung sudah mengubah gaya hidup mereka. Jika saya hadir ke forum yang seperti itu, saya ingin bertanya soalan, tapi soalan yang belum ‘dijakimkan’, “Apakah agama ini dihantar oleh Allah untuk menghukum manusia bawahan dan menghalalkan yang lain tidur dalam kekenyangan dan kemewahan?” Sebelum harga minyak naik, telah sekian lama mereka yang berada di teratak usang itu menjimat makan dan pakai. Saban hari mereka mengira belanja untuk memboleh mereka terus hidup pada kala negara dunia belum menghadapi krisis harga minyak.



Pembaziran

Saya tidak mahu membicarakan tentang kenaikan harga minyak dari sudut perjalanan ekonomi antarabangsa. Telah banyak pakar-pakarnya bicarakan. Tapi saya ingin bincangkan tentang soal pembaziran dan jimat-cermat. Ya, memang Islam memusuhi pembaziran. Bahkan al-Quran tidak pernah mempersaudarakan antara mana-mana pembuat dosa dengan syaitan, melainkan mereka yang membazirkan. Allah menyebut dalam al-Quran: (maksudnya): “Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhannya”. (Surah al-Isra: 26-27). Demikianlah Allah persaudarakan pembazir dengan syaitan. Kesan pembaziran sangat besar.


Lihat negara kita yang kaya dengan berbagai hasil. Sepatutnya kita akan tetap kukuh dan setiap rakyat akan menikmati kekayaan ini dengan adilnya. Namun, disebabkan pembaziran, harta negara yang sepatutnya dapat dimakan puluhan tahun, tetapi surut mendadak dalam masa beberapa tahun. Maka, yang patut mendapat bantuan dan hak, tidak cukup untuk sampai kepadanya. Barang keperluan pula bertukar menjadi mahal. Pembaziran memusnahkan kehidupan rakyat bawahan dan menghalang hak yang sepatutnya sampai kepada mereka. Maka betapa wajar untuk para pembazir itu dipersaudarakan dengan syaitan. Apatah lagi dalam banyak keadaan, pembaziran itu lahir dari keangkuhan dan kesombongan. Sifat-sifat itulah jua yang menjadi asas kepada kekufuran syaitan.


Soalannya, mengapakah apabila kita membicarakan tentang pembaziran, kita hanya terbayang orang-orang bawahan di kampung ataupun bandar. Jika kita ingin meminta supaya setiap warga negara ini berjimat dan jangan membazir, maka bermulalah daripada atas. Bukan sekadar untuk mengenakan si miskin yang sekian lama telah berjimat dan sudah tidak tahu apa yang hendak dijimatkan lagi. Mengapa kita hanya terbayang rakyat yang berada dalam rumah persendirian dan berbelanja dengan wang poketnya yang sudah lelah? Kita sepatutnya terlebih meneliti semula bagaimana perbelanjaan yang menggunakan harta negara dan rakyat yang sedang berjalan di istana-istana, kediaman-kediaman rasmi kerajaan di peringkat negara dan negeri? Apakah wajar di kala ini keraian untuk orang-orang besar sama ada sultan atau menteri begitu mewah? Makanan yang dihidangkan untuk mereka, harga satu meja kadang-kala boleh dimakan oleh ratusan rakyat bawahan. Karpet yang dipijak oleh mereka harganya ribuan bungkusan nasi yang dimakan oleh ‘orang biasa’.


Apakah patut pada saat yang sebegini, ada istana atau kediaman rasmi menteri yang hendak ditambahmewahkan? Apakah patut orang-orang besar ini diraikan dengan hiburan atau pertunjukan dan konsert yang menelan puluhan ribu ringgit sempena sesuatu kunjungan mereka? Wang itu, wang negara. Wang itu, wang rakyat. Apakah dalam masa yang sebegini mereka masih mendapat peruntukan untuk bersantai, bermain golf dan ‘berhiburan’ dengan menggunakan wang rakyat bawahan yang disuruh menjimatkan nasi lemak dan air kopi mereka? Pembaziran sebegini lebih rapat menjadi saudara syaitan dibanding wang persendirian yang dibelanjakan.


Meminjam falsafah al-Imam al-Nawawi yang saya sebutkan tadi, jika orang atasan telah benar-benar berjimat, maka wajarlah untuk dikurangkan subsidi rakyat. Al-Nawawi telah dibuang negeri kerana enggan bersekongkol dengan perkara yang seperti ini. Namun, jika itu tidak dilakukan, ulama bukan burung kakak tua. Saya mengambil risiko menulis hal ini. Tanggungjawab di hadapan Allah lebih besar daripada segala- galanya. Para ulama dahulu jauh lebih mulia, tidak dibandingkan kedaifan saya ini. Pun mereka telah menunaikan tanggungjawab al-Amr bil Ma‘ruf dan al-An- Nahy ‘an al-Munkar ini. Semoga Allah menimbang tinta para ulama dengan darah para syuhada.


Telah berlaku tahun kesusahan dan kelaparan yang amat sangat di Semenanjung Arab pada zaman Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab. Dikenali dengan ‘Am al- Ramadah kerana seakan bagaikan warna ramad atau abu disebabkan kekurangan hujan, warna tanah dan warna kulit manusia yang bertukar disebabkan kekeringan. Ini berlaku pada antara tahun 17H dan 18H selama sembilan bulan. Amirul Mukminin telah berhempas pulas menguruskan harta negara ketika itu bagi mengatasi kesusahan rakyat. Di samping kecemerlangan pengurusan, yang ingin disebutkan di sini kecemerlangan pendirian dan sikap. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar. Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. ‘Umar enggan makan bahkan berkata: “Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan kedua-duanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?” (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).


Juga diriwayatkan bahawa suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu dicedok masakan itu untuk dihidangkan juga buat ‘Umar. Tiba-tiba yang dicedok itu bahagian belakang unta dan hatinya. Lalu ‘Umar bertanya: “Dari mana diperoleh ini?”. Daripada unta yang kita sembelih hari ini. Kata ‘Umar: “Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa” (Ibn Sa‘d, al-Tabaqat al-Kubra, 3/312, Beirut: Dar Sadir). Maka alangkah buruknya seorang presiden, atau sultan, atau raja, atau perdana menteri, atau menteri besar, atau menteri yang makan dengan mewah daripada peruntukan harta negara atau negeri sedangkan rakyatnya dalam kesusahan. Ketika rakyat membilang butiran beras, helaian ringgit untuk persekolahan anak, keperitan membayar sewa rumah, api dan air, sementara mereka yang berkuasa ini pula menghadiri jamuan negara dan negeri itu dan ini. Bermewahan dengan pertunjukan dan hiburan dari peruntukan wang negara. Kemudian bercuti rehat, tanpa rakyat ketahui apakah kepenatannya untuk rakyat. Kos cuti itu pula ditanggung oleh negara tanpa sebarang pulangan keuntungan buat rakyat. Alangkah zalim! Alangkah keji sikap yang sedemikian rupa.


Saya kadang- kala begitu hairan apabila seseorang dianggap ‘berjiwa rakyat’, hanya kerana makan nasi yang dijamu oleh rakyat, atau masuk ke kampung mendukung anak rakyat untuk beberapa minit bagi membolehkan wartawan mengambil foto. Apakah itu dinamakan berjiwa rakyat? Jika hendak diiktiraf sebagai berjiwa rakyat, rasailah apa yang rakyat rasai. Orang seperti ‘Umar bin al-Khattab lebih mulia daripada segala keturunan atau pangkat yang ada di kalangan manusia. Kemuliaannya telah diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya. Dia ahli syurga dengan jaminan Allah dan Rasu-lNya sementara politiknya tidak ada saingan yang menggugatnya. Namun tetap amanah dan jujurnya terhadap rakyatnya. Merasai penderitaan rakyat. Beliau idola kepimpinan kita sepatutnya. Walaupun beliau tidak pernah menyuruh orang menyembah atau menjulangnya, namun beliau dipuja oleh sejarah dan diangkat oleh Allah.



Tanggungjawab

Kenaikan harga minyak menaikkan harga barang. Orang berpendapatan rendah menjadi mangsa. Agama berperanan untuk menyedarkan semua pihak tentang tanggungjawab terhadap rakyat. Dalam keadaan begini, antara perkara pertama yang patut dibentang kepada rakyat adalah pengurusan kemasukan dan pengagihan zakat. Zakat yang mungkin sampai kepada peringkat bilion ringgit di seluruh negara mesti diagihkan secara telus dan bijaksana. Mengapa masih ada fakir miskin yang bagaikan meminta sedekah kepada pihak yang menguruskan zakat? Mengapa program televisyen lebih menjumpai si miskin dibanding pihak yang menguruskan zakat? Mengapa zakat masih berbaki dengan begitu banyak setiap tahun sedangkan kemiskinan masih banyak? Mengapa pihak yang menguruskan zakat kelihatan bertambah mewah, sementara yang patut menerima hak kelihatannya bertambah letih dengan keadaan sekarang?


Pada masa inilah peranan zakat bagi memastikan setiap yang memerlukan memperolehinya tanpa kerenah birokrasi yang bukan-bukan. Jangan sampai untuk mendapat RM150 si miskin berulang alik berkali-kali dengan tambang sendiri, sementara yang mendakwa amil zakat mengisi minyak kereta dengan wang zakat atas nama amil! Ramai kata kita berjaya menguruskan zakat sebab kutipan yang tinggi. Saya katakan, pengurusan yang berjaya itu bukan sahaja kutipan semata, tetapi juga pengagihan secara telus, bijaksana dan bertanggungjawab.



Dalam usaha kerajaan menangani kemelut ekonomi hari ini, perkara-perkara yang disebutkan ini mestilah dipandang serius. Kejayaan sesebuah kerajaan menghayati penderitaan rakyat akan menjadikan mereka lebih disayangi dan disokong. Jika orang atas mengubah cara hidup, kita akan berkempen untuk semua agar mengubah cara hidup. Jika orang agama disuruh berkempen orang bawahan agar mengubah cara hidup, sementara melupai yang di atas, mereka sebenarnya cuba menjadikan agama sebagai candu agar seseorang melupai masalah yang sebenar.


Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.
E-mel: moasriza@yahoo.com
Layari http://drmaza.com/

7.6.08

PAS The Real Kingmaker In Malaysian Politics

Thursday June 5, 2008

By FUI K. SOONG ( From thestar online )


These days, it’s the party that takes centre stage. PAS is the most organised, financially independent and talented organisation in the country.

DOES Sabah really hold the key to the future of the country? And will the Pakatan Rakyat actually take over the government come August or September? Excuse the pun, but the jumping frog is actually a red herring.


The true kingmaker in this current political scenario is actually PAS, not Sabah or Sarawak.
Last month, the Malay writers and intellectual group called Gapena held a meeting in Johor to discuss the future of the Malays in the light of the recent elections results.


And central to Gapena’s memo was the call to the rulers as well as Malay political leaders to fulfil their duties and responsibilities to preserve and protect Kedaulatan Melayu in order that this remains the core ideology in Malaysian politics.


Some may argue the extent of Gapena’s influence over a diverse Malay population but what is important to note is that Malay-based interest groups have been all out to woo the hearts and minds of the Malay constituents.


This includes Umno, PKR, PAS, the royal houses, the civil service and, as mentioned the Malay NGOs. The contest for the Malay space is heating up and is about to get hotter. Could this be Tun Dr Mathathir Mohamad’s prime concern when he resigned from Umno on May 18?


There is no question of a succession plan as promised by Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi but when the succession is carried out will have a great bearing on what is to become of Malaysian politics.


PAS contested in 66 parliamentary seats in 2008. This is 18 seats fewer than it did in the 2004 election because PAS made a pact with both PKR and DAP that they would all only hold straight fights with the BN this time.


If PAS had known the political tsunami was coming, would PAS have relinquished that many seats for its partners? After all, DAP did not have to give up a single seat, and contested in five more seats in 2008 than it did in 2004.


Despite the sacrifices, PAS won 23 seats this time compared with seven in 2004. Its popular votes also increased but only from about 1.1 million to 1.14 million.


This is miniscule compared with DAP whose popular votes gained from 708,173 to 1,118,025. Even more fantastic was PKR’s popular votes which leaped almost three-fold from 578,481 in 2004 to 1,509,080 in 2008.


PAS may have gained 16 more winning seats plus two more Mentris Besar but in terms of popular votes and the number of seats they could have won, PAS benefited the least of all the three Opposition parties.


Yet PAS is the most well organised, most financially independent and most talented party in Malaysia right now. Not only did it give up some of its contestable seats, it shelved its Islamic agenda in the back burner for the sake of a cohesive strategy for the Opposition front.


What will happen in the next elections? Will PAS request for the return of the seats or will joining BN provide it with more security? The fate of the country actually lies with PAS rather than with PKR or the East Malaysians.


It is said that it is unlikely that at this point in time PAS would regroup to become one big Umno while Datuk Nik Aziz Nik Mat, its spiritual and paramount leader is still around. However, they would consider re-uniting with the BN. It will, after all, serve several ambitions and is probably the safest route to its long-term survival.


One, to be part of the ruling coalition would bring an end to the strenuous federal-state relations in at least three states.


Two, it would serve the wish of the Malay ground wanting to see more unity at least along the lines of Islam if not, Malay. The Malay middle-class may have shown tendencies towards a more open multiracial concept and approach. Islamic unity, on the other hand, is definitely more universal among all the classes.


Three, PAS gets to discipline Umno for its wayward ways in the name of Islam, Malay unity and future of Malaysia.


Four, the move to rejoin BN would secure its position for the next few general elections, ending the Opposition’s cat-and-mouse tactics. The above fourth reason is the most seductive for Umno as it would bring an end to the current delicate impasse – whoever the president of Umno is or, might be in the future.


The next question would be – how would the component parties like the MCA then contend with the new BN? This will depend how well they wedge their future strategies between the two giants.


In the aftermath of the recent elections, it seems the new political game has barely even begun for Malaysia.


Fui K. Soong is the CEO of Institute of Strategic Analysis and Policy Research (INSAP), a think tank of MCA, an organisation dedicated to research on the removal of barriers and bias in policies that impede Malaysian unity, racial harmony and economic prosperity.