Showing posts with label Dewan Ulama. Show all posts
Showing posts with label Dewan Ulama. Show all posts

28.11.08

MEMPERKASA KEWIBAWAAN ULAMA

Dipetik dari Laman Web Dewan Ulamak PAS Pusat.

Cabaran demi cabaran perlu dihayati dan ditangani oleh para ulamak, khususnya ahli Dewan Ulamak PAS di semua peringkat demi menjamin kelangsungan perjuangan Islam dan berjaya mencapai matlamatnya.


Itu antara penegasan yang kemukakan oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato' Ustaz Haji Mohamed Daud Al-Iraqi, dalam ucap utama ketika merasmikan Ijtimak Ulamak Se-Malaysia yang diadakan di Shah Alam, Selangor. Ijtima' tersebut adalah anjuran Dewan Ulamak PAS Pusat dengan kerjasama Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor.


Beliau berkata: "Pemerkasaan ulamak adalah suatu keperluan yang sangat mendesak bagi memastikan perjuangan Islam ini dapat mencapai matlamatnya yang murni dan para ulamak terus memimpin, memandu serta menjadi rujukan pemerintah dan rakyat.


Para peserta yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat, Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Negeri-negeri dan Wilayah serta tokoh-tokoh ulamak setempat terutamanya di Selangor turut dibentangkan dengan 5 cabaran yang dihurai secara detil oleh Dato' Mohamed Daud Al-Iraqi.


Cabaran-cabaran itu adalah pemisahan antara ulamak dan umara, mendalami ilmu agama secara khusus dan mendekati ilmu semasa, pluralisme dan sekularisme, hubungan dengan non-muslim dan terakhirnya perkembangan teknologi maklumat.


Ucapan itu juga turut menyentuh peranan besar yang perlu dimainkan oleh ulamak pelapis bagi dewan tersebut. Mereka adalah terdiri daripada ulamak muda yang aktif menyertai Lajnah Keahlian dan Ulamak Pelapis.


Tegas beliau: "Saya juga menyeru agar ulamak pelapis terus bersedia sepanjang masa bagi menggalas amanah yang lebih berat, sekiranya diperlukan atau setelah sampai masanya nanti. Dalam pada itu, saya juga menyeru agar mereka sentiasa dibantu oleh ulamak yang lebih berpengalaman, dibimbing dengan betul dan jangan biarkan mereka bersendirian".


Mengakhiri ucapannya, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat merumuskan tiga perkara yang mesti diambil tindakan oleh setiap anggota Dewan Ulamak PAS, agar menjadi sayap terkanan parti;


“Pertama, saya mahu para ulamak menyedari dan menghayati lima cabaran yang saya bentangkan tadi, seterusnya berusaha menguasai cabaran-cabaran itu sehingga setiap satunya ada penyelesaian dan rumusannya”.


“Kedua, Ulama mesti bersedia bertindak sebagai aktivis masyarakat. Jangan memenjarakan diri sendiri daripada masyarakat Malaysia”.


“Ketiga, Ulama perlu berkeyakinan tinggi dan merasakan mereka mampu menjadi kelompok yang hebat, kerana ilmu dunia dan akhirat berada di dada dan tangan mereka. Hilangkan segala perasaan kurang berkeyakinan diri demi menjadi pemimpin dan rujukan masyarakat”.


20.9.08

Ramadhan 5

رأيت الناس قد ذهبوا * إلى من عنده ذهب
و من ما عنده ذهب * و عنه الناس قد ذهبوا

رأيت الناس قد مالوا * إلى من عنده مال
ومن ما عنده مال * وعنه الناس قد مالوا


Aku melihat manusia berpergian # Kepada mereka yang memiliki emas
Dan mereka yang tiada emas # Dari mereka manusia pergi

Aku melihat manusia mendekati # Kepada mereka yang memiliki harta
Dan mereka yang tiada harta # Dari mereka manusia menjauhi



Elbaritii:

Begitulah asam garam manusia. Memilih untuk mendekati dan menemani. Maninggalkan jika tidak menerima.

Ramadhan yang saya lalui kini, mengingatkan kepada segelintir manusia yang tidak memilih emas dan harta. Mereka memilih ilmu dan ulama. Maka mereka tidak akan meninggalkan kelas untuk habuan dunia. Tidak akan meninggalkan ulama untuk mendekati tukang emas dan perak.

Malah mereka akan mencari-cari para ulama, orang alim, tuan guru, mursyid untuk mendapatkan mutiara iman dan buah akhlak.

Di Haramain, musim puasa dan haji, siapa sahaja boleh anda dekati. Mendekati pak menteri yang datang kerana Allah atau manusia, mendekati raja yang adil disembah kerana ingin mendekati atau membantu, mendekati para ulama yang ingin menyucikan diri untuk ilmu dan amalnya.

Tarbiah para ulama adalah didikan terbaik. Mendekati mereka ibarat mendekati seribu kitab. Mendengar mereka ibarat mendengar bicara seribu halaqah. Mengikut mereka ibarat memilih jalan ke syurga.

Jiwa mereka suci, guna menyucikan jiwa kita. Langkah mereka betul guna membetulkan langkah kita. Nasihat mereka tepat guna menepati al-Quran dan al-Sunnah. Siapa lagi yang ingin kita kejar? Masih pemilik emas dan harta? Atau pewaris para Nabi dan Rasul.

Ulama adalah manusia. Ulama melakuakan kesilapan. Ulama kadang-kadang silap perhitungan. Tetapi manusia mana yang lebih baik daripada para ulama yang mendalami ilmu agama yang murni ini?

Carilah ulama di bulan ini, ikutilah mereka selepas Ramadhan ini, selepas jiwa itu disuci.

8.8.08

Mungkinkah PAS memiliki Dewan Dakwah?

Salah satu sambutan Krismas secara besaran di sebuah pusat membeli belah di Jalan Bukit Bintang.
Bagaimana Islam dibawa oleh PAS kepada mereka yang sentiasa berada di tempat seperti ini?


Ketika berbangkit isu konsep Kepimpinan Ulama di dalam sistem pengurusan PAS beberapa tahun lalu, kita didedahkan persoalan apakah maksud sebenar konsep itu. Ada yang menghuraikan sebagai ulama mengetuai pentadbiran eksekutif parti, iaitu parti mesti diketuai oleh seorang ulama sebagai presiden.


Ada pula yang menghuraikan dengan wujudnya Majlis Syura Ulama maka ia telah memenuhi kehendak konsep tersebut, walaupun presidennya bukan seorang ulama. Di dalam PAS, malah di peringkat pimpinan pusat sekalipun, pengaruh terhadap dua pandangan ini besar.


Kelompok pandangan pertama berhujah antara lain, dalam sistem pentadbiran dan pengurusan parti, kuasa utama berada di dalam tangan pimpinan pusat yang diketuai oleh seorang presiden, bukan pada Majlis Syura Ulama, maka perjalanan parti pada teknikal dan strategi serta perancangannya tidak secara terus dilakukan oleh Majlis Syura Ulama.


Oleh itu sekadar meletakkan ulama di majlis tersebut tanpa mengetuai Jawatankuasa Kerja PAS Pusat tidak menjamin perjalanan PAS sentiasa dan selalu benar-benar berada di landasan Islam yang terkawal dan terlindung serta tidak cukup untuk parti dinobatkan sebagai melaksanakan kepimpinan ulama secara konsisten.


Bagi kelompok kedua pula, cukup sekadar Majlis Syura Ulama menjaga keislaman parti dan kuasa eksekutif perlu diserahkan kepada yang paling layak, sama ada daripada kalangan ulama, mahupun non-ulama. Maknanya, tidak disyaratkan presiden parti mesti seorang ulama.


Tulisan ringkas ini, tidaklah mahu membincangkan hal tersebut di atas, sekadar memulakan dengannya sebagai latar kepada isu yang ingin saya bawa, atau idea yang ingin saya kemukakan di bawah. Dalam hal tersebut, cukuplah saya menjadikan isu muzakarah baru-baru ini sebagai sokongan hujah bahawa pandangan pertama lebih sesuai untuk parti. Saya tambah pula, bagaimana jika suatu hari nanti berlaku pertembungan pandangan antara Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang diketuai oleh seorang non-ulama? Bagaimana reaksi ahli bawahan agaknya?


Idea yang ingin saya utarakan dalam artikel ini ialah menggantikan Dewan Ulama PAS Pusat kepada Dewan Dakwah PAS Pusat, kemudian diikuti oleh setiap peringkat. Saya memohon maaf jika perkara ini menyinggung mana-mana ulama PAS, namun ia sekadar pandangan seorang ahli biasa yang tiada apa-apa kelebihan mahupun pengaruh. Ia mula terdetik pada fikiran saya bukan disebabkan oleh tanggapan saya terhadap kelemahan Dewan Ulama atau saya sudah terpengaruh dengan golongan yang pernah mencadangkan Dewan Ulama ditiadakan. Tidak begitu.


Saya melihat, Dewan Ulama berada di landasan yang betul malah sentiasa maju ke hadapan, namun kadang-kadang matlamat dan peranannya kurang jelas. Tidak pada polisinya, tetapi pada praktikalitinya dan realiti yang berlaku. Oleh itu, saya terfikir untuk melontarkan idea ini sebagai satu pilihan kepada parti dan sebagai mengukuhkan peranan parti yang merupakan sebuah jamaah Islam yang syumul.


Antara beberapa perkara yang saya amati dan lontarkan untuk tatapan para pembaca ialah seperti berikut:

  1. Banyak perbincangan, kerja dan peranan di bawah Dewan Ulama ini seperti berulang dengan apa yang dilakukan oleh baik PAS Pusat, Negeri mahupun dewan-dewan yang lain. Kadang-kadang tidak nampak fokus yang jelas dipaparkan oleh dewan ini, selain menjadi tempat berkumpulnya golongan agama pelbagai peringkat usia dan latar belakang untuk bergerak aktif. Bagi ahli yang aktif di peringkat Dewan Pemuda, Dewan Ulama dan PAS Kawasan, mungkin apa yang saya maksudkan ini mudah difahami oleh mereka. Untuk membezakan Dewan Ulama dengan Dewan Pemuda pada ahli dan penyertaannya, tidak juga berlaku sedemikian kerana ramai ulama atau ustaz muda menyertai Dewan Pemuda berbanding Dewan Ulama.

  1. Kewujudan dewan ini boleh memberi gambaran bahawa hal berkaitan perbincangan agama dan hukum-hakam melalui kertas kerja, seminar, konvensyen dan lain-lain hanya 'milik' Dewan Ulama, manakala Dewan Pemuda hanya menjurus kepada isu politik dan kepemudaan semata-mata, yang kadang-kadang menyebabkan para pemuda segan untuk menjuarai isu agama dan dakwah yang sepatutnya dijuarai oleh ulama. Tambahan pula pendekatan Dewan Ulama agak lebih 'kedewasaan' yang boleh memberi gambaran kurang tepat terhadap ulama secara umumnya.

  1. Kewujudannya juga memberi gambaran bahawa kepimpinan ulama itu cukup sekadar wujudnya Dewan Ulama dan Majlis Syura Ulama, tidak perlu lagi presiden mesti seorang ulama. Praktikalnya tidak begitu, ramai ulama aktif di luar Dewan Ulama sehingga akhirnya dewan itu sendiri kekurangan tokoh ulama PAS yang mampu memperkasakan dewan tersebut atau kesibukan dengan pelbagai jawatan menghalang fokus kepada dewan ini, yang akhirnya timbul pula pertanyaan apa perlunya Dewan Ulama ketika ramai ulama berada di peringkat negeri dan pusat?

  1. Dewan Ulama yang sepatutnya menjuarai isu dakwah dan tarbiah terbeban dengan pelbagai isu politik dan pilihanraya sehingga tugasan utama berdakwah seperti tidak dijadikan sebagai agenda utama. PAS bangga dengan dirinya sebagai sebuah gerakan dakwah dan politik sekaligus, tetapi realitinya ia lebih kepada politik. Bermula daripada pimpinan pusat, negeri, kawasan dan dewan-dewan semuanya menonjol dengan kerja parti dan politik yang akhirnya tugasan dakwah secara fokus kepada masyarakat muslim dan non-muslim terabai. Maksud saya ialah kerja secara berfokus oleh sebuah dewan, bukan kerja individu para ulama yang berdakwah di sana-sini. Jika itu yang dibanggakan, maka akan ada yang bertanya, apa perlunya dewan?

  1. Apabila Dewan Ulama wujud berasaskan identiti, maka dewan ini mesti melakukan semua perkara. Bermula daripada kerja pentadbiran dewan, politik, pilihanraya, dakwah, tarbiah, kebajikan dan lain-lain, sehingga sekali lagi antara tugasan utama seorang rasul diutus, ulama mewarisi, iaitu berdakwah seperti terabai. Bukankah dengan wujudnya sebuah dewan yang memberi fokus kepada kerja-kerja dakwah akan mampu menyelesaikan persoalan tersebut, di samping dapat mengukuhkan lagi identiti PAS sebuah gerakan politik dan dakwah serentak.

  1. Kewujudan Dewan Dakwah PAS akan memberi ruang yang lebih besar kepada golongan pencinta dakwah yang letih dan pening dengan permainan politik untuk bergerak lebih aktif di dalam PAS. Islam mengharamkan politik terasing tetapi Islam tidak pernah mewajibkan semua individu terlibat di dalam kerja politik Islam, sama seperti Islam mengharamkan pengasingan ekonomi tetapi pernahkah kita merasakan kewajipan terlibat di dalam ekonomi Islam secara langsung? Tidakkan!

  1. Setiap orang ada peranannya ke arah keredhaan Allah. Ada pihak yang aktif berpolitik, dan ada pula yang enggan bermain politik namun akan aktif bersama PAS dalam kerja-kerja dakwah secara fokus melalui Dewan Dakwah. Itulah yang saya harapkan berlaku, kerana ramai yang tidak berbuat apa-apa di dalam PAS kerana ingin menjauhkan diri daripada menjadi politikus. Kini, menyertai mana-mana dewan, terpaksa bermain politik sedangkan ia bukanlah minat semua individu muslim. Jangan silap memahami saya, penglibatan dalam jamaah dan parti adalah wajib bagi semua individu tetapi menjadi politikus bukan kewajipan semua orang. Maka saya mencadangkan Dewan Dakwah ini sebagai platform untuk mereka di dalam parti, daripada mengasingkan diri daripada parti sehingga bekerja sendirian.

  1. Untuk Dewan Dakwah itu nanti bergerak secara terbaik, perlulah kepada pengkajian dan perbincangan lebih lanjut dan detil. Yang pastinya ia sama sekali tidak akan menghalang para ulama untuk bergerak aktif dalam politik sebagai politikus, kerana mereka boleh sahaja bergerak di mana-mana platform parti, malah ulama sebegini boleh sahaja aktif di dalam politik dan di dalamk erja dakwah. Manakala golongan non-ulama yang mahu mencurahkan keringat dalam kerja dakwah, inilah tempat terbaik untuk mereka.

Para pembaca yang dirahmati Allah, saya sekadar memberikan lontaran idea, lantaran mengharapkan kerja dakwah yang berfokus dan tersusun oleh parti, kerana ramai dan ramai para ilmuan dan ulama PAS yang terabai begitu sahaja ilmu dan kepakaran dakwah mereka kerana masing-masing yang mahu aktif di dalam jamaah dipaksa menjadi politikus, bukan diberi pilihan untuk berdakwah secara lebih berfokus. Sekali lagi, mohon maaf kepada para ulama yang membaca.