2.5.09

PRESIDEN PAS SETUJU PONGGAL PERINGKAT PAKATAN RAKYAT - UTUSAN MELAYUT

Kuala Lumpur- 1 Januari 2012.

Dalam mesyuarat panjang yang diadakan oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat semalam, semua presiden parti-parti terlibat telah sersetuju untuk menganjurkan majlis sambutan ponggal peringkat Pakatan Rakyat bagi menyatakan rasa 'bersama' dengan penganut agama Hindu di negara ini.

Jurucakap bagi majlis itu, Lim Guano Mu berkata: "Kami telahpun berbahas secara mendalam, termasuk dengan hujah agama masing-masing, maka ianya tidak perlu lagi menjadi isu berbangkit, sebagaimana bantahan oleh Dewan Ulama PAS dalam berita hari ini. Pihak PAS telah diketuai oleh Presidennya sendiri dan seharusnya semua sayap parti itu patuh kepada presiden mereka."

Namun agak memeranjatkan kelompok media apabila Presiden PAS ( Parti Islam Sandakan ) menegaskan, " saya bersetuju pada dasar sahaja, tetapi mungkin menarik balik persetujuan saya".

Kenyataan itu menyebabkan iras wajah Lim Guano Mu dan Datuk Sari Anu berkerut. Presiden PAS, Datuk Hj Prolib berkata dengan tegas dan tulus, " Saya belum sempat mengkaji hukumnya, sama ada ianya benar-benar perayaan budaya atau agama dan ketika saya menelefon Mursyidul Am parti dan Ketua Dewan Ulama, mereka sedang bermuzakarah dengan ulama seluruh dunia di pintu kaabah, maka sukar untuk kami berbincang"

"Saya berjanji akan balik ke rumah dan menyelak kitab-kitab kuning ayah saya yang sudah lama tidak sempat saya sentuh" tegas Hj Prolib.

Sebahagian ahli PAS mengulas dengan menggambarkan presiden parti itu seorang yang warak kerana tidak berani membuat kata putus dalam isu agama dengan begitu mudah, kerana dia sedar dia bukan ahlinya.

Nampaknya, isu ini gagal diselesaikan segera oleh Majlis Pakatan Rakyat dan ianya masih lagi tertangguh. - Utusan Melayut

* Sebuah cerpen pendek berkisar Utusan Melayut dan Parti Islam Sandakan

1.5.09

MEMILIH PEMIMPIN PAS (3) - YANG TIDAK LAYAK MENIMBALI PRESIDEN

1. Sehari dua ini saya mempunyai banyak masa untuk berblog. Isu paling menarik perhatian saya pula ialah isu pemilihan pimpinan parti. Saya meyambung lagi siri-siri 'Memilih Pemimpin PAS'.

2. Saya jelas. Mahukan seorang yang berpengetahuan tinggi dalam agama sebagai presiden dan timbalan. Ini kerana merekalah yang paling hampir dengan kerusi Perdana Menteri. Hukum aqidah dan fiqh menjadi zikir mereka. Mengenal Allah dan Rasul tidak menjadi satu masalah dan bebanan. Walau apapun tafsiran Kepimpinan Ulama dalam PAS, saya tidak terikat dengan itu ketika melontarkan pandangan ini, kerana saya boleh sahaja menilainya berdasarkan kepada maslahah agama dan petunjuk Rasulullah saw. Full stop di sini dahulu.

3. Di sini, ingin diutarakan satu lagi sifat paling utama perlu dimiliki oleh seorang timbalan, pada penelitian saya. Meminjam kata-kata Muhyiddin Yasin, 'orang nombor dua tetap orang nombor dua', adalah apa yang saya maksudkan. Iaitu, seorang timbalan sewajarnya sedar kedudukannya sebagai orang nombor dua, tidak mendahului, boleh bekerja dengan presiden dan ada "chemistry" atau "serasa" antara keduanya.

4. Adalah suatu yang amat tidak kena apabila presiden dan timbalan sentiasa dilihat tidak serasi, bertentangan idea dan sukar bekerjasama antara satu sama lain. Paling bahaya, jika timbalan dengan slumberjack nya, mendahului presiden dan membelakangi idea presiden.

5. Orang kulit putih ada sebut, boss still boss. Dalam hukum fiqh ada satu perbincangan masalah, apakah keputusan syura wajib dipatuhi ketua? Ini kerana pernah berlaku Rasulullah saw bertanya pandangan para sahabat, tetapi tidak mengambilnya sebagai tindakan. Tujuan saya menyebutnya adalah ingin menggambarkan bahawa ketua mempunyai ruang untuk bertindak sendiri dengan segera pada masa-masa tertentu dan menilai semua pandangan orang bawahannya tanpa keterikatan.

6. Jika begitulah jauhnya perbincangan para ulama fiqh dalam hal ini, maka apakah suatu yang ganjil jika seorang presiden melontarkan ideanya ( masak atau mentah) untuk masyarakat dan negaranya, sehingga ianya sukar disambut oleh pemimpin di sisinya? Menyambut idea presiden berbeza dengan menerimanya bulat-bulat. Sukar diterima, jika suatu hari nanti, Timbalan Presiden PAS secara mentah-mentah tidak menyambut idea Presiden PAS sendiri.

7. Dalam hal ini, pemimpin Umno amat bijak dan amat berhati-hati.

8. Oleh itu, saya mohon para pembaca menjadikan isu "Unity Government" sebagai bahan kajian untuk menilai siapakah yang tidak layak menjadi Timbalan Presiden PAS pada masa ini.

9. Oleh kerana sesetengah pemimpin tegar mempertahankan pandangan sendiri, bersifat prejudis terhadap idea Presiden dan mungkin memiliki agenda tertentu, maka Presiden terkontang-kanting keseorangan. Saya tidak meminta idea beliau disahkan sebagai wahyu atau dianggap sahih atau diakui paling tepat. Saya cuma mohon ideanya disambut dan dikaji. Itulah kerja utama pembantu Presiden. Malangnya, ia 'dipangkah' secara terbuka oleh pihak tertentu.

10. Kesimpulan, timbalan tidak semestinya yang kedua paling mulia dan terbaik selepas presiden, tetapi yang sesuai digandingkan berdua, tanpa menolak faktor layak dan berkemampuan sebagai pengganti.



* Setelah membaca tulisan Haris dan Hafiz dalam Siasah terbaru, saya isytiharkan Blog ini menyokong sepenuhnya idea Presiden dalam isu Unity Government.

MEMILIH PEMIMPIN PAS (2)

1. Saya tak fikir sekarang ini rakyat Malaysia ketagihkan pemimpin bertaraf dunia tetapi kontang rohani. Malaysia sudah ada Tun Mahathir dan terbukti tanpa kerohanian yang mantap, negara tidak dijamin selamat.

2. Saya yakin sebahagian besar rakyat Malaysia sudah tidak terkejut dengan penampilan hebat tokoh semasa PAS yang bersifat nasional dan internasional. Itu bukan kelebihan PAS kerana ianya boleh dilihat di mana-mana parti.

3. Saya mahukan tokoh seperti Tok Guru MB Kelantan yang faqih dalam ilmu agama, bersifat sederhana dan mesra semua manusia, diketengahkan dalam kepimpinan PAS. Walau bagaimana hebat sekalipun seseorang tokoh, akhirnya manusia akan tertarik kepada mereka yang ikhlas, berisi ilmu agama dan diterima oleh Allah Ta'ala. Kerja Allahlah yang akan menyatukan hati-hati manusia ini.

4. Kekalkan kelebihan kepemimpinan PAS ini di tengah masyarakat, dengan sekaligus, serentak itu menyusun kepemimpinan negara Malaysia.

5. Gandingan mantap semua jenis pemimpin amat diperlukan dalam parti, dan saya belum terbayang gandingan itu diketuai oleh tokoh yang jahil agama dan jauh daripada kerja-kerja dakwah dan tarbiah.

Wallahu a'lam.

30.4.09

NIK ABDUH TEMBAK PENJAHAT, DIA YANG DIBALUN

1. Saya sedikit bengang apabila membaca artikel Ustaz Nik Abduh yang beserta dengan komentar-komentar di bawahnya. Bukan bengang kepada artikel, tetapi komentar. Saya mencari-cari dosa besar yang dilakukan oleh Nik Abduh. Tiada nama yang disebutnya. Tiada siapa yang diumpatnya. Mungkin kerana dia melontar pelurunya secara umum menyebabkan mereka yang ada kaitan atau boleh dikaitkan dengan istilah pembantu-pembantu politik Tok Guru berasa marah?

2. Apa yang saya tahu, ada pelaga, ada pemberi maklumat palsu, ada pemecah antara dua tokoh dan ada pendedah kepada umum, dalam artikelnya. Dengan dedahan itu, ramai juga yang marah kerana kata mereka itu ibarat menyelak kain parti. Yang mendedah adalah Ustaz Nik Abduh. Memang betul, parti terjejas. Tetapi besarkah jejasnya? Apabila orang ramai tahu Tok Guru mendapat maklumat palsu, apa yang malu sangatnya? Ketika Tok Guru marah dan tembak Presiden dan Cikgu Pa suatu ketika dulu, kita tak terasa malu? Ketika itu, tak malu dan tak terasa imej parti tercalar? Sebab apa kita diam? Sebab kita tak suka idea Presiden dan Cikgu Pa?

3. Eh, bukankah itu lebih memalukan? Dua tokoh bertelagah pandangan secara umum dalam akhbar. Tak maluke? Yang ini, hanya dakwaan ada orang tipu pimpinan. Yang itu, dua-dua dah bertelagah idea. Mmmm dan rupa-rupanya ada yang menerima maklumat palsu sehingga menyebabkan dua-dua berbeza dan bertelagah. Eh, tak jahat ke pelapor palsu? Aduh, kenapa pendedah yang dibalun, sedangkan pelaga, pemberi maklumat palsu dan pemecah antara dua tokoh tidak menjadi isu?

4. Lantaran itu, berwaspadalah. Isunya hanya pada usaha bodoh itu. Janganlah ada yang mengulas sana-sini entah apa-apa, termasuk pimpinan PAS tertentu. Kenapa tak marahkan pelapor palsu itu. Jika tiada bukti, mintalah bukti, bukannya "membunuh" pelapor. Apa sudah ada dewa dalam PAS?

5. Saya bengang bagi mereka yang mengulas luar topik dan menghina Nik Abduh. Dalam masa yang sama, saya belum mengiyakan apa-apa dakwaannya selagi belum cukup pendedahannya. Ulasan saya inipun berdasarkan kepada zahir artikelnya. Namun, saya yakin, beliau penuh dengan bekalan, kerana saya juga ada sedikit sebanyak bekalan itu, bermula dari isu Cikgu Pa, isu calon Kuala Terengganu dan kini isu UG. Malah ramai yang tahu pun. Oleh kerana ada yang termakan cilinya, mulalah melatah-latah. Apa nak buat, kerajaan idaman di hadapan mata.

6. Doakan sahaja untuk kemenangan Islam di bawah payung suci PAS yang tulen. Kalau Nik Abduh salah, tahulah Allah menghukumnya. Kalau dia benar, tahulah Allah menghukumnya.

28.4.09

MEMILIH PEMIMPIN PAS (1)

1. Gagasan Kepimpinan Ulamak tidak pernah kedengaran pada zaman Nabi saw. Memang pun begitu sepatutnya. Juga tiada terdengar ketika khilafah Umaiyyah dan Abbasiyyah. Justeru, ramailah yang beranggapan, itu gagasan baru, yang tiada apa-apa kaitan dengan yang dulu-dulu.

2. Apa yang muncul pada usia Nabi saw masih berbaki ialah usaha mengulamakkan para sahabat, sehingga mampu menjadi sahabat yang ulama dan bijaksana dalam gerakan, dakwah dan kepemimpinan. Lantaran, gempitalah pujian melangit terhadap mereka yang berilmu, memahaminya dan menjaga amanah ilmu tadi.

3. Hadis, sirah, sejarah dan rekod perjuangan Nabi Muhammad saw dan para sahabat yang lain dipenuhi dengan cerita dan kisah menarik seputar ilmu ad-deen mereka selain jihad, bijaksana dalam menghukum dan kasih sayang sesama insan. Maka, itulah bukti kukuh dan jelas bahawa mereka semua adalah ulamak atau peminat ulamak yang turut mendalami sebanyak mungkin ilmu agama daripada Nabi saw sendiri.

4. Jelas lagi bersuluh, mereka ialah ulamak yang bekerja. Menjawab sebelum bertanya dan menjelaskan selepas persoalan terkumpul tersusun. Tidak perlu dibandingkan antara kepimpinan ulamak dan kepimpinan Islam. Kedua-duanya sukar berpisah dan mustahil jika Islam mahu ditegakkan tanpa ulamak memimpin. Sesungguhnya, antara ulamak yang memahami pentadbiran dengan tokoh politik yang sedang mendalami hukum, biarlah ulamak sentiasa di hadapan.