20.11.12

Kenduri Ihsan, ulangtahun ke 10, selamat dan kesyukuran...all in one.

Alhamdulillah majlis pada Ahad lepas berjalan dengan lancar.

Paginya cerah. Tetapi mendung sekitar jam 11.30am. Merisaukan. Bimbang sangat kalau hujan yang amat lebat menghilangkan kecewriaan majlis.

Seusai solat Zohor berjamaah, kami membaca sedikit ayat al-Quran dan doa dipanjatkan. Untuk segalanya. Dibaca dalam bahasa Melayu agar semua yang mengaminkan doa memahami apa yang mereka minta perkenan.

Tidak mudah berdoa dalam bahasa Melayu.

Terus menjamu selera. Daging gulai kawah, ayam goreng, ulam, ikan masin bulu ayam, sambal belacan dan kuih muih. banyak juga dapat sumbangan kuih muih drp jamaah surau. Selain itu ibu Ihsan juga menempah roti jala, caramel dan kuih popia. Alhamdulillah.

Tidak menang tangan untuk melayan tetamu yang ramai dan datang serentak sekitar jam 2pm, iaitu ketiika hujan rancak membasahi bumi.

Saat getir berlaku.

Ayam goreng kehabisan. Segera mencari alternatif. Restoran As Safa di Tasik Prima.

Petang itu menerima tetamu istimewa. Kawan2 lama dari sekolah menengah. Borak sampai ke Isyak di rumah. Alhamdulillah lagi.

Dan alhamdulillah, hujan yang turun itu ada hikmahnya, rupanya, bila saya renung sejenak kaitan hujan, makanan dan jemputan.

Syukur kepada Allah, majlis pada 18 November 2012 berjalan baik. Moga allah berkati kami dan semua yang hadir.

15.11.12

Bermula semula

Telah lama tidak menulis di dalam blog ini. Melebihi setahun. Mata pensil pun sudah tumpul. Perlu diasah semula secara perlahan-lahan.

Hari ini 1 Muharram 1434. Sangat cantik untuk dipasang azam dan cita. Menulis.

Hari ini bermula muktamar di KB. Perhimpunan ahli parti menyempurnakan agenda kerja. Semoga gergasi lama itu mampu ditumbangkan berbekalkan segala idea dan perancangan muktamirin.

Sabtu ini genap 5 tahun anak sulong saya. Semoga 5 tahun yang lalu dapat dihitung sebagai fasa tarbiah berguna untuknya.

Menulis. Menulis dan membaca membaca membaca...